Tuesday, August 18, 2009

Jalan Kebun Orang Kampung Dikorek Serta Diputuskan Oleh Syarikat Saremas.

Kenyataan akhbar daripada Siew Choon Siak
14 August 2009- Seramai 24 pekebun kecil ladang kelapa sawit dari Ulu Suai di Niah meminta kerjasama Syarikat Saremas untuk membaiki-pulih semula jalan ladang yang telah digoreknya sehingga jalan berkenaan tidak dapat diguna langsung sejak sebulan lalu. Mereka menyatakan bahawa jalan tersebut adalah jalan utama menuju ke kebun mereka masing-masing. Mereka sangat bergantung penuh dengan jalan tersebut untuk mengeluar dan mengangkut buah-buah sawit ke kilang sawit yang berhampiran.

Pekebun-pekebun kecil kelapa sawit tersebut terdiri daripada penduduk Rumah Rajang, Rumah Atat, Rumah Umpur dan Rumah Tapu di Ulu Suai, Niah. Akibat tindakan Syarikat Saremas tersebut, mereka kini langsung tidak dapat mengangkut hasil kebun kelapa sawit mereka terutama buah-buah tandan segar sawit (fresh fruit bunches) kerana jalan kebun telah diputus oleh Syarikat Saremas. Mereka mengadu bahawa mereka tidak dapat menjual hasil kebun kelapa sawit lagi. Oleh kerana itu, pendapatan mereka telah banyak terjejas memandangkan hasil dari kebun sawit adalah punca sumber utama mata pencarian dan kehidupan mereka.

Syarikat Saremas (PPB Oil Palm Sdn Bhd) adalah sebuah syarikat perladangan yang juga mempunyai ladang kelapa sawit di kawasan Ulu Suai, Niah. Pada 14hb Julai lepas, Syarikat tersebut telah bertindak mengorek dan memotong jalan-jalan kebun yang diguna oleh pekebun-pekebun kecil dan penduduk rumah panjang untuk ke kebun mereka masing-masing.

Mereka mengadu telah mengalami banyak kerugian. Maka pada 14hb Julai lepas, TR.Tapu, juga salah seorang pemiliki kebun kelapa sawit telah membuat laporan polis di Balai polis Batu Niah berkenaan dengan tindakan syarikat tersebut. Mereka juga merayu kepada syarikat tersebut, namun syarikat tersebut enggan mendengar rayuan mereka kerana menurut pengurus ladang tersebut tindakan mengorek dan memotong jalan adalah atas arahan pihak atasan yang mengesyaki bahawa terdapat kes-kes kecurian buah sawit di ladang kelapa sawit syarikat tersebut.

Seorang wakil pekebun-pekebun tersebut, Encik Siew berkata bahawa tindakan Syarikat Saremas seolah-olah bersubahat dengan pihak Syarikat Megajutamas yang selama ini, telah banyak memberikan tekanan kepada peduduk kampung agar penduduk kampung berputus asa lalu menyerahkan tanah mereka kepada syarikat tersebut. Namun tidak disangka bahawa syarikat Saremas yang tidak ada kena-mengena dengan kes tanah ini pula turut membuat tindakan serupa sehingga menyebabkan kesemua laluan utama kebun- kebun mereka ditutup dan punca pendapatan mereka hilang, tambah beliau.

Penduduk cuba untuk menimbus dan memperbaiki jalan tersebut pada 13 Ogos 2009, namun Syarikat Saremas tanpa rasa simpati mengorek semula jalan tersebut pada pagi 14 Ogos 2009.

Tuai Rumah Rajang, merayu kepada pihak kerajaan dan pihak yang berkuasa agar membantu mereka menyelesaikan masalah ini di antara pihak Syarikat dan orang-orang kampung. Menurut beliau, masalah tersebut jika tidak diselesaikan secepat mungkin akan menjejaskan kehidupan dan pendapatan harian penduduk rumah panjang kerana hanya melalui hasil kebun kelapa sawit sahaja punca pendapatan utama mereka.

Punai Ak Beriak dari Rumah Umpur dan seorang ahli Persatuan Wanita Desa Sarawak turut mengatakan rasa terkilan terhadap tindakan syarikat tersebut. Beliau merayu agar pihak syarikat tersebut janganlah bertindak sebegitu kejam sehingga menyulitkan kehidupan mereka. Beliau berkata, hanya dari kebun saja punca pendapatan keluarga demi untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak mereka.

Jelita anak Bum dari rumah Atat. ”selama sebulan ini kami tidak dapat menuai buah Sawit kami, semua pendapatan dan kerja kami tergendala gara-gara jalan kebun kami diputuskan”

Amy Alus dari Rumah Tapu, berharap agar pihak kerajaan atau pihak atasan dapat menguruskan masalah ini dengan pihak syarikat secepat yang mungkin. Beliau sangat bimbang sekiranya mereka seringkali ditindas oleh pihak syarikat dengan pelbagai-bagai helah ada kemungkinan peristewa sejarah Ulu Niah berulang kembali. Menurut beliau, penduduk rumah panjang bukan ingin mencari masalah tetapi akan bertindak dalam keadaan terdesak yang menindas mereka.

Menurut mereka, beberapa bulan sebelum ini Syarikat Megajutamas juga bertindak menutup laluan jalan penduduk rumah panjang di kawasan kawasan Ulu Suai.

Siew, yang juga merupakan salah seorang AJK Jaringan Hak Adat Tanah Bangsa Asal Sarawak, TAHABAS, mengatakan bahawa masalah konflik ke atas tanah dengan Syarikat Megajutamas bermula semenjak tahun 2005 dan masih lagi belum dapat diselesaikan sehingga kini. Kini ternyata Syarikat Saremas pula sengaja memulakan satu masalah lagi dengan penduduk kampung, sehingga penduduk kampung berasa bahawa, tindakan mereka ini tidak menghormati hak Asasi mereka.

Siew juga mohon agar masalah ini diselesaikan secara halus oleh pihak kerajaan selaras dengan dengan slogan yang seringkali di laung-laungkan oleh Perdana Menteri ”1Malaysia, Rakyat didahulukan”. Maka harus diketahui oleh pihak kerajaan bahawa rakyat tidak mahu syarikat perladangan masuk ke kawasan tanah masyarakat. Ini adalah kerana syarikat tidak pernah menghormati hak kami sebagai Orang Asal. Kami mahu hak-hak kami sentiasa dihormat. Kami menentang segala jenis penindasan ke atas hak-hak kami.




Photo : Antara penduduk Rumah Panjang Rajang Kpg. Wawasan dan Rumah Panjang Tapu, Atat dan Umpur memohon kepada pihak kerajaan supaya mengambil tindakan secepatnya mengatasi masalah mereka.



Tuesday, August 11, 2009

Teks Ucapan oleh Presiden Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS)

9 Ogos 2009
Kopivosian, Salam sejahtera dan salam perjuangan saya ucapkan kepada semua yang hadir untuk sambutan Hari Orang Asal Sedunia tahun ini. Saya terlebih dahulu memohon maaf kerana tidak berkesempatan untuk bersama saudara saudari sekalian dalam sambutan hari ini kerana saya sedang menghadiri persidangan mekanisma pakar tentang hak asasi Orang Asal (EMRIP) di Geneva, Switzerland yang dianjurkan oleh majlis hak asasi manusia PBB. Saya sedaya upaya saya akan membawa aspirasi Orang Asal di Malaysia ke peringkat antarabangsa melalui persidangan ini.

Terlebih dahulu saya bagi pihak Jaringan Orang Asal SeMalaysia, iaitu satu badan yang terdiri dari pelbagai pertubuhan dan komuniti Orang Asal di Malaysia, ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi dan jutaan terima kasih atas kehadiran Saudara saudari sekalian ke perayaan hari Orang Asal sedunia 2009. Kita bersama-sama Orang Asal di seluruh dunia merayakan hari ini mengikut cara dan kemampuan masing-masing.

Untuk makluman hadirin, Perayaan Hari Orang Asal Sedunia dirayakan pada 9 Ogos setiap tahun diseluruh dunia, tarikh ini adalah hari yang diistiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai memperingati perjuangan Masyarakat Orang Asal di seluruh dunia dan menandakan keprihatinan masyarakat antarabangsa terhadap isu yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asal.

Mungkin ada di antara hadirin yang belum tahu tentang latar belakang hari Orang Asal, oleh itu ada baiknya saya menerangkan tentang sedikit latar belakang Perayaan Hari Orang Asal Sedunia yang begitu penting bagi masyarakat Orang Asal bukan saja di Malaysia tetapi di seluruh dunia.

Saudara saudari sekalian.

Perhimpunan Agung PBB telah mengistiharkan bahawa tahun 1993 sebagai Tahun Antarabangsa bagi Orang Asal di seluruh dunia. Pada tahun 1993 juga, Perhimpunan Agung PBB di bawah resolusi 48/163 turut mengistiharkan Dekad Antarabangsa bagi Orang Asal di seluruh dunia bermula 10 Disember 1994. Objektif utama dekad pertama ini adalah mengukuhkan kerjasama diperingkat antarabangsa untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Orang Asal seperti hak asasi kemanusiaan, alam sekitar, pembangunan, pendidikan dan kesihatan. Pada tahun 1994, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di bawah resolusi 49/214 telah memutuskan bahawa 9 Ogos adalah Hari Antarabangsa bagi Orang Asal di seluruh dunia melibatkan sebanyak 370 juta Orang Asal di seluruh dunia.

Pada tahun 2004, Perhimpunan Agung PBB dibawah resolusi 59/174 telah mengistiharkan Dekad Antarabangsa kedua bagi Orang Asal di seluruh dunia. Objektif utama dekad kali kedua ini adalah susulan objektif dekad pertama untuk mengukuhkan kerjasama di peringkat antarabangsa untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Orang Asal seperti budaya, pendidikan, kesihatan, hak asasi kemanusiaan, alam sekitar, pembangunan sosio dan ekonomi, melalui aktiviti khas dan program berasaskan tindakan, meningkatkan kepakaran teknikal dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan.

Sambutan Hari Orang Asal Sedunia tahun ini turut merayakan penerimaan Deklarasi berkenaan Hak-Hak Orang Asal Sedunia (UNDRIP) yang telah diterima oleh Perhimpunan Agung PBB pada 13 September 2007. Deklarasi ini telah melalui rundingan di peringkat PBB selama lebih 20 tahun dan akhirnya deklarasi ini diterima oleh perhimpunan agung PBB tahun 2007. Jaringan Orang Asal SeMalaysia sangat gembira apabila deklarasi ini telah ditandatangani oleh kerajaan Malaysia. Ini menunjukkan komitmen Malaysia dalam mengiktiraf peranan komuniti Orang Asal didalam masyarakat majmuk di negara ini.

Saudara saudari sekalian

Seperti tahun-tahun yang lepas, bersempena dengan PERAYAAN HARI ORANG ASAL SEDUNIA biasanya satu bengkel yang berkaitan dengan isu Orang Asal akan diadakan. Diharap bengkel kali ini dapat membincangkan isu yang mendesak dan kita dapat membincangkan jalan-jalan penyelesaian tentang permasalahan ini. Harapan saya adalah PERAYAAN HARI ORANG ASAL SEDUNIA ini akan memberi kesedaran serta meningkatkan kefahaman masyarakat Orang Asal di Malaysia berkenaan Deklarasi PBB.

Selain itu, saya berharap agar pihak kerajaan turut mempromosi PERAYAAN HARI ORANG ASAL SEDUNIA dan seterusnya menjalankan kewajiban untuk menggunapakai Deklarasi Hak-Hak Orang Asal Sedunia apabila sesuatu perkara yang melibatkan Orang Asal di Malaysia. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Negeri Selangor yang menganjurkan perayaan hari Orang Asal di peringkat negeri. Ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk membela nasip Orang Asli dan mengiktiraf keperluan dan aspirasi masyarakat Orang Asli di negeri Selangor. Diharap komitmen kerajaan Selangor ini dicontohi oleh kerajaan negeri yang lain khususnya di Sabah dan Sarawak yang berkaitan dengan Hak Orang Asal, Khasnya Hak ke atas Tanah Adat NCR. Kita berharap agar kes-kes yang masih tertunda di Mahkamah dapat diselesaikan dengan sebaik dan secepat mungkin, Khas nya di Sarawak terdapat 200 lebih kes di mahkamah.

Tahun ini saya berbanga kerana sambutan Hari Orang Asal peringkat kebangsaan di adakan di Sarawak dan memilih Bandaraya Miri sebagai tuan rumah. Diharap kerjasama yang erat di antara organisi masyarakat di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia terus di pereratkan. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pengajuran perayaan ini dan juga kepada Rainforest Foundation Norway dan DANIDA yang menyumbangkan dana untuk bengkel dan perayaan peringkat kebagsaan tahun ini. Saya berharp juga kita boleh memilih tuan rumah sambutan untuk tahun depan.
Sekali lagi saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih atas kehadiran Saudari saudari kerana sudi datang untuk menyertai sambutan ini. Salam perjuangan kepada semua semoga perjuangan kita mencapai kejayaan.. Agi Idup Agi Ngelaban… (selagi ada nyawa, selagi itu berjuang) Ngap Sayot!

Sekian dan Terima kasih.

Adrian Lasimbang
Presiden JOAS

Kenyataan Akhbar Perayaan Hari Orang Asal Sedunia 2009

9 Ogos 2009

Sempena perayaan Hari Orang Asal Sedunia 2009 yang jatuh pada hari ini 9hb Ogos, Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS), Jaringan Tanah Hak Adat Bangsa Asal Sarawak (TAHABAS), Persatuan Wanita Desa Sarawak (WADESA), Borneo Resources Institute, Malaysia (BRIMAS), Rakan Membangun Masyarakat (PACOS) dan Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) telah bersama-sama menganjurkan Seminar Mengenai Hak Orang Asal di Boulevard Restaurant, Miri kelmarin.

Seramai lebih kurang 100 wakil Orang-Orang Asal dari seluruh Sarawak dan juga wakil-wakil Orang Asal dari Sabah dan Semenanjung Malaysia telah hadir ke seminar tersebut di mana mereka telah mendengar ceramah-ceramah dari wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Majlis Peguam Malaysia dan Kesatuan Peguam-Peguam Orang Asal Sarawak (SILA).

Selain mendengar ceramah, para wakil Orang Asal juga sempat berbincang mengenai tindakan susulan terhadap memorandum JOAS yang telah disampaikan kepada DYMM YDP Agong pada tahun lepas.

Pameran tentang isu-isu yang dihadapi oleh Orang Asal juga telah diadakan selama dua hari bermula kelmarin dan hari ini di Imperal Mall, Miri.

Acara kemuncak perayaan adalah Majlis Makan Malam Mesra TAHABAS yang akan diadakan di Boulevard Restaurant pada malam ini. Seramai 500 orang dijangka akan hadir ke majlis ini di mana beberapa aktiviti akan diadakan untuk mengetengahkan isu-isu yang sedang dihadapi oleh masyarakat Orang Asal di seluruh Malaysia, khasnya di Sarawak.

Di Malaysia terdapat lebih daripada 80 suku ethno-bahasa Orang Asal di mana setiap suku tersebut mempunyai budaya, bahasa dan wilayahnya tersendiri. Jumlah penduduk Orang Asal di seluruh Malaysia berjumlah lebih kurang 4 juta orang atau 15 peratus dari jumlah penduduk di Malaysia.

Masyarakat Orang Asal di Malaysia telah sekian lama berjuang menuntut kepada Kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk mengiktiraf dan melindungi hak-hak kolektif masyarakat Orang Asal. Walaupun mereka digolongkan sebagai bumiputera, isu-isu seperti konflik ke atas tanah adat, pemindahan semula, campur tangan kerajaan di dalam pemilihan ketua-ketua kaum dan ketua-ketua masyarakat, keengganan pihak-pihak berkuasa untuk menerima bahawa masyarakat Orang Asal mempunyai budaya dan tradisi kerohaniannya yang tersendiri telah menyebabkan ramai masyarakat Orang Asal ditindas, dipinggir dan disisih dari masyarakat arus perdana justeru menyebabkan mereka menjadi kumpulan masyarakat yang paling miskin dan mudah terpedaya di Malaysia.

Di dalam Perlembagaan Malaysia, Bahagian 2, Artikel 5 hingga 13 menjamin hak-hak asasi seluruh warganegara Malaysia termasuklah masyarakat Orang Asal. Perkara 153 memperuntukkan tanggungjawab Yang Dipertuan Agung untuk menjaga dan melindungi Hak dan keistimewaan masyarakat Orang Asal. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjamin dan melindungi hak-hak Orang Asal.

UNDRIP adalah Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Hak Orang Asal. Ia merupakan peruntukkan-peruntukkan untuk melindungi Hak Orang Asal seluruh dunia dan juga membantu melindungi budaya, tanah dan cara hidup masyarakat Orang Asal. Setelah 20 tahun PBB berunding untuk menetapkan teks Deklarasi tersebut maka pada 13hb September 2007, Perhimpunan Agung PBB telah mengundi dan menerima pakai UNDRIP. Malaysia merupakan salah satu daripada negara-negara yang telah mengundi untuk mempersetujui UNDRIP.

Hari Orang Asal Sedunia diraikan oleh masyarakat Orang Asal di seluruh dunia setiap tahun apabila Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu melalui resolusi 49/214 telah mengistiharkan 9hb Ogos sebagai Hari Orang Asal Sedunia.

Dengan ini, kami masyarakat Orang Asal seluruh Malaysia menuntut agar:

  • Kerajaan segera memberhentikan proses perundangan pemwartaan tanah yang mengambil alih hak tanah adat daripada dipunyai oleh Orang Asal sendiri. Tanah adat yang telah dirampas ataupun diwartakan untuk pelbagai tujuan haruslah dikembalikan dan proses perundangan harus dilakukan untuk membolehkan ini berlaku.
  • Jika kerajaan ingin mengambil tanah adat untuk tujuan pembangunan, konservasi dan sebagainya, ia harus menggunakan Prinsip Izin-Makluman Awal Bebas dan Telus (Free Prior Informed Consent) dan membayar pampasan yang merangkumi tanah, tanam-tanaman, penempatan dan segala sumber-sumber yang terdapat di atas dan di bawah tanah tersebut yang setimpal dengan nilainya. Proses pengukuran tanah adat, termasuk hutan komunal Orang Asal haruslah dilaksanakan dengan penglibatan penuh Orang Asal yang terlibat.
  • Mahkamah memberi keutamaan kepada kes-kes yang melibatkan pertikaian tanah adat dengan mempercepatkan perbicaraan dan pemberian keputusan. Kerajaan harus menyediakan bantuan guaman bagi kes-kes Orang Asal.
  • Pentadbiran dan penyelengaraan hal adat Orang Asal dikembalikan kepada masyarakat Orang Asal sendiri. Ini boleh dilakukan dengan menggantikan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dengan Majlis Adat Orang Asal yang dianggotai oleh Orang Asal dan dipilih oleh masyarakat Orang Asal sendiri. Ini juga harus dilanjutkan untuk membolehkan perwakilan khas Orang Asal dalam Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat yang juga harus dipilih sendiri oleh masyarakat Orang Asal.
  • Diwujudkan mahkamah adat untuk Orang Asli Semenanjung Malaysia yang dapat menjaga hal-hal perundangan adat. Berkaitan ini perkahwinan yang diakui oleh ketua kaum atau majlis adat harus diiktiraf oleh perundangan sivil Malaysia.
  • Kerajaan memohon maaf kepada masyarakat Orang Asal ke atas penindasan yang telah berlaku di dalam sejarah Malaysia akibat daripada segala tindakan yang tidak adil oleh kerajaan-kerajaan yang memerintah selama ini. Sejak penubuhan kerajaan Malaysia, banyak penganiayaan terhadap Orang Asal juga telah dilakukan.
  • Kerajaan menginstitusikan sebuah mekanisme perundangan yang dapat melawan diskriminasi terhadap masyarakat Orang Asal. Peluang pendidikan dan kesihatan haruslah dilaksanakan dengan tahap kualiti yang terbaik di negara ini. Media juga harus mengubah persepsi dan gambaran negatif yang sering ditunjukkan.
  • Proses untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri dan memberikan butir-butir pengenalan diri mengikut kehendak sendiri dipermudahkan.
  • Kerajaan menubuhkan Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat pengeluaran dokumen pengenalan diri palsu yang dikeluarkan kepada orang asing untuk tujuan mendapatkan kewarganegaraan dan penggunaan istilah “Bumiputera lain-lain”.
  • Kerajaan memansuh atau meminda mana-mana undang-undang yang menindas, tidak menghormati, tidak melindungi hak Orang Asal dan bercanggah dengan UN-DRIP, seperti Akta 134 Akta Orang Asli, pindaan-pindaan kepada Kanun Tanah Sarawak dan Ordinan Pengambilan Tanah Sabah (Bab 69).
  • Kerajaan Persekutuan haruslah menggubal satu undang-undang yang mengiktiraf dan menjamin hak-hak Orang Asal berdasarkan UN-DRIP.

Ditandatangani oleh:
Tuai Rumah Siba Anak Bunsu
Timbalan Presiden JOAS

Pemilik tanah di S'wak membantah usahasama ‘rampasan tanah’

16 Julai 2009

Pemilik tanah hak adat Orang Asal (NCR) dari 60 buah rumah panjang di sekitar kawasan hilir Julau dan hulu Bintangor di Bahagian Sarikei telah menyatakan bantahan keras mereka terhadap Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (Pelita) dan syarikat Sime Darby Plantations kerana melibatkan tanah NCR mereka di dalam projek usahasama.

Di dalam sebuah kenyataan yang diemelkan ke Malaysiakini, setiausaha Jaringan Tanah Hak Bangsa Asal Sarawak (TAHABAS), Nyumbang Anak Barau mengatakan bahawa para pemilik tanah yang menghadiri sesi dialog dengan Pelita dan Sime Darby Plantations pada 9 July lalu telah menyatakan mereka tidak mahu tanah mereka dilibatkan.

Akan tetapi, walaupun mereka membantah, sebuah memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani di antara Sime Darby plantations dengan Pelita untuk membangun kawasan tanah NCR seluas 20,000 hektar.

Para pemilik tanah dari 109 buah rumah panjang diwakili oleh Pelita.

Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, James Masing menyaksikan upacara menandatangani perjanjian tersebut.

"Sebagai salah seorang pemilik tanah yang terlibat, saya ingin menegaskan di sini bahawa kami membantah perlaksanaan polisi pembangunan tanah NCR yang sebegini di kawasan kami, di mana Pelita dan Sime Darby masing-masing mempunyai 10 peratus dan 60 peratus syer di dalam syarikat usahasama (JVC)”, kata Nyumbang.

Beliau berkata bahawa baki 30 peratus syer sepatutnya “menjadi milik kami, para pemilik tanah yang belum bersetuju dengan polisi tersebut”.

Banyak perkara yang tidak memuaskan

"Kami tidak menentang pembangunan tanah NCR melalui skim penanaman kelapa sawit, akan tetapi kami tidak boleh polisi pembangunan tanah yang sebegini,” kata beliau dan menyenaraikan perkara-perkara yang tidak dipersetujui.

Beliau berkata: "Kami tidak percaya bahawa Pelita boleh melindungi hak kami dengan baik di dalam JVC. Kami melihat bahawa Pelita mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu dan mekanisme-mekanisme yang akan dilaksanakan tidak boleh menjamin perlindungan hak kami;

Kedua, beliau berkata, Pelita telah diberi kuasa serupa seperti “kuasa diktator yang terlalu kuat untuk kami, sedangkan hak kami tidak dihormati dan akan hilang begitu sahaja.”

Ketiga, kami tidak percaya dengan Pelita, dan “kami membantah Pelita menjadi pemegang amanah kami. Kami telah mendapat tahu bahawa Pelita mempunyai rekod yang tidak baik untuk memberi bonus dan dividen secara adil kelak."

Beliau turut mengatakan bahawa syer 30 peratus tersebut yang ditawarkan tidak pasti akan membasmi kemiskinan tetapi “kami mungkin akan menjadi lebih miskin disebabkan kehilangan tanah setelah menandatangani surat ikatan”.

Nyumbang berkata bahawa polisi yang sedia ada tidak akan menjamin kepulangan tanah-tanah tersebut kepada waris-waris mereka setelah tamat tempoh usahasama iaitu selepas 60 tahun kelak.

"Kebimbangan kami ini benar dan berasas. Ia boleh dibuktikan dengan adanya jumlah lebih daripada 200 kes perbicaraan di mahkamah yang melibatkan tanah NCR. Dengan jumlah sebegini besar, apakah ini tidak membimbangkan?” beliau bertanya.

"Sebelum ini, masyarakat dari 60 buah rumah panjang di sekitar hilir Julau dan hulu Bintangor dan juga sepanjang jalanraya Kanowit-Julau-Durin telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak pada tahun 2007 untuk mempertahankan tanah mereka daripada dibalak oleh sebuah syarikat yang telah diberikan geran hak milik sementara oleh kerajaan,” kata beliau.

Kehilangan Tanah

Nyumbang berkata sekiranya syarikat usahasama tersebut gagal melangsaikan hutangnya pada sesuatu tempoh, maka para pemilik tanah akan terpaksa menanggung hutang tersebut dengan menggunakan tanah mereka sebagai cagaran.

"Kami mungkin akan kehilangan tanah kami," kata beliau dan “bekerja sebagai buruh yang mendapat upah sebanyak RM15 sehari atau RM330 sebulan tidak cukup untuk menampung kehidupan kami. Pendapatan sebegini jauh berada di bawah garis kemiskinan."

Beliau berkata, kerana tidak mempunyai geran tanah, terdapat beberapa bidang tanah NCR mereka yang tidak diusahakan dilihat seperti tidak akan memberi banyak keuntungan wang. Tetapi tanah tersebut adalah sumber sayur-sayuran yang tidak tercemar, daging dan ikan dan juga bahan-bahan binaan dan hasil-hasil hutan yang berharga.

"Tambahan pula, dengan menjaga tanah-tanah tersebut buat sementara waktu ini, kami berharap pada suatu masa nanti, generasi muda dengan berbekalkan pendidikan yang lebih baik dan juga mempunyai daya untuk mengusahakan tanah-tanah tersebut dengan lebih baik,” kata beliau.

Ditulis oleh: Joseph Tawie
Dipetik dari: Malaysiakini.com
Diterjemah oleh: Mark Bujang

Tuesday, August 4, 2009

Logging puts Borneo tribe in peril - 16 Jul 09

Kaum Penan yang terletak di wilayah utara Borneo sudah beratus tahun hidup dan tinggal di dalam hutan, memburu, menangkap ikan dan menggunakan kayu-kayu untuk membuat pondok tempat mereka berteduh dan juga ubat-ubatan mereka.

Tetapi kini, kehidupan kaum ini terancam dengan kegiatan syarikat-syarikat pembalakan di dalam wilayah mereka dan hutan mereka kian musnah.

Tony Birtley dari Al-Jazeera melaporkan akibat kemusnahan hutan kepada manusia.

Corruption linked to Borneo deforestation - 15 Jul 09

Pernah digelar sebagai paru-paru hijau Asia, Borneo kini menjadi tempat untuk mencari keuntungan bagi para penanam kelapa sawit dan syarikat-syarikat pembalakan.

Menurut Tabung Binatang Liar Sedunia (WWF), kadar kemusnahan hutan di Borneo adalah lebih pantas dari kawasan di Amazon.

Di dalam siri kedua dari tiga buah siri yang akan ditayangkan, Tony Birtley dari Al-Jazeera menyiasat peranan politik di dalam pembangunan ladang kelapa sawit dan pemberian konsesi pembalakan.

Borneo's burning forests - 14 Jul 09

Hutan hujan tropika di Borneo adalah sebuah eko-sistem yang penting dan kompleks di dunia.

Tetapi setelah beberapa kempen pemuliharaan hutan dilancarkan dan janji-janji dikotakan untuk menjaga hutan, hutan yang ada kini sedang dimusnahkan dengan kadar yang amat pantas sekali.

Ini adalah bahagian pertama dari 3 buah siri di mana Tony Birtley dari Al-Jazeera melaporkan dari Sarawak, Malaysia berkenaan dengan politik kemusnahan hutan.