Sunday, June 28, 2009

Kenyataan Akhbar oleh Baru Bian Pada 20 Jun 2009

Laporan akhbar muka depan Borneo Post bertarikh 19 Jun 2009, menyatakan kerajaan BN tidak akan mengambil tanah adat masyarakat Orang Asal. Perdana Menteri di dalam ucapannya menyeru rakyat untuk “… yakin dengan kerajaan Barisan Nasional (BN). Kami tidak berniat untuk mengambil tanah sesiapa pun. Masyarakat Iban tidak perlu bimbang. Kerajaan BN tidak akan merampas harta benda anda.”

Jawapan saya kepada kenyataan tersebut jika benar, merupakan penyelesaian yang kecil tetapi malangnya sudah terlambat.

Ini adalah kerana tanah rakyat, khususnya tanah adat masyarakat Orang Asal telahpun diambil, dirampas dan dirompak di bawah pemerintahan kerajaan BN.

Kenyataan yang dibuat oleh PM ini jelas menunjukkan bahawa rakyat, khususnya masyarakat Orang Asal telah beberapa tahun ini sering mengadu bahawa tanah NCR mereka telah diambil.

Firma guaman saya sendiri sekarang sedang mengendalikan lebih dari satu ratus kes yang berkaitan dengan NCR yang jelas membuktikan tanah NCR telahpun diambil, dirampas dan dirompak beberapa tahun ini di bawah pemerintahan kerajaan BN, yang diketuai oleh Ketua Menteri sekarang iaitu Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Walaupun terdapat sebuah keputusan di dalam kes Nor Anak Nyawai bahawa tanah NCR terdiri bukan sahaja dari “temuda” (hutan sekunder) tetapi ia juga merangkumi “pemakai menua” (kawasan masyarakat Orang Asal memburu, menangkap ikan, mengumpul dan mencari hasil-hasil hutan) dan “pulau” (hutan simpan atau hutan dara yang disimpan) dan kes ini telah diperkukuhkan oleh kes Madeli Salleh di Mahkamah Persekutuan, (Mahkamah Tertinggi di Malaysia). Namum demikian kerajaan BN Negeri Sarawak tidak mahu menerima keputusan-keputusan mahkamah-mahkamah tersebut. Ini jelas sekali dilihat dengan keengganan Kamar Peguam Besar Negeri Sarawak menerima keputusan tersebut melalui pembelaan mereka kepada Kerajaan Negeri terhadap kes-kes yang sedang dibicarakan di Mahkamah-Mahkamah Tinggi di seluruh Sarawak.

Dengan ini saya ingin menyeru kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk mengarah dan/atau sekurang-kurangnya menasihati Kerajaan BN Negeri melalui Ketua Menteri Pehin Sri Taib Mahmud untuk mengembalikan kesemua tanah-tanah NCR yang telah “diambil, dirampas dan dirompak” dengan begitu pantas beberapa tahun ini dengan membatalkan lesen-lesen pembalakan, geran-geran hak milik sementara dan permit menanam semula atau lesen-lesen yang merangkumi dan/atau meceroboh masuk ke dalam tanah-tanah NCR.

Kedua, mengarah supaya sebuah Pesuruhjaya Penyiasatan Tanah ditubuhkan untuk menyiasat kesemua pelanggaran tuntutan hak tanah NCR di Sarawak termasuklah aduan yang berkaitan dengan salah guna kuasa oleh pihak polis berkenaan dengan perbalahan di antara pihak syarikat swasta dengan penuntut tanah NCR, supaya PM boleh menunjukkan kepada rakyat di Sarawak dan Malaysia secara umumnya bahawa beliau melaksanakan apa yang beliau ungkapkan.

Pesuruhjaya Penyiasatan Tanah tersebut harus juga menyiasat kesemua kes-kes yang kini berjumlah lebih daripada satu ratus yang masih lagi menunggu perbicaraan di Mahkamah-Mahkamah Tinggi di Sarawak, supaya kes-kes yang tertangguh di Mahkamah-Mahkamah Tinggi tersebut boleh diselesaikan.

Jika cadangan di atas tidak dilaksanakan di dalam tempoh sebulan dari hari ini, saya rasa kenyataan-kenyataan sebegini hanya merupakan mainan politik yang sengaja digunakan untuk mengeliru rakyat terutamanya masyarakat Orang Asal di Sarawak, seolah-olah kerajaan BN kini perihatin dengan hal-ehwal dan masalah mereka.

Saya percaya bahawa ini adalah tanda-tanda awal bahawa Pilihanraya Negeri akan tiba tidak lama lagi.

Dipetik dari: Hornbill Unleashed
Diterjemah untuk: Sebana Menoa