Thursday, April 2, 2009

Keputusan Mahkamah Persekutuan memperkukuhkan tuntutan hak adat ke atas tanah

KUCHING - Mahkamah Persekutuan telah mengesah konsep tanah hak adat Bumiputera (NCR) dan bukti-bukti yang membentuk hak-hak adat Bumiputera ke atas tanah di Sarawak. Mahkamah Persekutuan yang membuat keputusan baru-baru ini dalam kes Nor Anak Nyawai telah memperkukuhkan tuntutan-tuntutan hak adat ke atas tanah dan menjadi satu peristiwa yang amat penting dari segi undang-undang.

Keputusan muktamad tersebut dibuat oleh panel hakim-hakim yang terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Dato Alauddin Mohd Sheriff, Ketua Hakim Malaya Datuk Ariffin Zakaria, dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Dzukifli Ahmad Makinudin.

Encik Baru Bian, seorang peguam Orang Asal yang terkenal menyambut baik keputusan tersebut. Beliau menyatakan bahawa Mahkamah Persekutuan (Federal Court) telah membuat suatu keputusan undang-undang yang amat penting bagi masyarakat Bumiputera di Sarawak. Keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut telah memberi sokongan terhadap bukti sebenar bahawa “temuda”, “pemakai menoa” dan “pulau” adalah bentuk-bentuk hak-hak adat Bumiputera (NCR) ke atas tanah.

Encik Baru berkata, “buat masa sekarang, undang-undang berkaitan dengan tuntutan-tuntutan tanah NCR di Sarawak adalah suatu undang tetap berikutan keputusan Mahkamah Rayuan ke atas kes Nor anak Nyawai. Keputusan ini juga telah disahkan dalam kes Madeli. Kedua-dua keputusan kes tersebut diputus di mahkamah yang sama dan Mahkamah Persekutuan”. “Berkenaan dengan kawasan-kawasan di mana Orang Asal (Natives) selalunya berkelana bagi mencari makanan untuk kehidupan mereka selaras dengan tradisi mereka, hak-hak tersebut telah pun disahkan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Sagong Tasi”, katanya.

Beliau menjelaskan bahawa tuntutan-tuntutan NCR bukan saja terhad kepada kawasan tanah yang ditanam dan telah dikerjakan yang dikenali sebagai “temuda” tetapi juga “pemakai menoa” dan “pulau”. Beliau juga menjelas bahawa hak-hak adat Bumiputera (NCR) ada kaitan dengan kawasan-kawasan hutan di mana masyarakat Orang Asal (Natives) pernah menjalankan kegiatan memburu atau berkelana mencari makanan.

Pada Bulan Mei 2001, TR Nor dan anembiaknya telah memenangi kes mereka di Mahkamah Tinggi di mana hakim Datuk Ian Chin membuat keputusan bahawa “temuda”, “pemakai menoa” dan “pulau” adalah diakui sebagai NCR seperti yang termaktub dalam Kanun Tanah Sarawak dan undang-undang sebelumnya. (Penama dalam kes tersebut adalah Nor Anak Nyawai Vs Borneo Pulp Plantation Sdn Bhd dengan dua responden iaitu Jabatan Tanah & Survei dan Kerajaan Negeri Sarawak). Selepas itu, Suprintenden Tanah & Survei membuat rayuan kes tersebut ke Mahkamah Rayuan.

Encik Baru Bian telah mewakili TR Nor dan anembiaknya Sekalai Ling, Jerangku Bakit dan Lani Taneh dalam kes perbicaraan tersebut.

Pada 2005, setelah membuat siasatan ke atas fakta-fakta yang telah dibicarakan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, maka Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Nor dan anembiaknya pernah menduduki kawasan “pulau” yang dipertikaikan dalam kes perbicaraan, namun Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan tersebut dengan sebab tidak ada tanda bahawa Nor dan anembiaknya mendiami kawasan yang dipertikaikan tersebut.

Tetapi di sebaliknya, hakim-hakim Mahkamah Rayuan mengesah dan bersetuju dengan penemuan-penemuan dan interpretasi yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi berkenaan dengan apa jua yang membentuk NCR. Hakim-hakim Mahkamah Rayuan mengakui bahawa konsep hak-hak NCR ke atas tanah adalah dinamakan sebagai “temuda”, “pulau” dan “pemakai menua”. Keputusan tersebut mengesahkan pendirian Mahkamah Tinggi ke atas isu perundangan berkenaan tanah NCR. Hakim-hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Hashim Yusoff, Datu Richard Melanjun dan Tengku Dato Baharuddin Shah Tengku Mahmud.

Latar-belakang Kes
Tuai Rumah Nor anak Nyawai dan anembiaknya berasal dari Kanowit. Mereka berpindah ke Sungai Sekabai, Sebauh, Bintulu pada tahun 1930s dan mempunyai hak adat Tanah di mana sebahagian daripadanya seluas 672.8 hektar adalah dalam kawasan pertikaian. Kawasan pertikaian tersebut adalah sebahagian kecil dari Batu Kapal Land District yang telah dibalak oleh Limbang Trading (Bintulu) Sdn Bhd pada tahun 1908s. Batu Kapal Land District adalah seluas 8,854 hektar. Selepas itu, Superintenden Tanah & Survei memberi satu hak milik sementara (provisional lease) kepada Borneo Pulp Plantation Sdn Bhd untuk projek peladangan kayu di kawasan pertikaian tersebut.

Pada 26 Januari 1999, masyarakat Iban yang diketuai oleh Tuai Rumah Nor Anak Nyawai memfailkan saman terhadap Borneo Pulp Plantation Sdn Bhd, Jabatan Tanah & Survei dan Kerajaan Negeri Sarawak membuat tuntutan bahawa mereka mempunyai NCR ke atas kawasan pertikaian tersebut. Mereka menuntut bahawa mereka mempunyai NCR yang sah mengikut undang Tanah Sarawak, Peraturan-peraturan Rajah berkaitan dengan tanah dan undang-undang sebelumnya.

Superintenden Tanah & Ukur mempertikaikan tuntutan tersebut berdasarkan gambar udara tahun 1951 yang mempaparkan bahawa kawasan pertikaian tersebut diliputi oleh hutan. Beliau mendakwa bahawa kawasan pertikaian tersebut adalah “Interior Area Land”, maka itu tidak ada Bumiputera (Natives) yang dapat menduduki-nya tanpa suatu permit selepas 1955 dari Pegawai Daerah Bintulu. Beliau juga mendakwa bahawa Rumahpanjang Nor terletak di luar kawasan perikaian dan juga telah dibina dalam tahun 1955. - SM

No comments: