Tuesday, May 17, 2011

Perbicaraan kes tanah NCR S'wak ditangguh

Hazlan Zakaria Mei 16, 11 1:29pm - Kes sekumpulan penduduk Asal mencabar Kanun Tanah Sarawak telah ditangguhkan untuk membolehkan kerajaan negeri menjawab hujah 56 muka surat dan afidavit yang difailkan oleh perayu awal pagi ini.

Peguam Baru Bian berkata, pihaknya telah mengemukakan hujah berhubung cadangan mereka, seperti yang diminta mahkamah, tentang bagaimana untuk menilai dan menggantikan tanah NCR yang diambil jika mahkamah setuju bahawa ia berbeza daripada tanah biasa, kerana tanah merupakan kehidupan bagi penduduk orang Asal.

Kami bersetuju untuk memberi mereka masa untuk mengemukakan hujah terhadapnya," kata Baru yang merupakan seorang peguam hak asasi penduduk Asal, kepada pemberita selepas prosiding di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya.

Baru dan rakan peguamnya Sulaiman Abdullah, yang mewakili penduduk Asal terbabit, turut mengemukakan satu afidavit pagi ini bagi menjawab kebimbangan responden tentang mengapa orang Asal menerima pampasan yang ditawarkan kerajaan negeri dan senyap lebih tiga tahun sebelum mereka memfailkan kes tersebut.

“Ia membabitkan beberapa fakta yang dibangkitkan oleh pihak sana. Ini ialah hujah kami mengenai fakta-fakta tersebut seperti kami melihatnya,” jelas ADUN baru Ba'Kelalan itu.

Antara lain, afidavit itu termasuk tuduhan yang mempersoalkan tindakan pegawai daerah dan kerajaan negeri yang menyebabkan penduduk Asal tidak mendapat pampasan dan maklumat yang sempurna mengenai pengambilan tanah mereka untuk projek empangan hidroelektrik Bakun.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Ariffin Zakaria membenarkan permohonan responden untuk penangguhan tersebut.

Peguam JC Fong yang mewakili kerajaan negeri berhujah bahawa beliau memerlukan lebih masa untuk menjawabnya, terutama terhadap dakwaan dalam afidavit berkenaan.

Katanya, tuduhan terhadap pegawai kerajaan itu adalah serius dan beliau perlu memanggil dan bercakap dengan mereka.

Mahkamah mengarahkan beliau menjawab, meskipun merakamkan bantahannya.

Ariffin kemudiannya menangguhkan perbicaraan itu kepada 16 Jun.

No comments: