Monday, October 5, 2009

WADESA sambut baik Laporan Jawatankuasa Bertindak, kecewa dengan sikap Kerajaan Negeri Sarawak yang tidak mahu menolong Wanita Penan

11 September 2009

Persatuan Wanita Desa Sarawak (WADESA) ingin mengucapkan taniah dan terima kasih ke atas pengeluaran Laporan Jawatankuasa Bertindak Peringkat Kebangsaan yang diterajui oleh Jabatan Pembangunan Wanita dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menyiasat dakwaan penderaan seksual terhadap wanita kaum Penan di Sarawak pada 8 September 2009.

Pengeluaran laporan tersebut jelas mengesahkan bahawa Ahli Jawatankuasa Bertindak “memutuskan bahawa dakwaan mengenai penderaan seksual di kalangan kanak-kanak perempuan dan wanita Penan oleh orang luar yang berurusan dengan kaum Penan termasuk pekerja syarikat pembalakan dan peniaga-peniaga memang berlaku”.

Semenjak kemasukan pembalakan ke kawasan tanah adat Penan atau dikenali sebagai “Tana’ Pengurip” di dalam bahasa Penan, memang banyak masalah sosial telah berlaku. Pencerobohan syarikat pembalakan bukan sahaja menyebabkan kesemua sumber alam, sungai, kubur dan tempat mereka berburu diceroboh, musnah dan dicemari, malah kesucian anak-anak gadis juga turut diceroboh oleh pekerja-pekerja balak yang berkerja di kem-kem pembalakan tanpa berperikemanusiaan.

WADESA berasa sangat sedih mendengar kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh sesetengah ahli politik kerajaan dan juga pihak-pihak berkuasa yang mengambil sikap acuh tak acuh di dalam perkara serius sebegini.

Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pernah mengatakan bahawa, laporan tersebut adalah “bohong” malah beliau minta agar pihak media memperbetulkan kenyataan laporan tersebut.

Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, Dato’ Seri Dr. James Masing pula mengatakan bahawa masyarakat Penan pandai “mereka cerita”.

Malah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Alfred Jabu juga turut mengatakan bahawa beliau tidak pernah mendengar laporan dari ketua-ketua kaum berhubung dengan masalah tersebut apabila beliau melawat ke kawasan Ulu Baram. Lebih menyedihkan lagi, beliau masih meragui kredibiliti laporan Jawatankuasa Bertindak tersebut dan menyalahkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang negatif di dalam mempengaruhi hasil kajian Kerajaan Persekutuan.

WADESA percaya bahawa Jawatankuasa Bertindak tersebut merupakan sebuah jawatankuasa yang dilantik khas dan diberi kepercayaan dari Kerajaan Persekutuan untuk menyiasat dan mencari fakta-fakta kebenaran, melalui sesi temuramah dan juga mengumpul bahan-bahan bukti secara terperinci. Kesemua aktiviti dan juga lawatan yang dijalankan amat jelas dilaporkan di dalam laporan tersebut berserta gambar-gambar lawatan yang dilakukan. WADESA percaya bahawa laporan tersebut memang benar.

Maka dengan ini WADESA ingin menyeru kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab mengambil berat serta bertindak serta merta mengatasi masalah ini. WADESA berharap pihak kerajaan khasnya Ketua Menteri Sarawak berhenti untuk menafi dan menidakan kebenaran yang benar-benar berlaku. WADESA menyeru agar Kerajaan mengambil tindakan menyiasat serta memberikan hukuman yang setimpal ke atas orang-orang yang yang didapati bersalah melakukan pencabulan ke atas wanita Penan, kerana ini merupakan salah satu kesalahan mencabul hak asasi manusia.

Jika Datuk Patinggi Alfred Jabu masih meragui hasil siasatan Laporan Jawatankuasa Bertindak tersebut, WADESA pula meminta agar beliau mengambil inisiatif positif untuk memulakan siasatan bagi pihak Kerajaan Negeri di mana beliau yang juga merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar Sarawak dan ketua jawatankuasa hal-ehwal Penan boleh mengetuai siasatan tersebut.

Selain itu WADESA juga turut, menyeru kepada pihak polis khasnya pegawai polis di Sarawak agar tidak melengahkan masa menyiasat perkara ini dengan sebaik dan secepat mungkin.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi Cik Hellan Empaing di 019-8943191

Kenyataan ini dikeluarkan oleh:
Cik Hellan Empaing
President, Persatuan Wanita Desa Sarawak (WADESA).

No comments: