Showing posts with label Sebana Menoa Vol. 1 - 2008. Show all posts
Showing posts with label Sebana Menoa Vol. 1 - 2008. Show all posts

Sunday, November 16, 2008

ORANG ASAL KELUAR DARIPADA PERUNDINGAN PEMEGANG AMANAH


Jaringan orang-orang asal dan kumpulan sosial di bawah Jaringan Orang Asal dan NGO tentang isi-isu hutan (JOANGOHutan) dan Jaringan Orang Asal Semalaysia (JOAS) bertindak untuk keluar dari rundingan Pemegang amanah FLEGT yang dianjurkan oleh Kementerian Industri Perladangan dan Komoditi (MPIC).


Tindakan itu telah diadakan atas sebab bantahan ke atas kekurangan, serta kelemahan serta ketidaktelusan proses dan juga sikap acuh tak acuh ke atas maklumat dan tindak balas yang telah diberikan kepada peserta perundingan tersebut.


Latarbelakang FLEGT;
FLEGT bermaksud Forest Law Enforcement, Governance and Trade. Ia merupakan inisiatif yang berurusan mengenali aktiviti-aktiviti import yang tidak sah bagi sumber balak yang memasuki Negara Eropah melalui sumber yang haram. Malah Negara Eropah tidak mempunyai undang-undang yang boleh menghentikan balak haram ini daripada memasuki pasaran.


Di bawah undang-undang perdagangan antarabangsa seperti Organisasi Perdagangan Sedunia adalah sukar bagi Negara Eropah untuk menggubal undang-undang bagi mengharamkan kemasukan import haram ke dalam pasaran. Atas desakan NGO dan industri itu sendiri, Negara Eropah kini telah memiliki dan melaksanakan undang-undang untuk mengharamkan kemasukan balak haram dari Negara-negara bersekutu sahaja. Negara-negara sekutu adalah dimana Negara Eropah telah membangunkan perjanjian Rakan Kongsi Sukarelawan atau VPA. Skim perlesenan ini tidak dapat berfungsi sehinggalah memperolehi definisi yang dipersetujui kesahihannya di Malaysia.


Penyataan berikut telah dibaca oleh wakil dari JOANGOHutan dan Jaringan Kesatuan Orang Asal sebelum tindakan keluar dewan diadakan.


Penyataan Oleh: JOANGOHutan, Jaringan Orang Asal Semalaysia (JOAS) Dan Peguam-Peguam Berkenaan 18 Mac 2008


Tuan Pengerusi, tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Perundingan Malaysia-Eropah (EU) mengharapkan penglibatan penuh serta penglibatan yang berkesan daripada setiap golongan orang-orang asal serta komoniti tempatan dan pemegang amanah yang lain. Seperti di dalam 3 perjumpaan yang lepas, wakil dari JOANGOHutan, JOAS dan beberapa peguam telah mengambil bahagian di dalam proses perundingan dan telah menyumbang pengalaman serta pengetahuan dan keinginan yang bernas. Selama ini, kita telah mengemukakan pandangan dan keperihatinan kita terhadap hak-hak asas yang meupakan unsur di dalam perundingan ini.


Tuan pengerusi, kami telah melakukan usaha gigih untuk menjadi sebahagian daripada proses ini. Walaubagaimanapun, dengan perasaan yang amat kecewa kami dapati yang kami telah terpinggir sejak dari awal lagi proses perundingan ini dijalankan. Dalam erti kata lain, permintaan kami di mana maksud pembalakan yang halal seharusnya mengandungi fasa-fasa atau klausa seperti; kayu dan produk-produk seharusnya bebas dari tuntutan orang asal. Namun permintaan minima kami ini yang mana tidak dimasukkan ke dalam definisi pembalakan halal tidak dapat kami terima. Tambahan lagi, tuan pengerusi, meskipun semua cadangan akan dipertimbangkan, namun kami dapati semua cadangan di dalam memorandum yang telah kami hantar tidak termasuk di dalam dokumen rasmi perjanjian. Perkara ini benar-benar memberikan kesan dan impak ke atas kehidupan, tanah dan hak kami sebagai orang asal.


Kami dengan ini tidak dapat menerima teks yang terkandung di dalam borang yang terkini. Kami juga dengan ini ingin mengulang dengan bahawasanya definisi dimana ia hanya memerlukan pihak-pihak yang terikat dengan undang-undang seperti yang terkandung di dalam peruntukan yang terkandung di dalam peruntukan berkanun adalah terlalu mudah namun gagal mengendalikan isu yang sebenar. Hormat kepada orang asal sebagai manusia, sebagai komuniti yang berautonomi dengan budaya dan adat resam kami, undang-undang dan institusi-institusi serta keperluan kami yang memastikan kerajaan tidak mengancam dan membahayakan satu-satunya komuniti yang masih tinggal tetapi mereka haruslah memberikan peningkatan ekonomi sosial yang setaraf dengannya.


Tuan pengerusi, kami dengan tekunnya menekankan rasa tidak puas hati dan dan kecewa kami terhadap pengabaian permintaan minima kami ini.


Berdasarkan pandangan yang boleh dikatakan mengecam kedudukan kami, kami tidak mempunyai pilihan melainkan dengan rasminya menarik diri dari proses ini sehinggalah permintaan minima kami ini tercapai.


Kami menolak untuk meneruskan penglibatan di dalam proses ini yang membuat keputusan ke atas kehidupan kami malah hanya mengharapkan sokongan dari kami melalui proses yang lansung tidak menghormati kami sebagai orang asal.


Kami akan pertimbangkan untuk cadangan dan ukuran di masa hadapan dan akan membawa perkara ini pada perjumpaan dengan kementerian dan Negara Eropah (EU) esok.


Terima kasih Tuan Pengerusi.

RINTIHAN WANITA PENAN


Apoh Tutoh Baram- Kaum wanita Penan mengadu penderitaan hidup kerana ancaman pembalakan ke atas tanah adat mereka. Di long Bangan, lebih kurang selama 30 tahun syarikat Baya Lumber telah membalak di kawasan tanah adat sehingga sekarang ini.


Penduduk kampung telah cuba untuk menghalang tindakan syarikat pembalakan menceroboh masuk ke kawasan hutan yang juga merupakan sumber makanan dan kehidupan Penduduk kampung, namun Syarikat tidak mengendahkan larangan orang kampung. Sehingga orang kampung terpaksa mendirikan rintangan (blockade) di atas tanah mereka pada tahun 1984.


Kaum ibu terpaksa berkorban menempuhi pelbagai cabaran bersama dengan kaum lelaki untuk mendirikan rintangan. Menurut Ibu Yan dari Long Bangan: “walaupun kami kaum perempuan dianggap lemah, namun kami tidak pernah ketinggalan untuk bersama-sama berjuang sehingga kaum ibu terpaksa membawa anak-anak mereka berjaga di kawasan blockade bagi mempertahankan hak kami ke atas tanah adat.”


Keberanian kaum ibu juga terserlah apabila mereka sanggup menerima risiko walaupun hakikatnya mereka dalam ketakutan namun merekalah yang menjaga anak-anak mereka sementara kaum lelaki ditangkap dan dimasukkan kedalam lokap oleh pihak polis.Pada masa itu mereka tidak tahu apakah yang sebenarnya terjadi kepada nasib suami mereka. Pada ketika itu, kaum ibu yang tinggal tidak mempunyai wang untuk menjamin dan mengeluarkan suami mereka dari lokap di Miri, kerana kesempitan hidup. Lebih kejam lagi, ancaman yang mereka terima apabila Pasukan Polis Hutan melemparkan gas pemedih mata kepada orang kampung agar mereka mengundurkan diri.


Di Long Win pula, seorang Ibu bernama Roslyn mengatakan, banjir kilat juga seringkali berlaku sekurang- kurangnya dua kali setahun semenjak kawasan tanah adat mereka dibalak oleh syarikat-syarikat pembalakan. Air banjir memasuki rumah dan merosakan perabot rumah dan juga kebanyakkan hasil tanaman.


Penduduk pernah merancang untuk membuat rumah ke kawasan yang lebih tinggi, tetapi kerana mereka tidak mempunyai sumber kayu lagi kerana diceroboh pembalak haram yang menjahanamkan hampir keseluruhan hutan mereka.


Pengakuan seorang ibu bernama Seriah dari Long Win: “Kini kesempitan kehidupan semakin terasa apabila hutan semakin musnah sehingga menyebabkan mereka hilang sumber makanan, air yang bersih, ubat-ubatan, rotan dan kawasan tanah untuk menanam padi huma dan lain-lain.”


Persepsi kerajaan yang tidak menghormati kaum Penan dengan mengatakan bahawa kaum Penan tidak mempunyai hak terhadap tanah NCR mereka, menyebabkan kaum Penan khasnya kaum ibu merasakan diri mereka sangat ditindas dan tiada keadilan.

KAUM KENYAH MEMBANTAH AKTIVITI PEMBALAKAN OLEH SAMLING TIMBER DI BARAM


Ulu Baram, Miri: Lebih dari 100 orang Kenyah berasal dari kawasan Telang Usan (Kedaya Telang Usan) di Baram, Sarawak berkumpul di Ulu Sungai Moh untuk mengadakan bantahan secara aman terhadap aktiviti pembalakan Syarikat Samling Timber.


Pada 19hb Mei 2008, komuniti dari 6 buah rumah panjang iaitu, Long Moh, Long Je’eh, Long Bela’ong, Long Sawan, Long Silat, dan Long Mekabar telah membuat sekatan. Sekatan ini dibuat di jalan utama pengangkutan balak yang digunakan oleh pihak syarikat Samling Timber untuk mengangkut kayu balak keluar dari kawasan tanah NCR dan kawasan hutan milik komuniti Kenyah dari Kedaya Telang Usan di Baram. Kedudukan sekatan adalah kira-kira 300km utara dari Bandaraya Miri.


Tujuan sekatan ini adalah untuk menghentikan syarikat balak, Samling daripada bebas mengambil dan membawa keluar balak secara haram dan bebas daripada kawasan hutan di sekitar Ulu Sg. Sebua, Sg. Jekitan dan Sg. Moh. Semenjak sekatan itu dijalankan selama 3 minggu, Syarikat Samling dengan sengaja membawa keluar kayu balak seperti Tapang, Menggris, Belian dan Engkabang secara sewenang-wenangnya.


Selama 3 minggu sejak sekatan dijalankan, aktiviti pembalakan yang dijalankan oleh Samling telah berjaya dihentikan. Beratus-ratus kayu balak yang telah ditebang terkumpul di sepanjang jalan balak. Masyarakat Kenyah telah bertindak menghalang kemasukan semua jenis kenderaan dan jentera balak ke kawasan mereka.


Mereka juga telah menulis surat kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan meminta mereka untuk menjalankan pemeriksaan segera ke atas balak-balak yang telah ditebang secara haram. Mereka menuntut agar syarikat Samling menghentikan kegiatan mereka sehingga pemeriksaan ke atas balak-balak tersebut selesai dijalankan.


Semenjak Samling memulakan kegiatan pembalakan di kawasan Ulu Baram, masyarakat orang asal menghadapi kemusnahan alam sekitar akibat dari pembalakan. Pihak syarikat dengan bebasnya menceroboh tanah NCR dan hutan tanpa sebarang kebenaran atau rundingan dengan penduduk asal tanpa mengambil kira sumber kehidupan mereka. Banyak aduan dan tuntutan telah dibuat kepada pihak berkuasa dan syarikat pembalakan tetapi tidak dilayan.


KE MEJA RUNDINGAN Hanya dengan cara ini, mereka percaya dapat menarik perhatian pihak berkuasa dan syarikat terbabit untuk menghantar wakil bagi bertemu dan membincangkan masalah dan tuntutan mereka. Jika tidak, pihak syarikat akan terus-menerus mengabaikan rayuan dan tuntutan mereka.


KEHADIRAN PIHAK POLIS DAN PEGAWAI PPS Pada 29hb Mei 2008, sekumpulan pegawai dari Perbadanan Perhutanan Sarawak telah mengunjngi kawasan sekatan dengan tujuan untuk membuang sekatan tersebut. Walau bagaimanapun, niat mereka itu dihalang oleh penduduk tempatan. Seterusnya SFC telah mengambil tindakan Mahkamah Majistret dan waran tangkap dikeluarkan. Dengan waran tersebut, beberapa pegawai polis dari Balai Polis Marudi telah dikerah ke kawasan sekatan pada 14hb Jun 2008. Setakat ini, belum ada sebarang tangkapan dibuat.


MASYARAKAT BERAWAN MENARIK PERHATIAN PELANCONG KE MULU PASAL MASALAH TANAH ADAT


MULU - Masyarakat Berawan dari Kampung Long Terawan, Tutoh telah melancarkan kempen kesedaran untuk menarik perhatian pelancong ke Taman Negara Gunung Mulu mengenai masalah rampasan dan pencerobohan tanah adat mereka yang dilakukan oleh Syarikat Borsamulu Resort Sdn. Bhd.


Kempen kesedaran tersebut dibuat di dalam kawasan Taman Negara bermula pada 20 April yang lalu dan beberapa ahli masyarakat Berawan telah mengedarkan risalah mengenai masalah mereka kepada pelancong-pelancong yang mengunjungi Taman Negara tersebut.


Menurut Willie Kajan, salah seorang daripada ahli penduduk Kampung Long Terawan yang mengedarkan risalah tersebut, mengatakan tanah adat milik kaum Berawan yang bersebelahan dengan Taman Negara tersebut telah dirampas oleh Syarikat Borsamulu Resort Sdn. Bhd. dengan tujuan untuk membina tempat peranginan dan padang golf.


Beliau menambah lagi, pihak Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Miri telah mengeluarkan sebuah geran hak milik sementara atau Provisional Lease (PL) kepada syarikat tersebut pada tahun 1993 tanpa pengetahuan penduduk kampung di situ.


“Kami hanya mendapat tahu bahawa status PL tersebut telah diubah kepada geran penuh pada tahun 2004, sekali lagi tanpa pengetahuan kami. Perbuatan Jabatan tersebut telah menyebabkan hak ke atas tanah adat kami hilang begitu sahaja”, beliau berkata.


“Masyarakat Berawan telah hidup dan tinggal di kawasan Sungai Tutuh dan Sungai Melinau sebelum pemerintahan Raja-Raja Brooke (1841 – 1946) lagi, dan tanah ini dimiliki mengikut adat-resam secara turun-temurun dari nenek-moyang kami”, tambah beliau.


“Oleh itu, kami merayu kepada anda semua untuk menolong kami menghentikan rompakan tanah adat kami,” kata beliau, Willie turut berharap agar mesej yang ditujukan kepada para pelancong tersebut dapat dibawa oleh mereka sampai ke luar negara.


“Bantulah kami dengan cara menghantar surat bantahan atau melakukan protes secara aman dengan apa cara yang anda mampu lakukan kepada pihak-pihak berkuasa di Sarawak dan Malaysia untuk menuntut supaya tanah adat kami dikeluarkan daripada geran Syarikat Borsamulu Resort Sdn. Bhd.”


Syarikat Borsamulu Resort Sdn. Bhd. Sebenarnya mempunyai kaitan dengan Ketua Menteri Sarawak, Pehin Seri Haji Abdul Taib Mahmud melalui adik beliau iaitu Raziah @ Rodiah Mahmud yang merupakan pemegang syer syarikat tersebut. Sebelum Taman Negara Gunung Mulu diwartakan sebagai Taman Negara, kawasan tersebut merupakan tanah adat milik masyarakat Berawan dan Penan. Tetapi apabila Taman Negara tersebut diwartakan pada tahun 1974 hak masyarakat Berawan dan Penan tidak diperdulikan.


“Nampaknya Kerajaan Negeri Sarawak hanya berminat untuk menjaga dan melindungi haiwan dan tumbuh-tumbuhan di dalam Taman Negara tersebut, tetapi masyarakat kami diabaikan”, kata Willie.


Masyarakat suku kaum Berawan merupakan sebuah suku kaum kecil yang tergolong di dalam suku kaum Orang Ulu di Sarawak.

ORANG ASAL DISABOTAJ


Miri – Pada bulan April lalu, 5 orang penduduk dari Kampung Wawasan Suai telah diarah untuk pergi ke Balai Polis Batu Niah dan kemudiannya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Miri bagi tujuan soal siasat.


Mereka yang ditahan ialah Edi Anak Ingah, Angking Anak Chundai, Awa, Awat dan juga Ketua Kampung Tuai Rumah Rajang Anak Sengalang. Menurut salah seorang penduduk, Amy Anak Alus, 5 orang penduduk terbabit telah dihubungi dan diarah oleh salah seorang Pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri untuk pergi ke Balai Polis Batu Niah bagi memberi kenyataan untuk membantu siasatan untuk kes yang berkaitan dengan penangkapan salah seorang penduduk kampung mereka yang bernama Siew Choon Siak atas tuduhan membawa pistol buatan sendiri tanpa lesen. Siew ditahan reman 3 hari sebelum kelima-lima yang lain ditahan.


Menurut Amy lagi, dakwaan polis terhadap Siew dan 5 orang penduduk tersebut adalah tidak berasas dan fitnah semata-mata dan ini berikutan sebab bantahan mereka (penduduk kampung) ke atas Syarikat Ladang Kelapa Sawit, Mega Jutamas Sdn.Bhd. BRIMAS mendapat tahu daripada mereka yang ditahan bahawa tidak ada seorang pun pegawai polis yang memberitahu mereka alasan kenapa mereka ditahan. Siew dan 5 orang yang lain dibebaskan tanpa tuduhan pada 21/04/08. Tetapi dengan jaminan polis. Namun begitu mereka diarah untuk melaporkan diri ke balai Polis Batu Niah tiap-tiap bulan.


BRIMAS juga turut mempersoalkan apakah motif penangkapan terhadap penduduk kampung tersebut memandangkan penahanan tersebut tidak telus dan tidak mengikut prosedur yang betul untuk menangkap seseorang.


Penduduk kampung Wawasan telah membantah terhadap pencerobohan Syarikat Ladang Kelapa Sawit ke kawasan tanah mereka semenjak tahun lepas, yang mana ianya memiliki status sebagai tanah asal (NCR). Syarikat Mega Jutamas telah mendapat kebenaran untuk pajakan sementara ( Provisional Lease) ke atas Lot 95, Sawai Land District oleh Jabatan Tanah dan Survei untuk tujuan penanaman kelapa sawit yang merangkumi kawasan seluas lebih kurang 2,145 hektar.


Penduduk kampung membuat bantahan kerana pekerja-pekerja Syarikat Kelapa Sawit tersebut memasuki dan memusnahkan tanaman padi dan kebun kelapa sawit yang diusahakan oleh penduduk kampung. Apa yang menyedihkan, penduduk kampung sendiri dihalang oleh pengawal keselamatan syarikat tersebut untuk memasuki kebun mereka sendiri.


BRIMAS mendapati kawasan tersebut tidak patut diganggu kerana mengikut pengesahan yang dibuat melalui laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA), kawasan kampung tersebut tidak boleh diganggu dan Provisional Lease (PL) yang diberikan kepada Syarikat Kelapa Sawit tersebut hanya diberikan ke atas kawasan tertentu dan tidak termasuk Kawasan Kampung Wawasan tersebut. Walaubagaimanapun, syarikat tersebut masih tidak mematuhi arahan yang tercatat di dalam laporan EIA dan masih meneruskan aktiviti pencerobohan mereka ke atas tanah di kawasan Kampung Wawasan terbabit.


Pada November tahun lepas, Tuai Rumah Rajang Anak Sengalang turut ditangkap dan ditahan 24 jam atas tuduhan menyerang seorang pekerja Indonesia yang bekerja dengan syarikat terbabit. Namun begitu, beliau menafikan tuduhan tersebut dan telah dibebaskan dengan ikat jamin polis dan kes terbabit masih lagi di dalam pemerhatian pihak polis. BRIMAS akan sentiasa memantau situasi dan mengikuti perkembangan kes terbabit dengan sidang akhbar tidak lama lagi.

PENEMUAN RANGKA KETUA ORANG PENAN, KELESAU NAAN


Ulu Baram,Miri-Pada 17 Disember 2007, seorang Ketua Penan berasal dari Long Sepigen bernama Thomas Pelutan, 40 telah menemui rangka tulang Ketua Penan berhampiran Sungai Seketa atau lebih dikenali dengan Sungai Segita. TK Kelesau Naan 79 ialah seorang Ketua Kampung Penan dari Long Kerong, Baram yang disedari hilang oleh orang kampungnya pada hujung bulan Oktober lalu iaitu pada tarikh 23.10.2007.


Menurut kenyataan isterinya, Uding Lidem TK Kelesau Naan telah pergi ke kawasan tidak jauh dari pondok kebun mereka untuk memeriksa jerat yang dipasangnya. Tetapi semenjak hari itu, TK Kelesau Naan tidak balik ke pondok ataupun rumah. Uding kembali ke kampung mereka lalu meminta bantuan orang-orang kampung untuk mencari TK Kelasau Naan. Setelah menjalankan usaha mencari selama seminggu oleh penduduk kampung, mereka mula berasa risau dan bimbang kerana takut TK Kelesau mati di bunuh kerana tiada sebarang tanda.


Menurut Thomas Pelutan, sewaktu beliau menemui rangka TK Kelesau, beliau sedang dalam perjalanan untuk memburu di sekitar kawasan Sungai Seketa. Lokasinya hanya setengah jam perjalanan kaki dari Long Sepigen dan mengambil masa 2 jam perjalanan kaki dari Long Kerong. Lokasi itu dipercayai merupakan tempat rehat oleh orang-orang kampung dari Long Kerong dan Long Sepigen sebelum mereka meneruskan lagi perjalanan memburu mereka. Sebaik saja Thomas menjumpai rangka tersebut dengan serta-merta dia pergi ke Long Kerong untuk memaklumkan berita tersebut kepada Pn.Uding. Sebaik saja mereka tiba di tempat kejadian, Pn.Uding mampu mengenalpasti segala harta milik suaminya yang masih tersangkut pada rangka tulang tersebut seperti jam tangan, kalung manik dan sarung parang.


Kematian TK Kelesau menimbulkan banyak kesangsian bahawa Kelesau bukan mati disebabkan kemalangan, namun beliau telah dibunuh. Menurut salah seorang saudara TK Kelesau yang bernama Martin Bujang, terdapat bukti yang mendiang telah dianiayai oleh pihak-pihak tertentu. Martin menambah lagi, pada akhir September yang lalu berlaku kekacauan di kawasan yang berhampiran kampung Ba’Lai. Ini berikutan insiden di mana pihak berkuasa yang bertindak untuk menghentikan blokade yang diadakan oleh penduduk kampung.


Martin mengimbas lagi, beberapa bulan sebelum kehilangan Kelesau, ada seorang wakil dari Samling yang memperkenalkan dirinya sebagai Sarah yang berumur 40 tahun. Wanita itu sering dikatakan kelihatan berjumpa dengan TK Kelesau Naan atas urusan yang melibatkan beberapa dokumen yang perlu ditandatangani. Namun wanita tersebut sering kali gagal mendapatkan tandatangan Ketua Penan itu.


Bermula Jun 2007, Kelesau kerap mengunjung sawah padinya dan hanya berada di rumah panjang pada hujung minggu sahaja. Sewaktu Sarah ingin mengadakan lawatan bertemu Kelesau, beliau dimaklumkan yang Kelesau tiada di rumah dan hanya ada pada hujung minggu sahaja. Pada hujung september 2007, Sarah tidak lagi berkunjung ke Long Kerong.


Menurut Martin lagi. dua minggu setelah kehilangan Kelesau Naan dilaporkan, 2 orang pemuda berbangsa cina datang ke Long Kerong menggunakan helikopter dan menawarkan wang berjumlah RM30,000 kepada masyarakat rumah panjang. Namun apa yang dianggap pelik oleh orang kampung, dua orang pemuda itu tidak mengharapkan apa-apa balasan dari penduduk kampung itu.


Laporan polis telah dibuat di balai polis Miri dan Marudi. Berikutan kejadian itu, orang kampung Penan di kawasan itu melarang dengan ketat kemasukan pihak-pihak tertentu terutama sekali pekerja-pekerja balak. Namun demikian, pelancong dan pelawat tidak dikenakan larangan sedemikian.