Showing posts with label Sebana Menoa Vol. 2 - 2008. Show all posts
Showing posts with label Sebana Menoa Vol. 2 - 2008. Show all posts

Sunday, November 16, 2008

ISU PEREMPUAN PENAN DIROGOL

Oktober - Baram. Kenyataan akhbar tentang isu perempuan Penan yang dirogol di Long Kawi, Baram semenjak dari bulan September 2008 telah mendapat perhatian hangat semua pihak. Kenyataan pertama yang dikeluarkan oleh Bruno Manser Foundation (BMF) sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan(NGO) dari Switzerland, bahawa terdapat seorang gadis Penan yang dirogol oleh seorang pekerja kem pembalakkan ketika mangsa dalam perjalanan ke sekolah di Long Lama, tetapi malangnya gadis Penan tersebut tidak dihantar sampai ke sekolah, tetapi telah dirogol oleh pemandu tersebut sehingga menyebabkan gadis tersebut mengandung.

Rentetan dari kenyataan tersebut, pelbagai berita dan keyataan yang dikeluarkan oleh pihak pemberita, NGO dari dalam dan luar negeri, internet dan juga ulasan-ulasan dari pihak kerajaan mengenai perkara tersebut.

Pengerusi Persatuan Wanita Desa Sarawak (WADESA) Cik Hellan Empaing turut tidak ketinggalan mengikuti perkembangan berita tersebut. Beliau sempat menemuramah beberapa Tua Kampung dari beberapa buah kampung di sekitar Apoh baru-baru ini.

Menurut TK Alah Beling dari Long Belok, suatu ketika dahulu di kampung beliau pekerja-pekerja di kem-kem pembalakkan seringkali meniduri gadis Penan tanpa ada ikatan perkahwinan yang sah. Perhubungan luar batasan dan bukan atas dasar perkawinan itu akhirnya akan menyebabkan gadis tersebut mengandungkan anak yang tidak mempunyai ayah, kerana lelaki tersebut hanya ingin mengambil kesempatan sekadar memuaskan hawa nafsu dan tidak bertanggungjawab.

Setakat ini menurut TK Alah, terdapat sekurang-kurangnya lima orang perempuan Penan di kampung beliau menerima nasib malang tersebut. Tetapi kebanyakkan peristiwa tersebut telah lama berlaku dahulu, kini mereka ini telah memulakan kehidupan baru berkahwin dengan lelaki sama kaum.

Perbualan bersama TK Ajang Kiew dari Long Sayan juga mengakui bahawa, kebanyakkan pekerja-pekerja kem pembalakkan seringkali menimbulkan masalah dengan menganggu perempuan-perempuan Penan di kampung. “ Mereka seringkali datang masuk ke kawasan kampung dalam keadaan mabuk-mabuk, membawa minuman beralkohol dan bermalam di rumah-rumah perempuan Penan” kata TK Ajang. Sebagai TK, Ajang bertindak menghalau mereka agar tidak menganggu perempuan-perempuan Penan dengan tidak beradat.

Menurut Cik Hellan, ini adalah satu perbuatan yang amat menyedihkan kaum wanita, kerana perbuatan seperti pekerja kem pembalakkan tersebut adalah salah satu perbuatan yang berdosa di sisi agama. Kaum lelaki seperti mereka tidak sepatutnya mengambil kesempatan di atas kelemahan kaum wanita, terutamaya kaum wanita Penan yang agak mundur dari segi pendidikan.

Masalah ini berpunca daripada kemasukkan pencerobohan pembalakan di kawasan Baram sejak dari tahun 1970-an lagi atau lebih awal dari itu. Pencerobohan tersebut bukan hanya menceroboh hak Penan ke atas tanah, sumber, hutan, sungai malah kini kita nampak kesannya mengancam keselamatan dan maruah kaum wanita Penan.

Kini pihak syarikat perladangan dan juga pihak kerajaan telah mula membawa kemasukan perladangan kelapa sawit dan juga penanaman kayu kertas ke kawasan Baram termasuk dalam kawasan tanah adat kaum Penan (NCR). Ini sudah pasti akan menambahkan lagi masalah ke atas kehidupan kaum Penan setelah hutan mereka habis musnah ditebang oleh syarikat pembalakan. Risikonya, kemasukan buruh atau pendatang asing di kawasan ladang-ladang ini nanti pasti akan mengancam keselamatan kaum Penan, terutamnya golongan gadis dan remaja.

Bagi pihak WADESA, Cik Hellan memohon agar pihak kerajaan dan pihak yang bertanggungjawap menyiasat perkara ini dengan adil, bukan hanya menepis kenyataan yang diutarakan. “kerana masakan pokok bergoyang jika tiada angin”.

Kerajaan diharapkan dapat menjalankan kewajipan menanggani masalah ini dan juga mencegah perkara lain terjadi pada masa-masa akan datang demi menjaga maruah kaum wanita Penan.

Cik Hellan juga berharap agar isu pencerobohan tanah NCR kaum Penan dan apa juga bentuk pembangunan yang akan dijalankan oleh kerajaan ke atas tanah adat kaum Penan, tidak harus dijalankan tanpa memaklumkan awal dan meminta keizinan daripada kaum Penan. Kerajaan seharusnya menghormati hak kaum Penan ke atas tanah mereka, supaya peristiwa-peristiwa yang tidak diingini berlaku seperti ini tidak timbul.

BENGKEL NASIONAL ANJURAN JARINGAN ORANG ASAL SEMALAYSIA ( JOAS ) DI KUALA LUMPUR

Kuala Lumpur, – Jaringan Orang Asal Semalaysia (Joas) telah mengadakan bengkel nasional telah diadakan di Galeri Annexe, Central Market pada 10 Sept – 13Sept 2008.

Bengkel tersebut diadakan untuk membincangkan hasil kajian berkenaan undang-undang dan polisi pembangunan yang menberi kesan kepada Orang Asal di Malaysia. Selain itu, bengkel ini juga bertujuan untuk menghasilkan satu memorandum berkenaan hak-hak Orang Asal di Malaysia untuk diserahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agung pada 13 Sept 2008 sempena ulang tahun pertama UN DRIP diterima di Persidangan Umum Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Tema bengkel tersebut adalah “Bersama Merayakan Deklarasi Hak Orang Asal Antarabangsa : Menuntut Perlaksanaan Diperingkat Tempatan”.

Bengkel tersebut dirasmikan oleh Datuk Dr. Denison Jayasooria, Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) pada pagi 10 Sept 2008. Sebelum upacara bermula, upacara perasmian simbolik dilakukan oleh ketua-ketua adat dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia. Tayangan tentang perjuangan seorang ketua Penan, TK Kelesau, yang menerima anugerah “Asia Indigenous Human Right Defender” kerana perjuangan mempertahankan tanah dan hak kaum Penan di kawasannya sehingga beliau mati dibunuh. Anugerah tersebut diberikan kepada beliau sebagai memperingati jasa dan keberanian beliau .

Antara isu-isu yang dikaji dan dibentangkan dalam bengkel nasional ini adalah seperti Undang-undang Tanah dan Sumber Semulajadi, Undang-Undang dan Adat dan Polisi Pembangunan Kerajaan.

Selain bengkel, pameran-pameran berkenaan Orang Asal dan gerai-gerai menjual kraftangan juga disediakan sepanjang bengkel nasional tersebut berjalan. Selain itu, para peserta bengkel juga turut disajikan dengan tayangan filem bekenaan masalah yang menimpa Orang Asal di seluruh Malaysia.

Pada 13 Sept 2008, perarakan untuk penyerahan memorandum kepada DYMM YDP Agung dimulakan pada jam 10 pagi dari Galeri Annexe, Central Market, Kuala Lumpur. Walaubagaimanapun impian untuk menyerahkan memorandum tersebut hampa kerana perarakan tersebut telah dihalang oleh pihak polis. Alasan yang diberi oleh pihak polis, adalah permohonan permit perarakan tidak diluluskan. Rayuan dan permohonan agar perarakan tersebut diteruskan tidak dihiraukan, sehingga Orang Asal terpaksa bersurai dan berpatah balik ke Central Market dengan suara, nyanyian dan reaksi yang sangat hampa.

Kehampaan semua Orang Asal tersebut tidak akan mematahkan semangat perjuangan Orang Asal. Malah ianya akan menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan membakar semangat perjuangan Orang Asal. JOAS yang di pengerusikan oleh En.Andrian Lasimbang ditubuhkan oleh pelbagai organisasi orang asal di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum untuk memperkukuhkan Jaringan Orang Asal di Sabah, Sarawak dan juga Semenanjung Malaysia.



LAWATAN KE KAMPUNG LEBOR DAN KAMPUNG REMUN

Kampung Lebor- 10hb August 2008, Presiden WADESA Cik Hellan serta rakan-rakannya telah mengadakan satu lawatan ke Kampung Lebor dan juga kampung Remun yang terletak di Serian. Kedatangan mereka di sambut oleh Puan Angelia yang merupakan naib presiden WADESA 2008. Seramai 25 orang dari kampung Remun dan 31 orang dari Kampung Lebor yang hadir di mesyuarat tersebut.

Tujuan lawatan tersebut diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan di antara semua ahli terutamanya kaum wanita di kampung tersebut. Melalui ucapan yang disampaikan oleh Presiden WADESA juga diharap dapat membuka minda kaum wanita agar berusaha menimba ilmu pengetahuan terutamanya dari segi maklumat tentang hak asasi manusia. Dengan kesempatan ini juga Cik Hellan turut menjelaskan lebih lanjut lagi berkaitan dengan tujuan penubuhan WADESA dan juga peranannya.

Dalam perjumpaan tersebut, mereka turut berkongsi cerita mengenai isu wanita dan juga isu semasa bersama dengan kaum wanita di dua buah kampung tersebut.

Setakat ini, WADESA kampung Lebur telah bergiat aktif dalam membuat kraftangan, bercucuk tanam dan juga menanam padi sebagai aktiviti mereka. Setakat ini, WADESA juga membantu kaum wanita mempromosikan hasil kraftangan kepada orang ramai, melalui aktiviti seperti mesyuarat, forum dan bengkel. Tujuannya adalah untuk menggalakkan kaum wanita bergiat dalam aktiviti yang membolehkan mereka menambahkan pendapatan sampingan dan juga mengekalkan pengetahuan asal.

Pertemuan singkat tersebut mendapat sambutan yang amat baik dari semua ahli persatuan WADESA. Cik Hellan berharap melalui aktiviti dan persatuan seperti ini dapat menbina keupayaan kaum wanita agar seiring dengan kaum lelaki, terutamanya dalam mempertahankan hak kita sebagai Orang Asal agar tidak ditindas.

Mereka amat berharap agar WADESA akan lebih kerap lagi menganjurkan aktiviti dan berkunjung untuk memantau keadaan semasa aktiviti mereka.





PERBINCANGAN TENTANG MASALAH MEROBOH RUMAH YANG DILAKUKAN JABATAN TANAH & SURVEI


19 Julai 2008 – Bakun, lebih kurang 200 orang penduduk berkumpul di Rumah Uma Sambob, Long Semutut, Ulu Belaga untuk membincangkan masalah meroboh rumah yang dilakukan oleh Jabatan Tanah & Survei bermula dari 16hb Julai 2008 di sepanjang 200 KM Jalan Bintulu-Bakun. Penduduk kampung yang telah diroboh rumah mereka dituduh oleh kerajaan menduduki tanah kerajaan secara haram.

Perbincangan tersebut dihadiri oleh beberapa orang peguam seperti En. Paul Raja, En. Ali Basah, En. Janting Antalai, dan wakil-wakil NGOs seperti BRIMAS, IPDC, ketua-ketua kaum dan wakil-wakil dari kampong yang terlibat dalam kesusahan tersebut.

Tindakan meroboh rumah tersebut telah dilakukan ke atas beberapa buah yang diduduki oleh kaum Kenyah dan Kayan, seperti Uma Juman, Uma Sambob, Uma Bakah, Uma Apan dan lain-lain. Ada di antara penduduk kampung yang diroboh rumah telah menetap di kawasan Tanah Adat mereka tersebut selama 130 tahun.

Menurut seorang peguam yang berasal dari sebuah kampung yang terlibat iaitu En. Ali Basah, penduduk kampung telah menerima notis untuk mengosongkan tanah dan juga rumah pada bulan Oktober 2007. Setelah menerima notis tersebut, penduduk kampung terus membawa masalah tersebut ke mahkamah untuk tindakan undang-undang agar kerajaan menghentikan hasrat mereka untuk meroboh rumah penduduk kampung di kawasan seperti yang dinyatakan dalam notis. Tetapi kerajaan tidak menghiraukan surat yang dibawa ke mahkamah malah, melancarkan operasi meroboh rumah secara besar-besaran dengan membawa 30 buah kenderaan penguatkuasa Jabatan Tanah & Survei dan juga tiga buah jentera berat untuk menebang dan meroboh rumah, tanpa ada perasaan simpati.

Rintihan penduduk..

“Saya cuba menghalang mereka dari terus meroboh rumah saya, tetapi saya tidak mampu menghalang mereka apabila mereka menahan saya”, menurut Jo anak Madang, 78 tahun merupakan salah seorang penduduk kampung yang diroboh rumah. Dia menyatakan ini merupakan satu peristiwa pahit di sepanjang hidupnya dengan menyaksikan penguatkuasa Jabatan Tanah & Survei menebang dan meroboh rumahnya tanpa menghiraukan rayuan dan halangan daripadanya. Jo menambah, pihak Jabatan Tanah & Survei tidak pernah datang ke tempat mereka untuk mengadakan sebarang rundingan dan tiada sebarang keputusan dibuat.

Menurut Pn. Ping Mering dari Rumah Apan, pihak penguatkuasa Jabatan Tanah & Survei bertindak memecahkan pintu-pintu rumah sewanya pada 16 hb Julai sekitar jam 12:00 tengahari. Melihat keadaan dan kekejaman yang berlaku, Pn. Ping Mering pun berteriak dan menangis. Melihat keadaan itu berlaku, Jabatan Tanah & Survei pun memberhentikan niat mereka untuk meroboh rumah sewa milik Pn. Ping Mering. “Saya telah mendirikan rumah di kawasan Tanah Adat ini lebih kurang 10 tahun, dan rumah sewa inilah yang menjadi sumber pendapatan utama keluarga saya. Sekiranya ia dirobohkan, di manakah tempat saya sekeluarga menampung hidup”, menurut Pn. Ping Mering.

Menurut seorang lagi penduduk kamupung iaitu Pn Merara Anak Nyalong, “Jabatan Tanah & Survei amat kejam. Mereka mengeluarkan sebahagian barang-barang dari dalam rumah kami sehigga menyebabkan kebanyakkan barang-barang kami rosak dan pecah.” Pn Merara anak Nyalong juga berasa amat terkilan dengan tindakan kerajaan yang tidak berperikemanusiaan terhadap Orang Asal yang tinggal di tanah Adat mereka.

Harapan mereka..

“Kami mahu pihak polis mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Jabatan Tanah & Survei, kerana mereka telah melakukan keganasan terhadap kami dan juga harta milik kami”. kata Patrik Keming iaitu salah seorang ketua masyarakat penduduk Uma Juman.

Semua penduduk juga amat mengharapkan agar kerajaan bersikap lebih prihatin dan menghormati Tanah Adat yang dimiliki oleh orang asal tanpa menuduh, menghalau dan meroboh rumah milik orang asal sesuka hati.

Setakat ini, ada di antara kampung yang terlibat telah membawa perkara ini ke peringkat mahkamah dan masih menunggu keputusan perbicaraan.

MAJLIS MAKAN MALAM NGILING BIDAI 2008


5 Julai 2008 – Sibu, Jaringan Tanah Adat Hak Bangsa Asal Sarawak (TAHABAS) telah mengadakan Majlis Kaman Malam Ngiling Bidai diadakan di YMCA Camp Resort Sibu. Lebih kurang 300 orang tetamu telah hadir ke majlis tersebut dengan tujuan untuk mendengar ceramah dan memperkukuhkan jaringan TAHABAS di antara semua Orang Asal. Ceramah telah disampaikan oleh penceramah jemputan khas iaitu En. Harrison Ngau, En. Baru Bian, En. Majen Panyog dan YB Dominic Ng.


Pada sesi sebelah pagi, BRIMAS turut mengadakan Bengkel Masyarakat yang berkaitan dengan Deklarasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP) yang dibentang oleh En. Mark dan juga, kesan pembangunan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) ke atas hak Orang Asal yang dibentang oleh En. Raymond.


Majlis makan malam turut diselang-selikan dengan hiburan daripada kebudayaan dan nyanyian seperti tarian dan nyanyian Wak Bong dari kaum Orang Asli, tarian dan nyanyian Kadazan Dusun dari Sabah, tarian ethnik kaum Iban dan orang Ulu dari Sarawak dan sesi perkongsian “Suara emas” dari semua peserta. Majlis tersebut turut diserikan dengan nyanyian lagu rasmi TAHABAS yang dicipta oleh En. Bruka, yang bertajuk ”Tanah Kami Nyawa Kami”.


Sebelum majlis berakhir, penyampaian cenderahati beserta cabutan tiket bertuah turut dilakukan. Dengan kesempatan ini TAHABAS ingin menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua yang menyumbang dan membantu menjayakan Majlis Makan Malam Ngiling Bidai 2008.


ORANG ASAL BANTAH DI DEPAN PEJABAT RESIDEN


Miri, 27 Jun 2008 - Seramai 320 penduduk asal dari rumah panjang Pee Millo, Sungai Sebelayau di daerah Suai yang terletak 100 km di Selatan Bandaraya Miri, yang diberi notis pengusiran oleh Pejabat Tanah dan Survei Miri telah mengadakan satu bantahan secara aman di depan Pejabat Residen Miri.

Penduduk asal telah diberi perintah mahkamah untuk mengosongkan rumah panjang mereka selepas Pejabat Tanah dan Survei memperuntukkan kawasan kediaman mereka kepada syarikat gergasi kelapa sawit iaitu Syarikat Bustrasemari Sdn Bhd iaitu anak syarikat Ta Ann Sdn Bhd untuk projek perladangan yang menggunakan 2,000 hektar tanah.

Akan tetapi penduduk asal tersebut mendakwa bahawa mereka mempunyai status hak tanah adat (NCR) kerana mereka telah mendiami kawasan tersebut selama lebih 35 tahun dan mereka juga mempunyai kebenaran bertulis dari Pegawai Daerah Sarikei untuk menduduki kawasan tersebut.

Penduduk yang terdiri daripada warga tua, kaum wanita dan kanak-kanak, datang berarak dan berkhemah di depan Pejabat Residen Miri kerana mereka tiada tempat berteduh akibat daripada notis pengusiran tersebut. Tuai Rumah Pee Millo hanya diberikan masa selama 5 minit untuk berucap sebelum dihentikan oleh pihak polis. Tuai Rumah Pee Millo dan beberapa orang wakil dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dibawa ke balai polis pusat Miri untuk disoal siasat. Selain itu juga, seorang wakil pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) En. Nicholas Mujah juga turut dibawa ke balai polis tersebut untuk disoal siasat.

Selepas berhimpun selama 5 jam akhirnya pihak pejabat Residen membenarkan rundingan dibuat di antara para penduduk rumah Pee Millo dengan wakil Residen Miri, wakil Pegawai Daerah Miri, Ketua Polis Daerah Miri dan para pegawai Jabatan Tanah dan Survei. Para penduduk rumah Pee Millo diwakili oleh peguam mereka iaitu En.Harrison Ngau.

Hasil daripada rundingan tersebut Jabatan Tanah dan Survei memberi penangguhan jangka pendek iaitu 48 jam untuk tidak mengusir para penduduk rumah panjang atas dasar kemanusiaan. Pihak kerajaan memberi tempoh 48 jam kerana mereka sendiri tidak dapat membuat keputusan dan perlu berunding sekali lagi dengan pihak atasan. Ketua Polis Daerah Miri meminta penduduk asal kampung rumah panjang balik ke rumah mereka dengan jaminan keselamatan mereka tidak akan diganggu.

Semasa ditemubual selesainya rundingan tersebut, En. Harrison Ngau mengatakan, “Kenapa syarikat berkenaan tidak melakukan projek perladangan mereka di tempat tiada orang asal duduki? Ke mana penduduk miskin ini harus pergi selepas mereka diusir? Mereka tiada rumah lain dan juga tidak mempunyai wang” .

Setakat ini para penduduk rumah Pee Millo dibenarkan untuk tinggal di rumah panjang dan bercucuk tanam di tanah temuda / kebun mereka. Syarikat Butrasemari Sdn Bhd berjanji tidak akan menceroboh kawasan kubur, temuda dan kebun yang sedia ada sehingga keputusan perbicaraan telah didapati di Mahkamah Tinggi Miri. Begitu juga dengan penduduk kampung dilarang untuk membuka kawasan tanah / kebun baru di dalam Lot 97 Sawai Land District sehingga keputusan perbicaraan telah diputuskan.










MASYARAKAT BIDAYUH MENDAPAT INJUKSI BAGI MENGHALANG PENCEROBOHAN KE ATAS TANAH ADAT

KUCHING 26 June 2008 : Mahkamah Tinggi hari ini telah mengeluarkan injuksi kepada pemegang lesen kauri Syarikat Naim Cendera Lapan bagi menghalang mereka dari menceroboh masuk ke dalam tanah adat bumiputera masyarakat Bidayuh di Kampung Bengoh.

Injuksi yang memihak kepada tujuh Plaintif dari Kampung Bengoh adalah untuk menghentikan pencerobohan Syarikat Kuari tersebut sementara menunggu perbicaraan sebenar.

Hakim Mahkamah Tinggi, David Wong Dak Wah telah mengeluarkan injuksi dan menetapkan pada 14 Julai 2008 untuk tarikh perbicaraan permohonan injuksi sebenar. Injuksi ini memerintahkan syarikat terbabit untuk memberhentikan kerja-kerja pembersihan termasuk mengambil batu-batu dari kawasan pertikaian tersebut. Dipercayai batu-batu tersebut diambil untuk pembinaan empangan takungan air yang terletak di suatu kawasan lain.

Pembinaan empangan takungan air tersebut dibina untuk menyimpan dan membekalkan air ke kawasan sekitar Bandaraya Kuching dan dijangka siap pada tahun 2010.

Menurut permohonan pihak plaintif, tanah adat bumiputera meliputi kawasan ladang, hutan simpan komunal yang terlatak di banjaran gunung yang dikenali sebagai Derod Mawah dan satu lagi kawasan ladang yang terletak di kaki gunung yang dikenali sebagai Tama Sipunged. Naim Cendera Sdn Bhd yang memiliki lesen kuari dibawah nama Naim Cendera Lapan Sdn Bhd, merasa amat terkejut dengan keputusan mahkamah yang meluluskan permohonan injuksi ke atas mereka.

ISU WANITA PENAN BA PUAK, BARAM


Ba Puak merupakan Kampung Penan yang terletak di kawasan Long Selulung iaitu Ulu Baram, Sarawak. Ia merupakan salah sebuah kampung Penan yang masih mengamalkan kehidupan berpindah randah (Normadik). Ba Puak terletak kira-kira 4 jam perjalanan menggunakan kereta dari pekan terdekat iaitu Long Bedian.


Kaum Penan di Ba Puak terdiri daripada 15 buah keluarga, 14 orang daripada penduduknya adalah kaum wanita dan ini tidak termasuk kanak-kanak. Bagi kaum wanita Ba Puak, mereka juga menjalankan aktiviti harian tersendiri seperti kaum wanita orang asal lain di Sarawak.


Selain bercucuk tanam, mereka juga melakukan aktiviti seperti membuat kraftangan, namun kini mereka jarang dapat menghasilkan kraftangan yang banyak kerana menurut salah seorang penduduk wanita di sana, sumber hutan mereka seperti rotan tidak lagi terdapat di kawasan sekitar yang berdekatan dan jika ada pun, akan mengambil masa beberapa jam perjalanan kaki untuk mendapatkan rotan yang terletak jauh di dalam hutan.


Bagi wanita Penan, hutan adalah ibarat supermarket kepada mereka. Kini apabila hutan mereka musnah akibat aktiviti pembalakan dan juga aktiviti lain seperti projek pembinaan paip gas yang turut menceroboh kawasan sempadan mereka, pelbagai kesan buruk dialami oleh kaum penan Normadik ini seperti kepupusan sumber makanan, sumber ubat-ubatan dan sumber-sumber kraftangan.


Kaum Penan normadik ini juga agak ketinggalan dari segi tahap pendidikan memandangkan mereka belum ada kemudahan sekolah disediakan berdekatan dengan kawasan mereka. Selain itu, mereka juga turut risau akan bahayanya projek pembinaan paip gas yang melintas kawasan hutan mereka, sekiranya berlaku kebocoran pada paip gas tersebut, seluruh kawasan mereka akan terjejas dan ini sekaligus akan memusnahkan sumber hutan mereka.


Kini kaum wanita Penan juga mengakui bahawa kini mereka semakin sukar mencari sumber makanan dan mereka hanya mampu bergantung sepenuhnya dengan kaum lelaki ini kerana mereka tidak mampu berjalan jauh ke dalam hutan untuk mencari sumber makanan serta ubat-ubatan. Begitu juga dengan sungai yang dulunya jernih kini bertukar keruh terutamanya ketika hujan ini menyebabkan air sungai tidak selamat untuk diminum.


Kaum Penan normadik ini berharap agar ada pihak yang prihatin terhadap kehidupan mereka terutama kanak-kanak dan juga kaum wanita mereka. Mereka juga berharap agar ada pihak yang sudi mengajar mereka mengenai aktiviti bercucuk tanam untuk tumbuhan yang pelbagai terutamanya bagaimana menanam padi kerana mereka tidak pernah dan tidak tahu menanam padi. Selain itu, mereka juga berharap agar mereka dapat dibekalkan benih-benih tanaman seperti pisang, jagung, terung dan sebagainya dan akhir sekali mereka sangat berharap ada pihak yang sudi melihat sendiri bagaimana kehidupan dan aktiviti wanita Penan di Ba Puak dan agar dapat membuka peluang mereka untuk belajar dan berkongsi pengetahuan dengan wanita asal lain di seluruh Sarawak terutamanya.