Sunday, November 16, 2008

ISU WANITA PENAN BA PUAK, BARAM


Ba Puak merupakan Kampung Penan yang terletak di kawasan Long Selulung iaitu Ulu Baram, Sarawak. Ia merupakan salah sebuah kampung Penan yang masih mengamalkan kehidupan berpindah randah (Normadik). Ba Puak terletak kira-kira 4 jam perjalanan menggunakan kereta dari pekan terdekat iaitu Long Bedian.


Kaum Penan di Ba Puak terdiri daripada 15 buah keluarga, 14 orang daripada penduduknya adalah kaum wanita dan ini tidak termasuk kanak-kanak. Bagi kaum wanita Ba Puak, mereka juga menjalankan aktiviti harian tersendiri seperti kaum wanita orang asal lain di Sarawak.


Selain bercucuk tanam, mereka juga melakukan aktiviti seperti membuat kraftangan, namun kini mereka jarang dapat menghasilkan kraftangan yang banyak kerana menurut salah seorang penduduk wanita di sana, sumber hutan mereka seperti rotan tidak lagi terdapat di kawasan sekitar yang berdekatan dan jika ada pun, akan mengambil masa beberapa jam perjalanan kaki untuk mendapatkan rotan yang terletak jauh di dalam hutan.


Bagi wanita Penan, hutan adalah ibarat supermarket kepada mereka. Kini apabila hutan mereka musnah akibat aktiviti pembalakan dan juga aktiviti lain seperti projek pembinaan paip gas yang turut menceroboh kawasan sempadan mereka, pelbagai kesan buruk dialami oleh kaum penan Normadik ini seperti kepupusan sumber makanan, sumber ubat-ubatan dan sumber-sumber kraftangan.


Kaum Penan normadik ini juga agak ketinggalan dari segi tahap pendidikan memandangkan mereka belum ada kemudahan sekolah disediakan berdekatan dengan kawasan mereka. Selain itu, mereka juga turut risau akan bahayanya projek pembinaan paip gas yang melintas kawasan hutan mereka, sekiranya berlaku kebocoran pada paip gas tersebut, seluruh kawasan mereka akan terjejas dan ini sekaligus akan memusnahkan sumber hutan mereka.


Kini kaum wanita Penan juga mengakui bahawa kini mereka semakin sukar mencari sumber makanan dan mereka hanya mampu bergantung sepenuhnya dengan kaum lelaki ini kerana mereka tidak mampu berjalan jauh ke dalam hutan untuk mencari sumber makanan serta ubat-ubatan. Begitu juga dengan sungai yang dulunya jernih kini bertukar keruh terutamanya ketika hujan ini menyebabkan air sungai tidak selamat untuk diminum.


Kaum Penan normadik ini berharap agar ada pihak yang prihatin terhadap kehidupan mereka terutama kanak-kanak dan juga kaum wanita mereka. Mereka juga berharap agar ada pihak yang sudi mengajar mereka mengenai aktiviti bercucuk tanam untuk tumbuhan yang pelbagai terutamanya bagaimana menanam padi kerana mereka tidak pernah dan tidak tahu menanam padi. Selain itu, mereka juga berharap agar mereka dapat dibekalkan benih-benih tanaman seperti pisang, jagung, terung dan sebagainya dan akhir sekali mereka sangat berharap ada pihak yang sudi melihat sendiri bagaimana kehidupan dan aktiviti wanita Penan di Ba Puak dan agar dapat membuka peluang mereka untuk belajar dan berkongsi pengetahuan dengan wanita asal lain di seluruh Sarawak terutamanya.

No comments: