Thursday, April 2, 2009

Memorandum Perayaan Gawai Nerabai Menoa 2008

KAMI, ketua-ketua masyarakat, ahli-ahli pertubuhan dan persatuan Orang Asal (IPOs dan CBOs), wakil-wakil dan peserta-peserta dari pelbagai masyarakat rumah panjang dan komuniti Orang Asal di seluruh Sarawak, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) dan perwakilan organisasi profesional Orang Asal yang mengikuti rombongan Kembara Jaringan Tanah Hak Adat Orang Asal Sarawak (Kembara TAHABAS) serta menghadiri Perayaan Hari Gawai Nerabai Menoa 2008 – bertema “Bersatu Memperjuangkan Hak Adat Orang Asal”, yang diadakan di Kampung Sungai Limo, Lundu, Bahagian Kuching, Sarawak pada 9hb November 2008. Dengan ini ingin menyuarakan tentang pelbagai isu dan masalah yang dikenalpasti dan sedang kami hadapi seperti berikut:

1. Sejarah dan kewujudan Orang Asal bermula sebelum sejarah moden Sarawak Malaysia. Adat, tradisi dan institusi Orang Asal dibangun dan diamalkan sebelum sebarang undang-undang bertulis wujud. Orang Asal telah mengamalkan hubungan rapat dengan alam sekitar di dalam wilayah tanah adat Orang Asal

2. Tanah adat adalah nyawa dan darah kami. Ia adalah satu-satunya harta pusaka dan warisan milik Orang Asal yang diwarisi mengikut adat resam sejak turun temurun. Kanun Tanah Sarawak Bab 81 (Sarawak Land Code Cap. 81), Perlembagaan Malaysia, prinsip undang-undang ‘Common Law’ dan Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP), di mana kerajaan Malaysia sendiri telah bersetuju untuk menyokongnya, mengakui dan melindungi hak Orang Asal ke atas tanah. Mahkamah-mahkamah di Malaysia telah mengesahkan ini di dalam beberapa keputusan yang memberi pengiktirafan kepada tanah adat, wilayah dan sumber-sumber Orang Asal. Ini termasuklah keputusan-keputusan kes Adong Kuwau, Nor Nyawai, Sagong Tasi, Rambilin Ambit dan Madeli Salleh.

3. Akan tetapi, kerajaan terutamanya kerajaan negeri Sarawak sering mencabul dan mengabaikan tanggungjawab mereka untuk melindungi hak Orang Asal semata-mata untuk mengaut keuntungan dengan menggunakan alasan pembangunan sebagai justifikasinya. Walaupun terdapat keputusan-keputusan mahkamah tempatan yang menerima dan mengakui tuntutan dan hak tanah adat Orang Asal, akan tetapi kerajaan dan agensi-agensinya memilih untuk tidak menerima-pakai keputusan-keputusan tersebut sebagai rujukan perundangan. Sebaliknya, setiap kes tuntutan tanah adat yang dibawa ke mahkamah dilihat sebagai satu kes baru yang perlu dibicarakan dengan hujah-hujah yang baru;

Masalah yang sedang dihadapi oleh Orang Asal di Sarawak ialah pengalihan milik, pengambilan dan penghapusan hak tanah adat mereka oleh kerajaan negeri Sarawak untuk tujuan pembalakan, skim perladangan besar-besaran seperti kelapa sawit dan kayu akasia, projek-projek infrastruktur seperti empangan hidro elektrik, kilang-kilang peleburan aluminium dan pembinaan paip gas dan perlombongan seperti kuari dan arang batu oleh syarikat-syarikat swasta dan/atau agensi-agensi Kerajaan.

4. Rancangan dasar pembangunan kerajaan seperti “Konsep Baru Pembangunan Tanah Adat (NCR) Sarawak” untuk ladang kelapa sawit yang dikendalikan oleh agensi-agensi Kerajaan seperti Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (LKTS), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) dan perladangan kayu akasia yang dikendalikan oleh agensi kerajaan iaitu Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) adalah sebuah proses pengambilan dan penghapusan hak tanah adat Orang Asal secara halus supaya golongan elit, kapitalis, pelabur-pelabur asing dan syarikat-syarikat swasta memperolehi tanah secara besar-besaran dan membolot kekayaan sumber yang terkandung dalam kawasan tanah adat Orang Asal;

5. Tidak habis dengan itu, kini kerajaan pula melaksanakan dasar pembangunan Koridor Tenaga Pembaharuan Sarawak (SCORE) yang dikendalikan oleh sebuah lagi agensi kerajaan iaitu Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) yang mensasarkan kawasan tanah seluas 70,900 hektar dari kawasan pesisiran pantai Tanjung Manis ke Similajau sehingga ke kawasan pendalaman yang meliputi Bahagian Mukah, Sarikei, Sibu, Bintulu dan Kapit untuk tujuan pembangunan pembalakan, perladangan, industri berat, tenaga hidro elektrik di mana terdapat rancangan untuk membina 12 buah empangan lagi, perlombongan gas asli dan arang batu, akua-kultur dan eko-pelancongan. Ramai lagi Orang Asal, pemilik tanah adat akan dieksploitasi untuk melaksanakan pembangunan SCORE dan ini akan mengancam hak, tanah adat dan kehidupan penduduk-penduduk rumah panjang, kampung dan desa dalam kawasan berkenaan;

6. Usaha-usaha Orang Asal untuk menentukan pembangunan sendiri serta mengurus dan melindungi hutan dan sumber-sumber secara komunal dan mampan (sustainable) yang diamalkan sejak dari dulu lagi serta boleh menjamin peningkatan taraf sosio-ekonomi kami tidak disokong oleh Kerajaan atas kepentingan-kepentingan tertentu. Sebaliknya, Orang Asal yang menegakkan hak mereka pula disalahkan dan dikutuk sebagai orang-orang yang tidak mahu ikut arus pembangunan, anti-kerajaan dan/atau tidak mengenang budi sumbangan kerajaan kepada mereka.

7. UN-DRIP mengakui bahawa Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, “the International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights” dan “the International Covenant on Civil and Political Rights” dan juga “the Vienna Declaration and Programme of Action”, mengalakkan kepentingan asas hak penentuan diri untuk semua orang, yang bermaksud semua orang bebas untuk menentukan status politik dan bebas meneruskan pembangunan ekonomi, sosial dan adat. Perkara 3 dalam UN-DRIP menyatakan bahawa Orang Asal mempunyai hak penentuan diri, yang mana berlandaskannya, Orang Asal bebas untuk menentukan status politik dan bebas mengejar pembangunan ekonomi, sosial dan budaya mereka;


DENGAN INI, kami menyatakan tuntutan-tuntutan seperti berikut :

1. Menyeru Kerajaan Negeri Sarawak untuk menyelesaikan masalah sempadan tanah adat dengan merintis dan menandakan sempadan "menoa" tanah adat bagi tiap-tiap kampung/rumah panjang masyarakat Orang Asal dan rekod sempadan tersebut harus diberi kepada masyarakat berkenaan dengan satu salinan disimpan oleh jabatan kerajaan berkenaan untuk rujukan bersama;

2. Kerajaan harus segera memberhentikan proses perundangan warta tanah yang mengambil alih hak tanah adat daripada dipunyai oleh Orang Asal sendiri. Tanah adat yang telah dirampas ataupun diwartakan untuk pelbagai tujuan haruslah dikembalikan dan proses perundangan harus dilakukan untuk membolehkan ini berlaku;

3. Meminta Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak atau agensi-agensinya, syarikat-syarikat swasta dan pelabur-pelabur asing untuk mengadakan perundingan secara terbuka dan terperinci dengan masyarakat kami dengan menggunakan prinsip izin, makluman awal, bebas dan telus (free, prior, informed consent) sebelum melaksanakan sesuatu projek pembangunan yang melibatkan tanah adat dan persekitaran kami. Kerajaan harus membekalkan semua laporan kajian dan maklumat tentang rancangan projek pembangunan yang akan dilaksanakan di dalam tanah adat kami untuk dikemukakan dan diteliti terlebih dahulu oleh kami demi menentukan bahawa hak dan kepentingan kami tidak terjejas dan segala maklumat projek yang sedang dijalankan di dalam tanah adat kami haruslah dikemukakan kepada kami juga. Pandangan dan pendirian kami samada projek berkenaan disokong atau tidak, haruslah dihormati;

4. Meminta Mahkamah memberi keutamaan kepada kes-kes yang melibatkan pertikaian tanah adat dengan mempercepatkan proses perbicaraan dan pemberian keputusan. Kerajaan harus menyediakan bantuan guaman bagi kes-kes Orang Asal;

5. Menggesa Kerajaan Negeri Sarawak menghenti, membeku dan menarik-balik segala lesen-lesen pembalakan, ladang penanaman kayu dan geran hak milik sementara (PL) yang telah dikeluarkan kepada agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat swasta di mana ia melibatkan tanah adat dan hak kami, dengan itu segera menghentikan segala kerja-kerja mereka di kawasan tanah adat kami sehingga resolusi dan persetujuan sepakat telah dimeterai di antara semua pihak;

6. Menggesa Kerajaan menghentikan dan membatalkan projek dan program pembangunan mega dan industri mencemar yang dirancang dan dilaksanakan di seluruh bahagian di Sarawak yakni akan merosakkan alam sekitar lalu ini akan mengakibatkan bencana meluas kepada alam persekitaran dan rakyat jelata, terutamanya masyarakat Orang Asal di kawasan pendalaman;

7. Memaklumkan kepada Kerajaan bahawa masyarakat kami menolak skim perladangan besar-besaran dan projek mega seperti empangan hidro elektrik Bakun dan rancangan pembinaan 12 buah empangan hidro elektrik lagi yang meliputi tanah adat kami. Kami juga menolak segala program pembangunan pemuliharaan di dalam tanah adat kami yang bertujuan untuk merampas dan mengancam hak dan tanah adat kami. Tanah adat kami haruslah dikecualikan daripada jenis aktiviti-aktiviti dan program-program pembangunan besar-besaran yang merosakkan sebegini. Kami menuntut agar kerajaan membatalkan projek-projek infrastruktur besar-besaran yang memindahkan masyarakat Orang Asal dari kawasan tanah adat mereka;

8. Menggesa Kerajaan Negeri Sarawak untuk menghentikan perlaksanaan "Konsep Baru" yang melibatkan tanah adat orang asal kerana konsep sebegini merupakan suatu ancaman besar kepada kehidupan dan hak-hak ke atas tanah adat, sumber-sumber asli, biologi dan alam sekitar kami;

9. Menyeru kepada badan keselamatan dan pihak polis untuk bertindak secara professional dan adil dalam menjalankan tugas. Segala aduan dan laporan berkenaan dengan pencabulan hak asasi manusia, pencerobohan dan kerosakkan ke atas tanah adat serta sumber-sumber kami yang diajukan kepada polis haruslah disiasat dengan segera serta tindakan sewajarnya diambil ke atas pihak-pihak yang berkenaan. Pihak berkuasa haruslah menghormati tindakan masyarakat Orang Asal dalam mempertahankan hak asasi, tanah adat, harta-benda, sumber-sumber dan persekitaran kami daripada terus diceroboh, dirampas dan dimusnahkan oleh syarikat-syarikat swasta, agensi-agensi pemaju dan/atau pihak-pihak lain;

Kami menggesa pihak berkuasa untuk menghormati hak asasi masyarakat kami dan pihak polis haruslah menghentikan tindakan penangkapan dan penahanan yang tidak berasas ke atas masyarakat kami; dan

MAKA KAMI dengan sebulat suara mengangkat tangan beramai-ramai dengan sorakkan untuk menyatakan dan menandakan persetujuan dan sokongan kami kepada Memorandum ini.

No comments: