Wednesday, April 8, 2009

Kenyataan Media

Masyarakat Penan di Kampung Ugos, Suai ingin menarik diri daripada Projek Usahasama NCR yang dilancarkan oleh Tan Sri Alfred Jabu



MIRI, 27 Mac 2009 - Masyarakat Penan dari rumah panjang, Rumah Ugos yang terletak di Jambatan Suai di Suai, Niah, Bahagian Miri yang terdiri daripada 56 buah keluarga, pagi tadi telah memberi notis kepada YB Datuk Dr. James Jemut Masing, Menteri Pembangunan Tanah Sarawak dan YB Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Infrastruktur Sarawak bahawa mereka akan mengambil balik tanah hak adat bumiputra (NCR) mereka yang telah dibangunkan sebagai ladang kelapa sawit mengikut pembangunan usahasama atau lebih dikenali sebagai Konsep Baru pada tahun 1998.

Sebuah rombongan yang diketuai oleh Tuai Kampung Encik Ugos bin Sugon, usia 78 tahun dan bekas Konselor Encik Jadam anak Eken, usia 58 tahun, telah bertemu dengan peguam daripada masyarakat Kayan, yang juga merupakan seorang aktivis alam sekitar dan bekas Ahli Parlimen Baram, Encik Harrison Ngau Laing di pejabat beliau pada pagi tadi. Mereka mengadu bahawa mereka tidak diberitahu langsung oleh rakan usahasama mereka dan juga Kementerian Pembangunan Tanah dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Infrastruktur mengenai apa yang berlaku dengan projek usahasama tersebut.

Menurut Encik Jadam, Projek Usahasama tersebut melibatkan tanah NCR mereka seluas 2,128 hektar dan semasa rundingan pada tahun 1998, adalah dipersetujui bahawa masyarakat Penan akan memegang 30% syer dan Lembaga Pembangunan Tanah Sarawak (SLDB) yang bertindak sebagai pemegang amanah mereka akan memegang 10% syer manakala baki 60% syer akan dipegang oleh sebuah pelabur swasta.


“Semasa pelancaran rasmi projek usahasama tersebut di Miri oleh Tan Sri Alfred Jabu pada tahun 2000, kami dibayar 10% daripada nilai tanah NCR kami yang seluas 2,128 hektar di mana sehektar adalah RM1,250.00. Kami juga diberitahu bahawa baki nilai tanah tersebut akan dilabur di dalam Amanah Saham Sarawak (ASSAR) oleh SLDB yang merupakan wakil kami” kata Encik Jadam.

Menurut Jadam, semasa Pilihanraya Umum pada bulan Mac tahun 2008, Ketua Menteri Sarawak Pehin Seri Abdul Taib Mahmud telah menyerahkan sebuah cek bernilai RM500,000.00 kepada mereka melalui abang Jadam iaitu Datuk Hasan Sui yang sepatutnya merupakan bayaran dividen hasil daripada projek usahama tersebut.

“Dulu kami ada bertanya bagaimana nilai tepat sebanyak RM500,000.00 tidak kurang dan tidak lebih dapat dikira yang merupakan bayaran dividen untuk keluasan tanah NCR kami yang seluas 2,128 hektar. Sehingga sekarang belum ada sesiapa yang dapat memberi jawapan” tambah Jadam.

Tuai Kampung Ugos and Jadam juga mengatakan sehingga hari ini mereka dan juga pemilik tanah NCR yang lain belum pernah melihat penyata akaun projek usahama tersebut.

“Kalau begini, bagaimana kami tahu samada projek usahasama NCR tersebut mendapat keuntungan atau tidak” kata Tuai Kampung Ugos.

Encik Jadam yang kelihatan marah berkata, “Kami adalah pemilik tanah NCR tersebut dan juga pemegang syer di dalam projek usahasama tersebut, oleh itu kami berhak untuk bertanya dan melihat penyata akaun.”

Encik Jadam juga mengadu bahawa “Rekod rasmi megenai keluasan tanah NCR setiap pemilik individu dan juga salinan Perjanjian Usahasama projek tersebut tidak diberikan kepada kami. Ada di antara pemilik tanah NCR sudah meninggal dan jika kami tiada sebarang rekod, bagaimana anak-anak kami akan tahu bahawa tanah ibubapa mereka terlibat di dalam projek usahama tersebut?”

Mereka berdua menuntut dan memberi amaran, “Jika rakan usahasama kami tidak mahu memberi kami maklumat yang relevan berkenaan dengan projek ini, kami minta YB Dato Seri Dr. James Masing dan YB Tan Sri Alfred Jabu, sebagai Menteri-Menteri yang bertanggungjawab, untuk mengambil tindakan yang segera dan jika tidak kami akan bertindak untuk mengambil balik tanah NCR kami dan menghalau rakan usahasama kami.”

Encik Harrison Ngau menyokong penuh tuntutan yang dibuat oleh masyarakat Penan termasuklah tindakan mereka untuk mengambil balik dan menghalau rakan projek usahasama tersebut daripada tanah NCR mereka.

Beliau berkata, “Ini adalah cerita sedih yang sering kita dengar di seluruh Sarawak di mana pemilik tanah NCR telah ditipu. Ini sekali lagi menunjukkan kegagalan, ketidakcekapan dan pengkhianatan para pemimpin BN terutamanya pemimpin-pemimpin bumiputra atau Dayak di dalam BN Sarawak terhadap penghuni-penghuni rumah panjang dan masyarakat Penan yang telah mengundi mereka selama ini.

Saya berharap masyarakat kita akan ingat pengkhianatan berulang pemimpin-pemimpin BN dan memilih untuk menolak mereka semasa pilihanraya yang akan datang.”

“Baru-baru ini, terdapat satu kes di mana masyarakat Iban dari Rumah Ranggong dan Rumah Belili di Ulu Niah telah membangunkan tanah NCR mereka mengikut skim yang sama iaitu Konsep Baru pada tahun 1999 dengan SLDB dan Bintulu Lumber Development Sdn. Bhd. melalui syarikat usahasama mereka, Niamas Istimewa Sdn. Bhd. Akan tetapi pada tahun 2008 selepas 9 tahun beroperasi projek tersebut dibatalkan atas alasan tidak wujud tanah NCR di situ.

“Dalam kes tersebut, projek usahasama tersebut telah dilancarkan secara rasmi oleh Tan Sri Alfred Jabu pada tahun 2001. Jadi tidak hairanlah kenapa masyarakat Dayak telah hilang kepercayaan kepada Tan Sri Jabu.” tambah En. Harrison.

En. Harrison juga mengatakan bahawa beliau dan beberapa peguam dan juga badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang lain akan melancarkan satu kempen menentang usul Kerajaan Negeri Sarawak membina 12 buah empangan di Sarawak. - SM

No comments: