Sunday, November 16, 2008

RINTIHAN WANITA PENAN


Apoh Tutoh Baram- Kaum wanita Penan mengadu penderitaan hidup kerana ancaman pembalakan ke atas tanah adat mereka. Di long Bangan, lebih kurang selama 30 tahun syarikat Baya Lumber telah membalak di kawasan tanah adat sehingga sekarang ini.


Penduduk kampung telah cuba untuk menghalang tindakan syarikat pembalakan menceroboh masuk ke kawasan hutan yang juga merupakan sumber makanan dan kehidupan Penduduk kampung, namun Syarikat tidak mengendahkan larangan orang kampung. Sehingga orang kampung terpaksa mendirikan rintangan (blockade) di atas tanah mereka pada tahun 1984.


Kaum ibu terpaksa berkorban menempuhi pelbagai cabaran bersama dengan kaum lelaki untuk mendirikan rintangan. Menurut Ibu Yan dari Long Bangan: “walaupun kami kaum perempuan dianggap lemah, namun kami tidak pernah ketinggalan untuk bersama-sama berjuang sehingga kaum ibu terpaksa membawa anak-anak mereka berjaga di kawasan blockade bagi mempertahankan hak kami ke atas tanah adat.”


Keberanian kaum ibu juga terserlah apabila mereka sanggup menerima risiko walaupun hakikatnya mereka dalam ketakutan namun merekalah yang menjaga anak-anak mereka sementara kaum lelaki ditangkap dan dimasukkan kedalam lokap oleh pihak polis.Pada masa itu mereka tidak tahu apakah yang sebenarnya terjadi kepada nasib suami mereka. Pada ketika itu, kaum ibu yang tinggal tidak mempunyai wang untuk menjamin dan mengeluarkan suami mereka dari lokap di Miri, kerana kesempitan hidup. Lebih kejam lagi, ancaman yang mereka terima apabila Pasukan Polis Hutan melemparkan gas pemedih mata kepada orang kampung agar mereka mengundurkan diri.


Di Long Win pula, seorang Ibu bernama Roslyn mengatakan, banjir kilat juga seringkali berlaku sekurang- kurangnya dua kali setahun semenjak kawasan tanah adat mereka dibalak oleh syarikat-syarikat pembalakan. Air banjir memasuki rumah dan merosakan perabot rumah dan juga kebanyakkan hasil tanaman.


Penduduk pernah merancang untuk membuat rumah ke kawasan yang lebih tinggi, tetapi kerana mereka tidak mempunyai sumber kayu lagi kerana diceroboh pembalak haram yang menjahanamkan hampir keseluruhan hutan mereka.


Pengakuan seorang ibu bernama Seriah dari Long Win: “Kini kesempitan kehidupan semakin terasa apabila hutan semakin musnah sehingga menyebabkan mereka hilang sumber makanan, air yang bersih, ubat-ubatan, rotan dan kawasan tanah untuk menanam padi huma dan lain-lain.”


Persepsi kerajaan yang tidak menghormati kaum Penan dengan mengatakan bahawa kaum Penan tidak mempunyai hak terhadap tanah NCR mereka, menyebabkan kaum Penan khasnya kaum ibu merasakan diri mereka sangat ditindas dan tiada keadilan.

No comments: