Monday, October 5, 2009

WADESA tidak bersetuju dengan penafian perempuan Penan dirogol

2 October 2009

Kenyataan oleh seorang wanita Penan menyatakan beliau tidak pernah dirogol merupakan satu kenyataan yang sudah dijangkakan memang akan berlaku setelah Laporan Jawatankuasa Bertindak Peringkat Kebangsaan bagi menyiasat dakwaan penderaan seksual terhadap wanita kaum Penan di Sarawak mengesahkan dakwaan tersebut adalah benar. Mengapa saya mengatakan memang sudah “dijangkakan” adalah kerana pihak yang sepatutnya bertanggungjawab menyiasat dan mengambil tindakan atas laporan berkenaan pada mulanya telah gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka cuba untuk menepis serta menyangkal kenyataan walau dengan apa cara sekali pun.

Wanita Penan, merupakan wanita yang sangat pemalu dan takut apabila digertak dan diancam. Kekurangan pengetahuan merupakan khasnya pengetahuan tentang hak adalah kelemahan mereka, sehingga mereka kadang kala terpaksa mengikuti arahan diberikan tanpa rela, khas nya bila arahan tersebut datangnya dari pihak berkuasa seperti Polis ataupun syarikat pembalakan.

WADESA merayu kepada Polis agar melaksanakan tanggungjawab dan tugas secara amanah, saksama dan tidak berpilih kasih. Pihak Polis jangan hanya akan bertindak apabila menerima dan menunggu arahan daripada pihak kerajaan dan juga pihak syarikat baru bergerak dan mengambil tindakan menyiasat. Pihak Polis seharusnya mengambil peranan menyiasat kesemua laporan yang diberikan oleh semua pihak termasuk orang-orang kampung juga, seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya apabila didapati bersalah kepada mana-mana pihak dengan adil. Pihak Polis tidak harus hanya berminat menyiasat dan mencari kenyataan yang hanya boleh digunakan untuk memalsukan laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankusa Bertindak Peringkat Kebangsaan semata-mata.

WADESA juga sangat tidak bersetuju dengan pengeluaran berita di akbar yang mengeluarkan gambar mangsa malah terdapat sebuah akbar tempatan (UTUSAN SARAWAK) mengeluarkan gambar serta indentiti mangsa sebenar tanpa mengaburkan gambar tersebut adalah salah di sisi undang-undang. Ini jelas menunjukkan kerajaan juga tidak memperdulikan keaiban maruah seorang wanita, janganlah terlalu mengikut kegairahan memenangkan diri, sedangkan orang yang lemah itu akan menjadi mangsa. Sebagai kaum wanita, saya merasakan ini sikap yang tidak menghormati hak dan maruah kaum wanita.

WADESA merayu hentikan tindakan menepis kebenaran kenyataan. Bantu dan hulurkan pertolongan membantu membendung masalah ini. Berikanlah kesedaran kepada kaum semua wanita Orang Asal khasnya mengenai hak seorang wanita, cara mengatasi masalah yang melanda kaum wanita agar kami kaum wanita tidak terus didiskriminasikan dan dieksploitasikan.

WADESA memuji serta menyokong tindakan baik Sarawak Women for Women Society (SWWS) yang mengambil inisiatif menjalankan kursus memperkasakan kaum wanita pada 12hb-14hb October di Long Lama. Usaha begini yang seharusnya diberikan untuk memberikan pendedahan kepada kaum wanita khasnya mereka yang berada di pedalaman, agar mereka tahu apakah hak dan tindakan yang mereka lakukan sekiranya berlaku krisis dan masalah yang melibatkan kaum wanita.

Kenyataan dikeluarkan oleh :
Cik Hellan Empaing
Presiden WADESA

WADESA sambut baik Laporan Jawatankuasa Bertindak, kecewa dengan sikap Kerajaan Negeri Sarawak yang tidak mahu menolong Wanita Penan

11 September 2009

Persatuan Wanita Desa Sarawak (WADESA) ingin mengucapkan taniah dan terima kasih ke atas pengeluaran Laporan Jawatankuasa Bertindak Peringkat Kebangsaan yang diterajui oleh Jabatan Pembangunan Wanita dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menyiasat dakwaan penderaan seksual terhadap wanita kaum Penan di Sarawak pada 8 September 2009.

Pengeluaran laporan tersebut jelas mengesahkan bahawa Ahli Jawatankuasa Bertindak “memutuskan bahawa dakwaan mengenai penderaan seksual di kalangan kanak-kanak perempuan dan wanita Penan oleh orang luar yang berurusan dengan kaum Penan termasuk pekerja syarikat pembalakan dan peniaga-peniaga memang berlaku”.

Semenjak kemasukan pembalakan ke kawasan tanah adat Penan atau dikenali sebagai “Tana’ Pengurip” di dalam bahasa Penan, memang banyak masalah sosial telah berlaku. Pencerobohan syarikat pembalakan bukan sahaja menyebabkan kesemua sumber alam, sungai, kubur dan tempat mereka berburu diceroboh, musnah dan dicemari, malah kesucian anak-anak gadis juga turut diceroboh oleh pekerja-pekerja balak yang berkerja di kem-kem pembalakan tanpa berperikemanusiaan.

WADESA berasa sangat sedih mendengar kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh sesetengah ahli politik kerajaan dan juga pihak-pihak berkuasa yang mengambil sikap acuh tak acuh di dalam perkara serius sebegini.

Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pernah mengatakan bahawa, laporan tersebut adalah “bohong” malah beliau minta agar pihak media memperbetulkan kenyataan laporan tersebut.

Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, Dato’ Seri Dr. James Masing pula mengatakan bahawa masyarakat Penan pandai “mereka cerita”.

Malah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Alfred Jabu juga turut mengatakan bahawa beliau tidak pernah mendengar laporan dari ketua-ketua kaum berhubung dengan masalah tersebut apabila beliau melawat ke kawasan Ulu Baram. Lebih menyedihkan lagi, beliau masih meragui kredibiliti laporan Jawatankuasa Bertindak tersebut dan menyalahkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang negatif di dalam mempengaruhi hasil kajian Kerajaan Persekutuan.

WADESA percaya bahawa Jawatankuasa Bertindak tersebut merupakan sebuah jawatankuasa yang dilantik khas dan diberi kepercayaan dari Kerajaan Persekutuan untuk menyiasat dan mencari fakta-fakta kebenaran, melalui sesi temuramah dan juga mengumpul bahan-bahan bukti secara terperinci. Kesemua aktiviti dan juga lawatan yang dijalankan amat jelas dilaporkan di dalam laporan tersebut berserta gambar-gambar lawatan yang dilakukan. WADESA percaya bahawa laporan tersebut memang benar.

Maka dengan ini WADESA ingin menyeru kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab mengambil berat serta bertindak serta merta mengatasi masalah ini. WADESA berharap pihak kerajaan khasnya Ketua Menteri Sarawak berhenti untuk menafi dan menidakan kebenaran yang benar-benar berlaku. WADESA menyeru agar Kerajaan mengambil tindakan menyiasat serta memberikan hukuman yang setimpal ke atas orang-orang yang yang didapati bersalah melakukan pencabulan ke atas wanita Penan, kerana ini merupakan salah satu kesalahan mencabul hak asasi manusia.

Jika Datuk Patinggi Alfred Jabu masih meragui hasil siasatan Laporan Jawatankuasa Bertindak tersebut, WADESA pula meminta agar beliau mengambil inisiatif positif untuk memulakan siasatan bagi pihak Kerajaan Negeri di mana beliau yang juga merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar Sarawak dan ketua jawatankuasa hal-ehwal Penan boleh mengetuai siasatan tersebut.

Selain itu WADESA juga turut, menyeru kepada pihak polis khasnya pegawai polis di Sarawak agar tidak melengahkan masa menyiasat perkara ini dengan sebaik dan secepat mungkin.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi Cik Hellan Empaing di 019-8943191

Kenyataan ini dikeluarkan oleh:
Cik Hellan Empaing
President, Persatuan Wanita Desa Sarawak (WADESA).

Thursday, October 1, 2009

Penan dipinggir di Sarawak - Malaysia News

26 Julai 2009

Gadis Penan dirogol: Kerajaan Sarawak menyebarkan berita palsu

1 Oktober 2009

Kumpulan Sokongan Penan (PSG) membuat kenyataan bahawa laporan polis yang dibuat oleh salah seorang gadis Penan mangsa rogol yang mengatakan bahawa aduan terdahulunya dilakukan secara paksa dan di bawah pengaruh pihak-pihak tertentu adalah tidak benar sama sekali. http://malaysiakini.com/news/113981