Pelbagai berita dihebahkan di kawasan Betong yang berkisar pada keluarga Timbalan Ketua Menteri yang baharu sahaja mendapat “durian runtuh” dari Negeri Sarawak (bersyukurlah kepada keakrabannya dengan Ketua Menteri, yang juga Menteri Perancangan dan Pembangunan Sumber dan juga selaku Pengerusi LCDA)
Mereka dipercayai telah melakukan jualan tanah dengan harga berjumlah RM7 juta kepada FELCRA. Amat baik bagi tanah-tanah yang telah mereka rampas dari orang asal dan dibayar pampasan yang paling minima!
Sarawak Report ingin tahu, sama ada FELCRA, iaitu sebuah agensi persekutuan pernah mengumumkan hasil jual-beli ini (terutamanya jika ianya melibatkan keluarga menteri-menteri Kerajaan yang mendapat keuntungan darinya), atau pun pernah atau tidah Jabu sendiri mengesahkan kebanyakan perolehan tanah-tanah dijualnya dengan cara ini?
Atau, mungkin peguam yang mengendalikan jual-beli ini, iaitu Ani Solep Advocate & Solicitor, akan mengumumkan kepada orang awam bahawa tanah NCR yang dahulunya milik orang tempatan kini dijual kepada perbadanan awam?
Kroni ketua kaum Iban yang terlibat dengan rampasan tanah
Ketua Menteri dan keluarganya bukan sahaja terkenal dengan kegiatan merampas tanah-tanah NCR untuk mereka sendiri, malah timbalannya, Jabu juga terkenal dan diketahui telah mendapat untung hasil dari kesetiaan politiknya kepada Taib.
Jabu telah memperolehi jumlah tanah NCR yang begitu luas untuk dirinya dan keluarganya semasa beliau menjadi Timbalan kepada Taib Mahmud. Dengan gaji menterinya yang tidak lumayan ditambah pula beliau latar belakang keluarganya bukan dari orang yang berada dulu, adalah sukar diterima akal bagai mana beliau mampu mengeluarkan wang untuk membeli tanah-tanah ini (yang kini bernilai berjuta-juta ringgit) jika diandaikan beliau membayar mengikut harga pasaran semasa.
Tetapi, seperti yang diumumkan oleh setiausaha politik kepada Taib baru-baru ini, Abdul Karim Hamza mengatakan adalah suatu habuan bagi seseorang yang berjawatan menteri untuk mengoptimumkan “peluang perniagaannya” ke atas tanah yang ditawarkan kepadanya “pada harga yang rendah”. Rata-rata seluruh dunia mengatakan ini sebagai kesalahan rasuah.
Cukup untuk membiayai perkahwinan anaknya!
Anak Jabu, iaitu Barbara telah melansungkan perkahwinannya pada hujung minggu lalu yang diraikan semeriah-meriahnya. Ketua Menteri dan isteri baru beliau merupakan antara orang kenamaan yang dijemput. Kami mempunyai gambar-gambar eksklusif yang memaparkan kedua-dua mempelai bersanding dengan memakai pakaian tradisi kaum Iban, tetapi penduduk kaum Iban Sarawak tetap tertanya-tanya berapakah perbelanjaan yang digunakan untuk majlis ini, yang sudah pastinya diperolehi dari tanah mereka?
Berapakah kekayaan Jabu yang diperolehinya dengan mengeksploitasi rakyat dari kaumnya sendiri, dengan mendapat tanah-tanah yang diambil oleh negeri Sarawak, yang kemudiannya dijual kepada beliau sekeluarga pada harga yang sangat murah?
Herba Aromatics – owned by Jabu children
Herba Aromatics – syarikat milik anak-anak Jabu
Contohnya, adakah tanah yang dijual kepada FELCRA pada harga RM7 juta, yang seluar 2,000 hektar itu sebenarnya tanah yang diserahkan oleh Taib kepada syarikat yang bernama Herba Aromatics? Pemilik Herba Aromatics sebenarnya adalah Gerald Rentap Jabu, anak Ketua Menteri dan juga anak perempuannya yang baru melangsungkan perkahwinan, Barbara! Seorang lagi kroni, yang juga sepupunya, Robert Lawson Chuat, juga menikmati sebahagian saham-saham dalam syarikat berkenaan.
Tanah ini dibeli daripada negeri Sarawak pada tahun 2008 pada harga RM1 juta, dan ianya terletak di kawasan Jalan Lidong, Betong, Sarawak. Kesemua tanah ini adalah tanah berstatus NCR yang dimiliki oleh kaum Iban, yang sekaum dengan Jabu sendiri. Pejabat Pendaftar Tanah telah mengakui tanah-tanah tersebut sedang diusahakan untuk pertanian bersepadu, yang membuktikan bahawa tanah-tanah tersebut dimiliki oleh orang tempatan dan bukannya milik negeri – yang akhirnya jatuh ke tangan Jabu pada harga yang amat minima.
Berapakah nilai pampasan yang diterima oleh orang-orang tempatan?
Kami ingin mengetahui berapakah harga yang dibayar oleh anak-anak Jabu ke atas tanah-tanah yang telah mereka ukur itu? Ramai di kalangan orang tempatan di Betong merasa marah setelah mereka mengetahui Jabu telah memperolehi tanah yang sangat luas di situ dengan hanya membayar pampasan pada kadar RM500 bagi setiap keluarga, sungguh menggelikan!
Biasanya pampasan RM500 untuk satu keluarga telah dibayar melalui Tuai Rumah yang mewakili anak-anak buah mereka di rumah-rumah panjang mereka. Ada kalanya juga anak-anak buah mereka tidak tahu bahawa tanah-tanah mereka telah diperniagakan sedemikian, dan ada juga di antara mereka tidak menerima apa-apa pampasan dari Tuai-Tuai Rumah mereka. Kegiatan seperti ini adalah haram di sisi undang-undang dan ada keluarga yang mendapatkan bantuan guaman untuk menentang pengeksploit mereka itu.
Kami boleh menjelaskan bahawa jumlah yang paling minima yang dijelaskan oleh anak-anak Jabu kepada negeri Sarawak, seharusnya ditunaikan tahun ini – setelah genap dua tahun mereka terima hasil sumbangan ikhlas daripada Ketua Menteri!
Pernahkah Ketua Menteri memberitahu kepada anak-anak Jabu bahawa mereka tidah perlu membayar apa-apa jumlah kepada negeri Sarawak, sehingga setelah mereka menjualkan tanah-tanah tersebut kepada pihak lain pada harga yang lebih tinggi? Adakah harga RM7 juta itu yang mereka perolehi daripada FELCRA?
Sarawak Report ingin memohon penjelasan daripada Pendaftar Tanah sudahkah anak-anak Jabu membayar kesemua wang yang sepatutnya mereka bayar kepada pemilik-pemilik, dan jika sudah, bilakah bayar dibuat?
Keuntungan mudah para menteri Kerajaan Sarawak dari tanah orang kurang berada
Keuntungan sedemikian mungkin telah digunakan untuk membiayai majlis perkahwinan Barbara. Mereka sekeluarga tentunya boleh mengadakan majlis yang jauh lebih meriah dari orang-orang yang mereka bayar RM500, bukan?
Inilah cara pembangunan ala- BN. Kekayaan yang teramat sangat untuk menteri-menteri Kerajaan, yang sepatutnya berkhidmat kepada rakyat, tetapi sebaliknya rakyat mereka kehilangan tanah.Kini terserahlah kepada rakyat Sarawak sama ada untuk terus membenarkan diri mereka dirompak dengan cara ini, atau mendapatkan balik tanah-tanah, seperti mana yang dijanjikan oleh pembangkang!
No comments:
Post a Comment