Rentetan dari kenyataan tersebut, pelbagai berita dan keyataan yang dikeluarkan oleh pihak pemberita, NGO dari dalam dan luar negeri, internet dan juga ulasan-ulasan dari pihak kerajaan mengenai perkara tersebut.
Pengerusi Persatuan Wanita Desa Sarawak (WADESA) Cik Hellan Empaing turut tidak ketinggalan mengikuti perkembangan berita tersebut. Beliau sempat menemuramah beberapa Tua Kampung dari beberapa buah kampung di sekitar Apoh baru-baru ini.
Menurut TK Alah Beling dari Long Belok, suatu ketika dahulu di kampung beliau pekerja-pekerja di kem-kem pembalakkan seringkali meniduri gadis Penan tanpa ada ikatan perkahwinan yang sah. Perhubungan luar batasan dan bukan atas dasar perkawinan itu akhirnya akan menyebabkan gadis tersebut mengandungkan anak yang tidak mempunyai ayah, kerana lelaki tersebut hanya ingin mengambil kesempatan sekadar memuaskan hawa nafsu dan tidak bertanggungjawab.
Setakat ini menurut TK Alah, terdapat sekurang-kurangnya lima orang perempuan Penan di kampung beliau menerima nasib malang tersebut. Tetapi kebanyakkan peristiwa tersebut telah lama berlaku dahulu, kini mereka ini telah memulakan kehidupan baru berkahwin dengan lelaki sama kaum.
Perbualan bersama TK Ajang Kiew dari Long Sayan juga mengakui bahawa, kebanyakkan pekerja-pekerja kem pembalakkan seringkali menimbulkan masalah dengan menganggu perempuan-perempuan Penan di kampung. “ Mereka seringkali datang masuk ke kawasan kampung dalam keadaan mabuk-mabuk, membawa minuman beralkohol dan bermalam di rumah-rumah perempuan Penan” kata TK Ajang. Sebagai TK, Ajang bertindak menghalau mereka agar tidak menganggu perempuan-perempuan Penan dengan tidak beradat.
Menurut Cik Hellan, ini adalah satu perbuatan yang amat menyedihkan kaum wanita, kerana perbuatan seperti pekerja kem pembalakkan tersebut adalah salah satu perbuatan yang berdosa di sisi agama. Kaum lelaki seperti mereka tidak sepatutnya mengambil kesempatan di atas kelemahan kaum wanita, terutamaya kaum wanita Penan yang agak mundur dari segi pendidikan.
Masalah ini berpunca daripada kemasukkan pencerobohan pembalakan di kawasan Baram sejak dari tahun 1970-an lagi atau lebih awal dari itu. Pencerobohan tersebut bukan hanya menceroboh hak Penan ke atas tanah, sumber, hutan, sungai malah kini kita nampak kesannya mengancam keselamatan dan maruah kaum wanita Penan.
Kini pihak syarikat perladangan dan juga pihak kerajaan telah mula membawa kemasukan perladangan kelapa sawit dan juga penanaman kayu kertas ke kawasan Baram termasuk dalam kawasan tanah adat kaum Penan (NCR). Ini sudah pasti akan menambahkan lagi masalah ke atas kehidupan kaum Penan setelah hutan mereka habis musnah ditebang oleh syarikat pembalakan. Risikonya, kemasukan buruh atau pendatang asing di kawasan ladang-ladang ini nanti pasti akan mengancam keselamatan kaum Penan, terutamnya golongan gadis dan remaja.
Bagi pihak WADESA, Cik Hellan memohon agar pihak kerajaan dan pihak yang bertanggungjawap menyiasat perkara ini dengan adil, bukan hanya menepis kenyataan yang diutarakan. “kerana masakan pokok bergoyang jika tiada angin”.
Kerajaan diharapkan dapat menjalankan kewajipan menanggani masalah ini dan juga mencegah perkara lain terjadi pada masa-masa akan datang demi menjaga maruah kaum wanita Penan.
Cik Hellan juga berharap agar isu pencerobohan tanah NCR kaum Penan dan apa juga bentuk pembangunan yang akan dijalankan oleh kerajaan ke atas tanah adat kaum Penan, tidak harus dijalankan tanpa memaklumkan awal dan meminta keizinan daripada kaum Penan. Kerajaan seharusnya menghormati hak kaum Penan ke atas tanah mereka, supaya peristiwa-peristiwa yang tidak diingini berlaku seperti ini tidak timbul.
No comments:
Post a Comment