Oleh Keruah Usit
23 Jun 2010
Polis Sarawak didakwa menyokong keganasan apabila membenarkan syarikat pembalakan Lee Ling Sdn Bhd, membubarkan sekatan di jalan-jalan balak di kawasan penempatan peribumi Sarawak di Limbang.
Merujuk kepada kejadian 20 Jun lalu, kumpulan pejuang hak kaum peribumi, Yayasan Bruno Manser (BMF), berkata Lee Ling menghantar tiga anggota polis yang tidak berpakaian seragam dengan kenderaan syarikat berkenaan ke kawasan sekatan di Long Sebayang.
Seorang anggota polis itu yang dilengkapi dengan sepucuk pistol dan mengarahkan penduduk sekitar supaya yang membubarkan sekatan dan memberi laluan kepada Lee Ling untuk membawa keluar balak yang ditebang.
Menurut penduduk tempatan, Lee Ling bercadang untuk menebang pokok di kawasan berkenaan dan menjadikannya sebagai kawasan perladangan.
Sekatan berkenaan didirikan oleh penduduk Lun Bawang, Penan dan Tabun dari kampung sekitar sebagai usaha terdesak mereka sejak kebelakangan ini bagi menghalang tanah adat dan pusaka mereka daripada terus dicabuli. Walaupun banyak sekatan didirikan, sebahagian besarnya telah dirobohkan oleh polis.
Kerajaan Taib tidak mengiktiraf Hak Pusaka Orang Asli (NCR) meskipun ia termaktub dalam adat resam mereka dan juga perlembagaan negeri dan persekutuan.
Penduduk di kawasan pendalaman Limbang itu juga membuat laporan polis mendakwa dikasari oleh pekerja Lee Ling. Namun mereka mendakwa, tiada siasatan polis dijalankan berbanding sokongan yang diberikan kepada syarikat pembalakan itu.
Aking Anung, seorang penduduk Penan dari kampung Long Keneng, membuat laporan polis di Limbang, mendakwa dia diserang di sekatan jalan oleh pengurus Lee Ling yang bernama “Ah New”, pada hari polis membuat lawatan. Dakwa Aking, pengurus itu mengugutnya dengan sebilah parang.
Setelah diserang, Aking berkata dia melarikan diri kerana tidak mahu dicederakan.
Bita Pelisi, seorang lagi penduduk di sekatan jalan itu juga mendakwa “Ah New” menyerangnya di bahagian muka sehingga menyebabkan hidungnya berdarah.
Katanya, pekerja Lee Ling kemudian mengugut penduduk bahawa mereka akan membawa lebih ramai orang untuk membelasah mereka jika sekatan tidak dirobohkan.
Raziah Mahmud, adik kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, adalah antara lembaga pengarah di firma Quality Concrete, yang merupakan syarikat induk Lee Ling.
Sumber: Malaysiakini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment