Wednesday, August 25, 2010

Jual tanah kepada anak, S'wak rugi lebih RM300 juta

Aidila Razak
Ogos 25, 10 | 4:03pm

Sebuah syarikat yang dimiliki oleh anak-anak Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berjaya memperolehi tiga bidang tanah di Kuching pada harga yang tersangat rendah. Tindakan itu menyebabkan kerajaan negeri itu kehilangan potensi pendapatan RM300 juta.

Ahli parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen yang membuat pendedahan itu berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan seluas 269 ekar di bandaraya itu kepada Monarda Sdn Bhd pada harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran iaitu pada kadar purata RM291,000 bagi setiap ekar.

"Harga pasaran adalah dalam lingkungan RM1.5 juta dan RM2 juta bagi setiap ekar. Jika dijual secara tender, kerajaan negeri akan memperolehi pendapatan antara RM400 hingga RM500 juta,” katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Sebaliknya, Monarda, yang mempunyai modal berbayar RM100 hanya perlu bayar RM78.28 juta untuk tiga bidang tanah itu,” katanya.

"Kami tuntut kerajaan negeri beri penjelasan penuh dan bertanggung-jawab kepada rakyat Sarawak,” kata Chong yang juga adalah setiausaha DAP Sarawak.

Modal berbayar RM100

Tiga bidang tanah itu terletak bersebelahan lapangan terbang antarabangsa Kuching berhampiran Stutong. Terdapat pangkalan tentera udara di lokasi yang sama.

Monarda diterajui oleh ank sulung Taib - Abu Bekir, yang memegang 52 saham dan seorang yang dikenali sebagai Choong Sun Nam, yang memiliki 12 saham.

Pemegang saham lain termasuk, anak perempuan Taib - Jamilah dan Hanifah Hajar, serta menantunya Anisa Hamidah Abdullah, yang masing-masing juga memegang 12 saham.

Chong, yang mengesan kaitan keluarga Taib itu melalui semakan pendaftaran tanah dan syarikat berkata pengasingan tanah itu adalah yang terbesar pernah dilakukan.

"Tanah ini sekarang adalah kosong dan Monarda tidak menjalankan sebarang urusniaga sejak ia ditubuhkan,” katanya.

Awal tahun ini, tiga aduan dibuat kepada Suruhanjaya Anti Pencegahan Rasuah Malaysia yang mendakwa Taib dan keluarganya menggunakan kedudukan mereka bagi menguasai empayar hartanah bernilai RM3 bilion.

Dua dokumen didedahkan di laman sesawang Sarawak Report yang mendakwa Taib menggunakan proksi bagi mengawal kepentingan sebuah syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Sakti International Corporation, yang ketika itu bernilai US$80 juta (RM250 juta).

Dipetik dari: Malaysiakini.com
Laman web: http://www.malaysiakini.com/news/141079

Wednesday, August 11, 2010

Penduduk Dayak Iban Rumah Umpor menyaman Kerajaan dan sebuah syarikat perladangan bagi mendapatkan hak


11 Ogos 2010

MIRI - Penduduk Dayak Iban dari Rumah Umpor dari Ulu Sungai Niah, Bahagian Miri, Sarawak telah menyaman Kerajaan Negeri Sarawak, Jabatan Tanah dan Survei, Miri serta Syarikat perladangan Medan Mestika Sdn. Bhd. kerana menceroboh masuk ke dalam tanah NCR milik penduduk rumah panjang tanpa sebarang rundingan dan persetujuan.

Jabatan Tanah dan Survei telah mengeluarkan Provisional Lease (PL) atau Geran Hak Milik Sementara iaitu Lot 85 Sawai Land District kepada syarikat Medan Mestika.

Rumah Umpor yang diketuai oleh Tuai Rumah (TR) Umpor Anak Lunsa telah membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi sejak Februari tahun 2008. Menurut penduduk Rumah Umpor, mereka telah memperolehi hak Adat ke atas Tanah tersebut secara adat Iban (acquired) sejak nenek moyang mereka atau mengikut undang-undang Kanun Tanah Negeri Sarawak dan/atau melalui undang-undang sebelumnya.

Tanah adat tersebut adalah sebahagian tanah yang telah diberikan oleh kerajaan secara khusus kepada orang Iban Rumah Along yang diketuai oleh TR. Along anak Ranggau sebelum TR. Umpor sekarang.

Pihak kerajaan melalui Pejabat Daerah Miri telah menerima dan merekodkan sempadan antara Rumah Umpor dengan rumah-rumah panjang yang berjiran di dalam pelan tanah yang dipanggil dalam bahasa Inggeris sebagai “Composite Plan Showing Distribution of Native Farming Land at Suai/Niah/Sibuti”. Tanah milik Rumah Umpor dan beberapa rumah panjang yang berjiran di sini dipanggil Kawasan P. Manggoi, Andom dan Ranggong (P. Manggoi’s Area, Andom’s Area and Ranggong’s Area) yang secara kolektifnya dikenali sebagai kawasan Remang (Remang’s Area) di kawasan tersebut.

Penduduk Rumah Umpor dan nenek moyang mereka secara berterusan menduduki dan/atau bercucuk tanam di tanah adat tersebut sehingga ke hari ini. Tanah NCR mereka ini tidak pernah dihapus hak baik oleh pihak kerajaan sekarang dan/atau kerajaan terdahulu.

Pihak kerajaan negeri Sarawak, malah melalui Jabatan Pertanian telah memberi bantuan pertanian kepada penduduk Rumah Umpor untuk membuka dan menanam tanaman di tanah adat tersebut.

Pihak Kerajaan juga telah melantik Ketua Kaum (Tuai Rumah) bagi Rumah Umpor sehingga ke hari ini dan mengutip yuran taksiran tahunan dari Rumah Umpor.

Walaupun demikian, PL untuk perladangan sawit masih dikeluarkan oleh Jabatan Tanah dan Survei untuk Syarikat Medan Mestika Sdn. Bhd. pada 12hb Disember, 2000 dan tanpa pengetahuan penduduk Dayak Iban Rumah Umpor.

Laporan Taksiran Impak Alam Sekitar (EIA) yang dibuat pada tahun 2001 juga telah menerima dan mengakui kewujudan tanah Adat Rumah Umpor yang berada di dalam PL tersebut. Jabatan Tanah dan Survei Miri juga telah menerima kewujudan tanah adat yang dituntut oleh Rumah Umpor.

Walaupun PL Lot 85 yang sebahagiannya meliputi tanah adat orang Dayak Iban Rumah Umpor, Jabatan Tanah dan Survei, Miri masih secara tidak sah telah mengeluarkan PL untuk syarikat tersebut dan tanpa melalui proses untuk menyukat kewujudan tanah adat di dalam PL tersebut. Pihak Jabatan tanah dan Servei bahkan secara tidak sah masih membenarkan syarikat tersebut memasuki dan mendapat milikan tanah yang meliputi tanah adat penduduk Rumah Umpor.

Pada masa ini, kes Rumah Umpor sedang dalam perbicaraan penuh dan telah ditunda ke satu tarikh akan datang yang akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi, Miri.

Penduduk buat blockade di Long Sukang

Oleh Hazel Lee

LONG SUKANG – Penduduk peribumi Lun Bawang di sekitar Long Sukang, Ba Kelalan bertindak melakukan sekatan bagi menghalang projek pemasangan Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SPGSS) berikutan keengganan pihak kontraktor membayar pampasan tanah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba Kelalan, Nelson Balang Rining ketika mengesahkan perkara itu berkata, penduduk kampung melakukan sekatan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan kontraktor memasag paip di kawasan tanah mereka tanpa membayar pampasan yang sepatutnya.

“Saya difahamkan penduduk kampung menuntut pampasan terhadap kerja-kerja pemasangan paip yang dilakukan di kawasan tanah mereka.”

“Ini perkara kecil. Saya sudah dimaklumkan bahawa pihak berkenaan akan menyelesaikan perkara ini dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebagai wakil rakyat untuk konstituensi Ba Kelalan, Nelson mahu perkara itu diselesaikan dengan baik iaitu situasi menang-menang untuk penduduk kampung dan pihak kontraktor.

Pada masa yang sama beliau menasihatkan penduduk Lun Bawang di Ba Kelalan tidak mengambil tindakan diluar undang-undang kerana perkara berhubung tuntutan pampasan itu boleh diselesaikan dengan baik.

“Selain itu kontraktor terbabit perlu mengambil kira kepentingan penduduk tempatan. Saya berharap pihak berkenaan menyelesaikan perkara ini demi manfaat kedua-dua pihak,” katanya lagi.

Sementara itu, Projek saluran paip gas Sabah-Sarawak itu melibatkan pemasangan saluran paip gas asli dari terminal minyak dan gas Sabah di Kimanis ke kompleks (LNG) Petronas di Bintulu.

Projek yang bernilai RM390 juta itu membabitkan sepanjang 500 kilometer yang mana 410 kilometer di Sarawak dan dijadualkan siap tahun 2011.

Dipetik dari: Sarawak Update
URL: http://sarawakupdate.com/home/berita/penduduk-buat-blockade-di-long-sukang/

Firma RM250 juta: Saham dipegang bagi pihak Taib

Ogos 10, 10 6:33pm

Dua dokumen didedahkan di laman web bagi membuktikan hubungan secara langsung antara ketua menteri Sarawak dengan sebuah syarikat hartanah yang berpangkalan di Amerika Syarikat - Sakti International Corporation.

Laporan sesawang Sarawak Report memuat-naikkan perjanjian bertulis oleh lembaga pengarah Sakti bahawa adik beradik Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan anak-anaknya akan memegang kepentingan 50 peratus dalam syarikat itu bagi pihaknya.

Perjanjian itu dimeterai tidak lama selepas syarikat itu ditubuhkan pada 1987 dengan laporan meletakkan nilainya pada RM250 juta (US$80 juta).

Lima proksi berkenaan adalah adik beradiknya Onn dan Ariff, anak perempuannya, Jamilah dan anak-anak lelakinya, Mahmud dan Sulaiman.

Mengikut perjanjian yang bertarikh 8 April, 1988, sejumlah 1,000 unit saham dikeluarkan. Separuh daripada jumlah itu dipegang oleh lima individu berkenaan sebagai amanah kepada seorang yang dikenali sebagai 'Abdul Taib Mahmud'.

Perjanjian itu mempunyai tiga tandatangani - dipercayai oleh Onn, Ariff (meninggal dunia tiga tahun lalu) dan Mahmud.

“Bukan menjadi rahsia, dalam syarikat milik keluarga Taib, ketua menteri itu sentiasa mengelakkan namanya disenaraikan dalam sebarang dokumen,” kata Sarawak Report semalam.

“Beliau selama ini sering-kali mendakwa selaras dengan jawatannya sebagai ketua menteri, beliau tidak mempunyai kepentingan perniagaan. Adalah jelas, bahawa beliau menubuhkan Sakti International, dengan menggunakan alamat rumahnya sendiri di San Francisco.”

Sakti international memiliki beberapa hartanah penting di bahagian pantai barat Amerika Syarikat. Antaranya termasuk bangunan Abraham Lincoln di Seattle - yang antara lain menempatkan pejabat Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan unit anti pengganas Washington Fusion Centre.

“Sistem berkenaan memastikan bahawa Taib Mahmud memiliki separuh daripada saham-saham itu yang dipegang secara amana untuk dirinya sendiri, manakala yang lain memegang tidak lebih daripada 200 saham,” petik artikel itu.

“Dengan cara ini, beliau menguasai syarikat itu secara langsung dengan berpura-pura tidak memilikinya.”

Laman web itu juga mendedahkan satu lagi dokumen - kenyataan saham tempatan yang dimiliki Sakti yang mesti dikemukakan setiap tahun kepada kerajaan California.

Kenyataan yang difailkan pada 17 Sept, 1987 menamakan Taib, Onn dan Ariff sebagai pengarah Sakti pada masa penubuhannya.

Anak sulungnya, Mahmud (Abu Bekir Taib) dinamakan sebagai ketua pegawai eksekutif, setiausaha dan juga ketua pegawai kewangan syarikat itu.

Kedua-dua dokumen itu didedahkan pada perbicaraan mahkamah yang membabitkan Sakti.

Seperti pendedahan empayar hartanah Taib di luar negara, Sarawak Report menggesa ketua menteri itu supaya menjelaskan kekayaan dan bagaimana beliau mendapat dana untuk menguruskan syarikat-syarikat berkenaan.

“Dengan bukti seumpama itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah tidak boleh lagi tidak memperdulikan tuntutan supaya siasatan dilakukan ke atas Raja Sarawak yang berambut putih itu?” akhiri artikel itu.

Dipetik dari: Malaysiakini.com
URL: http://www.malaysiakini.com/news/139704

Wednesday, August 4, 2010

Masyarakat Penan mahu meneliti laporan Kajian Penilaian Kesan Sosial dan Alam Sekitar Projek Empangan Murum sebelum kelulusan dibuat


Kenyataan Media

4 Ogos 2010
Regent Hotel, Bintulu

Jawatankuasa Hal Ehwal Penan Pelieran-Murum, Belaga dan penduduk-penduduk kampung-kampung Penan yang terjejas oleh projek empangan Murum memohon kepada Kerajaan Negeri Sarawak agar tidak membuat sebarang kelulusan ke atas “Laporan Kajian Penilaian Kesan Sosial dan Alam Sekitar Projek Empangan Murum” sehingga ia-nya diteliti oleh orang awam dan mereka sendiri.

Sepanjang tahun lepas (2009), kami telah dilawati oleh pelbagai pihak yang membuat kajian-kajian berkaitan dengan projek empangan Murum. Kami diberitahu bahawa suatu Kajian Penilaian Kesan Sosial dan Alam Sekitar [Social and Environmental Impact Assessment (SEIA)] telah dijalankan oleh Kerajaan demi mengkaji akan kesan-kesan projek empangan Murum ke atas masyarakat kami.

Setakat ini kami belum tahu perkembangan lanjut berkenaan laporan kajian tersebut serta laporan-laporan berkaitan samada ianya telah siap dan sedia untuk diteliti oleh orang awam.

Di sini, kami ingin menyatakan bahawa sebelum laporan SEIA tersebut diluluskan, kami memohon kepada kerajaan dan terutamanya Lembaga Sumber Asli & Alam Sekitar (NREB) Sarawak yang bertanggungjawab untuk memberi peluang kepada orang awam supaya laporan SEIA tersebut diskrutini. Dan yang amat penting ialah pandangan dan maklumbalas kami ke atas laporan SEIA tersebut harus diambil kira dengan serius.

Sebagai masyarakat yang terjejas secara langsung oleh projek empangan ini, kami patut diberitahu berkenaan dengan perkembangan kajian tersebut terutamanya kesan-kesan dan impak-impak projek ke atas kami.

Kerajaan juga seharusnya menerangkan kepada kami tentang rancangan-rancangan pembangunan tertentu yang berkaitan dengan program penempatan semula, kehidupan dan masa depan kami.

Kami sangat khuatir dengan kerja-kerja binaan projek empangan Murum begitu giat dijalankan di tapak projek sedangkan laporan SEIA tersebut belum tentu mendapat kelulusan pihak berkuasa yang berkenaan. Apakah akan terjadi sekiranya laporan tersebut tidak diluluskan nanti dan adakah kerajaan akan membaik-pulih tanah, hutan, sungai dan sumber-sumber kami yang telah dimusnah?

Sehubungan dengan laporan SEIA tersebut, kami juga menyeru kepada kerajaan untuk memaklumkan kami berkenaan dengan rancangan kawasan penempatan semula (resettlement area) untuk kami. Kami telah mengemukakan cadangan berkenaan dengan kawasan penempatan semula yang kami pilih seperti yang dinasihatkan oleh kerajaan, iaitu di Sungai Metalon dibahagian hulu Sungai Peliran. Namun pada masa ini, kawasan yang dicadang tersebut sedang dibuka oleh Syarikat Shin Yang untuk tujuan perladangan kelapa sawit berskala besar. Syarikat Shin Yang memasuki kawasan tersebut tanpa kebenaran dari kami. Sekiranya Shin Yang dibiar membuka dan menebang hutan secara meluas di kawasan tersebut maka masyarakat kami akan tidak ada hutan lagi untuk meneruskan kehidupan. Maka, tidak ada gunanya kami untuk ditempatkan di kawasan tersebut sekira ianya dibangun dengan ladang kelapa sawit.

Kami menyeru kepada kerajaan dengan harapan tinggi untuk dibawa bersama dalam menentu rancangan-rancangan pembangunan demi kebaikan dan menentu hala-tuju masa depan masyarakat kami. Dalam pada itu, untuk bermula pihak kami menyarankan Kerajaan Negeri Sarawak dan Lembaga Sumber Asli & Alam Sekitar (NREB) Sarawak untuk bekalkan laporan SEIA tersebut untuk diselidiki sebelum kelulusan dibuat.

Kenyataan dibuat: Encik Surang Alung Ju, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Penan Pelieran-Murum