Sunday, November 16, 2008

ORANG ASAL DISABOTAJ


Miri – Pada bulan April lalu, 5 orang penduduk dari Kampung Wawasan Suai telah diarah untuk pergi ke Balai Polis Batu Niah dan kemudiannya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Miri bagi tujuan soal siasat.


Mereka yang ditahan ialah Edi Anak Ingah, Angking Anak Chundai, Awa, Awat dan juga Ketua Kampung Tuai Rumah Rajang Anak Sengalang. Menurut salah seorang penduduk, Amy Anak Alus, 5 orang penduduk terbabit telah dihubungi dan diarah oleh salah seorang Pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri untuk pergi ke Balai Polis Batu Niah bagi memberi kenyataan untuk membantu siasatan untuk kes yang berkaitan dengan penangkapan salah seorang penduduk kampung mereka yang bernama Siew Choon Siak atas tuduhan membawa pistol buatan sendiri tanpa lesen. Siew ditahan reman 3 hari sebelum kelima-lima yang lain ditahan.


Menurut Amy lagi, dakwaan polis terhadap Siew dan 5 orang penduduk tersebut adalah tidak berasas dan fitnah semata-mata dan ini berikutan sebab bantahan mereka (penduduk kampung) ke atas Syarikat Ladang Kelapa Sawit, Mega Jutamas Sdn.Bhd. BRIMAS mendapat tahu daripada mereka yang ditahan bahawa tidak ada seorang pun pegawai polis yang memberitahu mereka alasan kenapa mereka ditahan. Siew dan 5 orang yang lain dibebaskan tanpa tuduhan pada 21/04/08. Tetapi dengan jaminan polis. Namun begitu mereka diarah untuk melaporkan diri ke balai Polis Batu Niah tiap-tiap bulan.


BRIMAS juga turut mempersoalkan apakah motif penangkapan terhadap penduduk kampung tersebut memandangkan penahanan tersebut tidak telus dan tidak mengikut prosedur yang betul untuk menangkap seseorang.


Penduduk kampung Wawasan telah membantah terhadap pencerobohan Syarikat Ladang Kelapa Sawit ke kawasan tanah mereka semenjak tahun lepas, yang mana ianya memiliki status sebagai tanah asal (NCR). Syarikat Mega Jutamas telah mendapat kebenaran untuk pajakan sementara ( Provisional Lease) ke atas Lot 95, Sawai Land District oleh Jabatan Tanah dan Survei untuk tujuan penanaman kelapa sawit yang merangkumi kawasan seluas lebih kurang 2,145 hektar.


Penduduk kampung membuat bantahan kerana pekerja-pekerja Syarikat Kelapa Sawit tersebut memasuki dan memusnahkan tanaman padi dan kebun kelapa sawit yang diusahakan oleh penduduk kampung. Apa yang menyedihkan, penduduk kampung sendiri dihalang oleh pengawal keselamatan syarikat tersebut untuk memasuki kebun mereka sendiri.


BRIMAS mendapati kawasan tersebut tidak patut diganggu kerana mengikut pengesahan yang dibuat melalui laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA), kawasan kampung tersebut tidak boleh diganggu dan Provisional Lease (PL) yang diberikan kepada Syarikat Kelapa Sawit tersebut hanya diberikan ke atas kawasan tertentu dan tidak termasuk Kawasan Kampung Wawasan tersebut. Walaubagaimanapun, syarikat tersebut masih tidak mematuhi arahan yang tercatat di dalam laporan EIA dan masih meneruskan aktiviti pencerobohan mereka ke atas tanah di kawasan Kampung Wawasan terbabit.


Pada November tahun lepas, Tuai Rumah Rajang Anak Sengalang turut ditangkap dan ditahan 24 jam atas tuduhan menyerang seorang pekerja Indonesia yang bekerja dengan syarikat terbabit. Namun begitu, beliau menafikan tuduhan tersebut dan telah dibebaskan dengan ikat jamin polis dan kes terbabit masih lagi di dalam pemerhatian pihak polis. BRIMAS akan sentiasa memantau situasi dan mengikuti perkembangan kes terbabit dengan sidang akhbar tidak lama lagi.

No comments: