Tuesday, August 18, 2009

Jalan Kebun Orang Kampung Dikorek Serta Diputuskan Oleh Syarikat Saremas.

Kenyataan akhbar daripada Siew Choon Siak
14 August 2009- Seramai 24 pekebun kecil ladang kelapa sawit dari Ulu Suai di Niah meminta kerjasama Syarikat Saremas untuk membaiki-pulih semula jalan ladang yang telah digoreknya sehingga jalan berkenaan tidak dapat diguna langsung sejak sebulan lalu. Mereka menyatakan bahawa jalan tersebut adalah jalan utama menuju ke kebun mereka masing-masing. Mereka sangat bergantung penuh dengan jalan tersebut untuk mengeluar dan mengangkut buah-buah sawit ke kilang sawit yang berhampiran.

Pekebun-pekebun kecil kelapa sawit tersebut terdiri daripada penduduk Rumah Rajang, Rumah Atat, Rumah Umpur dan Rumah Tapu di Ulu Suai, Niah. Akibat tindakan Syarikat Saremas tersebut, mereka kini langsung tidak dapat mengangkut hasil kebun kelapa sawit mereka terutama buah-buah tandan segar sawit (fresh fruit bunches) kerana jalan kebun telah diputus oleh Syarikat Saremas. Mereka mengadu bahawa mereka tidak dapat menjual hasil kebun kelapa sawit lagi. Oleh kerana itu, pendapatan mereka telah banyak terjejas memandangkan hasil dari kebun sawit adalah punca sumber utama mata pencarian dan kehidupan mereka.

Syarikat Saremas (PPB Oil Palm Sdn Bhd) adalah sebuah syarikat perladangan yang juga mempunyai ladang kelapa sawit di kawasan Ulu Suai, Niah. Pada 14hb Julai lepas, Syarikat tersebut telah bertindak mengorek dan memotong jalan-jalan kebun yang diguna oleh pekebun-pekebun kecil dan penduduk rumah panjang untuk ke kebun mereka masing-masing.

Mereka mengadu telah mengalami banyak kerugian. Maka pada 14hb Julai lepas, TR.Tapu, juga salah seorang pemiliki kebun kelapa sawit telah membuat laporan polis di Balai polis Batu Niah berkenaan dengan tindakan syarikat tersebut. Mereka juga merayu kepada syarikat tersebut, namun syarikat tersebut enggan mendengar rayuan mereka kerana menurut pengurus ladang tersebut tindakan mengorek dan memotong jalan adalah atas arahan pihak atasan yang mengesyaki bahawa terdapat kes-kes kecurian buah sawit di ladang kelapa sawit syarikat tersebut.

Seorang wakil pekebun-pekebun tersebut, Encik Siew berkata bahawa tindakan Syarikat Saremas seolah-olah bersubahat dengan pihak Syarikat Megajutamas yang selama ini, telah banyak memberikan tekanan kepada peduduk kampung agar penduduk kampung berputus asa lalu menyerahkan tanah mereka kepada syarikat tersebut. Namun tidak disangka bahawa syarikat Saremas yang tidak ada kena-mengena dengan kes tanah ini pula turut membuat tindakan serupa sehingga menyebabkan kesemua laluan utama kebun- kebun mereka ditutup dan punca pendapatan mereka hilang, tambah beliau.

Penduduk cuba untuk menimbus dan memperbaiki jalan tersebut pada 13 Ogos 2009, namun Syarikat Saremas tanpa rasa simpati mengorek semula jalan tersebut pada pagi 14 Ogos 2009.

Tuai Rumah Rajang, merayu kepada pihak kerajaan dan pihak yang berkuasa agar membantu mereka menyelesaikan masalah ini di antara pihak Syarikat dan orang-orang kampung. Menurut beliau, masalah tersebut jika tidak diselesaikan secepat mungkin akan menjejaskan kehidupan dan pendapatan harian penduduk rumah panjang kerana hanya melalui hasil kebun kelapa sawit sahaja punca pendapatan utama mereka.

Punai Ak Beriak dari Rumah Umpur dan seorang ahli Persatuan Wanita Desa Sarawak turut mengatakan rasa terkilan terhadap tindakan syarikat tersebut. Beliau merayu agar pihak syarikat tersebut janganlah bertindak sebegitu kejam sehingga menyulitkan kehidupan mereka. Beliau berkata, hanya dari kebun saja punca pendapatan keluarga demi untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak mereka.

Jelita anak Bum dari rumah Atat. ”selama sebulan ini kami tidak dapat menuai buah Sawit kami, semua pendapatan dan kerja kami tergendala gara-gara jalan kebun kami diputuskan”

Amy Alus dari Rumah Tapu, berharap agar pihak kerajaan atau pihak atasan dapat menguruskan masalah ini dengan pihak syarikat secepat yang mungkin. Beliau sangat bimbang sekiranya mereka seringkali ditindas oleh pihak syarikat dengan pelbagai-bagai helah ada kemungkinan peristewa sejarah Ulu Niah berulang kembali. Menurut beliau, penduduk rumah panjang bukan ingin mencari masalah tetapi akan bertindak dalam keadaan terdesak yang menindas mereka.

Menurut mereka, beberapa bulan sebelum ini Syarikat Megajutamas juga bertindak menutup laluan jalan penduduk rumah panjang di kawasan kawasan Ulu Suai.

Siew, yang juga merupakan salah seorang AJK Jaringan Hak Adat Tanah Bangsa Asal Sarawak, TAHABAS, mengatakan bahawa masalah konflik ke atas tanah dengan Syarikat Megajutamas bermula semenjak tahun 2005 dan masih lagi belum dapat diselesaikan sehingga kini. Kini ternyata Syarikat Saremas pula sengaja memulakan satu masalah lagi dengan penduduk kampung, sehingga penduduk kampung berasa bahawa, tindakan mereka ini tidak menghormati hak Asasi mereka.

Siew juga mohon agar masalah ini diselesaikan secara halus oleh pihak kerajaan selaras dengan dengan slogan yang seringkali di laung-laungkan oleh Perdana Menteri ”1Malaysia, Rakyat didahulukan”. Maka harus diketahui oleh pihak kerajaan bahawa rakyat tidak mahu syarikat perladangan masuk ke kawasan tanah masyarakat. Ini adalah kerana syarikat tidak pernah menghormati hak kami sebagai Orang Asal. Kami mahu hak-hak kami sentiasa dihormat. Kami menentang segala jenis penindasan ke atas hak-hak kami.




Photo : Antara penduduk Rumah Panjang Rajang Kpg. Wawasan dan Rumah Panjang Tapu, Atat dan Umpur memohon kepada pihak kerajaan supaya mengambil tindakan secepatnya mengatasi masalah mereka.



1 comment:

daphneh jellehbelleh said...

kita perlu tahu, ke mana pergi hasil kutipan kelapa sawit syarikat saremas? maksud saya, jenama-jenama minyak sawit apa di pasaran yang menggunakan hasil mereka agar kita dapat boycott ramai-ramai.

jangan pandang remeh kepada kuasa pembeli yang arif mengenai syarikat korporat yang mengamalkan sikap jijik sebegini