Thursday, March 19, 2009

Adakah dengan berbekalkan ijazah membuatkan YB tersebut lebih baik?


Adakah dengan mempunyai kelayakkan pendidikan yang tinggi membolehkan anda menjadi Yang Berhormat (YB) yang baik?

Alfred Jabu Anak Numpang (gambar di atas), Timbalan Ketua Menteri merangkap Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berfikir demikian. Begitu juga dengan kebanyakkan kita.

Dengan memperkenalkan calon Barisan Nasional (BN) iaitu Malcolm Mussen Lamoh kepada para pengundi Batang Ai, Jabu mengatakan Mussen adalah seorang jurutera berkelayakkan tinggi yang mempunyai pengalaman selama 25 tahun di dalam perkhidmatan awam.

Kalau BN boleh memenangi pilihanraya kecil ini, Mosen dengan kelayakkan dan pengalamannya berada di dalam posisi yang boleh membawa lebih banyak pembangunan ke Batang Ai, kata Jabu.

Kebanyakkan YB-YB Iban kini mempunyai ijazah atau diploma kecuali satu atau dua orang. Tetapi cuba kita lihat kawasan-kawasan yang diwakili oleh mereka, adakah terdapat kemajuan yang dramatik?

Sedangkan Jabu sendiri seorang graduan di dalam bidang pertanian, kenapa tidak ada banyak perubahan di dalam kemajuan pertanian kita? Kita masih lagi mengamalkan pertanian secara sara-diri dan menanam padi. Sebaliknya, Jabu ingin menggunakan kemahiran beliau untuk menanam kepayang, melepaskan anak-anak ikan, mengagihkan biji benih sayur dan anak ayam dan untuk mengetin buah rambutan.

Seperti apa yang Prof. Jayum Empaling kata: “Kalau inilah apa yang ahli politik Iban lakukan selama ini untuk orang-orang yang diwakilinya, maka seseorang Iban yang buta huruf pun boleh menjadi ahli Dewan Undangan Negeri atau ahli Parliamen yang baik sebab ia tidak memerlukan banyak kepakaran untuk tahu bagaimana untuk mengagihkan peruntukkan tahunan kepada rakyat yang mereka wakili.”

Apa yang patut dilakukan oleh ahli politik Iban ialah mengenal pasti apakah keperluan rakyat dan merangka sebuah pelan atau rancangan induk untuk membangun setiap kawasan yang mereka wakili.

Bincang rancangan tersebut dengan pakar-pakar, sebagai contoh, ahli-ahli Persatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA) dan bentangkannya kepada Unit Perancangan Negeri (SPU) ataupun Unit Perancangan Ekonomi Persekutuan (EPU) untuk pertimbangan mereka.

Apa yang perlu ada pada seseorang YB ialah dedikasi, komitmen dan pengorbanan untuk menolong rakyat yang mereka wakili. Adalah amat sedih untuk melihat ada sesetengah ahli politik Iban hanya pentingkan ‘periuk nasi’ mereka dan takut untuk menegakkan hak rakyat yang mereka wakili. (Semua takut dengan Ketua Menteri)

Nah, kalau YB kita adalah jenis yang takut dan mereka masih lagi mengamalkan sikap “tradisi” seseorang ahli politik BN, maka adakah ia berbaloi untuk mengundi mereka? Wahai pengundi di Batang Ai, fikirlah masak-masak! - The Broken Shield

Diterjemah untuk: Sebana Menoa

Monday, March 16, 2009

Sarawak akan ada 52 buah empangan pada tahun 2020

Sarawak Energy Bhd (SEB) telah mengenal-pasti lima puluh dua (52) lokasi projek empangan kuasa hidro (termasuk Bakun) untuk seluruh Sarawak apabila Malaysia mencapai status negara maju pada tahun 2020.

Apabila siap nanti, empangan-empangan ini akan menghasilkan jumlah kuasa sebanyak 20,000 MW seperti apa yang dilaporkan di dalam akhbar Eastern Times di dalam edisi penghargaan khas hari ulang tahun ke-72 Ketua Menteri Sarawak pada 21hb Mei 2008 lalu. Pembinaan telah bermula di empangan Murum pada tahun lalu dan apabila siap nanti ia dijangka akan menghasilkan kuasa sekurang-kurangnya 944 MW.

Lokasi empangan-empangan lain yang dikenal-pasti oleh SEB termasuklah Baram (1,000 MW), Metjawah (300 MW), Baleh (1,400) dan Limbang (150 MW).

Laporan tersebut turut mengatakan bahawa Sarawak kini sedang melaksanakan arus pembangunan kedua, di mana permintaan untuk kuasa elektrik akan bertambah supaya ia boleh menarik minat industri-industri yang menggunakan tenaga yang banyak untuk melabur di Sarawak.

Kerajaan telah mengenal-pasti 67 buah industri untuk koridor pembangunan SCORE, akan tetapi keutamaan hanya akan diberikan kepada 10 buah industri. Ini termasuk industri-industri berdasarkan petroleum, aluminium, logam termasuk besi waja, nikel, dan zink, gas, pelancongan, kelapa sawit dan pembalakan.

Apabila industri-industri ini berjalan – saya jangka - Bintulu akan menjadi sebuah tempat yang paling tercemar di dunia. Bagaimana pula Taman Negara Similajau khusunya dan industri pelancongan secara amnya boleh berjaya?

Sumber: http://blogs.bintulu.org/2008/05/sarawak-to-have-52-dams-in-year-2020.html
Diterjemah dan dikemaskini untuk: Sebana Menoa

Tuesday, March 3, 2009

Penduduk dakwa dizalimi pihak berkuasa

Satu lagi kes pihak berkuasa yang tidak berhati-perut menebang rumah panjang. - SM

Rumah panjang diroboh tanpa notis, harta benda bernilai lebih RM60 ribu musnah

SELANGAU: Seorang penghuni rumah panjang di Batu 15,Jalan Mukah-Selangau di sini telah membuat laporan di balai polis Selangau petang semalam kerana tidak puas hati dengan tindakan pihak berkuasa yang meroboh dan merosakkan harta benda beliau dan dua lagi ahli keluarga yang lain.

Mensekar Banyau, 70, yang merupakan ketua kepada keluarga-keluarga yang mendiami rumah tersebut mendakwa kakitangan sebuah jabatan kerajaan bertindak zalim kerana merobohkan rumah mereka tanpa notis peringatan walaupun dalam masa 24 jam.

“Tindakan mereka tidak dapat dihalang dan mereka melakukan sesuka hati sehingga menyebabkan kami yang mendiami rumah ini dan memiliki harta benda berasa sakit hati serta ingin menuntut jumlah kerugian yang dianggarkan lebih RM60,000,” katanya kepada Utusan Borneo ketika ditemui di tempat kejadian petang semalam.

Katanya lagi, buat masa ini mereka yang terjejas akibat tindakan tersebut menumpang di rumah panjang sanak saudara sementara mengumpul perkakas yang masih boleh digunakan untuk mendirikan pondok tempat tinggal.

Kata Mensekar, tindakan serupa turut dilakukan oleh kakitangan pihak berkuasa yang sama terhadap beberapa buah rumah di kawasan tersebut pada 16 Oktober 2008.

“Belum lagi selesai kes mereka yang menebang beberapa buah rumah dengan cara yang sama pada 16 Oktober 2008 lalu, penguat kuasa jabatan itu turut merobohkan rumah tempat kediaman kami tiga keluarga pagi semalam iaitu 26 Februari 2009, kira-kira jam 10.30 pagi.

“Hanya satu keluarga yang berada di dalam rumah itu pada masa kejadian kerana dua keluarga lagi sedang bekerja dan tinggal di rumah kakitangan syarikat tempat mereka bekerja. Saya dan isteri saya tidak mampu dan tidak diberi kesempatan langsung untuk memindahkan barang-barang dan harta benda yang berada di dalam rumah kerana apabila sampai sahaja mereka terus merobohkan rumah itu menggunakan sebuah jentolak.

“Kami tidak menerima apa-apa surat pemberitahuan daripada pihak berkuasa dan tidak diberitahu juga bahawa rumah ini akan dirobohkan atas sebab mengganggu proses pembinaan Jalan Mukah-Selangau.

“Mereka memberitahu saya pada suatu ketika dahulu bahawa sebahagian daripada rumah saya yang sudah diroboh oleh saya sendiri sememangnya termasuk dalam kawasan jalan baru, namun sebahagian lagi diberitahu sendiri oleh seorang kakitangan jabatan dari Mukah ia tidak termasuk dalam pembinaan jalan dan masih boleh didiami.

“Itulah sebabnya kami terus mendiami rumah ini dan tiba-tiba kehadiran mereka semalam ternyata adalah satu daripada penipuan dan mempunyai muslihat yang tersendiri,” kata Mensekar dengan kesal.

Seorang lagi penduduk, Nyunkin Renjau yang tinggal di rumah sama turut memberitahu bahawa beliau sungguh terkejut dan marah apabila kediaman mereka musnah setelah dirobohkan oleh pihak yang tidak bertimbang rasa.

“Kami menerima nasib malang apabila padi, baja, motosikal,harta benda lama dan wang tunai yang berada di dalam dan kawasan rumah tersebut telah musnah sama sekali. Rumah kami ditumbangkan dengan jentolak sehingga semua harta benda musnah dan tindakan sebegini amat kejam seolah-olah kami binatang bukan manusia,” kata Nyunkin.

Dipetik dari: Utusan Borneo, 28 Februari 2009

Inilah akibat orang-orang yang tidak mahu mendengar nasihat

Oleh: Mark Bujang

Entah sudah beberapa kali kita cuba nasihatkan kerajaan dan syarikat-syarikat pembalakan bahawa aktiviti pembalakanlah yang menjadi punca kepada banjir dan tanah runtuh di Sarawak. Malangnya, nasihat ini diabaikan dan sebaliknya mereka mengatakan hujan tahun ini lebih banyak berbanding tahun-tahun yang lain dan oleh sebab itu banjir dan tanah runtuh terjadi.

Nah, apabila terjadi insiden seperti apa yang dilaporkan di bawah, baru nak mengaku. - SM

Pembalakan tidak patuhi piawaian punca banjir di Sungai Tunoh

Oleh Kenka KN

KAPIT: Banjir yang berlaku di penempatan Sungai Tunoh Rabu lalu (26 Februari 2009) adalah berpunca daripada kegiatan pembalakan yang berlebihan dengan menggondol bukit-bukau serta tidak mematuhi piawaian yang dibenarkan kerajaan dalam pengambilan balak di kawasan cerunan bukit di kawasan hulu Sungai Tunoh.

Demikian kesimpulan yang dibuat oleh Menteri Kemajuan Tanah Dato Sri Dr James Masing selepas melakukan tinjauan udara menggunakan helikopter untuk menyaksikan sendiri keadaan serta mengenal pasti masalah yang telah berlaku di hulu Sungai Tunoh tengah hari semalam.

Dalam tinjauan itu, beliau ditemani Pegawai Daerah Simon Japut Tiok, Penolong Pengarah Pertanian Bahagian Dominic Chungat dan wakil Utusan Borneo di sini.

“Saya sendiri telah memantau melalui udara dan melihat kegiatan pihak kontraktor pembalakan yang telah melakukan kegiatan mengambil balak tanpa mengira kesannya ke atas alam sekitar di Sungai Tunoh,” jelasnya.

Masing yang menyalahkan kontraktor yang mengambil balak dari kawasan berkenaan berkata, mereka harus bertanggungjawab terhadap kesusahan dan kerosakan yang dialami penduduk Sungai Tunoh.

Pada masa yang sama, beliau turut menggesa Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) meninjau kawasan tersebut untuk mengetahui keadaan sebenar sama ada kontraktor berkenaan mematuhi peraturan pengambilan balak-balak di lereng-lereng bukit dan kawasan sungai atau sebaliknya.

Katanya, pihak NREB seharusnya pergi dan membuat pemantauan serta membuat cadangan yang bakal diambil terhadap pihak kontraktor yang tidak bertanggungjawab dengan mengambil kayu balak tanpa mengira kesan-kesan terhadap alam sekitar dan penduduk.

“Jika pihak NREB tidak cepat melakukan siasatan tersebut, saya yakin bencana serupa akan berulang lagi di Tunoh. Saya amat kecewa dengan tindakan pihak kontraktor pembalakan berkenaan dan pihak NREB.

“NREB sepatutnya melakukan tugas memantau kesan-kesan alam sekitar seperti itu. Jika pihak berkenaan telah melakukan tugas mereka dengan efektif, perkara sedemikian mungkin tidak akan berlaku di Tunoh,” tambahnya sambil menggesa agar pihak NREB lebih bertanggungjawab pada masa akan datang.

Menurut Masing lagi, selain daripada banyak harta benda yang rosak dan hilang, penduduk di penempatan Sungai Tunoh mungkin akan berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan beras pada tahun ini berikutan kemusnahan sawah-sawah padi mereka akibat bencana itu.

Rabu lepas, iaitu pada kira-kira jam 3.00 pagi penempatan Sungai Tunoh, sebuah penempatan di hulu Sungai Baleh dilanda banjir selepas hujan turun beberapa hari sebelumnya.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan tetapi penduduk mengalami kerugian dianggarkan hampir RM1 juta.

Rumah Ungka Barang, 33 pintu merupakan antara lima rumah panjang yang teruk dilanda banjir tersebut sehingga sebahagian ‘ruai’ sebuah bilik di rumah panjang berkenaan ranap dirempuh air deras.

Sehubungan itu, Masing turut mengumumkan bantuan segera berupa geran sebanyak RM10,000 kepada penduduk Rumah Ungka Barang untuk membaiki kediaman mereka, selain akan berhubung dengan Ahli Parlimen Hulu Rejang, Datuk Billy Abit Joo untuk membincangkan bentuk bantuan yang akan disalurkan kepada mangsa empat rumah panjang yang lain.

Tunoh mempunyai penduduk berjumlah 2,000 termasuk empat lagi rumah panjang, iaitu Rumah Kilau Ugap, Rumah Chiri, Rumah Tani dan Rumah Agam.

Banjir itu turut membunuh haiwan peliharaan, merosakkan perahu panjang, jana kuasa, motosikal dan lain-lain.

Dapur di SK Sungai Tunoh turut ditenggelami air banjir dan menyebabkan semua perkakas memasak di dapur berkenaan hilang dihanyutkan arus.

Selain itu, turut musnah dua jambatan, iaitu sebuah jambatan besi dan sebuah lagi jambatan gantung yang menghubungkan rumah panjang dengan sekolah.

Dipetik dari: Utusan Borneo, 3 Mac 2009