Tuesday, November 17, 2009

Penghulu menumbuk rakyat

Oleh: Willie Kajan
MIRI, 10 November 2009 – Hanya kerana bertanyakan soalan kerana ingin mengetahui perkembangan berkaitan hasil-hasil kayu balak milik penduduk kampung di kawasan rumah panjang Long Terawan, En. Ipoi Jau telah ditumbuk oleh Penghulu kawasan mereka.

Penghulu tersebut dikenali sebagai Penghulu Herbert Lawai, telah menumbuk En. Ipoi Jau di dahi sehingga mengakibatkan kecederaan. Mangsa yang berumur 66 tahun telah pergi ke sebuah klinik swasta di Miri untuk membuat pemeriksaan dan rawatan ke atas kecederaan di bahagian dahinya akibat tumbukan daripada Penghulu Herbert Lawai. Disamping itu, beliau juga membuat laporan polis berkenaan kejadian tersebut untuk tindakan selanjutnya oleh pihak polis.
Kejadian tersebut berlaku pada awal pagi 8 November 2009. Hal ini berlaku ekoran mangsa yang ingin mengetahui ke mana perginya hasil-hasil kayu balak di kawasan hutan rumah panjang Long Terawan, Baram.

Ini kerana, pada kebiasaannya syarikat-syarikat pembalakan ini yang membalak di kawasan hutan rumah panjang akan menyerahkan sebahagian daripada hasil balak tersebut kepada penduduk rumah panjang melalui Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) dan kemudiannya akan dibahagikan kepada penduduk kampung.

Peristiwa seperti ini tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pemimpin lebih-lebih lagi seorang Penghulu yang sepatutnya bertindak melindungi rakyat. Yang lebih memalukan lagi adalah mangsa merupakan seorang yang kurang upaya yang cedera akibat kecederaan lama di bahagian tulang paha.Menurut sumber, kejadian ini berlaku di rumah salah seorang penduduk kampung Long Terawan di Permyjaya, Miri yang sedang mengadakan upacara penghormatan terakhir untuk seorang ahli keluarganya yang meninggal. Kejadian tersebut telah disaksikan oleh orang-orang yang datang menghadiri upacara tersebut. - SM

No comments: