Wednesday, August 4, 2010

Masyarakat Penan mahu meneliti laporan Kajian Penilaian Kesan Sosial dan Alam Sekitar Projek Empangan Murum sebelum kelulusan dibuat


Kenyataan Media

4 Ogos 2010
Regent Hotel, Bintulu

Jawatankuasa Hal Ehwal Penan Pelieran-Murum, Belaga dan penduduk-penduduk kampung-kampung Penan yang terjejas oleh projek empangan Murum memohon kepada Kerajaan Negeri Sarawak agar tidak membuat sebarang kelulusan ke atas “Laporan Kajian Penilaian Kesan Sosial dan Alam Sekitar Projek Empangan Murum” sehingga ia-nya diteliti oleh orang awam dan mereka sendiri.

Sepanjang tahun lepas (2009), kami telah dilawati oleh pelbagai pihak yang membuat kajian-kajian berkaitan dengan projek empangan Murum. Kami diberitahu bahawa suatu Kajian Penilaian Kesan Sosial dan Alam Sekitar [Social and Environmental Impact Assessment (SEIA)] telah dijalankan oleh Kerajaan demi mengkaji akan kesan-kesan projek empangan Murum ke atas masyarakat kami.

Setakat ini kami belum tahu perkembangan lanjut berkenaan laporan kajian tersebut serta laporan-laporan berkaitan samada ianya telah siap dan sedia untuk diteliti oleh orang awam.

Di sini, kami ingin menyatakan bahawa sebelum laporan SEIA tersebut diluluskan, kami memohon kepada kerajaan dan terutamanya Lembaga Sumber Asli & Alam Sekitar (NREB) Sarawak yang bertanggungjawab untuk memberi peluang kepada orang awam supaya laporan SEIA tersebut diskrutini. Dan yang amat penting ialah pandangan dan maklumbalas kami ke atas laporan SEIA tersebut harus diambil kira dengan serius.

Sebagai masyarakat yang terjejas secara langsung oleh projek empangan ini, kami patut diberitahu berkenaan dengan perkembangan kajian tersebut terutamanya kesan-kesan dan impak-impak projek ke atas kami.

Kerajaan juga seharusnya menerangkan kepada kami tentang rancangan-rancangan pembangunan tertentu yang berkaitan dengan program penempatan semula, kehidupan dan masa depan kami.

Kami sangat khuatir dengan kerja-kerja binaan projek empangan Murum begitu giat dijalankan di tapak projek sedangkan laporan SEIA tersebut belum tentu mendapat kelulusan pihak berkuasa yang berkenaan. Apakah akan terjadi sekiranya laporan tersebut tidak diluluskan nanti dan adakah kerajaan akan membaik-pulih tanah, hutan, sungai dan sumber-sumber kami yang telah dimusnah?

Sehubungan dengan laporan SEIA tersebut, kami juga menyeru kepada kerajaan untuk memaklumkan kami berkenaan dengan rancangan kawasan penempatan semula (resettlement area) untuk kami. Kami telah mengemukakan cadangan berkenaan dengan kawasan penempatan semula yang kami pilih seperti yang dinasihatkan oleh kerajaan, iaitu di Sungai Metalon dibahagian hulu Sungai Peliran. Namun pada masa ini, kawasan yang dicadang tersebut sedang dibuka oleh Syarikat Shin Yang untuk tujuan perladangan kelapa sawit berskala besar. Syarikat Shin Yang memasuki kawasan tersebut tanpa kebenaran dari kami. Sekiranya Shin Yang dibiar membuka dan menebang hutan secara meluas di kawasan tersebut maka masyarakat kami akan tidak ada hutan lagi untuk meneruskan kehidupan. Maka, tidak ada gunanya kami untuk ditempatkan di kawasan tersebut sekira ianya dibangun dengan ladang kelapa sawit.

Kami menyeru kepada kerajaan dengan harapan tinggi untuk dibawa bersama dalam menentu rancangan-rancangan pembangunan demi kebaikan dan menentu hala-tuju masa depan masyarakat kami. Dalam pada itu, untuk bermula pihak kami menyarankan Kerajaan Negeri Sarawak dan Lembaga Sumber Asli & Alam Sekitar (NREB) Sarawak untuk bekalkan laporan SEIA tersebut untuk diselidiki sebelum kelulusan dibuat.

Kenyataan dibuat: Encik Surang Alung Ju, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Penan Pelieran-Murum

Thursday, July 22, 2010

Selepas 13 tahun, seorang wanita Iban mendapatkan keadilan untuk mendiang suaminya


Masyarakat Dayak yang akhirnya berjaya mendapatkan keadilan selepas 13 tahun menunggu. Ndukmit ak Egot, berdiri di tengah, baris bawah, keempat dari kiri (memakai cermin mata). Peguam beliau, En. Harrison Ngau berdiri di belakangnya.

20 Julai 2010

Miri, Sarawak -- Seorang wanita Iban, Ndukmit ak Egot hari ini telah mendapatkan keadilan yang sepatutnya di Mahkamah Sesyen Miri untuk mendiang suaminya Enyang ak Gendang, yang telah ditembak mati oleh Pasukan Polis Hutan (kini digelar sebagai Pasukan Gerakan Am) disebabkan konflik di antara masyarakat Iban dan sebuah syarikat ladang kelapa sawit. Mahkamah telah memutuskan bahawa pihak polis telah bertindak dengan cuai dengan melepaskan tembakan yang telah terkena mediang Enyang lalu menyebabkan kematian beliau dan kerajaan Malaysia adalah bertanggung jawab sepenuhnya dengan tindakan cuai pihak polis tersebut.

Selepas 13 tahun, keputusan mahkamah tersebut adalah sebuah kemenangan buat Ndukmit, keluarganya dan para penduduk rumah panjang Rumah Bangga di Bakong, Bahagian Miri, Sarawak. Pada 19 Disember 1997, 50 orang pihak polis dari Pasukan Polis Hutan dengan bersenjatakan cota, pistol dan rifel M16 telah melepaskan tembakan ke arah masyarakat Iban tersebut.

Tiga orang telah ditembak. Enyang Ak Gendang, 40, telah ditembak di kepala dan beliau meninggal dunia lima hari kemudian selepas gagal sedarkan diri dari koma. Lapan orang penduduk kampung tercedera. Seramai 30 orang Iban telah ditangkap dan ditahan.

Pihak police tidak mahu bertanggung jawab ke atas kematian Enyang. Pada tahun 2008 sebuah inkues diadakan dan koroner inkues tersebut pula memutuskan bahawa pihak polis tidak cuai di dalam menjalankan tugas mereka, peristiwa tembakan tersebut adalah sebuah peristiwa yang luar biasa dan kes tersebut tidak perlu disiasat dengan lebih lanjut.

Pada tahun 1999, apabila diarahkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya kerajaan Malaysia bertanggung jawab ke atas kematian Enyang, kerajaan Malaysia pula mengatakan bahawa:

Berhubung dengan kes Enyang Ak Gendang, di mana insiden yang telah menyebabkan mangsa terbunuh, kerajaan telah mengatakan pihak polis telah mencadangkan bahawa Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak (PELITA) dan syarikat Empressa mengadakan dialog dengan masyarakat Iban dan membayar pampasan kepada mereka seperti mana yang telah dijanjikan. Kerajaan pula telah melaporkan selepas insiden tersebut syarikat Empressa dan sub-kontraktornya telah menghentikan operasi mereka.

Mendiang Enyang ak Gendang adalah satu-satunya ahli keluaraga yang membawa nafkah kehidupan untuk keluarganya.

Pada tahun 2000, balu mendiang Enyang, Ndukmit ak Egot telah memfailkan sebuah kes sivil terhadap Koperal Hussaini bin Sulong, para pegawainya dan kerajaan Malaysia. Sepuluh tahun kemudian, mahkamah telah memutuskan untuk membicarakan kes tersebut.

Pada awal tahun 2010, apabila mendapat tahu bahawa kes tersebut akan dibicarakan, Mark Bujang, Pengarah Eksekutif Institut Sumber Borneo (BRIMAS) mengatakan, "Balunya hanya mahu keadilan untuk mendiang suaminya. Sudah 12 tahun lamanya, akan tetapi orang-orang yang bertanggung jawab menembak dan menyebabkan kematian Enyang belum pernah dituduh untuk sebarang kesalahan jenayah. Apa yang menyedihkan, pihak polis mengatakan bahawa masyarakat Iban tersebut adalah ganas dan mereka yang memulakan pergaduhan lalu memaksa pihak polis menggunakan senjata api. Saya sebanarnya tidak tahu kenapa kenapa kes ini ditangguhkan begitu lama apabila dua kali kes tersebut dibawa ke inkues dan dua kali koroner inkues memberikan keputusan yang tidak memuaskan. Saya gembira kali ini Ndukmit akan mendapatkan perbicaraannya,"

Para penyokong Ndukmit pula turut merasa gembira hari ini kerana walaupun lambat, keadilan memang akan tiba akhirnya.

Dipetik dari: Borneo Independent News Service
Diterjemahkan untuk Sebana Menoa

Thursday, June 24, 2010

Pertahan Tanah Adat, Penduduk Penan diserang……

Oleh Keruah Usit
23 Jun 2010

Polis Sarawak didakwa menyokong keganasan apabila membenarkan syarikat pembalakan Lee Ling Sdn Bhd, membubarkan sekatan di jalan-jalan balak di kawasan penempatan peribumi Sarawak di Limbang.

Merujuk kepada kejadian 20 Jun lalu, kumpulan pejuang hak kaum peribumi, Yayasan Bruno Manser (BMF), berkata Lee Ling menghantar tiga anggota polis yang tidak berpakaian seragam dengan kenderaan syarikat berkenaan ke kawasan sekatan di Long Sebayang.

Seorang anggota polis itu yang dilengkapi dengan sepucuk pistol dan mengarahkan penduduk sekitar supaya yang membubarkan sekatan dan memberi laluan kepada Lee Ling untuk membawa keluar balak yang ditebang.

Menurut penduduk tempatan, Lee Ling bercadang untuk menebang pokok di kawasan berkenaan dan menjadikannya sebagai kawasan perladangan.

Sekatan berkenaan didirikan oleh penduduk Lun Bawang, Penan dan Tabun dari kampung sekitar sebagai usaha terdesak mereka sejak kebelakangan ini bagi menghalang tanah adat dan pusaka mereka daripada terus dicabuli. Walaupun banyak sekatan didirikan, sebahagian besarnya telah dirobohkan oleh polis.

Kerajaan Taib tidak mengiktiraf Hak Pusaka Orang Asli (NCR) meskipun ia termaktub dalam adat resam mereka dan juga perlembagaan negeri dan persekutuan.

Penduduk di kawasan pendalaman Limbang itu juga membuat laporan polis mendakwa dikasari oleh pekerja Lee Ling. Namun mereka mendakwa, tiada siasatan polis dijalankan berbanding sokongan yang diberikan kepada syarikat pembalakan itu.

Aking Anung, seorang penduduk Penan dari kampung Long Keneng, membuat laporan polis di Limbang, mendakwa dia diserang di sekatan jalan oleh pengurus Lee Ling yang bernama “Ah New”, pada hari polis membuat lawatan. Dakwa Aking, pengurus itu mengugutnya dengan sebilah parang.

Setelah diserang, Aking berkata dia melarikan diri kerana tidak mahu dicederakan.

Bita Pelisi, seorang lagi penduduk di sekatan jalan itu juga mendakwa “Ah New” menyerangnya di bahagian muka sehingga menyebabkan hidungnya berdarah.

Katanya, pekerja Lee Ling kemudian mengugut penduduk bahawa mereka akan membawa lebih ramai orang untuk membelasah mereka jika sekatan tidak dirobohkan.

Raziah Mahmud, adik kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, adalah antara lembaga pengarah di firma Quality Concrete, yang merupakan syarikat induk Lee Ling.

Sumber: Malaysiakini

Tahniah Saudara Abun Sui


Tahniah saudara Abun Sui Anyit kerana akhirnya berjaya diterima masuk ke dalam Sarawak Bar. Saya rasa saudara Abun sudah bersedia untuk bertarung di Mahkamah-Mahkamah Sarawak demi menegakkan keadilan untuk masyarakat Orang Asal. Tahniah!!

Sila layari blog Abun di: http://abunsuianyit.blogspot.com/2010/06/admission-and-enrollment-to-sarawak-bar.html

Friday, June 18, 2010

Pakar Orang Asal menjadi ahli baru SUHAKAM

12 Jun 2010

Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) mengucapkan tahniah kepada Jannie Lasimbang ke atas perlantikkannya sebagai ahli baru Pesuruhjaya SUHAKAM.

Jannie Lasimbang, seorang Kadazan dari Sabah, merupakan pejuang Hak Orang Asal. Semenjak 1980‐an, beliau telah aktif terlibat dalam perjuangan hak untuk alam sekitar dan juga hak asasi manusia di peringkat tempatan, kebangsaan dan antarabangsa.

Untuk bacaan lanjut sila klik disini:
http://brimas.www1.50megs.com/JOAS_PR_BM_12Jun10.pdf