Showing posts with label hak asasi manusia. Show all posts
Showing posts with label hak asasi manusia. Show all posts

Thursday, July 22, 2010

Selepas 13 tahun, seorang wanita Iban mendapatkan keadilan untuk mendiang suaminya


Masyarakat Dayak yang akhirnya berjaya mendapatkan keadilan selepas 13 tahun menunggu. Ndukmit ak Egot, berdiri di tengah, baris bawah, keempat dari kiri (memakai cermin mata). Peguam beliau, En. Harrison Ngau berdiri di belakangnya.

20 Julai 2010

Miri, Sarawak -- Seorang wanita Iban, Ndukmit ak Egot hari ini telah mendapatkan keadilan yang sepatutnya di Mahkamah Sesyen Miri untuk mendiang suaminya Enyang ak Gendang, yang telah ditembak mati oleh Pasukan Polis Hutan (kini digelar sebagai Pasukan Gerakan Am) disebabkan konflik di antara masyarakat Iban dan sebuah syarikat ladang kelapa sawit. Mahkamah telah memutuskan bahawa pihak polis telah bertindak dengan cuai dengan melepaskan tembakan yang telah terkena mediang Enyang lalu menyebabkan kematian beliau dan kerajaan Malaysia adalah bertanggung jawab sepenuhnya dengan tindakan cuai pihak polis tersebut.

Selepas 13 tahun, keputusan mahkamah tersebut adalah sebuah kemenangan buat Ndukmit, keluarganya dan para penduduk rumah panjang Rumah Bangga di Bakong, Bahagian Miri, Sarawak. Pada 19 Disember 1997, 50 orang pihak polis dari Pasukan Polis Hutan dengan bersenjatakan cota, pistol dan rifel M16 telah melepaskan tembakan ke arah masyarakat Iban tersebut.

Tiga orang telah ditembak. Enyang Ak Gendang, 40, telah ditembak di kepala dan beliau meninggal dunia lima hari kemudian selepas gagal sedarkan diri dari koma. Lapan orang penduduk kampung tercedera. Seramai 30 orang Iban telah ditangkap dan ditahan.

Pihak police tidak mahu bertanggung jawab ke atas kematian Enyang. Pada tahun 2008 sebuah inkues diadakan dan koroner inkues tersebut pula memutuskan bahawa pihak polis tidak cuai di dalam menjalankan tugas mereka, peristiwa tembakan tersebut adalah sebuah peristiwa yang luar biasa dan kes tersebut tidak perlu disiasat dengan lebih lanjut.

Pada tahun 1999, apabila diarahkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya kerajaan Malaysia bertanggung jawab ke atas kematian Enyang, kerajaan Malaysia pula mengatakan bahawa:

Berhubung dengan kes Enyang Ak Gendang, di mana insiden yang telah menyebabkan mangsa terbunuh, kerajaan telah mengatakan pihak polis telah mencadangkan bahawa Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak (PELITA) dan syarikat Empressa mengadakan dialog dengan masyarakat Iban dan membayar pampasan kepada mereka seperti mana yang telah dijanjikan. Kerajaan pula telah melaporkan selepas insiden tersebut syarikat Empressa dan sub-kontraktornya telah menghentikan operasi mereka.

Mendiang Enyang ak Gendang adalah satu-satunya ahli keluaraga yang membawa nafkah kehidupan untuk keluarganya.

Pada tahun 2000, balu mendiang Enyang, Ndukmit ak Egot telah memfailkan sebuah kes sivil terhadap Koperal Hussaini bin Sulong, para pegawainya dan kerajaan Malaysia. Sepuluh tahun kemudian, mahkamah telah memutuskan untuk membicarakan kes tersebut.

Pada awal tahun 2010, apabila mendapat tahu bahawa kes tersebut akan dibicarakan, Mark Bujang, Pengarah Eksekutif Institut Sumber Borneo (BRIMAS) mengatakan, "Balunya hanya mahu keadilan untuk mendiang suaminya. Sudah 12 tahun lamanya, akan tetapi orang-orang yang bertanggung jawab menembak dan menyebabkan kematian Enyang belum pernah dituduh untuk sebarang kesalahan jenayah. Apa yang menyedihkan, pihak polis mengatakan bahawa masyarakat Iban tersebut adalah ganas dan mereka yang memulakan pergaduhan lalu memaksa pihak polis menggunakan senjata api. Saya sebanarnya tidak tahu kenapa kenapa kes ini ditangguhkan begitu lama apabila dua kali kes tersebut dibawa ke inkues dan dua kali koroner inkues memberikan keputusan yang tidak memuaskan. Saya gembira kali ini Ndukmit akan mendapatkan perbicaraannya,"

Para penyokong Ndukmit pula turut merasa gembira hari ini kerana walaupun lambat, keadilan memang akan tiba akhirnya.

Dipetik dari: Borneo Independent News Service
Diterjemahkan untuk Sebana Menoa

Wednesday, January 27, 2010

Mahkamah membenarkan injunksi kepada Nor Nyawai untuk menghalang sementara tindakan meroboh rumah-rumah di kawasannya

26 Januari 2010

Pada hari Selasa lalu Mahkamah Tinggi Kuching telah membenarkan injunksi kepada Tuai Rumah Nor Anak Nyawai untuk menghalang sementara kerja-kerja perobohan rumah yang dilakukan di kawasan Sungai Sekabai, Sebauh.

Injunksi tersebut akan menghalang Tatau Land Sdn. Bhd., Jabatan Tanah dan Survei dan Kerajaan Negeri daripada memasuki atau menceroboh masuk ke dalam tanah NCR Nor Anak Nyawai.

Permohonan injunksi tersebut difailkan oleh peguam mereka iaitu Baru Bian dan didengar oleh Hakim Albert Linton.

“Mahkamah telah memberikan kita injunksi sementara sementara menunggu perbicaraan penuh pada 9 Februari nanti", kata Baru Bian ketika dihubungi hari ini.

Para pemilik tanah telah memohon kepada Mahkamah untuk memberi perintah menghalang Tatau Land Sdn. Bhd. atau para pekerja dan agennya daripada memasuki, bekerja, memulakan sebarang kerja-kerja pembangunan dan menceroboh masuk ke dalam tanah hak adat masyarakat Orang Asal di kawasan tersebut sehingga penyelesaian terakhir dapat dicari di dalam perkara tersebut.

Mereka juga memohon perintah interim atau ganti rugi yang Mahkamah putuskan sebagai adil dan wajar akibat daripada tindakan perobohan tersebut dan juga kos.

Pada 19 Januari lalu, pihak berjuasa telah merobohkan 29 buah rumah kepunyaan pihak plaintif.

Mereka juga telah memohon kepada Mahkamah untuk menghalang pihak defenden daripada merobohkan 35 buah rumah kediaman dan pondok kebun mereka yang masih ada.

Dipetik dari: Bintulu.org
Diterjemahkan untuk: Sebana Menoa

Thursday, January 21, 2010

“Bagaimana kami boleh jadi setinggan?” Nor Anak Nyawai

Penduduk rumah panjang Sungai Sekabai menafikan sekeras-kerasnya bahawa Kerajaan negeri pernah memberi mereka sebidang tanah untuk mendirikan rumah panjang.

Tuai Rumah Nor ak. Nyawai, 70, menegaskan, dakwaan yang turut menuduh mereka lebih rela tinggal di kawasan setinggan di Sungai Sekabai juga karut dan tidak betul.

“Kami sudah lama tinggal di sini, bahkan kedua-dua ibu bapa dan nenek saya dilahirkan di sini. Mengapa baru sekarang kami dituduh penduduk setinggan, sedangkan kami sudah lama menetap di sini,” katanya penuh emosi ketika dihubungi petang tadi.

Menurut Nor, malah Mahkamah Tinggi di Kuching pada 2001 telah memberikan hak Tanah Adat Hakmilik Bumiputera (NCR) kepada penduduk Sungai Sekabai untuk menetap di situ.

“Kami tidak pernah dijanjikan tanah untuk membina rumah panjang dan tuduhan menyatakan kami tinggal di tanah setinggan amat tidak berasas,” katanya lagi.

Untuk bacaan lanjut sila layari: http://sarawakupdate.com/news/berita/bagaimana-kami-boleh-jadi-setinggan-nor-anak-nyawai/