Thursday, November 5, 2009

Penan di Jambatan Suai akan mendirikan sekatan jalan lagi sekiranya PELITA mungkir janji

Oleh: Harrison Ngau Laing


Masyarakat Penan di Kampung Ugos, Suai (yang juga merupakan kampung halaman Datuk Hasan Sui) telah menetapkan tempoh dua bulan dari tarikh 17 September 2009 kepada pemegang amanah mereka iaitu Perbadanan Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak (PELITA) untuk menyerahkan salinan dokumen perjanjian di antara PELITA dan sebuah syarikat swasta, Alam Bumi Sdn. Bhd. kepada mereka. Sebelum ini PELITA dan Alam Bumi telah menubuhkan sebuah syarikat usahasama (JV) untuk membangun tanah NCR masyarakat Penan di Suai melalui skim konsep baru pembangunan tanah NCR.

Mereka juga menuntut agar PELITA dan/atau syarikat swasta tersebut mengeluarkan Penyataan Akaun yang melibatkan aktiviti-aktiviti perladangan di atas tanah NCR mereka. Masyarakat Penan memberi amaran kepada PELITA bahawa sekiranya ladang tersebut tidak mengeluarkan keuntungan maka mereka ingin menarik balik penyertaan mereka di dalam skim tersebut dan menguruskan pembangunan tanah NCR mereka sendiri. Tetapi jika skim tersebut meraih keuntungan, mereka ingin tahu berapa keuntungan yang diperolehi dan ke mana perginya wang tersebut.

Menurut masyarakat Penan, selama lapan tahun mereka tidak diberitahu tentang hal-ehwal kewangan syarikat JV tersebut, sedangkan mereka juga pemegang syer.

Tidak puas hati dengan layanan PELITA terhadap mereka selama 8 tahun, masyarakat Penan di Suai telah mendirikan sekatan jalan pada 17 September lalu dan disebabkan sekatan jalan tersebut, PELITA dan Alam Bumi telah membawa wang tunai sebanyak RM500,000.00 untuk dibahagikan kepada mereka sebagai wang yang dikatakan sebagai dividen daripada keuntungan hasil ladang kelapa sawit tersebut. Akan tetapi, masyarakat Penan percaya syarikat JV tersebut telah menghasilkan keuntungan berjuta-juta Ringgit kalau dilihat dari segi harga buah kelapa sawit yang baik beberapa tahun kebelakangan ini.

Inilah Projek JV Pembangunan Tanah NCR yang sering digembar-gemburkan Taib, Jabu dan James Masing sebagai “sebuah kejayaan masyarakat Penan” dan Datuk Hasan Sui dilihat sebagai seorang Penan yang sudah berjaya.

Akan tetapi kebenaranya pula berlainan. Sesiapa yang ingin tahu lebih lanjut bolehlah melawat kampung masyarakat Penan tersebut berdekatan dengan Jambatan Suai (di jalanraya Miri-Bintulu). Sesetengah orang perlu melihat dengan matanya sendiri baru mereka boleh menerima kenyataan.

Nota: Jika pada atau selepas 17 November 2009, PELITA gagal untuk menunaikan tuntutan masyarakat Penan, maka sekatan jalan akan didirikan semula. Mereka juga telah mengarahkan saya untuk menyaman PELITA kerana melanggar perjanjian dan sebagainya.

1 comment:

IBAN IPS said...

Betul tindakan yang diambil..
Kalau kita terus berdiam diri tanpa sebarang tindakan..sampai bila-bila pun kita orang asal akan terus diperbodohkan..

Kita harus berjuang mendapatkan kemerdekaan daripada KRONI SEMUT PUTIH yang jauh lebih kejam daripada kroni british..

" BERANIKAN DIRI MEMBUAT PERUBAHAN "