Thursday, July 22, 2010

Selepas 13 tahun, seorang wanita Iban mendapatkan keadilan untuk mendiang suaminya


Masyarakat Dayak yang akhirnya berjaya mendapatkan keadilan selepas 13 tahun menunggu. Ndukmit ak Egot, berdiri di tengah, baris bawah, keempat dari kiri (memakai cermin mata). Peguam beliau, En. Harrison Ngau berdiri di belakangnya.

20 Julai 2010

Miri, Sarawak -- Seorang wanita Iban, Ndukmit ak Egot hari ini telah mendapatkan keadilan yang sepatutnya di Mahkamah Sesyen Miri untuk mendiang suaminya Enyang ak Gendang, yang telah ditembak mati oleh Pasukan Polis Hutan (kini digelar sebagai Pasukan Gerakan Am) disebabkan konflik di antara masyarakat Iban dan sebuah syarikat ladang kelapa sawit. Mahkamah telah memutuskan bahawa pihak polis telah bertindak dengan cuai dengan melepaskan tembakan yang telah terkena mediang Enyang lalu menyebabkan kematian beliau dan kerajaan Malaysia adalah bertanggung jawab sepenuhnya dengan tindakan cuai pihak polis tersebut.

Selepas 13 tahun, keputusan mahkamah tersebut adalah sebuah kemenangan buat Ndukmit, keluarganya dan para penduduk rumah panjang Rumah Bangga di Bakong, Bahagian Miri, Sarawak. Pada 19 Disember 1997, 50 orang pihak polis dari Pasukan Polis Hutan dengan bersenjatakan cota, pistol dan rifel M16 telah melepaskan tembakan ke arah masyarakat Iban tersebut.

Tiga orang telah ditembak. Enyang Ak Gendang, 40, telah ditembak di kepala dan beliau meninggal dunia lima hari kemudian selepas gagal sedarkan diri dari koma. Lapan orang penduduk kampung tercedera. Seramai 30 orang Iban telah ditangkap dan ditahan.

Pihak police tidak mahu bertanggung jawab ke atas kematian Enyang. Pada tahun 2008 sebuah inkues diadakan dan koroner inkues tersebut pula memutuskan bahawa pihak polis tidak cuai di dalam menjalankan tugas mereka, peristiwa tembakan tersebut adalah sebuah peristiwa yang luar biasa dan kes tersebut tidak perlu disiasat dengan lebih lanjut.

Pada tahun 1999, apabila diarahkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya kerajaan Malaysia bertanggung jawab ke atas kematian Enyang, kerajaan Malaysia pula mengatakan bahawa:

Berhubung dengan kes Enyang Ak Gendang, di mana insiden yang telah menyebabkan mangsa terbunuh, kerajaan telah mengatakan pihak polis telah mencadangkan bahawa Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak (PELITA) dan syarikat Empressa mengadakan dialog dengan masyarakat Iban dan membayar pampasan kepada mereka seperti mana yang telah dijanjikan. Kerajaan pula telah melaporkan selepas insiden tersebut syarikat Empressa dan sub-kontraktornya telah menghentikan operasi mereka.

Mendiang Enyang ak Gendang adalah satu-satunya ahli keluaraga yang membawa nafkah kehidupan untuk keluarganya.

Pada tahun 2000, balu mendiang Enyang, Ndukmit ak Egot telah memfailkan sebuah kes sivil terhadap Koperal Hussaini bin Sulong, para pegawainya dan kerajaan Malaysia. Sepuluh tahun kemudian, mahkamah telah memutuskan untuk membicarakan kes tersebut.

Pada awal tahun 2010, apabila mendapat tahu bahawa kes tersebut akan dibicarakan, Mark Bujang, Pengarah Eksekutif Institut Sumber Borneo (BRIMAS) mengatakan, "Balunya hanya mahu keadilan untuk mendiang suaminya. Sudah 12 tahun lamanya, akan tetapi orang-orang yang bertanggung jawab menembak dan menyebabkan kematian Enyang belum pernah dituduh untuk sebarang kesalahan jenayah. Apa yang menyedihkan, pihak polis mengatakan bahawa masyarakat Iban tersebut adalah ganas dan mereka yang memulakan pergaduhan lalu memaksa pihak polis menggunakan senjata api. Saya sebanarnya tidak tahu kenapa kenapa kes ini ditangguhkan begitu lama apabila dua kali kes tersebut dibawa ke inkues dan dua kali koroner inkues memberikan keputusan yang tidak memuaskan. Saya gembira kali ini Ndukmit akan mendapatkan perbicaraannya,"

Para penyokong Ndukmit pula turut merasa gembira hari ini kerana walaupun lambat, keadilan memang akan tiba akhirnya.

Dipetik dari: Borneo Independent News Service
Diterjemahkan untuk Sebana Menoa

No comments: