Wednesday, August 11, 2010

Penduduk Dayak Iban Rumah Umpor menyaman Kerajaan dan sebuah syarikat perladangan bagi mendapatkan hak


11 Ogos 2010

MIRI - Penduduk Dayak Iban dari Rumah Umpor dari Ulu Sungai Niah, Bahagian Miri, Sarawak telah menyaman Kerajaan Negeri Sarawak, Jabatan Tanah dan Survei, Miri serta Syarikat perladangan Medan Mestika Sdn. Bhd. kerana menceroboh masuk ke dalam tanah NCR milik penduduk rumah panjang tanpa sebarang rundingan dan persetujuan.

Jabatan Tanah dan Survei telah mengeluarkan Provisional Lease (PL) atau Geran Hak Milik Sementara iaitu Lot 85 Sawai Land District kepada syarikat Medan Mestika.

Rumah Umpor yang diketuai oleh Tuai Rumah (TR) Umpor Anak Lunsa telah membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi sejak Februari tahun 2008. Menurut penduduk Rumah Umpor, mereka telah memperolehi hak Adat ke atas Tanah tersebut secara adat Iban (acquired) sejak nenek moyang mereka atau mengikut undang-undang Kanun Tanah Negeri Sarawak dan/atau melalui undang-undang sebelumnya.

Tanah adat tersebut adalah sebahagian tanah yang telah diberikan oleh kerajaan secara khusus kepada orang Iban Rumah Along yang diketuai oleh TR. Along anak Ranggau sebelum TR. Umpor sekarang.

Pihak kerajaan melalui Pejabat Daerah Miri telah menerima dan merekodkan sempadan antara Rumah Umpor dengan rumah-rumah panjang yang berjiran di dalam pelan tanah yang dipanggil dalam bahasa Inggeris sebagai “Composite Plan Showing Distribution of Native Farming Land at Suai/Niah/Sibuti”. Tanah milik Rumah Umpor dan beberapa rumah panjang yang berjiran di sini dipanggil Kawasan P. Manggoi, Andom dan Ranggong (P. Manggoi’s Area, Andom’s Area and Ranggong’s Area) yang secara kolektifnya dikenali sebagai kawasan Remang (Remang’s Area) di kawasan tersebut.

Penduduk Rumah Umpor dan nenek moyang mereka secara berterusan menduduki dan/atau bercucuk tanam di tanah adat tersebut sehingga ke hari ini. Tanah NCR mereka ini tidak pernah dihapus hak baik oleh pihak kerajaan sekarang dan/atau kerajaan terdahulu.

Pihak kerajaan negeri Sarawak, malah melalui Jabatan Pertanian telah memberi bantuan pertanian kepada penduduk Rumah Umpor untuk membuka dan menanam tanaman di tanah adat tersebut.

Pihak Kerajaan juga telah melantik Ketua Kaum (Tuai Rumah) bagi Rumah Umpor sehingga ke hari ini dan mengutip yuran taksiran tahunan dari Rumah Umpor.

Walaupun demikian, PL untuk perladangan sawit masih dikeluarkan oleh Jabatan Tanah dan Survei untuk Syarikat Medan Mestika Sdn. Bhd. pada 12hb Disember, 2000 dan tanpa pengetahuan penduduk Dayak Iban Rumah Umpor.

Laporan Taksiran Impak Alam Sekitar (EIA) yang dibuat pada tahun 2001 juga telah menerima dan mengakui kewujudan tanah Adat Rumah Umpor yang berada di dalam PL tersebut. Jabatan Tanah dan Survei Miri juga telah menerima kewujudan tanah adat yang dituntut oleh Rumah Umpor.

Walaupun PL Lot 85 yang sebahagiannya meliputi tanah adat orang Dayak Iban Rumah Umpor, Jabatan Tanah dan Survei, Miri masih secara tidak sah telah mengeluarkan PL untuk syarikat tersebut dan tanpa melalui proses untuk menyukat kewujudan tanah adat di dalam PL tersebut. Pihak Jabatan tanah dan Servei bahkan secara tidak sah masih membenarkan syarikat tersebut memasuki dan mendapat milikan tanah yang meliputi tanah adat penduduk Rumah Umpor.

Pada masa ini, kes Rumah Umpor sedang dalam perbicaraan penuh dan telah ditunda ke satu tarikh akan datang yang akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi, Miri.

No comments: