Friday, April 3, 2009

Timbalan Ketua Menteri Sarawak hebohkan dividen RM52 juta Salcra

Dipetik dari: anilnetto.com

Ini adalah satu artikel yang dikirim oleh seorang pengkaji kepada saya. Lembaga Perbadanan Pemuliharaan Tanah Sarawak (Salcra) adalah sebuah badan kerajaan berkanun yang bertanggungjawab untuk membangun tanah hak adat bumiputra (NCR) dengan tujuan untuk menaikkan taraf kehidupan masyarakat luar bandar di Sarawak. Jika kita lihat di bawah, jumlah pendapatan skim ini banyak menimbulkan persoalan.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Alfred Jabu adalah pengerusi Salcra selain merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi dan merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar.
Pada 30 November lalu, Alfred Jabu telah menghebohkan berita bahawa RM52 juta telah dibayar sebagai dividen untuk tahun 2008 kepada 16,480 orang peserta skim pembangunan tanah Salcra untuk tujuan ladang kelapa sawit, dan beliau mengecam kritikan beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Dayak terhadapnya.

Tetapi dengan menggunakan kaedah pembahagian mudah kita boleh lihat bahawa jumlah pembayaran dividen tersebut ialah RM3,155 setahun untuk seseorang peserta skim, atau purata RM263 sebulan seorang.

Menurut perangkaan Salcra sendiri, jumlah luas kawasan di bawah pengurusan Salcra ialah 48,700 hektar. Kita anggap pengeluaran rendah sebanyak 15 tan sehektar, dan kos min setan ialah RM200. Menurut nilai MPOB, min harga tandan buah segar (FFB) setan pada tahun 2008 ialah RM600.

Oleh yang demikian, pendapatan Salcra pada tahun 2008 sepatutnya berjumlah RM292 juta. Jika dibahagikan kepada setiap orang peserta skim maka jumlah purata pendapatan bersih seseorang peserta skim ialah RM17,731, atau RM1,500 sebulan.

Di dalam sebuah pengumuman, Jabu mengatakan sejumlah RM22 juta telah dipotong untuk membayar pinjaman. Oleh itu, jumlah bersih yang tinggal selepas ditolak pembayaran dividen dan pinjaman ialah RM218 juta, atau RM13,240 seseorang peserta skim.

Persoalannya sekarang, ke manakah baki wang tersebut pergi? Sekiranya Salcra menahan 50% daripada jumlah baki wang tersebut untuk tujuan pelaburan dan penanaman semula, masih lagi tinggal baki berjumlah RM109 juta atau RM6,620 seseorang perserta.

Disebabkan oleh ketidaktelusan jumlah pendapatan Salcra, para wakil NGO Dayak berhak untuk membangkitkan soalan tentang perkara ini. Jabu tidak sepatutnya membidas pihak NGO tanpa memberi penjelesan yang betul tentang baki RM218 juta tersebut.

Nota: mengikut anggaran seperti di atas, sekiranya para peserta skim Salcra menguruskan tanah mereka sendiri (purata 3 hektar seorang), maka mereka boleh memperolehi pendapatan sebanyak RM17,731 pada tahun 2008, daripada apa yang mereka perolehi sekarang iaitu RM3,155 dalam bentuk dividen (seseorang peserta).

Thursday, April 2, 2009

Memorandum Perayaan Gawai Nerabai Menoa 2008

KAMI, ketua-ketua masyarakat, ahli-ahli pertubuhan dan persatuan Orang Asal (IPOs dan CBOs), wakil-wakil dan peserta-peserta dari pelbagai masyarakat rumah panjang dan komuniti Orang Asal di seluruh Sarawak, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) dan perwakilan organisasi profesional Orang Asal yang mengikuti rombongan Kembara Jaringan Tanah Hak Adat Orang Asal Sarawak (Kembara TAHABAS) serta menghadiri Perayaan Hari Gawai Nerabai Menoa 2008 – bertema “Bersatu Memperjuangkan Hak Adat Orang Asal”, yang diadakan di Kampung Sungai Limo, Lundu, Bahagian Kuching, Sarawak pada 9hb November 2008. Dengan ini ingin menyuarakan tentang pelbagai isu dan masalah yang dikenalpasti dan sedang kami hadapi seperti berikut:

1. Sejarah dan kewujudan Orang Asal bermula sebelum sejarah moden Sarawak Malaysia. Adat, tradisi dan institusi Orang Asal dibangun dan diamalkan sebelum sebarang undang-undang bertulis wujud. Orang Asal telah mengamalkan hubungan rapat dengan alam sekitar di dalam wilayah tanah adat Orang Asal

2. Tanah adat adalah nyawa dan darah kami. Ia adalah satu-satunya harta pusaka dan warisan milik Orang Asal yang diwarisi mengikut adat resam sejak turun temurun. Kanun Tanah Sarawak Bab 81 (Sarawak Land Code Cap. 81), Perlembagaan Malaysia, prinsip undang-undang ‘Common Law’ dan Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP), di mana kerajaan Malaysia sendiri telah bersetuju untuk menyokongnya, mengakui dan melindungi hak Orang Asal ke atas tanah. Mahkamah-mahkamah di Malaysia telah mengesahkan ini di dalam beberapa keputusan yang memberi pengiktirafan kepada tanah adat, wilayah dan sumber-sumber Orang Asal. Ini termasuklah keputusan-keputusan kes Adong Kuwau, Nor Nyawai, Sagong Tasi, Rambilin Ambit dan Madeli Salleh.

3. Akan tetapi, kerajaan terutamanya kerajaan negeri Sarawak sering mencabul dan mengabaikan tanggungjawab mereka untuk melindungi hak Orang Asal semata-mata untuk mengaut keuntungan dengan menggunakan alasan pembangunan sebagai justifikasinya. Walaupun terdapat keputusan-keputusan mahkamah tempatan yang menerima dan mengakui tuntutan dan hak tanah adat Orang Asal, akan tetapi kerajaan dan agensi-agensinya memilih untuk tidak menerima-pakai keputusan-keputusan tersebut sebagai rujukan perundangan. Sebaliknya, setiap kes tuntutan tanah adat yang dibawa ke mahkamah dilihat sebagai satu kes baru yang perlu dibicarakan dengan hujah-hujah yang baru;

Masalah yang sedang dihadapi oleh Orang Asal di Sarawak ialah pengalihan milik, pengambilan dan penghapusan hak tanah adat mereka oleh kerajaan negeri Sarawak untuk tujuan pembalakan, skim perladangan besar-besaran seperti kelapa sawit dan kayu akasia, projek-projek infrastruktur seperti empangan hidro elektrik, kilang-kilang peleburan aluminium dan pembinaan paip gas dan perlombongan seperti kuari dan arang batu oleh syarikat-syarikat swasta dan/atau agensi-agensi Kerajaan.

4. Rancangan dasar pembangunan kerajaan seperti “Konsep Baru Pembangunan Tanah Adat (NCR) Sarawak” untuk ladang kelapa sawit yang dikendalikan oleh agensi-agensi Kerajaan seperti Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (LKTS), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) dan perladangan kayu akasia yang dikendalikan oleh agensi kerajaan iaitu Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) adalah sebuah proses pengambilan dan penghapusan hak tanah adat Orang Asal secara halus supaya golongan elit, kapitalis, pelabur-pelabur asing dan syarikat-syarikat swasta memperolehi tanah secara besar-besaran dan membolot kekayaan sumber yang terkandung dalam kawasan tanah adat Orang Asal;

5. Tidak habis dengan itu, kini kerajaan pula melaksanakan dasar pembangunan Koridor Tenaga Pembaharuan Sarawak (SCORE) yang dikendalikan oleh sebuah lagi agensi kerajaan iaitu Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) yang mensasarkan kawasan tanah seluas 70,900 hektar dari kawasan pesisiran pantai Tanjung Manis ke Similajau sehingga ke kawasan pendalaman yang meliputi Bahagian Mukah, Sarikei, Sibu, Bintulu dan Kapit untuk tujuan pembangunan pembalakan, perladangan, industri berat, tenaga hidro elektrik di mana terdapat rancangan untuk membina 12 buah empangan lagi, perlombongan gas asli dan arang batu, akua-kultur dan eko-pelancongan. Ramai lagi Orang Asal, pemilik tanah adat akan dieksploitasi untuk melaksanakan pembangunan SCORE dan ini akan mengancam hak, tanah adat dan kehidupan penduduk-penduduk rumah panjang, kampung dan desa dalam kawasan berkenaan;

6. Usaha-usaha Orang Asal untuk menentukan pembangunan sendiri serta mengurus dan melindungi hutan dan sumber-sumber secara komunal dan mampan (sustainable) yang diamalkan sejak dari dulu lagi serta boleh menjamin peningkatan taraf sosio-ekonomi kami tidak disokong oleh Kerajaan atas kepentingan-kepentingan tertentu. Sebaliknya, Orang Asal yang menegakkan hak mereka pula disalahkan dan dikutuk sebagai orang-orang yang tidak mahu ikut arus pembangunan, anti-kerajaan dan/atau tidak mengenang budi sumbangan kerajaan kepada mereka.

7. UN-DRIP mengakui bahawa Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, “the International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights” dan “the International Covenant on Civil and Political Rights” dan juga “the Vienna Declaration and Programme of Action”, mengalakkan kepentingan asas hak penentuan diri untuk semua orang, yang bermaksud semua orang bebas untuk menentukan status politik dan bebas meneruskan pembangunan ekonomi, sosial dan adat. Perkara 3 dalam UN-DRIP menyatakan bahawa Orang Asal mempunyai hak penentuan diri, yang mana berlandaskannya, Orang Asal bebas untuk menentukan status politik dan bebas mengejar pembangunan ekonomi, sosial dan budaya mereka;


DENGAN INI, kami menyatakan tuntutan-tuntutan seperti berikut :

1. Menyeru Kerajaan Negeri Sarawak untuk menyelesaikan masalah sempadan tanah adat dengan merintis dan menandakan sempadan "menoa" tanah adat bagi tiap-tiap kampung/rumah panjang masyarakat Orang Asal dan rekod sempadan tersebut harus diberi kepada masyarakat berkenaan dengan satu salinan disimpan oleh jabatan kerajaan berkenaan untuk rujukan bersama;

2. Kerajaan harus segera memberhentikan proses perundangan warta tanah yang mengambil alih hak tanah adat daripada dipunyai oleh Orang Asal sendiri. Tanah adat yang telah dirampas ataupun diwartakan untuk pelbagai tujuan haruslah dikembalikan dan proses perundangan harus dilakukan untuk membolehkan ini berlaku;

3. Meminta Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak atau agensi-agensinya, syarikat-syarikat swasta dan pelabur-pelabur asing untuk mengadakan perundingan secara terbuka dan terperinci dengan masyarakat kami dengan menggunakan prinsip izin, makluman awal, bebas dan telus (free, prior, informed consent) sebelum melaksanakan sesuatu projek pembangunan yang melibatkan tanah adat dan persekitaran kami. Kerajaan harus membekalkan semua laporan kajian dan maklumat tentang rancangan projek pembangunan yang akan dilaksanakan di dalam tanah adat kami untuk dikemukakan dan diteliti terlebih dahulu oleh kami demi menentukan bahawa hak dan kepentingan kami tidak terjejas dan segala maklumat projek yang sedang dijalankan di dalam tanah adat kami haruslah dikemukakan kepada kami juga. Pandangan dan pendirian kami samada projek berkenaan disokong atau tidak, haruslah dihormati;

4. Meminta Mahkamah memberi keutamaan kepada kes-kes yang melibatkan pertikaian tanah adat dengan mempercepatkan proses perbicaraan dan pemberian keputusan. Kerajaan harus menyediakan bantuan guaman bagi kes-kes Orang Asal;

5. Menggesa Kerajaan Negeri Sarawak menghenti, membeku dan menarik-balik segala lesen-lesen pembalakan, ladang penanaman kayu dan geran hak milik sementara (PL) yang telah dikeluarkan kepada agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat swasta di mana ia melibatkan tanah adat dan hak kami, dengan itu segera menghentikan segala kerja-kerja mereka di kawasan tanah adat kami sehingga resolusi dan persetujuan sepakat telah dimeterai di antara semua pihak;

6. Menggesa Kerajaan menghentikan dan membatalkan projek dan program pembangunan mega dan industri mencemar yang dirancang dan dilaksanakan di seluruh bahagian di Sarawak yakni akan merosakkan alam sekitar lalu ini akan mengakibatkan bencana meluas kepada alam persekitaran dan rakyat jelata, terutamanya masyarakat Orang Asal di kawasan pendalaman;

7. Memaklumkan kepada Kerajaan bahawa masyarakat kami menolak skim perladangan besar-besaran dan projek mega seperti empangan hidro elektrik Bakun dan rancangan pembinaan 12 buah empangan hidro elektrik lagi yang meliputi tanah adat kami. Kami juga menolak segala program pembangunan pemuliharaan di dalam tanah adat kami yang bertujuan untuk merampas dan mengancam hak dan tanah adat kami. Tanah adat kami haruslah dikecualikan daripada jenis aktiviti-aktiviti dan program-program pembangunan besar-besaran yang merosakkan sebegini. Kami menuntut agar kerajaan membatalkan projek-projek infrastruktur besar-besaran yang memindahkan masyarakat Orang Asal dari kawasan tanah adat mereka;

8. Menggesa Kerajaan Negeri Sarawak untuk menghentikan perlaksanaan "Konsep Baru" yang melibatkan tanah adat orang asal kerana konsep sebegini merupakan suatu ancaman besar kepada kehidupan dan hak-hak ke atas tanah adat, sumber-sumber asli, biologi dan alam sekitar kami;

9. Menyeru kepada badan keselamatan dan pihak polis untuk bertindak secara professional dan adil dalam menjalankan tugas. Segala aduan dan laporan berkenaan dengan pencabulan hak asasi manusia, pencerobohan dan kerosakkan ke atas tanah adat serta sumber-sumber kami yang diajukan kepada polis haruslah disiasat dengan segera serta tindakan sewajarnya diambil ke atas pihak-pihak yang berkenaan. Pihak berkuasa haruslah menghormati tindakan masyarakat Orang Asal dalam mempertahankan hak asasi, tanah adat, harta-benda, sumber-sumber dan persekitaran kami daripada terus diceroboh, dirampas dan dimusnahkan oleh syarikat-syarikat swasta, agensi-agensi pemaju dan/atau pihak-pihak lain;

Kami menggesa pihak berkuasa untuk menghormati hak asasi masyarakat kami dan pihak polis haruslah menghentikan tindakan penangkapan dan penahanan yang tidak berasas ke atas masyarakat kami; dan

MAKA KAMI dengan sebulat suara mengangkat tangan beramai-ramai dengan sorakkan untuk menyatakan dan menandakan persetujuan dan sokongan kami kepada Memorandum ini.

Keputusan Mahkamah Persekutuan memperkukuhkan tuntutan hak adat ke atas tanah

KUCHING - Mahkamah Persekutuan telah mengesah konsep tanah hak adat Bumiputera (NCR) dan bukti-bukti yang membentuk hak-hak adat Bumiputera ke atas tanah di Sarawak. Mahkamah Persekutuan yang membuat keputusan baru-baru ini dalam kes Nor Anak Nyawai telah memperkukuhkan tuntutan-tuntutan hak adat ke atas tanah dan menjadi satu peristiwa yang amat penting dari segi undang-undang.

Keputusan muktamad tersebut dibuat oleh panel hakim-hakim yang terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Dato Alauddin Mohd Sheriff, Ketua Hakim Malaya Datuk Ariffin Zakaria, dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Dzukifli Ahmad Makinudin.

Encik Baru Bian, seorang peguam Orang Asal yang terkenal menyambut baik keputusan tersebut. Beliau menyatakan bahawa Mahkamah Persekutuan (Federal Court) telah membuat suatu keputusan undang-undang yang amat penting bagi masyarakat Bumiputera di Sarawak. Keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut telah memberi sokongan terhadap bukti sebenar bahawa “temuda”, “pemakai menoa” dan “pulau” adalah bentuk-bentuk hak-hak adat Bumiputera (NCR) ke atas tanah.

Encik Baru berkata, “buat masa sekarang, undang-undang berkaitan dengan tuntutan-tuntutan tanah NCR di Sarawak adalah suatu undang tetap berikutan keputusan Mahkamah Rayuan ke atas kes Nor anak Nyawai. Keputusan ini juga telah disahkan dalam kes Madeli. Kedua-dua keputusan kes tersebut diputus di mahkamah yang sama dan Mahkamah Persekutuan”. “Berkenaan dengan kawasan-kawasan di mana Orang Asal (Natives) selalunya berkelana bagi mencari makanan untuk kehidupan mereka selaras dengan tradisi mereka, hak-hak tersebut telah pun disahkan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Sagong Tasi”, katanya.

Beliau menjelaskan bahawa tuntutan-tuntutan NCR bukan saja terhad kepada kawasan tanah yang ditanam dan telah dikerjakan yang dikenali sebagai “temuda” tetapi juga “pemakai menoa” dan “pulau”. Beliau juga menjelas bahawa hak-hak adat Bumiputera (NCR) ada kaitan dengan kawasan-kawasan hutan di mana masyarakat Orang Asal (Natives) pernah menjalankan kegiatan memburu atau berkelana mencari makanan.

Pada Bulan Mei 2001, TR Nor dan anembiaknya telah memenangi kes mereka di Mahkamah Tinggi di mana hakim Datuk Ian Chin membuat keputusan bahawa “temuda”, “pemakai menoa” dan “pulau” adalah diakui sebagai NCR seperti yang termaktub dalam Kanun Tanah Sarawak dan undang-undang sebelumnya. (Penama dalam kes tersebut adalah Nor Anak Nyawai Vs Borneo Pulp Plantation Sdn Bhd dengan dua responden iaitu Jabatan Tanah & Survei dan Kerajaan Negeri Sarawak). Selepas itu, Suprintenden Tanah & Survei membuat rayuan kes tersebut ke Mahkamah Rayuan.

Encik Baru Bian telah mewakili TR Nor dan anembiaknya Sekalai Ling, Jerangku Bakit dan Lani Taneh dalam kes perbicaraan tersebut.

Pada 2005, setelah membuat siasatan ke atas fakta-fakta yang telah dibicarakan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, maka Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Nor dan anembiaknya pernah menduduki kawasan “pulau” yang dipertikaikan dalam kes perbicaraan, namun Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan tersebut dengan sebab tidak ada tanda bahawa Nor dan anembiaknya mendiami kawasan yang dipertikaikan tersebut.

Tetapi di sebaliknya, hakim-hakim Mahkamah Rayuan mengesah dan bersetuju dengan penemuan-penemuan dan interpretasi yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi berkenaan dengan apa jua yang membentuk NCR. Hakim-hakim Mahkamah Rayuan mengakui bahawa konsep hak-hak NCR ke atas tanah adalah dinamakan sebagai “temuda”, “pulau” dan “pemakai menua”. Keputusan tersebut mengesahkan pendirian Mahkamah Tinggi ke atas isu perundangan berkenaan tanah NCR. Hakim-hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Hashim Yusoff, Datu Richard Melanjun dan Tengku Dato Baharuddin Shah Tengku Mahmud.

Latar-belakang Kes
Tuai Rumah Nor anak Nyawai dan anembiaknya berasal dari Kanowit. Mereka berpindah ke Sungai Sekabai, Sebauh, Bintulu pada tahun 1930s dan mempunyai hak adat Tanah di mana sebahagian daripadanya seluas 672.8 hektar adalah dalam kawasan pertikaian. Kawasan pertikaian tersebut adalah sebahagian kecil dari Batu Kapal Land District yang telah dibalak oleh Limbang Trading (Bintulu) Sdn Bhd pada tahun 1908s. Batu Kapal Land District adalah seluas 8,854 hektar. Selepas itu, Superintenden Tanah & Survei memberi satu hak milik sementara (provisional lease) kepada Borneo Pulp Plantation Sdn Bhd untuk projek peladangan kayu di kawasan pertikaian tersebut.

Pada 26 Januari 1999, masyarakat Iban yang diketuai oleh Tuai Rumah Nor Anak Nyawai memfailkan saman terhadap Borneo Pulp Plantation Sdn Bhd, Jabatan Tanah & Survei dan Kerajaan Negeri Sarawak membuat tuntutan bahawa mereka mempunyai NCR ke atas kawasan pertikaian tersebut. Mereka menuntut bahawa mereka mempunyai NCR yang sah mengikut undang Tanah Sarawak, Peraturan-peraturan Rajah berkaitan dengan tanah dan undang-undang sebelumnya.

Superintenden Tanah & Ukur mempertikaikan tuntutan tersebut berdasarkan gambar udara tahun 1951 yang mempaparkan bahawa kawasan pertikaian tersebut diliputi oleh hutan. Beliau mendakwa bahawa kawasan pertikaian tersebut adalah “Interior Area Land”, maka itu tidak ada Bumiputera (Natives) yang dapat menduduki-nya tanpa suatu permit selepas 1955 dari Pegawai Daerah Bintulu. Beliau juga mendakwa bahawa Rumahpanjang Nor terletak di luar kawasan perikaian dan juga telah dibina dalam tahun 1955. - SM