16 Julai 2009
Pemilik tanah hak adat Orang Asal (NCR) dari 60 buah rumah panjang di sekitar kawasan hilir Julau dan hulu Bintangor di Bahagian Sarikei telah menyatakan bantahan keras mereka terhadap Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (Pelita) dan syarikat Sime Darby Plantations kerana melibatkan tanah NCR mereka di dalam projek usahasama.
Di dalam sebuah kenyataan yang diemelkan ke Malaysiakini, setiausaha Jaringan Tanah Hak Bangsa Asal Sarawak (TAHABAS), Nyumbang Anak Barau mengatakan bahawa para pemilik tanah yang menghadiri sesi dialog dengan Pelita dan Sime Darby Plantations pada 9 July lalu telah menyatakan mereka tidak mahu tanah mereka dilibatkan.
Akan tetapi, walaupun mereka membantah, sebuah memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani di antara Sime Darby plantations dengan Pelita untuk membangun kawasan tanah NCR seluas 20,000 hektar.
Para pemilik tanah dari 109 buah rumah panjang diwakili oleh Pelita.
Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, James Masing menyaksikan upacara menandatangani perjanjian tersebut.
"Sebagai salah seorang pemilik tanah yang terlibat, saya ingin menegaskan di sini bahawa kami membantah perlaksanaan polisi pembangunan tanah NCR yang sebegini di kawasan kami, di mana Pelita dan Sime Darby masing-masing mempunyai 10 peratus dan 60 peratus syer di dalam syarikat usahasama (JVC)”, kata Nyumbang.
Beliau berkata bahawa baki 30 peratus syer sepatutnya “menjadi milik kami, para pemilik tanah yang belum bersetuju dengan polisi tersebut”.
Banyak perkara yang tidak memuaskan
"Kami tidak menentang pembangunan tanah NCR melalui skim penanaman kelapa sawit, akan tetapi kami tidak boleh polisi pembangunan tanah yang sebegini,” kata beliau dan menyenaraikan perkara-perkara yang tidak dipersetujui.
Beliau berkata: "Kami tidak percaya bahawa Pelita boleh melindungi hak kami dengan baik di dalam JVC. Kami melihat bahawa Pelita mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu dan mekanisme-mekanisme yang akan dilaksanakan tidak boleh menjamin perlindungan hak kami;
Kedua, beliau berkata, Pelita telah diberi kuasa serupa seperti “kuasa diktator yang terlalu kuat untuk kami, sedangkan hak kami tidak dihormati dan akan hilang begitu sahaja.”
Ketiga, kami tidak percaya dengan Pelita, dan “kami membantah Pelita menjadi pemegang amanah kami. Kami telah mendapat tahu bahawa Pelita mempunyai rekod yang tidak baik untuk memberi bonus dan dividen secara adil kelak."
Beliau turut mengatakan bahawa syer 30 peratus tersebut yang ditawarkan tidak pasti akan membasmi kemiskinan tetapi “kami mungkin akan menjadi lebih miskin disebabkan kehilangan tanah setelah menandatangani surat ikatan”.
Nyumbang berkata bahawa polisi yang sedia ada tidak akan menjamin kepulangan tanah-tanah tersebut kepada waris-waris mereka setelah tamat tempoh usahasama iaitu selepas 60 tahun kelak.
"Kebimbangan kami ini benar dan berasas. Ia boleh dibuktikan dengan adanya jumlah lebih daripada 200 kes perbicaraan di mahkamah yang melibatkan tanah NCR. Dengan jumlah sebegini besar, apakah ini tidak membimbangkan?” beliau bertanya.
"Sebelum ini, masyarakat dari 60 buah rumah panjang di sekitar hilir Julau dan hulu Bintangor dan juga sepanjang jalanraya Kanowit-Julau-Durin telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak pada tahun 2007 untuk mempertahankan tanah mereka daripada dibalak oleh sebuah syarikat yang telah diberikan geran hak milik sementara oleh kerajaan,” kata beliau.
Kehilangan Tanah
Nyumbang berkata sekiranya syarikat usahasama tersebut gagal melangsaikan hutangnya pada sesuatu tempoh, maka para pemilik tanah akan terpaksa menanggung hutang tersebut dengan menggunakan tanah mereka sebagai cagaran.
"Kami mungkin akan kehilangan tanah kami," kata beliau dan “bekerja sebagai buruh yang mendapat upah sebanyak RM15 sehari atau RM330 sebulan tidak cukup untuk menampung kehidupan kami. Pendapatan sebegini jauh berada di bawah garis kemiskinan."
Beliau berkata, kerana tidak mempunyai geran tanah, terdapat beberapa bidang tanah NCR mereka yang tidak diusahakan dilihat seperti tidak akan memberi banyak keuntungan wang. Tetapi tanah tersebut adalah sumber sayur-sayuran yang tidak tercemar, daging dan ikan dan juga bahan-bahan binaan dan hasil-hasil hutan yang berharga.
"Tambahan pula, dengan menjaga tanah-tanah tersebut buat sementara waktu ini, kami berharap pada suatu masa nanti, generasi muda dengan berbekalkan pendidikan yang lebih baik dan juga mempunyai daya untuk mengusahakan tanah-tanah tersebut dengan lebih baik,” kata beliau.
Ditulis oleh: Joseph Tawie
Dipetik dari: Malaysiakini.com
Diterjemah oleh: Mark Bujang
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment