Tuesday, August 11, 2009

Pemilik tanah di S'wak membantah usahasama ‘rampasan tanah’

16 Julai 2009

Pemilik tanah hak adat Orang Asal (NCR) dari 60 buah rumah panjang di sekitar kawasan hilir Julau dan hulu Bintangor di Bahagian Sarikei telah menyatakan bantahan keras mereka terhadap Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (Pelita) dan syarikat Sime Darby Plantations kerana melibatkan tanah NCR mereka di dalam projek usahasama.

Di dalam sebuah kenyataan yang diemelkan ke Malaysiakini, setiausaha Jaringan Tanah Hak Bangsa Asal Sarawak (TAHABAS), Nyumbang Anak Barau mengatakan bahawa para pemilik tanah yang menghadiri sesi dialog dengan Pelita dan Sime Darby Plantations pada 9 July lalu telah menyatakan mereka tidak mahu tanah mereka dilibatkan.

Akan tetapi, walaupun mereka membantah, sebuah memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani di antara Sime Darby plantations dengan Pelita untuk membangun kawasan tanah NCR seluas 20,000 hektar.

Para pemilik tanah dari 109 buah rumah panjang diwakili oleh Pelita.

Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, James Masing menyaksikan upacara menandatangani perjanjian tersebut.

"Sebagai salah seorang pemilik tanah yang terlibat, saya ingin menegaskan di sini bahawa kami membantah perlaksanaan polisi pembangunan tanah NCR yang sebegini di kawasan kami, di mana Pelita dan Sime Darby masing-masing mempunyai 10 peratus dan 60 peratus syer di dalam syarikat usahasama (JVC)”, kata Nyumbang.

Beliau berkata bahawa baki 30 peratus syer sepatutnya “menjadi milik kami, para pemilik tanah yang belum bersetuju dengan polisi tersebut”.

Banyak perkara yang tidak memuaskan

"Kami tidak menentang pembangunan tanah NCR melalui skim penanaman kelapa sawit, akan tetapi kami tidak boleh polisi pembangunan tanah yang sebegini,” kata beliau dan menyenaraikan perkara-perkara yang tidak dipersetujui.

Beliau berkata: "Kami tidak percaya bahawa Pelita boleh melindungi hak kami dengan baik di dalam JVC. Kami melihat bahawa Pelita mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu dan mekanisme-mekanisme yang akan dilaksanakan tidak boleh menjamin perlindungan hak kami;

Kedua, beliau berkata, Pelita telah diberi kuasa serupa seperti “kuasa diktator yang terlalu kuat untuk kami, sedangkan hak kami tidak dihormati dan akan hilang begitu sahaja.”

Ketiga, kami tidak percaya dengan Pelita, dan “kami membantah Pelita menjadi pemegang amanah kami. Kami telah mendapat tahu bahawa Pelita mempunyai rekod yang tidak baik untuk memberi bonus dan dividen secara adil kelak."

Beliau turut mengatakan bahawa syer 30 peratus tersebut yang ditawarkan tidak pasti akan membasmi kemiskinan tetapi “kami mungkin akan menjadi lebih miskin disebabkan kehilangan tanah setelah menandatangani surat ikatan”.

Nyumbang berkata bahawa polisi yang sedia ada tidak akan menjamin kepulangan tanah-tanah tersebut kepada waris-waris mereka setelah tamat tempoh usahasama iaitu selepas 60 tahun kelak.

"Kebimbangan kami ini benar dan berasas. Ia boleh dibuktikan dengan adanya jumlah lebih daripada 200 kes perbicaraan di mahkamah yang melibatkan tanah NCR. Dengan jumlah sebegini besar, apakah ini tidak membimbangkan?” beliau bertanya.

"Sebelum ini, masyarakat dari 60 buah rumah panjang di sekitar hilir Julau dan hulu Bintangor dan juga sepanjang jalanraya Kanowit-Julau-Durin telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak pada tahun 2007 untuk mempertahankan tanah mereka daripada dibalak oleh sebuah syarikat yang telah diberikan geran hak milik sementara oleh kerajaan,” kata beliau.

Kehilangan Tanah

Nyumbang berkata sekiranya syarikat usahasama tersebut gagal melangsaikan hutangnya pada sesuatu tempoh, maka para pemilik tanah akan terpaksa menanggung hutang tersebut dengan menggunakan tanah mereka sebagai cagaran.

"Kami mungkin akan kehilangan tanah kami," kata beliau dan “bekerja sebagai buruh yang mendapat upah sebanyak RM15 sehari atau RM330 sebulan tidak cukup untuk menampung kehidupan kami. Pendapatan sebegini jauh berada di bawah garis kemiskinan."

Beliau berkata, kerana tidak mempunyai geran tanah, terdapat beberapa bidang tanah NCR mereka yang tidak diusahakan dilihat seperti tidak akan memberi banyak keuntungan wang. Tetapi tanah tersebut adalah sumber sayur-sayuran yang tidak tercemar, daging dan ikan dan juga bahan-bahan binaan dan hasil-hasil hutan yang berharga.

"Tambahan pula, dengan menjaga tanah-tanah tersebut buat sementara waktu ini, kami berharap pada suatu masa nanti, generasi muda dengan berbekalkan pendidikan yang lebih baik dan juga mempunyai daya untuk mengusahakan tanah-tanah tersebut dengan lebih baik,” kata beliau.

Ditulis oleh: Joseph Tawie
Dipetik dari: Malaysiakini.com
Diterjemah oleh: Mark Bujang

Tuesday, August 4, 2009

Logging puts Borneo tribe in peril - 16 Jul 09

Kaum Penan yang terletak di wilayah utara Borneo sudah beratus tahun hidup dan tinggal di dalam hutan, memburu, menangkap ikan dan menggunakan kayu-kayu untuk membuat pondok tempat mereka berteduh dan juga ubat-ubatan mereka.

Tetapi kini, kehidupan kaum ini terancam dengan kegiatan syarikat-syarikat pembalakan di dalam wilayah mereka dan hutan mereka kian musnah.

Tony Birtley dari Al-Jazeera melaporkan akibat kemusnahan hutan kepada manusia.

Corruption linked to Borneo deforestation - 15 Jul 09

Pernah digelar sebagai paru-paru hijau Asia, Borneo kini menjadi tempat untuk mencari keuntungan bagi para penanam kelapa sawit dan syarikat-syarikat pembalakan.

Menurut Tabung Binatang Liar Sedunia (WWF), kadar kemusnahan hutan di Borneo adalah lebih pantas dari kawasan di Amazon.

Di dalam siri kedua dari tiga buah siri yang akan ditayangkan, Tony Birtley dari Al-Jazeera menyiasat peranan politik di dalam pembangunan ladang kelapa sawit dan pemberian konsesi pembalakan.

Borneo's burning forests - 14 Jul 09

Hutan hujan tropika di Borneo adalah sebuah eko-sistem yang penting dan kompleks di dunia.

Tetapi setelah beberapa kempen pemuliharaan hutan dilancarkan dan janji-janji dikotakan untuk menjaga hutan, hutan yang ada kini sedang dimusnahkan dengan kadar yang amat pantas sekali.

Ini adalah bahagian pertama dari 3 buah siri di mana Tony Birtley dari Al-Jazeera melaporkan dari Sarawak, Malaysia berkenaan dengan politik kemusnahan hutan.

Thursday, July 30, 2009

Kempen anti-pembalakan dilancarkan di Mulu

Seramai kira-kira 1,000 Orang Asal dari suku kaum Berawan telah menyuarakan bantahan mereka terhadap pihak kerajaan dan sebuah syarikat usahasama yang mengancam untuk memusnahkan beribu-ribu hektar tanah hak adat Orang Asal (NCR) di Mulu.

Kawasan tersebut terletak di bahagian utara Sarawak dan telah disasarkan untuk dibalak dan selepas itu untuk dijadikan ladang penanaman kayu akasia.

Sebuah jawatankuasa bertindak telah ditubuhkan oleh masyarakat yang membantah projek tersebut dan mereka merancang untuk menghentikan upacara menandatangani perjanjian di antara syarikat Pusaka KTS Plantations Sdn. Bhd., dan seperti apa yang dinamakan oleh salah seorang wakil jawantankuasa tersebut sebagai "para wakil masyarakat Kampung Long Terawan".

"Majoriti orang-orang Kampung Long Terawan tidak bersetuju dengan tawaran yang telah dibuat oleh Pusaka KTS," kata Willie Kajan, salah seorang jurucakap untuk jawatankuasa tersebut, apabila ditemubual oleh Malaysiakini melalui telefon dari Mulu, Ulu Baram.

Menurut Willie, berusia 52 tahun yang merupakan seorang pemandu pelancong alam sekitar dan juga aktiviti-aktiviti lasak persendirian dari Long Terawan, beberapa ratus orang kampung akan mengadakan demonstrasi membantah upacara menandatangani perjanjian tersebut.

"Kami ingin menyatakan dengan jelas bahawa kami tidak merasa senang hati dan kami tidak akan diperdaya dan ditipu seperti orang-orang lain," kata beliau.

Beliau juga mengatakan beberapa notis telah dihantar kepada syarikat tersebut untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap perjanjian tersebut.

Para wakil bukan wakil yang sebenar

"Bagaimana mereka boleh melantik ketua kampung (Edmund Abang) dan beberapa orang lagi untuk mewakili kesemua orang kampung di dalam perkara yang amat penting ini?" tanya beliau.
Menurut Willie majoriti masyarakat Berawan membantah project tersebut dan juga syarat-syarat yang tertulis di dalam perjanjian tersebut.

Willie mengatakan bahawa pengalaman yang beliau pelajari dari masyarakat Orang Asal di Tubau, Batu Belah dan Long Panai di mana projek yang sama juga dilaksanakan telah menjadi pedoman untuk masyarakat Berawan untuk menolak projek tersebut.

"Kami tidak mahu ditipu dan tanah kami dirampas dan kami tidak mahu ini berlaku kepada masyarakat kami," tambah beliau.

Menurut Willie, beliau telah mengeluarkan sebuah risalah membantah projek dan perjanjian tersebut di mana di dalam risalah tersebut terdapat senarai mengapa mereka membantah. Risalah-risalah tersebut telah diedarkan kepada pihak polis dan juga Pegawai Daerah di Marudi dan mereka juga akan mengedarkan risalah-risalah tersebut kepada orang-orang kampung dan pihak Pusaka KTS di bandaraya Miri.

Pusaka KTS, dahulunya dikenali sebagai KTS Forest Plantations Sdn. Bhd., adalah sebuah syarikat usahasama di antara syarikat-syarikat konglomerat kumpulan KTS Group of Companies dan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka), telah ditubuhkan pada tahun 1996.

Perkerjaan utama Pusaka KTS ialah penanaman semula kayu dan penanaman kelapa sawit dan syarikat tersebut kini terlibat di dalam aktiviti-aktiviti penanaman kayu semula dan penanaman kelapa sawit berskala besar-besaran di kawasan utara Sarawak.

'Penanamam semuala kayu' adalah sebuah ayat yang digunakan oleh industri-industri balak untuk menebang habis hutan dara dan kemudianya menaman kawasan yang ditebang dengan kayu supaya kayu-kayu tersebut boleh ditebang lagi pada masa hadapan untuk balaknya.

Willie memberitahu Malaysiakini bahawa jawatankuasa-jawatankuasa bertindak telah ditubuhkan di rumah-rumah panjang di kawasan Apoh-Tutoh yang terlibat dengan operasi Pusaka KTS untuk mengambil tindakan terhadap syarikat tersebut.

Para perwakilan kampung pula terdiri daripada ketua kaum, ketua masyarakat dan ahli-ahli politik yang bersekongkol dengan syarikat tersebut.

"Jawatankuasa bertindak ini akan melancarkan kempen menentang habis-habisan Pusaka KTS di peringkat negeri, nasional dan antarabangsa," tambah beliau.

"Kami akan melancarkan kempen berdasarkan tiga isu, iaitu meminta tanah NCR kami digazet dengan serta-merta berdasarkan garis sempadan komunal setiap rumah panjang, tindakan ke atas Pusaka KTS dan bantahan terhadap cadangan membina empangan hidro elektrik di kawasan Baram," kata Willie.

Beliau kata jawatankuasa tersebut berharap kesemua orang di kawasan Baram akan turut serta dengan kempen ini.

"Pusaka KTS mengamalkan polisi pecah dan perintah dan ini menyebabkan masalah perpecahan keluarga kami! Syarikat ini akan menguasai segelintir orang kampung. Dengan wang mereka boleh membeli pangkat, tetapi tidak penghormatan," kata Willie dengan nada yang marah.

Sebuah kajian dibuat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan bahawa Pusaka KTS mempunyai modal sebanyak RM25 juta di mana syarikat Sarawak KTS Forest Plantation Development Corporation mempunyai syer berbayar sebanyak RM3.6 juta dan KTS Holdings Sdn. Bhd. mempunyai syer berbayar sebanyak RM8.4 juta.

Dipetik dari: Malaysiakini.com