Sunday, November 16, 2008

KAUM KENYAH MEMBANTAH AKTIVITI PEMBALAKAN OLEH SAMLING TIMBER DI BARAM


Ulu Baram, Miri: Lebih dari 100 orang Kenyah berasal dari kawasan Telang Usan (Kedaya Telang Usan) di Baram, Sarawak berkumpul di Ulu Sungai Moh untuk mengadakan bantahan secara aman terhadap aktiviti pembalakan Syarikat Samling Timber.


Pada 19hb Mei 2008, komuniti dari 6 buah rumah panjang iaitu, Long Moh, Long Je’eh, Long Bela’ong, Long Sawan, Long Silat, dan Long Mekabar telah membuat sekatan. Sekatan ini dibuat di jalan utama pengangkutan balak yang digunakan oleh pihak syarikat Samling Timber untuk mengangkut kayu balak keluar dari kawasan tanah NCR dan kawasan hutan milik komuniti Kenyah dari Kedaya Telang Usan di Baram. Kedudukan sekatan adalah kira-kira 300km utara dari Bandaraya Miri.


Tujuan sekatan ini adalah untuk menghentikan syarikat balak, Samling daripada bebas mengambil dan membawa keluar balak secara haram dan bebas daripada kawasan hutan di sekitar Ulu Sg. Sebua, Sg. Jekitan dan Sg. Moh. Semenjak sekatan itu dijalankan selama 3 minggu, Syarikat Samling dengan sengaja membawa keluar kayu balak seperti Tapang, Menggris, Belian dan Engkabang secara sewenang-wenangnya.


Selama 3 minggu sejak sekatan dijalankan, aktiviti pembalakan yang dijalankan oleh Samling telah berjaya dihentikan. Beratus-ratus kayu balak yang telah ditebang terkumpul di sepanjang jalan balak. Masyarakat Kenyah telah bertindak menghalang kemasukan semua jenis kenderaan dan jentera balak ke kawasan mereka.


Mereka juga telah menulis surat kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan meminta mereka untuk menjalankan pemeriksaan segera ke atas balak-balak yang telah ditebang secara haram. Mereka menuntut agar syarikat Samling menghentikan kegiatan mereka sehingga pemeriksaan ke atas balak-balak tersebut selesai dijalankan.


Semenjak Samling memulakan kegiatan pembalakan di kawasan Ulu Baram, masyarakat orang asal menghadapi kemusnahan alam sekitar akibat dari pembalakan. Pihak syarikat dengan bebasnya menceroboh tanah NCR dan hutan tanpa sebarang kebenaran atau rundingan dengan penduduk asal tanpa mengambil kira sumber kehidupan mereka. Banyak aduan dan tuntutan telah dibuat kepada pihak berkuasa dan syarikat pembalakan tetapi tidak dilayan.


KE MEJA RUNDINGAN Hanya dengan cara ini, mereka percaya dapat menarik perhatian pihak berkuasa dan syarikat terbabit untuk menghantar wakil bagi bertemu dan membincangkan masalah dan tuntutan mereka. Jika tidak, pihak syarikat akan terus-menerus mengabaikan rayuan dan tuntutan mereka.


KEHADIRAN PIHAK POLIS DAN PEGAWAI PPS Pada 29hb Mei 2008, sekumpulan pegawai dari Perbadanan Perhutanan Sarawak telah mengunjngi kawasan sekatan dengan tujuan untuk membuang sekatan tersebut. Walau bagaimanapun, niat mereka itu dihalang oleh penduduk tempatan. Seterusnya SFC telah mengambil tindakan Mahkamah Majistret dan waran tangkap dikeluarkan. Dengan waran tersebut, beberapa pegawai polis dari Balai Polis Marudi telah dikerah ke kawasan sekatan pada 14hb Jun 2008. Setakat ini, belum ada sebarang tangkapan dibuat.


No comments: