Sunday, November 16, 2008

PENEMUAN RANGKA KETUA ORANG PENAN, KELESAU NAAN


Ulu Baram,Miri-Pada 17 Disember 2007, seorang Ketua Penan berasal dari Long Sepigen bernama Thomas Pelutan, 40 telah menemui rangka tulang Ketua Penan berhampiran Sungai Seketa atau lebih dikenali dengan Sungai Segita. TK Kelesau Naan 79 ialah seorang Ketua Kampung Penan dari Long Kerong, Baram yang disedari hilang oleh orang kampungnya pada hujung bulan Oktober lalu iaitu pada tarikh 23.10.2007.


Menurut kenyataan isterinya, Uding Lidem TK Kelesau Naan telah pergi ke kawasan tidak jauh dari pondok kebun mereka untuk memeriksa jerat yang dipasangnya. Tetapi semenjak hari itu, TK Kelesau Naan tidak balik ke pondok ataupun rumah. Uding kembali ke kampung mereka lalu meminta bantuan orang-orang kampung untuk mencari TK Kelasau Naan. Setelah menjalankan usaha mencari selama seminggu oleh penduduk kampung, mereka mula berasa risau dan bimbang kerana takut TK Kelesau mati di bunuh kerana tiada sebarang tanda.


Menurut Thomas Pelutan, sewaktu beliau menemui rangka TK Kelesau, beliau sedang dalam perjalanan untuk memburu di sekitar kawasan Sungai Seketa. Lokasinya hanya setengah jam perjalanan kaki dari Long Sepigen dan mengambil masa 2 jam perjalanan kaki dari Long Kerong. Lokasi itu dipercayai merupakan tempat rehat oleh orang-orang kampung dari Long Kerong dan Long Sepigen sebelum mereka meneruskan lagi perjalanan memburu mereka. Sebaik saja Thomas menjumpai rangka tersebut dengan serta-merta dia pergi ke Long Kerong untuk memaklumkan berita tersebut kepada Pn.Uding. Sebaik saja mereka tiba di tempat kejadian, Pn.Uding mampu mengenalpasti segala harta milik suaminya yang masih tersangkut pada rangka tulang tersebut seperti jam tangan, kalung manik dan sarung parang.


Kematian TK Kelesau menimbulkan banyak kesangsian bahawa Kelesau bukan mati disebabkan kemalangan, namun beliau telah dibunuh. Menurut salah seorang saudara TK Kelesau yang bernama Martin Bujang, terdapat bukti yang mendiang telah dianiayai oleh pihak-pihak tertentu. Martin menambah lagi, pada akhir September yang lalu berlaku kekacauan di kawasan yang berhampiran kampung Ba’Lai. Ini berikutan insiden di mana pihak berkuasa yang bertindak untuk menghentikan blokade yang diadakan oleh penduduk kampung.


Martin mengimbas lagi, beberapa bulan sebelum kehilangan Kelesau, ada seorang wakil dari Samling yang memperkenalkan dirinya sebagai Sarah yang berumur 40 tahun. Wanita itu sering dikatakan kelihatan berjumpa dengan TK Kelesau Naan atas urusan yang melibatkan beberapa dokumen yang perlu ditandatangani. Namun wanita tersebut sering kali gagal mendapatkan tandatangan Ketua Penan itu.


Bermula Jun 2007, Kelesau kerap mengunjung sawah padinya dan hanya berada di rumah panjang pada hujung minggu sahaja. Sewaktu Sarah ingin mengadakan lawatan bertemu Kelesau, beliau dimaklumkan yang Kelesau tiada di rumah dan hanya ada pada hujung minggu sahaja. Pada hujung september 2007, Sarah tidak lagi berkunjung ke Long Kerong.


Menurut Martin lagi. dua minggu setelah kehilangan Kelesau Naan dilaporkan, 2 orang pemuda berbangsa cina datang ke Long Kerong menggunakan helikopter dan menawarkan wang berjumlah RM30,000 kepada masyarakat rumah panjang. Namun apa yang dianggap pelik oleh orang kampung, dua orang pemuda itu tidak mengharapkan apa-apa balasan dari penduduk kampung itu.


Laporan polis telah dibuat di balai polis Miri dan Marudi. Berikutan kejadian itu, orang kampung Penan di kawasan itu melarang dengan ketat kemasukan pihak-pihak tertentu terutama sekali pekerja-pekerja balak. Namun demikian, pelancong dan pelawat tidak dikenakan larangan sedemikian.

No comments: