Tuesday, September 8, 2009

Tuntutan untuk menghentikan segala pembakaran hutan di dalam takungan air Empangan Bakun

Raymond Abin, 15 Ogos 2009

MIRI - Jaringan Bertindak Pemeliharaan Hutan Sarawak (SCANE) terkejut apabila mengetahui yang hutan di dalam kawasan takungan dan tadahan untuk projek empangan kuasa hidroelektrik Bakun telah dibakar dan tidak ada tindakan yang diambil terhadap orang yang melakukan kesalahan oleh pihak berkuasa.


SCANE telah dimaklumkan bahawa pembakaran hutan tersebut dilakukan oleh Syarikat Sarawak Hidro Sdn Bhd untuk membersihkan hutan yang akan ditengelami air akibat daripada pembinaan empangan tersebut. Projek empangan kuasa hidroelektirk Bakun diusaha dan dimiliki oleh Sarawak Hidro di mana syarikat tersebut dimiliki sepenuhnya oleh Perbadanan Kementerian Kewangan, Malaysia (MOF Inc).


SCANE mendapat tahu bahawa Sarawak Hidro telah memulakan kerja membersihkan hutan di dalam takungan empangan Bakun. Kontrak tebang-bersih hutan juga telah diberikan kepada seorang kontraktor pada awal tahun ini. Kawasan hutan yang akan dibersihkan untuk empangan tersebut adalah seluas 80,000 hektar, seluas pulau Singapura.


Baru-baru ini, Pengarah Urusan Sarawak Hidro, Zulkifle Osman telah mengumumkan yang kawasan tadahan air akan ditutup bermula pada bulan Oktober di mana seluruh kawasan takungan Bakun akan dipenuhi air. Pengujian transmisi elektrik empangan Bakun akan dilakukan pada bulan Julai 2010. Takungan dan tadahan Bakun mempunyai 20 cabang tadahan dengan Sungai Balui sebagai sungai utama yang menyalirkan tadahan, di mana ia dibekalkan oleh sungai Murum, Bahau dan Linau secara berturutan.


SCANE telah diberitahu yang satu daripada syarat yang ditetapkan dalam kontrak itu ialah kontraktor dan/atau sub-kontraktor, agen-agen dan/atau pekerja-pekerja diperlukan untuk melakukan pembakaran pada hutan yang telah ditebang dan dibersihkan, kalau tidak mereka tidak akan dibayar penuh untuk kerja-kerja yang mereka lakukan dan/atau kontrak mereka akan ditamatkan. Beberapa bulan yang lepas, sejumlah besar kawasan hutan telah dibersihkan dan ditebang di dalam kawasan takungan empangan Bakun.


Bila aktiviti pembangunan menjejaskan alam sekitar, SCANE berasa hairan bagaimana penguatkuasaan undang-undang oleh Lembaga Alam Sekitar dan Sumber Semulajadi Sarawak (NREB) berkenaan Ordinan Alam Sekitar dan Sumber Semulajadi (NREO) boleh gagal dalam memantau aktiviti Sarawak Hidro secara teliti. Amatlah memeranjatkan, apabila SCANE mendapat tahu bahawa Sarawak Hidro tidak mengikut Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP), jika ada, seperti yang dilaporkan di dalam Taksiran Impak Alam Sekitar (EIA).


Dengan cuaca semasa yang kering serta kemarau yang berpanjangan, kontraktor dan/atau sub-kontraktor, agen-agen dan/atau pekerja-pekerja Sarawak Hidro telah membuat beberapa kerja pembakaran hutan. SCANE telah menerima laporan di mana pembakaran terbuka telah dibenarkan di dalam kawasan tersebut. Kebakaran dilaporkan terdapat dibeberapa tapak dan tempat yang berasingan dalam kawasan tersebut. Di sesetengah tapak, tempat di mana kebakaran tidak membakar sepenuhnya serpihan-serpihan serta batang kayu dan pokok yang telah ditebang, para pekerja syarikat tersebut diarah untuk mengumpul semua serpihan serta batang kayu dan membakarnya sehingga menjadi debu. SCANE juga diberitahu oleh para pekerja yang melaksanakan pembakaran tersebut yang mereka hanya mengikut arahan daripada Sarawak Hidro dan tidak tahu sama ada NREB telah mengeluarkan sebarang permit untuk pembakaran terbuka tersebut.


Aktiviti pembersihan dan pembakaran terbuka hutan oleh Sarawak Hidro di dalam kawasan takungan empangan Bakun merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab yang jelas sekali melanggar Ordinan Alam Sekitar dan Sumber Semulajadi (NREO). Tindakan Sarawak Hidro yang menghapuskan hutan di dalam kawasan takungan tanpa mempunyai kepekaan dan kesedaran tanggungjawab ke atas alam sekitar adalah melampaui batas meskipun mereka sedar bahawa tindakan tersebut akan memberi kesan negatif yang besar kepada alam sekitar. Disebabkan oleh skala besar aktiviti pembakaran tersebut, semua pembakaran haruslah dihentikan sepenuhnya sebelum ia menjadi krisis alam sekitar di kawasan takungan air Bakun dan kawasan yang lain. NREB mempunyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya supaya aktiviti-aktiviti pembakaran terbuka tersebut tidak lagi berulang.

SCANE bimbang dengan keadaan alam sekitar akibat daripada aktiviti-aktiviti pembangunan projek empangan hidroelektrik Bakun yang menyebabkan perubahan mendadak terhadap tataguna tanah dan kemusnahan hutan di ekosistem yang sensitif.

SCANE memberi amaran bahawa kemusnahan kawasan hutan yang sangat luas, pembakaran terbuka dan kebakaran hutan di dalam takungan empangan bukan sahaja meletakkan flora dan fauna di dalam risiko habitat berkurangan tetapi turut menyumbang kepada masalah alam sekitar pada jangka masa panjang seperti perubahan iklim.

SCANE mendesak Kerajaan Negeri Sarawak untuk menghentikan segala penebangan dan pembakaran di mana-mana hutan di kawasan takungan empangan Bakun sehingga langkah-langkah yang wajar dapat dicari. NREB dengan bidang kuasa dan kuasa rundingan yang ada seharusnya mengambil tindakan keras dengan segera terhadap pemaju projek empangan Bakun yang membakar hutan sembarangan di dalam kawasan takungan.

.........................................................................................................................................................................

Jaringan Bertindak Pemeliharaan Hutan Sarawak (SCANE) merupakan sebuah gabungan organisasi-organisasi masyarakat Orang Asal dan alam sekitar di Sarawak di mana ahli-ahlinya terdiri daripada Institut Sumber Borneo (BRIMAS), Pusat Pembangunan Orang Asal (IPDC), Jaringan Tanah Hak Adat Bangsa Asal Sarawak (TAHABAS), Pusat Hak Masyarakat Orang Asal Sarawak (CRIPS), Kesatuan Peguam-Peguam Orang Asal Sarawak (SILA), Serakup Raban Iban Bintulu (SRIBin), Gerempong Anembiak Sekabai (GAS), Institut Masyarakat Orang Asal Malaysia, Sarawak (IPIMAS), Masyarakat Untuk Kehidupan Alternatif (PPU) dan jawantankuasa-jawatankuasa rumah panjang di sekitar Sarawak.

No comments: