Tuesday, November 17, 2009

Penghulu menumbuk rakyat

Oleh: Willie Kajan
MIRI, 10 November 2009 – Hanya kerana bertanyakan soalan kerana ingin mengetahui perkembangan berkaitan hasil-hasil kayu balak milik penduduk kampung di kawasan rumah panjang Long Terawan, En. Ipoi Jau telah ditumbuk oleh Penghulu kawasan mereka.

Penghulu tersebut dikenali sebagai Penghulu Herbert Lawai, telah menumbuk En. Ipoi Jau di dahi sehingga mengakibatkan kecederaan. Mangsa yang berumur 66 tahun telah pergi ke sebuah klinik swasta di Miri untuk membuat pemeriksaan dan rawatan ke atas kecederaan di bahagian dahinya akibat tumbukan daripada Penghulu Herbert Lawai. Disamping itu, beliau juga membuat laporan polis berkenaan kejadian tersebut untuk tindakan selanjutnya oleh pihak polis.
Kejadian tersebut berlaku pada awal pagi 8 November 2009. Hal ini berlaku ekoran mangsa yang ingin mengetahui ke mana perginya hasil-hasil kayu balak di kawasan hutan rumah panjang Long Terawan, Baram.

Ini kerana, pada kebiasaannya syarikat-syarikat pembalakan ini yang membalak di kawasan hutan rumah panjang akan menyerahkan sebahagian daripada hasil balak tersebut kepada penduduk rumah panjang melalui Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) dan kemudiannya akan dibahagikan kepada penduduk kampung.

Peristiwa seperti ini tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pemimpin lebih-lebih lagi seorang Penghulu yang sepatutnya bertindak melindungi rakyat. Yang lebih memalukan lagi adalah mangsa merupakan seorang yang kurang upaya yang cedera akibat kecederaan lama di bahagian tulang paha.Menurut sumber, kejadian ini berlaku di rumah salah seorang penduduk kampung Long Terawan di Permyjaya, Miri yang sedang mengadakan upacara penghormatan terakhir untuk seorang ahli keluarganya yang meninggal. Kejadian tersebut telah disaksikan oleh orang-orang yang datang menghadiri upacara tersebut. - SM

Monday, November 16, 2009

Penyiasatan kes rogol wanita Penan belum selesai lagi

Oleh: Hellan Empaing
16 November 2009

“Kenyataan Kes rogol wanita Penan selesai”, merupakan tajuk utama di akhbar Utusan Borneo hari ini. Apakah yang mereka cuba terangkan dengan perkataan SELESAI? Apakah kesudahannya?

Kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pada 13hb November, sekali lagi mengecewakan Persatuan Wanita Desa Sarawak (WADESA). Begitu mudah pihak polis mengambil keputusan untuk memberhentikan siasatan tersebut adalah kerana dengan alasan tiada kerjasama daripada pihak badan bukan kerajaan (NGO). Selama ini apakah peranan polis dalam tugas mereka sebenar? Hanya menanti dan menunggu maklumat yang diberikan oleh pihak lain, kemudian baru mereka dapat dikatakan ada mengambil tindakan?

Sebenarnya WADESA tidak bersetuju dengan kenyataan sedemikian, kerana penyiasatan tersebut seharusnya diteruskan sehingga bukti dan penjenayah tersebut ditangkap dan dihukum, barulah kes ini boleh dikatakan bahawa tindakan penyiasatan dan panangkapan ini selesai. Selagi penjenayah tersebut belum lagi dibawa ke muka pengadilan kes ini tidak boleh dikatakan selesai begitu sahaja.

Kenyataan pihak polis bahawa pihak NGO enggan bekerjasama juga tidak benar, kerana pihak NGO serta agensi-agensi persekutuan sendiri turut turun padang menyiasat maklumat atas inisiatif sendiri untuk membuat siasatan. Dan apakah kekurangan keupayaan pihak polis yang memang sedia ada terlatih untuk menyiasat berbanding dengan pihak NGO? Saya pasti nilai kesabaran, berdikari, rajin dan amanah patut ada di dalam mereka menjalankan tugas.

Dan cara mendapatkan maklumat dan pendekatan juga haruslah dijalankan sebagai pihak yang benar-benar ikhlas ingin membantu wanita Penan, kerana wanita Penan sekarang ini dalam dilemma. Siapakah harus dipercayai sebagai tempat pengaduan yang tepat? Gambaran tentang polis bagi mereka adalah, polis akan menangkap mereka menyebabkan mereka takut untuk mendedahkan perkara sebenar.

Sejarah hidup mereka yang menjadi mangsa penderaan seksual telah berlaku beberapa tahun yang lampau, tetapi kerana kurang pengertian tentang maksud penderaan seksual tersebut, menyebabkan hari-hari yang mereka lalui berlalu begitu sahaja, sehingga ramai yang melahirkan anak yang tidak berayah.

Malah kini mereka menjadi mangsa untuk kali kedua, kerana apabila hasil siasatan dan laporan yang dikeluarkan menyebabkan wanita-wanita Penan ini akan diugut dan diancam oleh si "suami" untuk menarik balik kenyataan pertama dan mesti mengaku bahawa mereka tidak dirogol. Tetapi jika dilihat secara logiknya, adakah lelaki yang mengelar diri suami mereka itu, mengahwini mereka melalui prosedur yang sah ataupun melalui adat? Adakah suami mereka itu tidak mempunyai isteri lain selain wanita Penan?

WADESA meminta pihak polis meneruskan siasatan walapun dengan apa cara sekalipun. Kerana ini melibatkan masa depan wanita-wanita Penan, jika tidak ada pembelaan, maksudnya pendera seksual akan terus bermaharajalela dan masalah ini tidak akan dapat dibenteras. Kerana seolah-olah pihak yang bertanggungjawab tidak mengambil berat dan bertugas dengan sikap sambil lewa.

WADESA mohon agar pihak kerajaan bersimpati kepada nasib-nasib wanita Penan ini. Hentikan pembalakan di kawasan-kawasan tanah pengurip Penan serta merta, kerana semua masalah ini adalah berpunca daripada kemasukan syarikat-syarikat pembalakan yang menceroboh kawasan mereka.

WADESA menyarankan agar pihak kerajaan turut mempertimbangkan kepentingan penyiasatan ini harus diteruskan demi masa depan wanita-wanita Penan. Semua pihak diharapkan tidah hanya melepaskan batuk di tangga. - SM

Polis menjadi pengawal Syarikat Samling ketika jentolak menjalankan kerja ditanah NCR kaum Kenyah

BELAGA, 5 November 2009 – Sekumpulan pegawai polis telah menjadi pengawal kepada pekerja syarikat Samling Plantation Sdn. Bhd. ketika kerja pembersihan menggunakan jentolak dilakukan di dalam kawasan tanah hak adat bumiputera (NCR) kaum Kenyah di Long Koyan yang bertujuan membangunkan ladang kelapa sawit.

Samling mula melakukan kerja pembersihan semalam, tetapi telah diberhentikan oleh peduduk kampung Long Koyan dan diarahkan untuk meninggalkan kawasan terbabit.

Bagaimanapun, hari ini pihak Samling meneruskan semula kerja menolak di kawasan tersebut di bawah kawalan Polis Diraja Malaysia dan mereka langsung tidak menghiraukan bantahan orang kampung.

Penduduk kampung berasa marah dengan Samling kerana tidak mengendahkan amaran larangan menceroboh ke dalam kawasan mereka. Lebih mengecewakan penduduk kampung lagi ialah adalah tindakan pihak polis yang dikatakan berkelakuan tidak professional dan jelas sekali bersubahat dengan pihak syarikat.

TK Nyalang Tahe, ketua kampung Long Koyan sebelum ini telah banyak membuat laporan polis tentang pencerobohan Samling tetapi malangnya tiada tindakan yang diambil oleh pihak polis. Beliau juga pernah pergi memberhentikan jentolak Samling dan mengambil kuncinya untuk diserahkan kepada pihak polis untuk diambil tindakkan.

Walau bagaimanapun, pada 21 July 2009, pihak polis telah menyaman TK Nyalang Tahe dan mengeluarkan satu waran tangkap terhadap beliau supaya menyerahkan diri ke Balai Polis Sungai Asap. Menurut saman tersebut, TK Nyalang Tahe dikatakan telah mencuri jentolak milik syarikat Samling dan laporan polis telah dibuat terhadapnya oleh pihak Samling.

TK Nyalang dan penduduk kampungnya berbalah dengan pihak polis dan mengatakan cuma kunci jentolak berkenaan yang ada dengannya yang diberikan sendiri oleh pekerja ladang Samling kepada beliau tetapi jentolak tersebut masih di bawah jagaan pekerja Samling dan tidak dicuri. Beliau juga telah membuat laporan polis berkenaan dengan insiden ini.

Pihak polis kemudian memberitahu TK Nyalang yang beliau perlu menandatangani satu perjanjian dengan polis dan diarahkan untuk hadir ke Mahkamah Majistret Belaga pada 21 August 2009 untuk menjawab pertuduhan.

TK Nyalang berpegang pada arahan pihak polis dan menghadirkan diri di Mahkamah Majistret Belaga pada pagi 21 August 2009. Tetapi beliau terkejut apabila bahagian pendaftaran mahkamah memberitahunya yang pihak polis tidak ada mendaftar kesnya untuk sebutan pada hari tersebut.

TK Nyalang kemudiannya pergi ke balai polis Sungai Asap untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak polis. Pihak polis di Sungai Asap pula memberitahu beliau yang beliau akan dimaklumkan bila masanya untuk beliau harus hadir ke mahkamah.

Walau bagaimanapun, sehingga hari ini pihak polis masih lagi belum memaklumkan kepada beliau tentang status kes tersebut. - SM

Thursday, November 5, 2009

Penan di Jambatan Suai akan mendirikan sekatan jalan lagi sekiranya PELITA mungkir janji

Oleh: Harrison Ngau Laing


Masyarakat Penan di Kampung Ugos, Suai (yang juga merupakan kampung halaman Datuk Hasan Sui) telah menetapkan tempoh dua bulan dari tarikh 17 September 2009 kepada pemegang amanah mereka iaitu Perbadanan Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak (PELITA) untuk menyerahkan salinan dokumen perjanjian di antara PELITA dan sebuah syarikat swasta, Alam Bumi Sdn. Bhd. kepada mereka. Sebelum ini PELITA dan Alam Bumi telah menubuhkan sebuah syarikat usahasama (JV) untuk membangun tanah NCR masyarakat Penan di Suai melalui skim konsep baru pembangunan tanah NCR.

Mereka juga menuntut agar PELITA dan/atau syarikat swasta tersebut mengeluarkan Penyataan Akaun yang melibatkan aktiviti-aktiviti perladangan di atas tanah NCR mereka. Masyarakat Penan memberi amaran kepada PELITA bahawa sekiranya ladang tersebut tidak mengeluarkan keuntungan maka mereka ingin menarik balik penyertaan mereka di dalam skim tersebut dan menguruskan pembangunan tanah NCR mereka sendiri. Tetapi jika skim tersebut meraih keuntungan, mereka ingin tahu berapa keuntungan yang diperolehi dan ke mana perginya wang tersebut.

Menurut masyarakat Penan, selama lapan tahun mereka tidak diberitahu tentang hal-ehwal kewangan syarikat JV tersebut, sedangkan mereka juga pemegang syer.

Tidak puas hati dengan layanan PELITA terhadap mereka selama 8 tahun, masyarakat Penan di Suai telah mendirikan sekatan jalan pada 17 September lalu dan disebabkan sekatan jalan tersebut, PELITA dan Alam Bumi telah membawa wang tunai sebanyak RM500,000.00 untuk dibahagikan kepada mereka sebagai wang yang dikatakan sebagai dividen daripada keuntungan hasil ladang kelapa sawit tersebut. Akan tetapi, masyarakat Penan percaya syarikat JV tersebut telah menghasilkan keuntungan berjuta-juta Ringgit kalau dilihat dari segi harga buah kelapa sawit yang baik beberapa tahun kebelakangan ini.

Inilah Projek JV Pembangunan Tanah NCR yang sering digembar-gemburkan Taib, Jabu dan James Masing sebagai “sebuah kejayaan masyarakat Penan” dan Datuk Hasan Sui dilihat sebagai seorang Penan yang sudah berjaya.

Akan tetapi kebenaranya pula berlainan. Sesiapa yang ingin tahu lebih lanjut bolehlah melawat kampung masyarakat Penan tersebut berdekatan dengan Jambatan Suai (di jalanraya Miri-Bintulu). Sesetengah orang perlu melihat dengan matanya sendiri baru mereka boleh menerima kenyataan.

Nota: Jika pada atau selepas 17 November 2009, PELITA gagal untuk menunaikan tuntutan masyarakat Penan, maka sekatan jalan akan didirikan semula. Mereka juga telah mengarahkan saya untuk menyaman PELITA kerana melanggar perjanjian dan sebagainya.

Kenyataan Akhbar oleh Masyarakat Penan Sungai Peleiran-Murum di Kawasan Projek Empangan Murum

30hb Oktober 2009
Kuching, Sarawak

Selamat pagi kami ucapkan kepada tuan-tuan, puan-puan dan wakil-wakil dari pihak media yang sudi datang untuk berjumpa kami di Sidang Akhbar ini.

Terlebih dahulu kami ingin perkenalkan semua kami wakil-wakil kampung Penan yang datang dari kawasan Sungai Peleiran, Murum, Belaga.

Di sini kami ingin menyampaikan keluhan-keluhan hati semua penduduk kampung Penan di kawasan Sungai Peleiran, Murum kerana sangat bimbang dengan kehidupan dan keadaan masa depan kami oleh kerana projek empangan Murum. Kampung-kampung Penan yang terlibat dan terjejas adalah Long Wat, Long Luar, Long Tangau, Long Menapa, Long Singu, Long Malim dan Long Umba dengan bilangan penduduk adalah kurang lebih 1,000 orang.

Kami sudah sedar bahawa mana-mana projek hidro empangan yang telah dibina telah menyebabkan banyak kesan keburukan daripada kebaikan kepada masyarakat yang terlibat. Baru-baru ini, kami telah dibawa melawat ke kawasan Skim Penempatan Semula Batang Ai oleh pihak Sarawak Energy Berhad (SEB). Kami diberitahu oleh penduduk-penduduk di sana bahawa kehidupan mereka sangat susah, dalam keadaan keperitan dan kesulitan. Mereka mengalami masalah tanah yang serius, tidak ada cukup tanah untuk bercucuk tanam dan menampung keperluan generasi akan datang. Mereka tidak ada lagi kawasan hutan untuk mendapat keperluan harian mereka. Mereka juga mengadu bahawa banyak perkara-perkara yang dijanji dulu oleh Kerajaan masih belum ditunai lagi kepada penduduk skim Batang Ai. Keadaan yang serupa juga dihadapi oleh penduduk-penduduk di Skim Penempatan Semula Bakun di Asap Koyan.

Pada masa ini, bagi kami masyarakat Penan Peleiran di kawasan Murum kami dapat hidup secara mapan dengan sumber-sumber yang ada di sekitar kampung-kampung kami. Kami mempunyai kawasan tanah adat dan hutan yang luas yang dapat menampung keperluan harian kami buat selama-lamanya. Kehidupan masyarakat kami akan terus terjamin selagi kami tidak diganggu oleh mana-mana operasi pembangunan berskala besar di kawasan kami.

Masyarakat Penan inginkan pembangunan lebih daripada kaum-kaum lain demi meningkatkan taraf hidup kami. Namun demikian, kami berhak untuk menentukan keutamaan kami sendiri dalam proses pembangunan. Kami pernah memohon kepada kerajaan supaya diberi projek kemudahan sekolah, klinik perubatan, bantuan pertanian, air-paip bagi setiap kampung Penan. Pembinaan projek hidro empangan bukan satu cara yang baik demi memajukan masyarakat kami. Kami tidak pernah memohon projek empangan yang akan membanjiri tanah, hutan, perkuburan, harta-harta benda dan tanam-tananam kami.

Dengan projek hidro empangan Murum kami sangat risau dan bimbang akan kesan-kesan dan impak-impakNYA ke atas kehidupan dan masa depan kami. Kami memang tidak dapat hidup dalam kawasan Skim Penempatan Semula sekiranya dipaksa pindah kerana projek hidro empangan Murum.

Dengan peluang yang ada ini, kami menyatakan seperti berikut:-
1) Kami ingin suara kami didengari dengan jelas bahawa sejak dari dulu lagi kami memang membantah pembinaan projek empangan hidro Murum.
2) Kami tidak pernah memberi persetujuan dengan Kerajaan Negeri dan mana-mana pihak pun untuk pembinaan projek hidro empangan Murum.
3) Kami tidak bersetuju dengan mana-mana cadangan program penempatan semula kerajaan yang melibatkan kami masyarakat Penan.

Berkenaan dengan memorandum yang telah kami hantar kepada Yang Amat Berhormat Pehin Sri Abdul Taib Bin Mahmud, Ketua Menteri Sarawak pada hari kelmarin, kami sangat mengharapkan keprihatinan beliau dan menyambut baik seruan kami supaya pembinaan hidro empangan Murum dibatal dan dihenti serta-merta.

Sekian, terima kasih.

Tuesday, November 3, 2009

MEMORANDUM: Rakyat didahulukan, Projek Empangan Murum Dihentikan



YAB Pehin Sri Abdul Taib Bin Mahmud
Ketua Menteri Sarawak
22nd Floor, Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya,
93502 Kuching, Sarawak,
Malaysia
Tarikh: 9 September 2009

Yang Amat Berhormat Pehin Sri,

Salam hormat. Kami, wakil-wakil dan penduduk-penduduk kampung-kampung Penan di kawasan Sungai Peleiran-Murum, Daerah Belaga, Sarawak ingin membawa ke perhatian YAB Pehin Sri bahawa kami sangat bimbang dengan kehidupan kami sejak bermulanya kerja-kerja pembinaan empangan Murum dijalankan.

YAB Pehin Sri telah sedia maklum bahawa kesemua kampung kami iaitu Long Wat, Long Luar, Long Tangau, Long Menapa, Long Singu, Long Malim dan Long Uba terletak di kawasan Sungai Peleiran iaitu di bahagian Ulu Sungai Murum, maka takungan air akibat empangan Murum akan membanjiri kampung-kampung, harta benda, tanah adat dan hutan kami. Sekaligus, kami akan dipaksa untuk berpindah ke suatu kawasan yang belum kami ketahui dan pasti. Kami juga sangat bimbang akan kesan-kesan dan impak-impak projek empangan Murum ke atas masa depan masyarakat kami.

Untuk makluman YAB Pehin Sri, projek pembangunan dengan cara pembinaan empangan seperti Murum dam adalah suatu pembangunan yang akan membawa berbagai-bagai masalah secara sosial, ekonomi, budaya dan rohani kepada masyarakat kami. Kami sedar bahawa mana-mana projek pembangunan empangan yang dibina di Sarawak telah dengan nyatanya gagal memperbaiki keadaan hidup masyarakat sasar dan apatah lagi menjamin masa depan mereka. Contohnya, penduduk-penduduk di Skim Penempatan Semula (SPS) Batang Ai dan SPS Bakun Asap-Koyan sedang menghadapi banyak masalah, kesusahan dan kesempitan dalam kehidupan harian mereka yang sehingga kini masih belum dapat diselesai oleh pihak kerajaan. Kami juga menyaksi bahawa keadaan kehidupan masyarakat Penan Talun, Long Belangan di Skim Penempatan Semula Bakun Asap-Koyan lebih teruk lagi dibanding dengan sebelum-nya mereka dipaksa pindah akibat pembinaan empangan hidro-elektrik Bakun.

Bagi kami masyarakat di kawasan Sungai Peleiran-Murum juga akan tidak terkecuali dari masalah-masalah dan impak-impak projek empangan sekiranya kerajaan masih hendak meneruskan pembinaan empangan Murum. Maka dengan ini kami sebulat suara menyeru agar pembinaan empangan Murum dibatal dan dihenti serta-merta. Seterusnya kami menyatakan seperti di bawah:-

1) Menyeru kerajaan menghentikan semua program dan rancangan pembangunan yang bertujuan memaksa masyarakat kami berpindah dan ditempatkan semula jauh dari kawasan tanah adat kami;
2) Meminta kerajaan menamatkan kerja-kerja dan rancangan pembinaan projek empangan Murum kerana impaknya akan menyebabkan berbagai-bagai masalah ke atas kehidupan kami; dan
3) Menamatkan skim-skim pembangunan dan projek berskala besar yang mengancam dan menjejas hak, kehidupan, tanah adat dan hutan serta kesenambungan alam sekitar kami.

Justeru itu, kami mahu suatu pembangunan mapan berasaskan jaminan sara diri yang cukup dan kesejahteraan hidup; hak-hak adat ke atas wilayah tanah dan hutan dihormati; dan sebuah pembangunan sosial dan ekonomi yang lengkap yang bersesuai serta menurut kebudayaan kami. Kami sentiasa menyokong dasar-dasar dan program pembangunan kerajaan selaras dengan visi, kemampuan, keupayaan dan kadar kemajuan kami sendiri ke arah hidupan mapan dan masa depan yang terjamin.

Ke atas keprihatinan YAB Pehin Sri Ketua Menteri kami dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.


Selamat Hari KeMerdekaan “46 Tahun Sarawak Merdeka”