Wednesday, April 15, 2009

Seorang aktivis Survival menyiasat ancaman empangan hidro dan bahan api biologi ke atas masyarakat Orang Asal di Borneo

6 April 2009

Seorang aktivis dan ahli kempen Survival baru-baru ini telah melawat kawasan-kawasan hutan di Borneo untuk menyiasat aduan masyarakat Penan nomadik. Masyarakat Penan kini berdepan dengan masalah pembalakan, perladangan dan empangan hidro elektrik yang akan menghancurkan hutan tempat mereka bergantung hidup.

Miriam Ross, seorang aktivis dan ahli kempen yang berpusat di London, telah pergi ke Sarawak untuk melihat dengan mata beliau sendiri masalah-masalah yang sedang dihadapi oleh masyarakat Penan di Sarawak, Malaysia.

Menurut Ross, ‘Saya amat terkejut melihat kemusnahan tanah masyarakat Penan, dan lebih terkejut lagi apabila mendapat tahu kemusnahan ini berlaku dengan begitu cepat sekali. Saya pergi melawat masyarakat Penan yang menghadapi masalah dari pembalak, kebanyakkan hutan mereka sudah musnah dan binatang buruan sukar didapati. Ini menyebabkan masyarakat Penan sukar untuk mencari makanan mereka.

‘Hutan di mana tiada lagi kayu yang tinggal, kini pula diganti dengan ladang kelapa sawit untuk tujuan menghasilkan minyak kelapa sawit dan bahan api biologi. Ladang kelapa sawit memberi kesan yang lebih buruk kepada masyarakat Penan daripada pembalakan kerana dengan adanya ladang tersebut, masyarakat Penan tidak ada tempat lagi untuk mereka memburu atau memungut hasil-hasil hutan. Kehidupan mereka kini terjejas.

‘Dan bukan ini sahaja. Sebanyak 12 buah empangan hidro elektrik yang besar sedang dirancang untuk Sarawak, dan ini akan menenggelamkan banyak kampung-kampung masyarakat Penan dan masyarakat Orang Asal yang lain. Empangan pertama kini dalam pembinaan, dan masyarakat Penan di kawasan tersebut diarahkan untuk berpindah.

‘Masyarakat Penan telah bertahun-tahun cuba untuk mempertahankan kemusnahan tanah dan cara kehidupan mereka dengan mendirikan benteng di jalan-jalan balak. Tetapi, kata mereka, ‘Suara kami ini kecil jika dibandingkan dengan suara kerajaan atau syarikat-syarikat swasta.’ Mereka mahu kerajaan Malaysia mendengar masalah mereka sebelum ia terlambat.’

Salah seorang lelaki Penan memberitahu Ross, ‘Hutan ini umpama sebuah bank untuk kami. Kami tidak seperti orang-orang yang tinggal di bandar yang mempunyai wang untuk membeli barangan. Hutan ini adalah nyawa kami. Jika kami kehilangan hutan yang membekalkan sumber untuk hidup, kami akan mati.’

.....................................................................................

Gambar dan video boleh didapati.

Miriam Ross juga boleh dihubungi di nombor (+44) (0)20 7687 8734 atau (+44) (0)7504543367 atau emel mr@survival-international.org


Sumber: http://www.survival-international.org/news/4425
Diterjemah untuk Sebana Menoa

No comments: