Sunday, November 16, 2008

PERBINCANGAN TENTANG MASALAH MEROBOH RUMAH YANG DILAKUKAN JABATAN TANAH & SURVEI


19 Julai 2008 – Bakun, lebih kurang 200 orang penduduk berkumpul di Rumah Uma Sambob, Long Semutut, Ulu Belaga untuk membincangkan masalah meroboh rumah yang dilakukan oleh Jabatan Tanah & Survei bermula dari 16hb Julai 2008 di sepanjang 200 KM Jalan Bintulu-Bakun. Penduduk kampung yang telah diroboh rumah mereka dituduh oleh kerajaan menduduki tanah kerajaan secara haram.

Perbincangan tersebut dihadiri oleh beberapa orang peguam seperti En. Paul Raja, En. Ali Basah, En. Janting Antalai, dan wakil-wakil NGOs seperti BRIMAS, IPDC, ketua-ketua kaum dan wakil-wakil dari kampong yang terlibat dalam kesusahan tersebut.

Tindakan meroboh rumah tersebut telah dilakukan ke atas beberapa buah yang diduduki oleh kaum Kenyah dan Kayan, seperti Uma Juman, Uma Sambob, Uma Bakah, Uma Apan dan lain-lain. Ada di antara penduduk kampung yang diroboh rumah telah menetap di kawasan Tanah Adat mereka tersebut selama 130 tahun.

Menurut seorang peguam yang berasal dari sebuah kampung yang terlibat iaitu En. Ali Basah, penduduk kampung telah menerima notis untuk mengosongkan tanah dan juga rumah pada bulan Oktober 2007. Setelah menerima notis tersebut, penduduk kampung terus membawa masalah tersebut ke mahkamah untuk tindakan undang-undang agar kerajaan menghentikan hasrat mereka untuk meroboh rumah penduduk kampung di kawasan seperti yang dinyatakan dalam notis. Tetapi kerajaan tidak menghiraukan surat yang dibawa ke mahkamah malah, melancarkan operasi meroboh rumah secara besar-besaran dengan membawa 30 buah kenderaan penguatkuasa Jabatan Tanah & Survei dan juga tiga buah jentera berat untuk menebang dan meroboh rumah, tanpa ada perasaan simpati.

Rintihan penduduk..

“Saya cuba menghalang mereka dari terus meroboh rumah saya, tetapi saya tidak mampu menghalang mereka apabila mereka menahan saya”, menurut Jo anak Madang, 78 tahun merupakan salah seorang penduduk kampung yang diroboh rumah. Dia menyatakan ini merupakan satu peristiwa pahit di sepanjang hidupnya dengan menyaksikan penguatkuasa Jabatan Tanah & Survei menebang dan meroboh rumahnya tanpa menghiraukan rayuan dan halangan daripadanya. Jo menambah, pihak Jabatan Tanah & Survei tidak pernah datang ke tempat mereka untuk mengadakan sebarang rundingan dan tiada sebarang keputusan dibuat.

Menurut Pn. Ping Mering dari Rumah Apan, pihak penguatkuasa Jabatan Tanah & Survei bertindak memecahkan pintu-pintu rumah sewanya pada 16 hb Julai sekitar jam 12:00 tengahari. Melihat keadaan dan kekejaman yang berlaku, Pn. Ping Mering pun berteriak dan menangis. Melihat keadaan itu berlaku, Jabatan Tanah & Survei pun memberhentikan niat mereka untuk meroboh rumah sewa milik Pn. Ping Mering. “Saya telah mendirikan rumah di kawasan Tanah Adat ini lebih kurang 10 tahun, dan rumah sewa inilah yang menjadi sumber pendapatan utama keluarga saya. Sekiranya ia dirobohkan, di manakah tempat saya sekeluarga menampung hidup”, menurut Pn. Ping Mering.

Menurut seorang lagi penduduk kamupung iaitu Pn Merara Anak Nyalong, “Jabatan Tanah & Survei amat kejam. Mereka mengeluarkan sebahagian barang-barang dari dalam rumah kami sehigga menyebabkan kebanyakkan barang-barang kami rosak dan pecah.” Pn Merara anak Nyalong juga berasa amat terkilan dengan tindakan kerajaan yang tidak berperikemanusiaan terhadap Orang Asal yang tinggal di tanah Adat mereka.

Harapan mereka..

“Kami mahu pihak polis mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Jabatan Tanah & Survei, kerana mereka telah melakukan keganasan terhadap kami dan juga harta milik kami”. kata Patrik Keming iaitu salah seorang ketua masyarakat penduduk Uma Juman.

Semua penduduk juga amat mengharapkan agar kerajaan bersikap lebih prihatin dan menghormati Tanah Adat yang dimiliki oleh orang asal tanpa menuduh, menghalau dan meroboh rumah milik orang asal sesuka hati.

Setakat ini, ada di antara kampung yang terlibat telah membawa perkara ini ke peringkat mahkamah dan masih menunggu keputusan perbicaraan.

No comments: