Wednesday, October 13, 2010

Tahabas bidas kenyataan Naroden


30 September 2010

Oleh Hazel Lee

MIRI —Jaringan Tanah Hak Adat Bangsa Asal Sarawak (TAHABAS) mempunyai banyak bukti bahawa Kerajaan Negeri pernah mengambil tanah hak adat Bumiputera (NCR) dari masyarakat orang asal tanpa izin dan makluman awal, bebas dan telus.

Presiden baru TAHABAS, Romuald Siew berkata, kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh wakil kerajaan Negeri sejak kebelakangan ini yang tersiar dalam akhbar-akhbar tempatan berkenaan isu NCR adalah penuh pembohonan dan berniat buruk untuk mengelirukan rakyat.

Beliau merujuk kepada kenyataan sebuah akhbar oleh Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber Sarawak, Mohd Naroden Majais yang mengatakan kerajaan tidak akan mengembalikan tanah NCR kerana kerajaan negeri tidak pernah mengambil tanah tersebut.

“Jika benar Kerajaan Negeri tidak pernah mengambil tanah NCR, kenapakah pada masa sekrang terdapat lebih 200 kes perbalahan tanah NCR difailkan di mahkamah-mahkamah Sarawak?.”

“Bilangan masyarakat orang asal yang terpaksa mengambil tindakan undang-undang mempertahankan NCR pula semakin hari semakin bertambah. Ini belum lagi termasuk kes-kes yang belum difailkan,” katanya semasa sidang media di pejabat Tahabas di sini hari ini.

Hadir sama Penyelaras Kebangsaan, Pakatan Konservasi Alam Sekitar Sarawak (SCANE) merangkap Pengarah Program Institut Sumber Borneo Malaysia (BRIMAS), Raymond Abin dan Naib Presiden Tahabas yang juga Pengerusi Jawatankuasa ProtemTindakan Rakyat Baram (JTRB), Philip Jau.

Katanya, bukti ini adalah di mana Kerajaan Negeri mengeluarkan beberapa geran hak milik sementara (Povisional Lease) kepada syarikat-syarikat swasta dan agensi-agensi pembangunan untuk perladangan di seluruh Sarawak membabitkan beribu-ribu hektar tanah NCR orang asal.

Beliau turut membidas kenyatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Lihan Jok yang mengatakan Empangan Baram adalah sebuah anugerah Tuhan untuk masyarakat Orang Ulu.

“Bagaimanakah Empangan Baram yang akan membinasakan khazanah alam, menenggelamkan sebahagian besar NCR dan hutan serta perpindahan paksaan dari kampung dikatakan anugerah Tuhan? Ini sangat lucu,” katanya.

Philip berkata, dia amat kesal kerana nama Tuhan diperalatkan dan diheret demi mendapat sokongan rakyat untuk menyokong pembinaan projek empangan itu.

“Hentikan serta merta memperalatkan nama Tuhan demi menuntut sokongan terhadap projek empangan Baram kerana ramai rakyat yang terjejas menolak sekeras-sekerasnya projek tersebut,” katanya.

Sementara itu Kempen Tandatangan Penduduk Baram oleh JTRB yang sebulat suara membantah projek pembinaan Empangan Baram di kawasan mereka setakat ini berjaya mengumpul lebih 3,000 tandatangan.

Kempen yang dilancarkan sejak Mac tahun itu itu bukan sahaja ditandatangani penduduk Baram, bahkan penduduk dari seluruh Sarawak dari kawasan diluar Baram.

Menurut Philip, sekiranya empangan itu diteruskan, sekurang-kurangnya lapan buah rumah panjang akan terjejas dan perlu ditempatkan semula.

Kampung itu ialah Long Na’a, Long Liam, Long San, Selatong Kanan, Long Anap, Long Palai dan Long Jeeh di pertengahan Baram membabitkan keluasan kira-kira 389,000 hektar atau hampir menyamai saiz Singapura.

Sumber: Sarawak Update

URL: http://sarawakupdate.com/home/local-news/tahabas-bidas-kenyataan-naroden/

No comments: