Tuesday, February 24, 2009

Ratusan Ikan Mati di Batang Baram


Oleh: Raymond Abin, 20 Februari 2009

MIRI - Institut Sumber Borneo Malaysia (BRIMAS) amat terkejut dengan satu lagi kejadian kematian misteri ikan-ikan di Sarawak. Sejak beberapa hari yang lalu, ratusan ikan ditemui mati di Batang Baram, terutamanya di kawasan sekeliling Kuala Baram.

Para pegawai BRIMAS telah turun padang untuk menyiasat kawasan tersebut dan terkejut melihat beberapa spesis ikan air tawar timbul dan hampir mati di sungai tersebut. Antara spesis ikan-ikan yang ditemui mati ialah ialah ikan baung, burih, tapah dan padi. Beberapa spesis udang juga ditemui mati.

Hasil daripada pemerhatian BRIMAS, kebanyakkan ikan-ikan tersebut berada dalam keadaan yang lemah dan sukar untuk bernafas. Oleh sebab itu, ikan-ikan tersebut timbul ke permukaan air untuk bernafas tetapi setelah beberapa lama ikan-ikan tersebut akan mati kerana kesesakan nafas. Ikan-ikan tersebut juga didapati buta.

Para pegawai BRIMAS telah memeriksa ikan-ikan yang mati terutamanya insang ikan-ikan tersebut dan mendapati tiada lumpur tersekat di situ. Perut ikan-ikan tersebut didapati berair.

Keadaan Batang Baram didapati berlumpur. Menurut beberapa penduduk tempatan yang ditemui di Kuala Baram, keadaan Batang Baram sejak beberapa tahun ini kelihatan tercemar dengan lumpur dan warna air tersebut kelihatan warna coklat disebabkan oleh kegiatan pembalakan, perladangan kelapa sawit dan kilang-kilang industri yang terdapat di hulu Batang Baram.

Para pegawai BRIMAS telah mendapatkan sampel air dari Batang Baram untuk siasatan dan tindakan lanjut.

BRIMAS bimbang dengan keselamatan para penduduk kampung yang terletak di sepanjang tebing Batang Baram. Para penduduk tersebut terdedah kepada bahaya pencemaran air sungai disebabkan pergantungan penuh mereka terhadap sumber air dan ikan di Batang Baram untuk kehidupan seharian mereka.

BRIMAS telah melihat para penduduk tersebut mengambil ikan-ikan yang mati di Kuala Baram dan bimbang dengan risiko kesihatan mereka memakan ikan-ikan tersebut. BRIMAS juga bimbang dengan penjualan ikan-ikan tersebut di pasar-pasar tempatan di Miri. Orang-orang awam mungkin tidak sedar mereka telah membeli ikan-ikan yang mungkin tercemar dan boleh memudaratkan kesihatan mereka.

BRIMAS juga mendapati bahawa kematian ikan secara besar-besaran ini bukan sahaja berlaku di Batang Baram malah juga di sungai-sungai utama di seluruh Sarawak. Kematian misteri ikan-ikan ini juga dilaporkan dua kali di kawasan Empangan Bakun di Belaga, sekali di kawasan Balleh dan pada minggu lepas di sepanjang Batang Mukah.

Dengan insiden terbaru di Kuala Baram, berdasarkan siasatan dan kajian di lapangan, BRIMAS telah mengenal pasti punca dan orang-orang yang bertanggungjawab menyebabkan berlakunya insiden ini. Akan tetapi, pada saat ini, BRIMAS tidak akan menuduh sesiapa dan membiarkan pihak-pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara bebas terlebih dahulu.

BRIMAS ingin meminta pihak Perbadanan Alam Sekitar dan Sumber-Sumber Asli Sarawak (NREB) untuk menjalankan siasatan yang terperinci untuk mengenal pasti punca kematian ikan-ikan tersebut. Laporan hasil daripada siasatan ini haruslah dikeluarkan untuk bacaan orang ramai kerana ia melibatkan kepentingan awam.
BRIMAS juga menyokong apa-apa tindakan undang-undang yang dikenakan NREB ke atas pihak-pihak yang bertanggunjawab yang menyebabkan kematian ikan-ikan tersebut supaya insiden-insiden seperti ini tidak lagi berlaku pada masa hadapan. - SM

Tuesday, February 17, 2009

Naroden – Raja Sawit Simunjan

Kebanyakkan wakil-wakil rakyat kita, Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri, tidak berani untuk menentang Ketua Menteri, Abdul Taib Mahmud kerana mereka tahu akibat buruknya kelak. Disebabkan itu, hampir kesemua mereka menghulur pujian setinggi gunung terhadap Taib dengan harapan pujian mereka boleh didengar. Apabila pujian anda diperhatikan oleh Taib dan anda menjadi orang yang dipercayainya, maka anda akan tergolong di dalam kelab jutawan.

Salah satu contoh wakil rakyat tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Simunjan, YB Haji Mohd Naroden bin Haji Majais, yang berasal dari keluarga sederhana di Gedong. Semenjak menjadi YB daripada Pilihanraya Negeri tahun 1991, beliau bukan sahaja menjadi orang yang dipercayai oleh Ketua Menteri malah kini beliau menjawat Menteri Muda di dalam Jabatan Ketua Menteri. Naroden juga dikenali oleh orang tempatan sebagai “Raja Sawit”, di mana beliau adalah salah seorang pemilik ladang sawit yang terbesar di Simunjan.

Menurut Laporan Jabatan Tanah dan Survei Statistik Suku Ketiga Tahun 2005, syarikat-syarikat milik Naroden kini memiliki tujuh kawasan ladang kelapa sawit di Simunjan berjumlah 16,486 hektar (lebih kurang 41,215 ekar).

Berikut adalah ladang-ladang milik beliau:-

(i) Tanjong Midin, Batang Kerang, Simunjan/Serian, Lot 2984 Melikin land district seluas 4,555 hektar, diluluskan pada tahun 1996 di bawah the Pelita Nirwana Muhibbah Sdn Bhd;

(ii) Batang Kerang, Simunjan/Serian, Lot 2981 Melikin land district seluas 3,770 hektar, diluluskan pada tahun 1988 di bawah Gedong Plantation Sdn Bhd;

(iii) Batang Kerang, Simunjan/Serian, Lot 2980 Melikin land district seluas 3,480 hektar, diluluskan pada tahun 1988 di bawah Gedong Plantation Sdn Bhd;

(iv) Di antara Batang Sadong dan Sungai Simunjan, Lot 1226 Sedilu Gedong land district seluas 2,182 hectares, diluluskan pada tahun 2004 di bawah Hydroflow Sdn Bhd;

(v) Di antara Lubuk Teba dan Sungai Sentok, Gedong, Lot 1227 Sedilu Gedong land district seluas 593 hektar, diluluskan pada tahun 2004 di bawah Hydroflow Sdn Bhd;

(vi) Tanjung Embang, Simunjan, Lot 1228 Sedilu Gedong land district seluas 189 hektar, diluluskan pada tahun 2003 di bawah Indranika Jaya Sdn Bhd;

(vii) Di antara Tanjung Sap dan Sungai Benat B, Simunjan, Lot 1229 seluas 1,717 hektar, di luluskan pada tahun 2003 di bawah Indranika Sdn Bhd.

Senarai ini hanya sampai setakat suku ketiga tahun 2005, bagaimana pula dengan tahun-tahun berikutnya? Bayangkan berapa jumlah keuntungan yang telah diraih oleh syarikat-syarikat beliau selama ini daripada buah kelapa sawit yang matang dan memandangkan harga minyak sawit mentah (CPO) pada bulan Mac tahun lalu ialah RM3,000.


Kita tidak ada niat cemburu atau iri hati (sekiranya Alfred Jabu menuduh kita demikian) dan bagaimana kita boleh menyimpan perasaan iri hati, apabila kita, sebagai pengundi, juga menyumbang kepada kekayaan beliau. Tetapi kita – sebagai pengundi daripada masyarakat Melayu dan Iban – ingin meminta beliau supaya dia jangan kacau tanah NCR kita. - The Broken Shield

Diterjemah untuk: Sebana Menoa
Sumber: http://www.thebrokenshield.blogspot.com/

Monday, February 16, 2009

Syarikat BLD Resources memohon Injunksi Interlokutori daripada Mahkamah Tinggi ke atas Changgai Ak Dali

KUCHING - Syarikat BLD Resources Sdn. Bhd., sebuah syarikat perladangan kepala sawit, telah memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuching untuk mendapatkan perintah Injunksi Interlokutori terhadap salah seorang daripada penduduk rumah panjang Iban di Ulu Sungai Niah, Bahagian Miri, Sarawak atas dakwaan menceroboh ke dalam kawasan geran hak milik sementara (provisional lease) syarikat tersebut.

Changgai Anak Dali yang berasal dari Rumah Ranggong telah disaman oleh syarikat tersebut dan pada pukul 9 pagi 19hb Februari ini permohonan injunksi syarikat tersebut akan akan disebut di Mahkamah Tinggi II, Kuching.

Pada bulan lepas, masyarakat rumah panjang telah memfailkan sebuah saman terhadap Syarikat BLD Resources Sdn. Bhd., Superintenden Jabatan Tanah dan Survei Miri dan Kerajaan Negeri Sarawak di mahkamah yang sama untuk, antara lain, mengumumkan bahawa provisional lease (PL) yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri kepada syarikat tersebut adalah batal dan tidak sah di mana ia melanggar Seksyen 13 (1) atau 15 (1) Kanun Tanah Sarawak dan/atau Perkara 5 (1) atau 13 (1) Perlembagaan Persekutuan.

PL tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 28 Kanun Tanah Sarawak dan menurut syarat-syarat pengeluaran PL, kerja-kerja pengukuran tanah dan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) perlu dilaksanakan di dalam kawasan PL tersebut. Akan tetapi, hingga hari ini syarikat tersebut masih belum melaksanakan kedua-dua syarat ini. Alasan syarikat tersebut - mereka di halang berbuat demikian olej masyarakat rumah panjang!

Sebelum ini, pada tahun 1999, kerajaan negeri melalui agensinya Lembaga Pembangunan Tanah Sarawak (SLDB) telah berusaha-sama membangun tanah tersebut dengan masyarakat rumah panjang dan syarikat BLD Sdn. Bhd. (ibu Syarikat BLD Resources Sdn. Bhd.) sebagai sebuah Projek Usahasama NCR ladang kelapa sawit atau lebih dikenali sebagai Konsep Baru di mana SLDB memegang 10 peratus syer, BLD 60 peratus dan pemilik tanah hak adat bumiputra (NCR) 30 peratus.

Datuk Patinggi Alfred Jabu dan Datu Celestine Ujang merupakan kedua-dua pemimpin Dayak Iban yang terlibat di dalam perasmian projek usahasama tersebut. Bukti-bukti kedua-dua pemimpin ini terlibat terdapat di atas gambar-gambar dan tandatangan mereka di atas salinan Perjanjian Usahasama semasa perasmian projek tersebut dilancarkan.

Akan tetapi, pada bulan Disember 2008, pengurus BLD Resources telah menandatangani Affidavit beliau mengatakan bahawa projek usahasama NCR tersebut telahpun dibatalkan. Alasannya – tidak wujud NCR di atas tanah tersebut!

Marilah kita bersama-sama hadir ke Mahkamah Tinggi Kuching pada pukul 9 pagi, 19hb Februari 2009 ini untuk menyokong para penduduk Rumah Ranggong terutamanya Changgai Anak Dali mempertahankan hak tanah adat mereka. Bawalah bersama seberapa ramai rakan-rakan anda untuk bersatu dan berjuang bersama-sama mereka demi mempertahankan hak Orang Asal di Sarawak.

Sunday, November 16, 2008

ISU PEREMPUAN PENAN DIROGOL

Oktober - Baram. Kenyataan akhbar tentang isu perempuan Penan yang dirogol di Long Kawi, Baram semenjak dari bulan September 2008 telah mendapat perhatian hangat semua pihak. Kenyataan pertama yang dikeluarkan oleh Bruno Manser Foundation (BMF) sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan(NGO) dari Switzerland, bahawa terdapat seorang gadis Penan yang dirogol oleh seorang pekerja kem pembalakkan ketika mangsa dalam perjalanan ke sekolah di Long Lama, tetapi malangnya gadis Penan tersebut tidak dihantar sampai ke sekolah, tetapi telah dirogol oleh pemandu tersebut sehingga menyebabkan gadis tersebut mengandung.

Rentetan dari kenyataan tersebut, pelbagai berita dan keyataan yang dikeluarkan oleh pihak pemberita, NGO dari dalam dan luar negeri, internet dan juga ulasan-ulasan dari pihak kerajaan mengenai perkara tersebut.

Pengerusi Persatuan Wanita Desa Sarawak (WADESA) Cik Hellan Empaing turut tidak ketinggalan mengikuti perkembangan berita tersebut. Beliau sempat menemuramah beberapa Tua Kampung dari beberapa buah kampung di sekitar Apoh baru-baru ini.

Menurut TK Alah Beling dari Long Belok, suatu ketika dahulu di kampung beliau pekerja-pekerja di kem-kem pembalakkan seringkali meniduri gadis Penan tanpa ada ikatan perkahwinan yang sah. Perhubungan luar batasan dan bukan atas dasar perkawinan itu akhirnya akan menyebabkan gadis tersebut mengandungkan anak yang tidak mempunyai ayah, kerana lelaki tersebut hanya ingin mengambil kesempatan sekadar memuaskan hawa nafsu dan tidak bertanggungjawab.

Setakat ini menurut TK Alah, terdapat sekurang-kurangnya lima orang perempuan Penan di kampung beliau menerima nasib malang tersebut. Tetapi kebanyakkan peristiwa tersebut telah lama berlaku dahulu, kini mereka ini telah memulakan kehidupan baru berkahwin dengan lelaki sama kaum.

Perbualan bersama TK Ajang Kiew dari Long Sayan juga mengakui bahawa, kebanyakkan pekerja-pekerja kem pembalakkan seringkali menimbulkan masalah dengan menganggu perempuan-perempuan Penan di kampung. “ Mereka seringkali datang masuk ke kawasan kampung dalam keadaan mabuk-mabuk, membawa minuman beralkohol dan bermalam di rumah-rumah perempuan Penan” kata TK Ajang. Sebagai TK, Ajang bertindak menghalau mereka agar tidak menganggu perempuan-perempuan Penan dengan tidak beradat.

Menurut Cik Hellan, ini adalah satu perbuatan yang amat menyedihkan kaum wanita, kerana perbuatan seperti pekerja kem pembalakkan tersebut adalah salah satu perbuatan yang berdosa di sisi agama. Kaum lelaki seperti mereka tidak sepatutnya mengambil kesempatan di atas kelemahan kaum wanita, terutamaya kaum wanita Penan yang agak mundur dari segi pendidikan.

Masalah ini berpunca daripada kemasukkan pencerobohan pembalakan di kawasan Baram sejak dari tahun 1970-an lagi atau lebih awal dari itu. Pencerobohan tersebut bukan hanya menceroboh hak Penan ke atas tanah, sumber, hutan, sungai malah kini kita nampak kesannya mengancam keselamatan dan maruah kaum wanita Penan.

Kini pihak syarikat perladangan dan juga pihak kerajaan telah mula membawa kemasukan perladangan kelapa sawit dan juga penanaman kayu kertas ke kawasan Baram termasuk dalam kawasan tanah adat kaum Penan (NCR). Ini sudah pasti akan menambahkan lagi masalah ke atas kehidupan kaum Penan setelah hutan mereka habis musnah ditebang oleh syarikat pembalakan. Risikonya, kemasukan buruh atau pendatang asing di kawasan ladang-ladang ini nanti pasti akan mengancam keselamatan kaum Penan, terutamnya golongan gadis dan remaja.

Bagi pihak WADESA, Cik Hellan memohon agar pihak kerajaan dan pihak yang bertanggungjawap menyiasat perkara ini dengan adil, bukan hanya menepis kenyataan yang diutarakan. “kerana masakan pokok bergoyang jika tiada angin”.

Kerajaan diharapkan dapat menjalankan kewajipan menanggani masalah ini dan juga mencegah perkara lain terjadi pada masa-masa akan datang demi menjaga maruah kaum wanita Penan.

Cik Hellan juga berharap agar isu pencerobohan tanah NCR kaum Penan dan apa juga bentuk pembangunan yang akan dijalankan oleh kerajaan ke atas tanah adat kaum Penan, tidak harus dijalankan tanpa memaklumkan awal dan meminta keizinan daripada kaum Penan. Kerajaan seharusnya menghormati hak kaum Penan ke atas tanah mereka, supaya peristiwa-peristiwa yang tidak diingini berlaku seperti ini tidak timbul.

BENGKEL NASIONAL ANJURAN JARINGAN ORANG ASAL SEMALAYSIA ( JOAS ) DI KUALA LUMPUR

Kuala Lumpur, – Jaringan Orang Asal Semalaysia (Joas) telah mengadakan bengkel nasional telah diadakan di Galeri Annexe, Central Market pada 10 Sept – 13Sept 2008.

Bengkel tersebut diadakan untuk membincangkan hasil kajian berkenaan undang-undang dan polisi pembangunan yang menberi kesan kepada Orang Asal di Malaysia. Selain itu, bengkel ini juga bertujuan untuk menghasilkan satu memorandum berkenaan hak-hak Orang Asal di Malaysia untuk diserahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agung pada 13 Sept 2008 sempena ulang tahun pertama UN DRIP diterima di Persidangan Umum Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Tema bengkel tersebut adalah “Bersama Merayakan Deklarasi Hak Orang Asal Antarabangsa : Menuntut Perlaksanaan Diperingkat Tempatan”.

Bengkel tersebut dirasmikan oleh Datuk Dr. Denison Jayasooria, Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) pada pagi 10 Sept 2008. Sebelum upacara bermula, upacara perasmian simbolik dilakukan oleh ketua-ketua adat dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia. Tayangan tentang perjuangan seorang ketua Penan, TK Kelesau, yang menerima anugerah “Asia Indigenous Human Right Defender” kerana perjuangan mempertahankan tanah dan hak kaum Penan di kawasannya sehingga beliau mati dibunuh. Anugerah tersebut diberikan kepada beliau sebagai memperingati jasa dan keberanian beliau .

Antara isu-isu yang dikaji dan dibentangkan dalam bengkel nasional ini adalah seperti Undang-undang Tanah dan Sumber Semulajadi, Undang-Undang dan Adat dan Polisi Pembangunan Kerajaan.

Selain bengkel, pameran-pameran berkenaan Orang Asal dan gerai-gerai menjual kraftangan juga disediakan sepanjang bengkel nasional tersebut berjalan. Selain itu, para peserta bengkel juga turut disajikan dengan tayangan filem bekenaan masalah yang menimpa Orang Asal di seluruh Malaysia.

Pada 13 Sept 2008, perarakan untuk penyerahan memorandum kepada DYMM YDP Agung dimulakan pada jam 10 pagi dari Galeri Annexe, Central Market, Kuala Lumpur. Walaubagaimanapun impian untuk menyerahkan memorandum tersebut hampa kerana perarakan tersebut telah dihalang oleh pihak polis. Alasan yang diberi oleh pihak polis, adalah permohonan permit perarakan tidak diluluskan. Rayuan dan permohonan agar perarakan tersebut diteruskan tidak dihiraukan, sehingga Orang Asal terpaksa bersurai dan berpatah balik ke Central Market dengan suara, nyanyian dan reaksi yang sangat hampa.

Kehampaan semua Orang Asal tersebut tidak akan mematahkan semangat perjuangan Orang Asal. Malah ianya akan menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan membakar semangat perjuangan Orang Asal. JOAS yang di pengerusikan oleh En.Andrian Lasimbang ditubuhkan oleh pelbagai organisasi orang asal di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum untuk memperkukuhkan Jaringan Orang Asal di Sabah, Sarawak dan juga Semenanjung Malaysia.