Friday, September 11, 2009

Masalah dengan kerajaan kita …

11 Ogos 2009

Ahli politik di Sarawak secara tidak sedar menyalahkan Tuhan atau mangsa-mangsa krisis alam sekitar mengenai apa saja kesusahan yang dialami oleh mereka.

Masalah dengan kerajaan kita ialah kerajaan terus memungut cukai dari rakyat tetapi enggan mengambil kira kepentingan rakyat. Walaupun terdapat banyak retorik daripada media arus perdana bahawa kerajaan amat perihatin dengan rakyat, kebanyakkan ahli-ahli politik kerajaan mempunyai sikap angkuh dan tidak mengambil peduli masalah rakyat dan mereka hanya mementingkan diri sendiri serta golongan yang kaya dan berkuasa.

Kita boleh ambil Kerajaan Negeri Sarawak sebagai contoh utama.

Jerebu tebal yang boleh membahayakan kesihatan, sekali lagi melanda Sarawak tiga minggu yang lalu. Tetapi apakah tindakan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sarawak untuk menyelesaikan masalah jerebu semasa musim kemarau ini? Selain daripada mengumumkan bahawa fenomena ‘El Nino’ telah kembali, Kerajaan Sarawak tidak berbuat apa-apa.

Sejak dari minggu lepas, lebih daripada 900 buah lokasi pembakaran terbuka dilaporkan di seluruh Sarawak. Lebih memeranjatkan lagi, pihak media melaporkan (8 Ogos 2009) bahawa Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) telah ‘membatalkan tiga permit pembakaran terbuka’ dan ‘menggantung 26 permohonan’ untuk pembakaran terbuka untuk aktiviti perladangan. Dalam erti kata lain, daripada mengawal bencana alam sekitar yang sering melanda kita setiap tahun seperti apa yang dijanjikan berulang kali sejak dari tahun 1997, Kerajaan Sarawak dengan senangnya menggalakkan krisis alam sekitar tahunan ini berterusan dengan memberi permit kepada syarikat-syarikat perladangan! Kita bertanya pula kenapa permit-permit tersebut dikeluarkan kepada syarikat-syarikat perlandangan? Ini adalah kerana kebanyakkan syarikat-syarikat perladangan ini dimiliki oleh ahli-ahli politik itu sendiri, keluarga mereka dan kroni-kroni korporat mereka yang kaya-raya.

Jadi, apalah gunanya larangan pembakaran terbuka oleh kerajaan jika larangan tersebut tidak dikuatkuasakan? Ini juga membongkar pembohongan lama bahawa kerajaan-kerajaan Negeri dan Persekutuan telah bekerja keras untuk menghentikan pembakaran terbuka yang menjadi punca jerebu beracun yang melanda setiap tahun.

Kerajaan Negeri Sarawak pula sering menyalahkan masyarakat Orang Asal yang berkebun kerana mereka juga membakar tanah hak adat (NCR) mereka sebelum musim menanam padi. Tetapi apakah tindakan Kerajaan Negeri untuk mendidik dan menyokong pemilik-pemilik kebun tersebut dengan menggunakan kaedah-kaedah alternative di dalam pertanian? Jawapannya, tiada!

Untuk memburukkan lagi keadaan, musim kemarau pada kali ini telah menyebabkan banyak Bahagian di Sarawak mengalami kekurangan air yang serius di mana 18,000 penduduk dilaporkan mengalami masalah kekurangan air yang teruk. Dan ini pula berlaku di negeri yang terdapat bilangan sungai yang paling banyak di negara ini! Sekali lagi, yang disalahkan ialah Tuhan, iaitu dengan menyalahkan fenomena ‘El Nino’. Tidak disebut pula, selama empat dekad lamanya, lesen-lesen konsesi balak yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri kepada kroni-kroni politik dan korporat telah memusnahkan hampir kesemua hutan-hutan di Sarawak – maka dengan itu, kawasan tadahan air.

Adakah kekurangan kawasan yang diliputi hutan menjadi penyebab utama masalah kemarau tahunan ini? Jika tidak ada kawasan yang diliputi hutan maka, awan tidak dapat dibentuk untuk memerangkap air hujan yang akan dilepaskan secara beransur-ansur pada musim kemarau. Bukankah ini menjadi penyebab utama kemarau berpanjangan dan bukan fenomena El Nino yang sering diungkapkan oleh ahli-ahli politik kerajaan? Tidak juga disebut bahawa setiap ahli politik kerajaan Sarawak yang dulu dan kini mendapat habuan yang besar dari konsesi-konsesi balak atau geran-geran perladangan kelapa sawit yang telah menghancurkan fungsi ekologi dan kawasan tadahan air di hutan hujan tropika Sarawak.

Kini pula terjadi tragedi masyarakat Penan. Menurut Alfred Jabu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, masyarakat Penan hanya boleh mempersalahkan diri mereka sendiri atas kejadian kekurangan makanan (kelaparan) dikalangan mereka pada musim kemarau ini kerana mereka tetap berdegil untuk tidak menetap di sesuatu tempat dan mengamalkan pertanian tetap. Oleh kerana sikap degil mereka ini, maka Kerajaan Sarawak tidak dapat menolong mereka.

Sekali lagi, tidak disebut pun bahawa tanah NCR mereka telah dibalak habis dan dimusnahkan oleh ladang-ladang kelapa sawit. Tidak juga disebut bahawa masyarakat Penan merupakan masyarakat yang paling terpinggir di Malaysia, di mana kawasan hutan yang mereka bergantung untuk hidup supaya mereka boleh mendapatkan hasil-hasil buruan dan makanan semakin berkurangan atau langsung tidak ada lagi. Justeru, tidak hairanlah kenapa ramai kanak-kanak Penan meninggal dunia akibat terkena penyakit campak beberapa tahun yang lalu. Tragedi apa pula akan menimpa masyarakat Penan pada masa hadapan?

Lebih menghampakan lagi, sudah lima dekad berlalu sejak Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963, beribu-ribu masyarakat Penan masih belum memiliki kad pengenalan diri kerana keengganan Jabatan Pendaftaran Negara untuk pergi mendaftar sesebuah komuniti yang terletak jauh di pendalaman, disebabkan masyarakat Penan tidak pernah memiliki sebarang dokumen pengenalan diri apalagi bagi mereka yang masih mengamalkan kehidupan nomadik.

Terdapat juga beberapa orang ahli politik Kerajaan Sarawak yang dilaporkan bahawa mereka memandang masalah masyarakat Penan yang kelaparan sebagai ‘melucukan’. Ada pula yang membuat komen bahawa masyarakat Penan tidak boleh lapar sebab mereka begitu arif di dalam mencari hasil-hasil hutan dan memburu. Akan tetapi, di manakah masyarakat yang paling terpinggir di Malaysia mencari hasil-hasil hutan dan memburu? Di hutan mana? Dan bagaimana pula seseorang boleh bergantung hidup dengan hutan yang sudah musnah di mana sumber-sumber makanan dan air sukar dicari terutamanya pada musim kemarau yang diliputi jerebu tebal yang beracun akibat daripada ratusan pembakaran terbuka di ladang-ladang dan tanah NCR?

Dalam erti kata lain, ahli-ahli politik kerajaan Sarawak secara tidak sedar menyalahkan Tuhan atau mangsa-mangsa krisis alam sekitar mengenai apa saja kesusahan yang dialami oleh mereka. Dan oleh sebab inilah kebanyakkan ahli-ahli politik kerajaan bukan sahaja mempunyai sikap acuh tak acuh dan hanya mementingkan diri mereka sendiri malah keangkuhan dan ketamakan mereka membuatkan mereka lupa kepada tanggungjawab mereka terhadap kepentingan rakyat.

Dipetik dari http://www.aliran.com
Diterjemahkan untuk Sebana Menoa

No comments: