Wednesday, December 8, 2010
Abdul Karim: Tak adil halang Taib kumpul kekayaan
Dis 8, 10
4:29pm
Abdul Karim Hamzah, ketua setiausaha politik kepada Menteri Besar Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, memberitahu Radio Free Sarawak (RFS) bahawa adalah “adil” bagi membenarkan Taib mengumpul kekayaan semasa memegang jawatan.
Dalam wawancara dengan RFS, sebuah radio gelombang pendek yang di luar kawalan kerajaan negeri, Abdul Karim menolak laporan sesawang Sarawak Report bahawa keluarga Taib telah mengumpulkan kekayaan yang agak luar biasa. Beliau juga membincangkan Kertas Putih yang kontroversial berhubung 'amalan politik yang tidak sihat' seperti yang dicadangkan oleh Abdul Karim sendiri.
“Secara peribadi, saya lihat mesti ada had kepada segala-galanya, awak tidak boleh ada kebebasan mutlak... kebebasan bersuara, ada batasnya. Maksud saya untuk bertindak (bagi kes fitnah) bukan sesenang yang difikirkan... ada kalanya lebih baik membiarkannya saha, selepas seketika, ia akan lenyap.”
Beliau juga menafikan laporan di Sarawak Report yang memaparkan kekayaan Taib dan keluarganya yang dikumpul di Eropah, Amerika Utara dan juga beberapa skim tanah yang dibolotinya di Sarawak.
“Cara saya lihat, tiada masalahlah. Apa masalah Sarawak Report? Adakah mereka memperkatakan sesuatu yang berbentuk fitnah atau berniat jahat? Saya tidak fikir menjadi kesalahan kerana menjadi kaya,” kata Abdul Karim.
Apabila ditanya bagaimana gaji Taib sebagai ketua menteri dan anak-anaknya mampu mengaut kekayaan sebegitu rupa, jawapannya: “Bagaimana anda boleh menggunakan gaji sebagai kayu pengukur? Maksud saya, setiap orang harus diberi peluang, jika Taib adalah ketua menteri, saya tidak fikir kita patut hentikan anak-anaknya daripada menjadi kaya ataupun kelurga itu dari menjadi kaya.”
Sumber: Malaysiakini.com
URL: http://www.malaysiakini.com/news/150274
Thursday, October 28, 2010
Penduduk Baram Bimbang Bahana Empangan

Ramli Bujang (tengah) memegang peta penempatan semula yang dicadangkan untuk penduduk Penan dan Kenyah yang terjejas berikutan cadangan pembinaan Empangan Murum.
28 Oktober 2010
Oleh Hazel Lee
MIRI — Lebih 20,000 penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Baram kini bimbang apa yang dihadapi penduduk di Sungai Rajang akan menimpa mereka sekiranya cadangan untuk membina Empangan Hidroelektrik Baram diteruskan.
Pengerusi Jawatankuasa Tindakan dan Perlindungan Baram (JTPB), Philip Jau berkata, penduduk Baram mendakwa mereka tidak pernah dalam sejarah menyaksikan penurunan paras Sungai Rajang yang begitu mendadak disebabkan penakungan air di Empangan Hidroelektrik Bakun.
“Kini mereka bimbang Sungai Baram akan mengalami nasib yang sama seperti Sungai Rajang. Mereka tidak mahu perkara itu berlaku kerana kehidupan penduduk di situ bergantung sepenuhnya dengan sungai,” katanya semasa sidang media di Hotel Telang Usan hari ini.
Menurut Philip, terdapat sekurang-kurangnya 20,000 penduduk Orang Ulu terdiri daripada kaum Kayan, Kenyah, Kelabit, Saban dan Penan dari ratusan rumah panjang dan kampung menetap di sepanjang Sungai Baram.
Antara kampung yang terjejas jika empangan itu diteruskan ialah Long Laput, Sungai Dua, Sri Kenawan, Uma Bawang, Long Miri, Long Pilah, Long Kesseh, Long Na’ah, Long Liam, Long San, Long Selatong, Long Apu, Long Julan Asal, Long Julan Pelutan, Long Anap, Long Palai, Long Je’eh, Long Moh, Long Sela’an, Long Semiyang, Long Beku, Ba’Abang, Long Tap dan Long Tebangan.
Tegas Philip, empangan yang meliputi keluasan 38,900 hektar itu menjejaskan kemudahan lain seperti lapangan terbang, sekolah dan klinik di Baram yang sebelum ini dibina menggunakan duit rakyat.
“Tambahan pula, tidak ramai penduduk Baram mengetahui secara mendalam mengenai empangan Baram. Walaupun pembinaan empangan itu masih dalam peringkat cadangan, namun kami berhak tahu dan membuat keputusan sama setuju atau sebaliknya projek itu dilaksanakan,” katanya.
Justeru ujar Philip, JTPB mahu kerajaan Negeri melihat perkara ini dengan serius dan menarik balik cadangan untuk meneruskan pembinaan empangan di Baram.
Dalam sidang media yang sama, Jawatankuasa Hal Ehwal Penan Peleiran-Murum (PEMUPA) mahu kerajaan Negeri membatalkan semua lesen pajak sementara untuk peladangan di kawasan tadahan Empangan Hidroelektrik Murum.
Ahli Jawatankuasanya, Ramli Bujang berkata, pembatalan itu perlu sebagai satu syarat dalam pembahagian tanah bagi kampung-kampung Penan sebelum mereka dipindah ke kawasan penempatan semula yang dicadangkan di kawasan Murum.
“Kami amat terganggu dengan apabila kawasan penempatan yang dicadangkan iaitu di Sungai Metalon telah dibahagi-bahagikan kepada sebuah syarikat untuk peladangan kelapa sawit tanpa pengetahuan kami.”
“Penebangan hutan oleh syarikat berkenaan di kawasan penempatan semula Metalon yang dicadangkan tersebut akan membawa kesan buruk ke atas kehidupan kami, ” kata Ramli.
Menurut Ramli, lebih 1,000 penduduk dari enam perkampungan Penan bakal terjejas berikutan Empangan Murum iaitu Long Wat, Long Singu, Long Luar, Long Tangau, Long Malim dan Long Pelutan (Menapa) serta penduduk Kenyah-Badeng di Long Umba.
Sebelum ini, penduduk Penan di Murum mencadangkan tiga kawasan penempatan semula iaitu di Sungai Metalon di Ulu Peleiran, Ulu Sungai Tegulang dan Ulu Malim-Danum.
Hadir sama Penyelaras Kebangsaan, Pakatan Konservasi Alam Sekitar Sarawak (SCANE), Raymond Abin dan Pengarah Eksekutif Institut Sumber Borneo Malaysia (BRIMAS) Mark Bujang dan peguam penasihat Abun Sui Anyit.
Sumber: Sarawak Update
URL: http://sarawakupdate.com/home/berita/pilihanraya-dun/penduduk-baram-bimbang-bahana-empangan/
Wednesday, October 27, 2010
Tangkapan 7 penduduk kampung di Sebuyau, tidak sepatutnya dilakukan
22 Oktober 2010
WADESA amat kesal dengan penangkapan 7 orang penduduk Sebuyau di Balai Polis Simunjan hari ini kerana atas tuduhan membakar lori, jentolak dan juga rumah pekerja kem.
WADESA mengatakan bahawa pihak penguatkusa dan polis langsung tidak membantu mengatasi masalah Orang Asal selaku mangsa, malah bertindak menangkap penduduk setempat, seolah-olah menyebelahi pihak Syarikat dan juga pengeluar lesen balak ke atas tanah adat Orang Asal (NCR) penduduk Kampung Sebuyau.
Penduduk Sebuyau memang telah lama membuat bantahan kepada Jabatan Perhutanan tentang pencerobohan hak ke atas tanah adat mereka. Tindak balas Jabatan Perhutanan memberikan lessen kepada syarikat pembalakan Quality Concrete Holdings menyebabkan kehidupan para penduduk semakin terancam dan konflik semakin menjadi. Kenapa laporan demi laporan yang dibuat oleh penduduk kampung tidak diperdulikan?
Seharusnya tugas pihak polis menangkap mereka yang merompak(syarikat Quality Concrete Holding), kerana Syarikat Quality Concrete yang menceroboh kawasan tanah milik orang kampung. Kenapa Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia tidak menyiasat bagaimana Raziah Mahmud , adik kepada ketua Menteri Sarawak menjadi pengarah syarikat tersebut?
Pihak Polis seharusnya mengambil tindakan menjaga keselamatan orang kampung yang menjadi mangsa keadaan. Bukannya menangkap orang kampung yang mempertahankan tanah Adat mereka dari dirampas. Ini adalah tindakan salah guna kuasa.
Penduduk Kampung sebuyau sepatutnya diberikan hak untuk memiliki tanah adat mereka sendiri seperti yang terkandung dalam Deklarasi Hak Orang Asal Antarabangsa UNDRIP, Artikel 26: Orang Asal berhak ke atas tanah, wilayah dan sumber-sumber yang telah dimiliki oleh kita secara tradisional dan kerajaan mesti mengiktirafkan dan megesahkan hak ini secara rasmi. Artikel 29 juga menyentuh tentang Orang Asal berhak kepada pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar tanah dan sumber-sumber mereka.
WADESA meminta agar pihak Polis membebaskan tangkapan mereka terhadap penduduk kampung dengan serta merta. Dan minta agar Syarkat Quality Concrete Holding berhenti mengambil balak di kawasan tanah Adat penduduk kampung Sebuyau.
Kenyataan ini dikeluarkan oleh
Pn Hellan Empaing begin_of_the_skype_highlighting end_of_the_skype_highlighting
Pengerusi WADESA
0198943191
Wednesday, October 13, 2010
Tahabas bidas kenyataan Naroden

30 September 2010
Oleh Hazel Lee
MIRI —Jaringan Tanah Hak Adat Bangsa Asal Sarawak (TAHABAS) mempunyai banyak bukti bahawa Kerajaan Negeri pernah mengambil tanah hak adat Bumiputera (NCR) dari masyarakat orang asal tanpa izin dan makluman awal, bebas dan telus.
Presiden baru TAHABAS, Romuald Siew berkata, kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh wakil kerajaan Negeri sejak kebelakangan ini yang tersiar dalam akhbar-akhbar tempatan berkenaan isu NCR adalah penuh pembohonan dan berniat buruk untuk mengelirukan rakyat.
Beliau merujuk kepada kenyataan sebuah akhbar oleh Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber Sarawak, Mohd Naroden Majais yang mengatakan kerajaan tidak akan mengembalikan tanah NCR kerana kerajaan negeri tidak pernah mengambil tanah tersebut.
“Jika benar Kerajaan Negeri tidak pernah mengambil tanah NCR, kenapakah pada masa sekrang terdapat lebih 200 kes perbalahan tanah NCR difailkan di mahkamah-mahkamah Sarawak?.”
“Bilangan masyarakat orang asal yang terpaksa mengambil tindakan undang-undang mempertahankan NCR pula semakin hari semakin bertambah. Ini belum lagi termasuk kes-kes yang belum difailkan,” katanya semasa sidang media di pejabat Tahabas di sini hari ini.
Hadir sama Penyelaras Kebangsaan, Pakatan Konservasi Alam Sekitar Sarawak (SCANE) merangkap Pengarah Program Institut Sumber Borneo Malaysia (BRIMAS), Raymond Abin dan Naib Presiden Tahabas yang juga Pengerusi Jawatankuasa ProtemTindakan Rakyat Baram (JTRB), Philip Jau.
Katanya, bukti ini adalah di mana Kerajaan Negeri mengeluarkan beberapa geran hak milik sementara (Povisional Lease) kepada syarikat-syarikat swasta dan agensi-agensi pembangunan untuk perladangan di seluruh Sarawak membabitkan beribu-ribu hektar tanah NCR orang asal.
Beliau turut membidas kenyatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Lihan Jok yang mengatakan Empangan Baram adalah sebuah anugerah Tuhan untuk masyarakat Orang Ulu.
“Bagaimanakah Empangan Baram yang akan membinasakan khazanah alam, menenggelamkan sebahagian besar NCR dan hutan serta perpindahan paksaan dari kampung dikatakan anugerah Tuhan? Ini sangat lucu,” katanya.
Philip berkata, dia amat kesal kerana nama Tuhan diperalatkan dan diheret demi mendapat sokongan rakyat untuk menyokong pembinaan projek empangan itu.
“Hentikan serta merta memperalatkan nama Tuhan demi menuntut sokongan terhadap projek empangan Baram kerana ramai rakyat yang terjejas menolak sekeras-sekerasnya projek tersebut,” katanya.
Sementara itu Kempen Tandatangan Penduduk Baram oleh JTRB yang sebulat suara membantah projek pembinaan Empangan Baram di kawasan mereka setakat ini berjaya mengumpul lebih 3,000 tandatangan.
Kempen yang dilancarkan sejak Mac tahun itu itu bukan sahaja ditandatangani penduduk Baram, bahkan penduduk dari seluruh Sarawak dari kawasan diluar Baram.
Menurut Philip, sekiranya empangan itu diteruskan, sekurang-kurangnya lapan buah rumah panjang akan terjejas dan perlu ditempatkan semula.
Kampung itu ialah Long Na’a, Long Liam, Long San, Selatong Kanan, Long Anap, Long Palai dan Long Jeeh di pertengahan Baram membabitkan keluasan kira-kira 389,000 hektar atau hampir menyamai saiz Singapura.
Sumber: Sarawak Update
URL: http://sarawakupdate.com/home/local-news/tahabas-bidas-kenyataan-naroden/
Tuesday, September 7, 2010
Penan tagih janji wakil rakyat

BARAM – Lebih 150 orang Penan dari enam buah kampung di sini berkumpul secara aman bagi memperingati satu sekatan jalan yang berjaya dileraikan tanpa sebarang pertumpahan darah tahun lalu.
Setiausaha Persatuan Penan Sarawak (SPA) Panai Ayat berkata, penduduk yang terbabit dalam protes terbaru ini adalah dari Long Nen di Sungai La-yun, Long Belok dan Long Sayan di Sungai Apoh, Tutoh, Long Bangan di Sungai Terawen, Tutoh dan Ba’ Marong di ulu Sungai Si’ang, Tutoh.
“ Mereka datang lagi ke kawasan sekatan sebagai tanda protes kerana apa yang dijanjikan wakil kerajaan sebagai syarat meroboh sekatan jalan tahun lalu tidak ditunaikan,” kata Panai.
Panai berkata, protes terbaru itu juga mengingatkan kembali perjuangan etnik Penan yang menentang pencerobohan ke atas tanah hak adat (NCR) milik mereka, supaya hak, cara hidup, tradisi dan budaya mereka tidak ter-hakis oleh aktiviti pembalakan di hulu Baram.
“ Tidak mudah untuk kami melupakan insiden sekatan tahun lalu kerana banyak janji telah dibuat wakil rakyat, yang turut dimeterai dengan perjanjian persefahaman (MoU) tetapi sehingga kini tiada khabar berita,” tegasnya.
Antara yang dijanjikan kepada kaum Penan sebagai syarat meroboh sekatan itu adalah diberi peluang berjumpa dengan pihak berkuasa atasan bagi membincangkan tanah NCR dan hutan purba serta pembinaan pra sekolah dan sekolah di setiap petempatan Penan.
Beliau berkata, mereka juga dijanjikan perlantikkan lebih ramai ketua masyarakat Penan dan diperkenalkan dengan aktiviti pertanian komersial yang sesuai dengan kemahiran penduduk.
“ Malah kami juga dijanjikan dengan peruntukkan kewangan untuk pembi-naan rumah dan rawatan kesihatan,” tegasnya.
Panai menambah : “ Kita sudah cukup bertolak ansur dengan menggugur-kan gesaan awal, iaitu meminta Kerajaan Negeri Sarawak memberi kebe-basan untuk menentukan pembangunan tanah NCR, menghentikan aktiviti pembalakan, atau sekurang-kurangnya meminta Kerajaan Sarawak dan syarikat pembalakan mengiktiraf tanah NCR serta hak kaum kami yang lain.”
Sumber: Sarawak Update
URL: http://sarawakupdate.com/home/?p=9997