Sunday, November 16, 2008

ORANG ASAL BANTAH DI DEPAN PEJABAT RESIDEN


Miri, 27 Jun 2008 - Seramai 320 penduduk asal dari rumah panjang Pee Millo, Sungai Sebelayau di daerah Suai yang terletak 100 km di Selatan Bandaraya Miri, yang diberi notis pengusiran oleh Pejabat Tanah dan Survei Miri telah mengadakan satu bantahan secara aman di depan Pejabat Residen Miri.

Penduduk asal telah diberi perintah mahkamah untuk mengosongkan rumah panjang mereka selepas Pejabat Tanah dan Survei memperuntukkan kawasan kediaman mereka kepada syarikat gergasi kelapa sawit iaitu Syarikat Bustrasemari Sdn Bhd iaitu anak syarikat Ta Ann Sdn Bhd untuk projek perladangan yang menggunakan 2,000 hektar tanah.

Akan tetapi penduduk asal tersebut mendakwa bahawa mereka mempunyai status hak tanah adat (NCR) kerana mereka telah mendiami kawasan tersebut selama lebih 35 tahun dan mereka juga mempunyai kebenaran bertulis dari Pegawai Daerah Sarikei untuk menduduki kawasan tersebut.

Penduduk yang terdiri daripada warga tua, kaum wanita dan kanak-kanak, datang berarak dan berkhemah di depan Pejabat Residen Miri kerana mereka tiada tempat berteduh akibat daripada notis pengusiran tersebut. Tuai Rumah Pee Millo hanya diberikan masa selama 5 minit untuk berucap sebelum dihentikan oleh pihak polis. Tuai Rumah Pee Millo dan beberapa orang wakil dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dibawa ke balai polis pusat Miri untuk disoal siasat. Selain itu juga, seorang wakil pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) En. Nicholas Mujah juga turut dibawa ke balai polis tersebut untuk disoal siasat.

Selepas berhimpun selama 5 jam akhirnya pihak pejabat Residen membenarkan rundingan dibuat di antara para penduduk rumah Pee Millo dengan wakil Residen Miri, wakil Pegawai Daerah Miri, Ketua Polis Daerah Miri dan para pegawai Jabatan Tanah dan Survei. Para penduduk rumah Pee Millo diwakili oleh peguam mereka iaitu En.Harrison Ngau.

Hasil daripada rundingan tersebut Jabatan Tanah dan Survei memberi penangguhan jangka pendek iaitu 48 jam untuk tidak mengusir para penduduk rumah panjang atas dasar kemanusiaan. Pihak kerajaan memberi tempoh 48 jam kerana mereka sendiri tidak dapat membuat keputusan dan perlu berunding sekali lagi dengan pihak atasan. Ketua Polis Daerah Miri meminta penduduk asal kampung rumah panjang balik ke rumah mereka dengan jaminan keselamatan mereka tidak akan diganggu.

Semasa ditemubual selesainya rundingan tersebut, En. Harrison Ngau mengatakan, “Kenapa syarikat berkenaan tidak melakukan projek perladangan mereka di tempat tiada orang asal duduki? Ke mana penduduk miskin ini harus pergi selepas mereka diusir? Mereka tiada rumah lain dan juga tidak mempunyai wang” .

Setakat ini para penduduk rumah Pee Millo dibenarkan untuk tinggal di rumah panjang dan bercucuk tanam di tanah temuda / kebun mereka. Syarikat Butrasemari Sdn Bhd berjanji tidak akan menceroboh kawasan kubur, temuda dan kebun yang sedia ada sehingga keputusan perbicaraan telah didapati di Mahkamah Tinggi Miri. Begitu juga dengan penduduk kampung dilarang untuk membuka kawasan tanah / kebun baru di dalam Lot 97 Sawai Land District sehingga keputusan perbicaraan telah diputuskan.










No comments: