Thursday, October 28, 2010

Penduduk Baram Bimbang Bahana Empangan

Philip Jau menunjukkan berita muka depan akhbar tempatan bertarikh 27 Okt yang bertajuk ’Sekolah Mungkin Ditutup’ jika Sungai Rajang semakin cetek, yang membimbangkan lebih 20,000 penduduk di sepanjang Sungai Baram berikutan cadangan pembinaan Empangan Baram.

Ramli Bujang (tengah) memegang peta penempatan semula yang dicadangkan untuk penduduk Penan dan Kenyah yang terjejas berikutan cadangan pembinaan Empangan Murum.

28 Oktober 2010

Oleh Hazel Lee

MIRI — Lebih 20,000 penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Baram kini bimbang apa yang dihadapi penduduk di Sungai Rajang akan menimpa mereka sekiranya cadangan untuk membina Empangan Hidroelektrik Baram diteruskan.

Pengerusi Jawatankuasa Tindakan dan Perlindungan Baram (JTPB), Philip Jau berkata, penduduk Baram mendakwa mereka tidak pernah dalam sejarah menyaksikan penurunan paras Sungai Rajang yang begitu mendadak disebabkan penakungan air di Empangan Hidroelektrik Bakun.

“Kini mereka bimbang Sungai Baram akan mengalami nasib yang sama seperti Sungai Rajang. Mereka tidak mahu perkara itu berlaku kerana kehidupan penduduk di situ bergantung sepenuhnya dengan sungai,” katanya semasa sidang media di Hotel Telang Usan hari ini.

Menurut Philip, terdapat sekurang-kurangnya 20,000 penduduk Orang Ulu terdiri daripada kaum Kayan, Kenyah, Kelabit, Saban dan Penan dari ratusan rumah panjang dan kampung menetap di sepanjang Sungai Baram.

Antara kampung yang terjejas jika empangan itu diteruskan ialah Long Laput, Sungai Dua, Sri Kenawan, Uma Bawang, Long Miri, Long Pilah, Long Kesseh, Long Na’ah, Long Liam, Long San, Long Selatong, Long Apu, Long Julan Asal, Long Julan Pelutan, Long Anap, Long Palai, Long Je’eh, Long Moh, Long Sela’an, Long Semiyang, Long Beku, Ba’Abang, Long Tap dan Long Tebangan.

Tegas Philip, empangan yang meliputi keluasan 38,900 hektar itu menjejaskan kemudahan lain seperti lapangan terbang, sekolah dan klinik di Baram yang sebelum ini dibina menggunakan duit rakyat.

“Tambahan pula, tidak ramai penduduk Baram mengetahui secara mendalam mengenai empangan Baram. Walaupun pembinaan empangan itu masih dalam peringkat cadangan, namun kami berhak tahu dan membuat keputusan sama setuju atau sebaliknya projek itu dilaksanakan,” katanya.

Justeru ujar Philip, JTPB mahu kerajaan Negeri melihat perkara ini dengan serius dan menarik balik cadangan untuk meneruskan pembinaan empangan di Baram.

Dalam sidang media yang sama, Jawatankuasa Hal Ehwal Penan Peleiran-Murum (PEMUPA) mahu kerajaan Negeri membatalkan semua lesen pajak sementara untuk peladangan di kawasan tadahan Empangan Hidroelektrik Murum.

Ahli Jawatankuasanya, Ramli Bujang berkata, pembatalan itu perlu sebagai satu syarat dalam pembahagian tanah bagi kampung-kampung Penan sebelum mereka dipindah ke kawasan penempatan semula yang dicadangkan di kawasan Murum.

“Kami amat terganggu dengan apabila kawasan penempatan yang dicadangkan iaitu di Sungai Metalon telah dibahagi-bahagikan kepada sebuah syarikat untuk peladangan kelapa sawit tanpa pengetahuan kami.”

“Penebangan hutan oleh syarikat berkenaan di kawasan penempatan semula Metalon yang dicadangkan tersebut akan membawa kesan buruk ke atas kehidupan kami, ” kata Ramli.

Menurut Ramli, lebih 1,000 penduduk dari enam perkampungan Penan bakal terjejas berikutan Empangan Murum iaitu Long Wat, Long Singu, Long Luar, Long Tangau, Long Malim dan Long Pelutan (Menapa) serta penduduk Kenyah-Badeng di Long Umba.

Sebelum ini, penduduk Penan di Murum mencadangkan tiga kawasan penempatan semula iaitu di Sungai Metalon di Ulu Peleiran, Ulu Sungai Tegulang dan Ulu Malim-Danum.

Hadir sama Penyelaras Kebangsaan, Pakatan Konservasi Alam Sekitar Sarawak (SCANE), Raymond Abin dan Pengarah Eksekutif Institut Sumber Borneo Malaysia (BRIMAS) Mark Bujang dan peguam penasihat Abun Sui Anyit.

Sumber: Sarawak Update

URL: http://sarawakupdate.com/home/berita/pilihanraya-dun/penduduk-baram-bimbang-bahana-empangan/

Wednesday, October 27, 2010

Tangkapan 7 penduduk kampung di Sebuyau, tidak sepatutnya dilakukan

Kenyataan Persatuan Wanita Desa Sarawak (WADESA)

22 Oktober 2010

WADESA amat kesal dengan penangkapan 7 orang penduduk Sebuyau di Balai Polis Simunjan hari ini kerana atas tuduhan membakar lori, jentolak dan juga rumah pekerja kem.

WADESA mengatakan bahawa pihak penguatkusa dan polis langsung tidak membantu mengatasi masalah Orang Asal selaku mangsa, malah bertindak menangkap penduduk setempat, seolah-olah menyebelahi pihak Syarikat dan juga pengeluar lesen balak ke atas tanah adat Orang Asal (NCR) penduduk Kampung Sebuyau.

Penduduk Sebuyau memang telah lama membuat bantahan kepada Jabatan Perhutanan tentang pencerobohan hak ke atas tanah adat mereka. Tindak balas Jabatan Perhutanan memberikan lessen kepada syarikat pembalakan Quality Concrete Holdings menyebabkan kehidupan para penduduk semakin terancam dan konflik semakin menjadi. Kenapa laporan demi laporan yang dibuat oleh penduduk kampung tidak diperdulikan?

Seharusnya tugas pihak polis menangkap mereka yang merompak(syarikat Quality Concrete Holding), kerana Syarikat Quality Concrete yang menceroboh kawasan tanah milik orang kampung. Kenapa Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia tidak menyiasat bagaimana Raziah Mahmud , adik kepada ketua Menteri Sarawak menjadi pengarah syarikat tersebut?

Pihak Polis seharusnya mengambil tindakan menjaga keselamatan orang kampung yang menjadi mangsa keadaan. Bukannya menangkap orang kampung yang mempertahankan tanah Adat mereka dari dirampas. Ini adalah tindakan salah guna kuasa.

Penduduk Kampung sebuyau sepatutnya diberikan hak untuk memiliki tanah adat mereka sendiri seperti yang terkandung dalam Deklarasi Hak Orang Asal Antarabangsa UNDRIP, Artikel 26: Orang Asal berhak ke atas tanah, wilayah dan sumber-sumber yang telah dimiliki oleh kita secara tradisional dan kerajaan mesti mengiktirafkan dan megesahkan hak ini secara rasmi. Artikel 29 juga menyentuh tentang Orang Asal berhak kepada pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar tanah dan sumber-sumber mereka.

WADESA meminta agar pihak Polis membebaskan tangkapan mereka terhadap penduduk kampung dengan serta merta. Dan minta agar Syarkat Quality Concrete Holding berhenti mengambil balak di kawasan tanah Adat penduduk kampung Sebuyau.


Kenyataan ini dikeluarkan oleh

Pn Hellan Empaing begin_of_the_skype_highlighting end_of_the_skype_highlighting
Pengerusi WADESA
0198943191

Wednesday, October 13, 2010

Tahabas bidas kenyataan Naroden


30 September 2010

Oleh Hazel Lee

MIRI —Jaringan Tanah Hak Adat Bangsa Asal Sarawak (TAHABAS) mempunyai banyak bukti bahawa Kerajaan Negeri pernah mengambil tanah hak adat Bumiputera (NCR) dari masyarakat orang asal tanpa izin dan makluman awal, bebas dan telus.

Presiden baru TAHABAS, Romuald Siew berkata, kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh wakil kerajaan Negeri sejak kebelakangan ini yang tersiar dalam akhbar-akhbar tempatan berkenaan isu NCR adalah penuh pembohonan dan berniat buruk untuk mengelirukan rakyat.

Beliau merujuk kepada kenyataan sebuah akhbar oleh Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber Sarawak, Mohd Naroden Majais yang mengatakan kerajaan tidak akan mengembalikan tanah NCR kerana kerajaan negeri tidak pernah mengambil tanah tersebut.

“Jika benar Kerajaan Negeri tidak pernah mengambil tanah NCR, kenapakah pada masa sekrang terdapat lebih 200 kes perbalahan tanah NCR difailkan di mahkamah-mahkamah Sarawak?.”

“Bilangan masyarakat orang asal yang terpaksa mengambil tindakan undang-undang mempertahankan NCR pula semakin hari semakin bertambah. Ini belum lagi termasuk kes-kes yang belum difailkan,” katanya semasa sidang media di pejabat Tahabas di sini hari ini.

Hadir sama Penyelaras Kebangsaan, Pakatan Konservasi Alam Sekitar Sarawak (SCANE) merangkap Pengarah Program Institut Sumber Borneo Malaysia (BRIMAS), Raymond Abin dan Naib Presiden Tahabas yang juga Pengerusi Jawatankuasa ProtemTindakan Rakyat Baram (JTRB), Philip Jau.

Katanya, bukti ini adalah di mana Kerajaan Negeri mengeluarkan beberapa geran hak milik sementara (Povisional Lease) kepada syarikat-syarikat swasta dan agensi-agensi pembangunan untuk perladangan di seluruh Sarawak membabitkan beribu-ribu hektar tanah NCR orang asal.

Beliau turut membidas kenyatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Lihan Jok yang mengatakan Empangan Baram adalah sebuah anugerah Tuhan untuk masyarakat Orang Ulu.

“Bagaimanakah Empangan Baram yang akan membinasakan khazanah alam, menenggelamkan sebahagian besar NCR dan hutan serta perpindahan paksaan dari kampung dikatakan anugerah Tuhan? Ini sangat lucu,” katanya.

Philip berkata, dia amat kesal kerana nama Tuhan diperalatkan dan diheret demi mendapat sokongan rakyat untuk menyokong pembinaan projek empangan itu.

“Hentikan serta merta memperalatkan nama Tuhan demi menuntut sokongan terhadap projek empangan Baram kerana ramai rakyat yang terjejas menolak sekeras-sekerasnya projek tersebut,” katanya.

Sementara itu Kempen Tandatangan Penduduk Baram oleh JTRB yang sebulat suara membantah projek pembinaan Empangan Baram di kawasan mereka setakat ini berjaya mengumpul lebih 3,000 tandatangan.

Kempen yang dilancarkan sejak Mac tahun itu itu bukan sahaja ditandatangani penduduk Baram, bahkan penduduk dari seluruh Sarawak dari kawasan diluar Baram.

Menurut Philip, sekiranya empangan itu diteruskan, sekurang-kurangnya lapan buah rumah panjang akan terjejas dan perlu ditempatkan semula.

Kampung itu ialah Long Na’a, Long Liam, Long San, Selatong Kanan, Long Anap, Long Palai dan Long Jeeh di pertengahan Baram membabitkan keluasan kira-kira 389,000 hektar atau hampir menyamai saiz Singapura.

Sumber: Sarawak Update

URL: http://sarawakupdate.com/home/local-news/tahabas-bidas-kenyataan-naroden/