Sunday, November 16, 2008

BENGKEL NASIONAL ANJURAN JARINGAN ORANG ASAL SEMALAYSIA ( JOAS ) DI KUALA LUMPUR

Kuala Lumpur, – Jaringan Orang Asal Semalaysia (Joas) telah mengadakan bengkel nasional telah diadakan di Galeri Annexe, Central Market pada 10 Sept – 13Sept 2008.

Bengkel tersebut diadakan untuk membincangkan hasil kajian berkenaan undang-undang dan polisi pembangunan yang menberi kesan kepada Orang Asal di Malaysia. Selain itu, bengkel ini juga bertujuan untuk menghasilkan satu memorandum berkenaan hak-hak Orang Asal di Malaysia untuk diserahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agung pada 13 Sept 2008 sempena ulang tahun pertama UN DRIP diterima di Persidangan Umum Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Tema bengkel tersebut adalah “Bersama Merayakan Deklarasi Hak Orang Asal Antarabangsa : Menuntut Perlaksanaan Diperingkat Tempatan”.

Bengkel tersebut dirasmikan oleh Datuk Dr. Denison Jayasooria, Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) pada pagi 10 Sept 2008. Sebelum upacara bermula, upacara perasmian simbolik dilakukan oleh ketua-ketua adat dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia. Tayangan tentang perjuangan seorang ketua Penan, TK Kelesau, yang menerima anugerah “Asia Indigenous Human Right Defender” kerana perjuangan mempertahankan tanah dan hak kaum Penan di kawasannya sehingga beliau mati dibunuh. Anugerah tersebut diberikan kepada beliau sebagai memperingati jasa dan keberanian beliau .

Antara isu-isu yang dikaji dan dibentangkan dalam bengkel nasional ini adalah seperti Undang-undang Tanah dan Sumber Semulajadi, Undang-Undang dan Adat dan Polisi Pembangunan Kerajaan.

Selain bengkel, pameran-pameran berkenaan Orang Asal dan gerai-gerai menjual kraftangan juga disediakan sepanjang bengkel nasional tersebut berjalan. Selain itu, para peserta bengkel juga turut disajikan dengan tayangan filem bekenaan masalah yang menimpa Orang Asal di seluruh Malaysia.

Pada 13 Sept 2008, perarakan untuk penyerahan memorandum kepada DYMM YDP Agung dimulakan pada jam 10 pagi dari Galeri Annexe, Central Market, Kuala Lumpur. Walaubagaimanapun impian untuk menyerahkan memorandum tersebut hampa kerana perarakan tersebut telah dihalang oleh pihak polis. Alasan yang diberi oleh pihak polis, adalah permohonan permit perarakan tidak diluluskan. Rayuan dan permohonan agar perarakan tersebut diteruskan tidak dihiraukan, sehingga Orang Asal terpaksa bersurai dan berpatah balik ke Central Market dengan suara, nyanyian dan reaksi yang sangat hampa.

Kehampaan semua Orang Asal tersebut tidak akan mematahkan semangat perjuangan Orang Asal. Malah ianya akan menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan membakar semangat perjuangan Orang Asal. JOAS yang di pengerusikan oleh En.Andrian Lasimbang ditubuhkan oleh pelbagai organisasi orang asal di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum untuk memperkukuhkan Jaringan Orang Asal di Sabah, Sarawak dan juga Semenanjung Malaysia.



No comments: