Wednesday, April 22, 2009

'Huru-hara di rumah-rumah panjang Dayak'

Oleh: Joseph Tawie Apr 20, 09 4:10pm

Mempolitikkan institusi-institusi masyarakat Dayak telah memecah-belahkan masyarakat Iban, demikian kata Setiausaha Agung Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA), Nicholas Mujah.

“Mempolitikkan (jawatan) tuai rumah (ketua kaum) dan penghulu (ketua masyarakat) – pada masa ini mereka dilantik oleh ahli-ahli atau parti-parti politik – menyebabkan kebanyakkan rumah-rumah panjang sekarang berpecah,” kata Mujah (kiri).

“Dahulu, pemilihan tuai rumah dan penghulu dipilih oleh masyarakat, untuk masyarakat dan daripada masyarakat itu sendiri. Masyarakat Iban tidak akan bersatu selagi adat resam ini tidak dihormati (di dalam masyarakat).”

Mujah menjawab komen yang diungkap oleh Presiden Parti Rakyat Sarawak James Masing yang mengatakan politik di dalam masyarakat Dayak, terutamanya di kawasan pendalaman, “masih tidak stabil sehingga sekarang kerana faktor kekurangan kepintaran”.

Kata Masing (kanan), ini jelas boleh dilihat dikalangan masyarakat Dayak luar bandar di mana pendirian politik mereka tidak kukuh. Beliau menyeru agar masyarakat Dayak yang mempunyai pendidikan dan dari kalangan intelek menolong mendidik masyarakat mereka sendiri, supaya mereka tidak mudah dimanipulasi oleh orang-orang yang tertentu.

Beliau berpendapat bahawa terdapat segelintir masyarakat Dayak berintelek yang pergi ke rumah-rumah panjang dan menghasut rakyat untuk menetang polisi-polisi kerajaan, dan disebabkan oleh kempen kebencian tersebut masyarakat Dayak semakin berpecah-belah di dalam politik.

Mujah pula menjawab: “Saya gembira Masing kini telah sedar bahawa terdapat kelemahan-kelemahan dengan para pemimpin masyarakat Dayak. Untuk menyelesaikan kelemahan-kelemahan tersebut perkara yang paling penting untuk Masing dan para pemimpin Dayak yang lain lakukan ialah untuk kembali ke asas dan belajar dari sejarah.

“Saya ingin rujuk kepada Pindaan Kanun Tanah Sarawak pada tahun 2000. Walaupun wakil-wakil rakyat dari kalangan masyarakat Dayak tahu bahawa pindaan tersebut akan menyusahkan masyarakat Dayak, tiada seorang pun daripada mereka berani untuk menentang pindaan tersebut atau lebih-lebih lagi berasa bimbang.”

Mujah tidak bersetuju dengan dakwaan Masing mengatakan para intelek Dayak menghasut rakyat untuk menentang kerajaan.

“Saya tidak bersetuju. Saya berpendapat bahawa masyarakat Dayak berintelek hanya memberi nasihat kepada orang-orang tua mereka supaya mereka tidak akan tertipu lagi,” kata Mujah.

Masyarakat keliru

Memberi komen pada isu yang sama, Pegawai Publisiti Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU), John Anthony Brain mengatakan bahawa masyarakat luar bandar keliru kerana mereka tidak dapat membezakan di antara cerita benar dan propaganda.

Beliau berkata, mereka tidak tahu siapakah yang harus dipercayai kerana terdapat segelintir ahli politik yang selalunya tidak menceritakan kebenaran penuh. Dan disebabkan oleh keterangan yang bertentangan, rakyat pula merasa ragu.

Brian merujuk kepada Perbadanan Pemuliharaan dan Penyatuan Tanah Sarawak (Salcra) sebagai contoh.

Beliau mengatakan bahawa segelintir ahli-ahli politik berpendapat Salcra banyak memberi faedah kepada mereka yang mengikuti skim tanah tersebut.

Tetapi menurut pendapat Brian, ramai di antara pengikut skim tersebut hanya menerima upah RM8 sehari atau dividen yang kecil setahun.

Brain, yang juga mempunyai laman web bernama Dayak Baru.com, menambah: “Masyarakat Dayak ingin melihat perubahan di kawasan mereka dan mereka mahu kerajaan untuk menunaikan janji-janjinya. Mereka sudah serik mendengar janji-janji yang ditaburkan.

“Kalau dilihat di kawasan Batang Ai, masyarakat di situ telah menendang bola balik ke kerajaan (untuk menunaikan janji-janji melaksanakan projek-projek pembangunan).”

Baru Bian, seorang peguam dan ahli politik berkata maksud ‘pintar’ dalam politik adalah subjektif.

“Tidak mungkin saya mempunyai kepintaran politik jika saya hanya mahu memastikan kehidupan kerjaya politik saya. Saya pilih politik yang betul. Masing pula silap mengatakan para pemipin masyarakat Dayak tidak pintar. Mereka sebenarnya pintar!”

Dipetik dari Malaysiakini.com
Diterjemah untuk Sebana Menoa

1 comment:

joshua said...

kenyataan yang dinyatakan adalah tepat dan benar... kebanyakan masyarakat rumah panjang sekarang masih keliru...keadaan ini disebabkan beberapa faktor...pada pendapat saya hal ini timbul disebabkan oleh masalah dan keadaan politik yang hanya mementingkan polisi politik bebanding rakyat...rakyat hanya digunakan sebagai anjing untuk mengesan sahaja tetapi rakyat hanya mendapat kerugian dan tiada kemajuan langsung...untuk mengatasi masalah ini rakyat hanya mengikut naluri dan persaan sahaja dimana mereka rasa betul itulah mereka ikut...keadaan ini memburukan apabila mereka perbalah sesama sendiri dan sistem adat diabaikan....