Sunday, November 16, 2008

MASYARAKAT BERAWAN MENARIK PERHATIAN PELANCONG KE MULU PASAL MASALAH TANAH ADAT


MULU - Masyarakat Berawan dari Kampung Long Terawan, Tutoh telah melancarkan kempen kesedaran untuk menarik perhatian pelancong ke Taman Negara Gunung Mulu mengenai masalah rampasan dan pencerobohan tanah adat mereka yang dilakukan oleh Syarikat Borsamulu Resort Sdn. Bhd.


Kempen kesedaran tersebut dibuat di dalam kawasan Taman Negara bermula pada 20 April yang lalu dan beberapa ahli masyarakat Berawan telah mengedarkan risalah mengenai masalah mereka kepada pelancong-pelancong yang mengunjungi Taman Negara tersebut.


Menurut Willie Kajan, salah seorang daripada ahli penduduk Kampung Long Terawan yang mengedarkan risalah tersebut, mengatakan tanah adat milik kaum Berawan yang bersebelahan dengan Taman Negara tersebut telah dirampas oleh Syarikat Borsamulu Resort Sdn. Bhd. dengan tujuan untuk membina tempat peranginan dan padang golf.


Beliau menambah lagi, pihak Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Miri telah mengeluarkan sebuah geran hak milik sementara atau Provisional Lease (PL) kepada syarikat tersebut pada tahun 1993 tanpa pengetahuan penduduk kampung di situ.


“Kami hanya mendapat tahu bahawa status PL tersebut telah diubah kepada geran penuh pada tahun 2004, sekali lagi tanpa pengetahuan kami. Perbuatan Jabatan tersebut telah menyebabkan hak ke atas tanah adat kami hilang begitu sahaja”, beliau berkata.


“Masyarakat Berawan telah hidup dan tinggal di kawasan Sungai Tutuh dan Sungai Melinau sebelum pemerintahan Raja-Raja Brooke (1841 – 1946) lagi, dan tanah ini dimiliki mengikut adat-resam secara turun-temurun dari nenek-moyang kami”, tambah beliau.


“Oleh itu, kami merayu kepada anda semua untuk menolong kami menghentikan rompakan tanah adat kami,” kata beliau, Willie turut berharap agar mesej yang ditujukan kepada para pelancong tersebut dapat dibawa oleh mereka sampai ke luar negara.


“Bantulah kami dengan cara menghantar surat bantahan atau melakukan protes secara aman dengan apa cara yang anda mampu lakukan kepada pihak-pihak berkuasa di Sarawak dan Malaysia untuk menuntut supaya tanah adat kami dikeluarkan daripada geran Syarikat Borsamulu Resort Sdn. Bhd.”


Syarikat Borsamulu Resort Sdn. Bhd. Sebenarnya mempunyai kaitan dengan Ketua Menteri Sarawak, Pehin Seri Haji Abdul Taib Mahmud melalui adik beliau iaitu Raziah @ Rodiah Mahmud yang merupakan pemegang syer syarikat tersebut. Sebelum Taman Negara Gunung Mulu diwartakan sebagai Taman Negara, kawasan tersebut merupakan tanah adat milik masyarakat Berawan dan Penan. Tetapi apabila Taman Negara tersebut diwartakan pada tahun 1974 hak masyarakat Berawan dan Penan tidak diperdulikan.


“Nampaknya Kerajaan Negeri Sarawak hanya berminat untuk menjaga dan melindungi haiwan dan tumbuh-tumbuhan di dalam Taman Negara tersebut, tetapi masyarakat kami diabaikan”, kata Willie.


Masyarakat suku kaum Berawan merupakan sebuah suku kaum kecil yang tergolong di dalam suku kaum Orang Ulu di Sarawak.

No comments: