Tuesday, May 11, 2010

Masyarakat Kayan Long Teran Kanan akhirnya mendapat keadilan

Miri, 31 Mac 2010 – Akhirnya, komuniti kaum Kayan Long Teran Kanan, Tinjar, dari bahagian Miri mendapat keadilan yang sepatutnya memang menjadi milik mereka setelah lebih 12 tahun bertarung di mahkamah tinggi untuk pengiktirafan hak adat bumiputera ke atas tanah adat mereka.

Keputusan tersebut dibacakan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Miri, Abdul Rafiddin Bin Majidi yang mewakili hakim Datuk Abdul Aziz bin Abdul Rahim pada jam 10 pagi hari ini dihadapan lebih kurang 50 penduduk kampung yang hadir untuk mendengar keputusan perbicaraan tersebut.

Mahkamah mengistiharkan para plantif, Lah Anyie dan 4 yang lain yang mewakili penduduk kampung mereka iaitu Long Teran Kanan mempunyai hak adat bumiputera (Native Customary Right (NCR)) ke atas tanah adat mereka di kawasan Long Teran Kanan, Tinjar dan lesen sementara (Provisional Lease) Lot 3 dan Lot 8 Dulit Land District yang dikeluarkan oleh defendan yang ketiga iaitu Kerajaan Negeri Sarawak melalui Jabatan Tanah dan Survey kepada defendan pertama iaitu Perbadanan Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak (Pelita) dan defendan kedua iaitu IOI Pelita Plantation Sdn Bhd (sebelum ini dikenali sebagai Rinwood Pelita Plantation Sdn Bhd ) adalah diistiharkan batal dan tidak sah.

Mahkamah juga mengistiharkan yang pihak plantif juga mempunyai NCR diluar kawasan kedua-dua PL tersebut jika dirujuk kepada sempadan komunal mereka dan pihak defendan ketiga tidak boleh menghalang atau mengganggu hak asasi pihak plantif atau bertindak dengan cara yang tidak konsisten dengan hak tersebut.

Mahkamah juga mengatakan yang kedua-dua PL yang dikeluarkan oleh defendan yang ketiga kepada defendant pertama dan kedua adalah salah dan melanggar undang-undang di mana defendan yang ketiga tidak pernah menghapuskan NCR plantif dan membayar ganti rugi kepada mereka seperti yang dinyatakan pada Section 15 Kanun Tanah Sarawak.

Mahkamah juga mendapat tahu bahawa pengeluaran kedua-dua PL tersebut telah melanggar Artikel 5 dan Artikel 13 Perlembagaan Persekutuan, di mana Artikel 5 menjamin hak pihak plaintif untuk hidup, di mana di dalam kes ini pihak plaintif dihalang untuk mencari nafkah kehidupan, dan Artikel 13 menjamin hak pihak plaintif ke atas harta benda mereka.

Dengan keputusan ini, Mahkamah mengumumkan bahawa pihak defendan pertama dan kedua bersama dengan agen-agen atau pekerja-pekerja mereka telah menceroboh masuk ke dalam tanah NCR pihak plaintif dan segala kerugian dan kerosakkan harta benda yang dialami oleh pihak plaintif akan ditaksir oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Tinggi pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Ketika ditemui di luar bangunan Mahkamah, Emang Jau yang merupakan salah seorang daripada plantif menyatakan bahawa beliau berasa gembira dengan keputusan tersebut. Beliau mendesak agar Kerajaan Negeri tidak membuat rayuan berkenaan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut, kalau Kerajaan Negeri benar-benar ikhlas dan prihatin dengan kebajikan rakyat selaras dengan slogan 1Malaysia “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

“Menteri-menteri, wakil-wakil rakyat dan pegawai-pegawai kerajaan dahulu dan sekarang mengalakkan kami memajukan tanah kami sendiri dan jangan membiarkan tanah kosong begitu sahaja. Dahulu kami pernah menerima bantuan daripada kerajaan semasa rumah panjang kami yang terbakar sebanyak dua kali dan begitu juga dengan bantuan subsidi penanaman getah, koko dan padi. Jadi adalah tidak adil untuk kerajaan pada masa ini menuduh kami tidak mempunyai sebarang hak,” kata Emang Jau.

Lah Anyie, plantif yang pertama dan juga merupakan ketua kampung Long Teran Kanan menambah, “Kerajaan secara rasmi telah melantik saya sebagai ketua kampung Long Teran Kanan.”

“Jadi kenapa kerajaan dan syarikat menuduh kami sebagai setinggan, sedangkan kampung kami secara rasmi diiktiraf oleh kerajaan sebagai kampung yang sah?” kata Lah Anyie.
“Kerajaan seharusnya membantu dan melindungi hak orang asal lebih-lebih lagi golongan miskin. Mereka tidak seharusnya mengambil tanah kami dan memberikannya kepada orang yang kaya dan berkuasa”, tambah Lah Anyie.

Pada padangan BRIMAS, Kerajaan Negeri Sarawak tidak seharusnya membuat rayuan ke atas keputusan tersebut. Walaupun pihak kerajaan mempunyai hak untuk berbuat demikian, mereka seharusnya mengambil kira keutamaan rakyat dan mendukung slogan 1Malaysia.

Orang Asal adalah golongan miskin dan kawasan pertikaian tersebut merupakan tempat di mana mereka tinggal dan untuk mendapatkan sumber pendapatan dan makanan.

Kerajaan sendiri sentiasa memberi galakkan kepada plantif membangunkan tanah mereka sendiri dengan membantu mendirikan sekolah, klinik kesihatan, sistem air paip graviti dan memberikan subsidi pertanian kepada mereka. Kakitangan awam juga mengumpul cukai taksiran kediaman daripada setiap keluarga di rumah panjang plantif setiap tahun.

Bila syarikat minyak negara iaitu Petronas ingin membina saluran paip gas melintasi tanah plantif yang dalam pertikaian kes tersebut, Jabatan Tanah dan Survey membayar ganti rugi untuk tanah tersebut kepada pemilik tanah. Tetapi mengapa sekarang pihak defendan enggan membayarnya?

Ahli Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak iaitu Ketua Menteri Sarawak, Pengarah Hutan, Pengarah Jabatan Tanah dan Survey, dan Peguam Besar Negeri telah meluluskan Laporan/Kajian Taksiran Kesan Alam Sekitar (EIA) ke atas tanah dalam Lot 3 dan Lot 8 Dulit Land District, di mana di dalam laporan tersebut ia mengatakan yang kawasan tanah yang telah diduduki dan diusahakan oleh pihak plaintif tidak seharusnya diganggu oleh defendan yang pertama dan yang kedua.

Lah Anyie dan empat yang lain telah memfailkan tindakan Mahkamah pada tahun 1997 apabila penduduk kampung mengetahui tanah NCR mereka diceroboh oleh Rinwood Pelita Plantation Sdn Bhd. Rinwood Pelita Plantation Sdn Bhd yang merupakan syarikat usahasama (Joint-Venture) di antara Rinwood Oil Palm Plantation Sdn Bhd dengan Pelita.

PL Lot 3 Dulit Land District telah dikeluarkan oleh Jabatan Tanah dan Survey pada tahun 1996 untuk Rinwood Pelita dan semasa tanah tersebut dalam pertikaian di antara penduduk Orang Asal dengan pihak syarikat tersebut, pada tahun 1997 Jabatan Tanah dan Survey telah mengeluarkan satu lagi PL iaitu untuk Lot 8 Dulit Land District kepada Rinwood Pelita.

Dalam tahun 2006 IOI mengambil alih Rinwood dan syarikat usahasama tersebut telah ditukar nama kepada IOI Pelita Plantations Sdn Bhd.

Lah Anyie dan penduduk kampung nya diwakili oleh Peguam Harrison Ngau Laing manakala Pelita diwakili oleh Peguam David Lim, IOI Pelita diwakili oleh KY Lin dan Kerajaan Negeri Sarawak diwakili oleh Pegawai Undang-undang Negeri iaitu Joseph Chioh.