Wednesday, August 11, 2010

Penduduk buat blockade di Long Sukang

Oleh Hazel Lee

LONG SUKANG – Penduduk peribumi Lun Bawang di sekitar Long Sukang, Ba Kelalan bertindak melakukan sekatan bagi menghalang projek pemasangan Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SPGSS) berikutan keengganan pihak kontraktor membayar pampasan tanah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba Kelalan, Nelson Balang Rining ketika mengesahkan perkara itu berkata, penduduk kampung melakukan sekatan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan kontraktor memasag paip di kawasan tanah mereka tanpa membayar pampasan yang sepatutnya.

“Saya difahamkan penduduk kampung menuntut pampasan terhadap kerja-kerja pemasangan paip yang dilakukan di kawasan tanah mereka.”

“Ini perkara kecil. Saya sudah dimaklumkan bahawa pihak berkenaan akan menyelesaikan perkara ini dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebagai wakil rakyat untuk konstituensi Ba Kelalan, Nelson mahu perkara itu diselesaikan dengan baik iaitu situasi menang-menang untuk penduduk kampung dan pihak kontraktor.

Pada masa yang sama beliau menasihatkan penduduk Lun Bawang di Ba Kelalan tidak mengambil tindakan diluar undang-undang kerana perkara berhubung tuntutan pampasan itu boleh diselesaikan dengan baik.

“Selain itu kontraktor terbabit perlu mengambil kira kepentingan penduduk tempatan. Saya berharap pihak berkenaan menyelesaikan perkara ini demi manfaat kedua-dua pihak,” katanya lagi.

Sementara itu, Projek saluran paip gas Sabah-Sarawak itu melibatkan pemasangan saluran paip gas asli dari terminal minyak dan gas Sabah di Kimanis ke kompleks (LNG) Petronas di Bintulu.

Projek yang bernilai RM390 juta itu membabitkan sepanjang 500 kilometer yang mana 410 kilometer di Sarawak dan dijadualkan siap tahun 2011.

Dipetik dari: Sarawak Update
URL: http://sarawakupdate.com/home/berita/penduduk-buat-blockade-di-long-sukang/

No comments: