9 Ogos 2009
Sempena perayaan Hari Orang Asal Sedunia 2009 yang jatuh pada hari ini 9hb Ogos, Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS), Jaringan Tanah Hak Adat Bangsa Asal Sarawak (TAHABAS), Persatuan Wanita Desa Sarawak (WADESA), Borneo Resources Institute, Malaysia (BRIMAS), Rakan Membangun Masyarakat (PACOS) dan Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) telah bersama-sama menganjurkan Seminar Mengenai Hak Orang Asal di Boulevard Restaurant, Miri kelmarin.
Seramai lebih kurang 100 wakil Orang-Orang Asal dari seluruh Sarawak dan juga wakil-wakil Orang Asal dari Sabah dan Semenanjung Malaysia telah hadir ke seminar tersebut di mana mereka telah mendengar ceramah-ceramah dari wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Majlis Peguam Malaysia dan Kesatuan Peguam-Peguam Orang Asal Sarawak (SILA).
Selain mendengar ceramah, para wakil Orang Asal juga sempat berbincang mengenai tindakan susulan terhadap memorandum JOAS yang telah disampaikan kepada DYMM YDP Agong pada tahun lepas.
Pameran tentang isu-isu yang dihadapi oleh Orang Asal juga telah diadakan selama dua hari bermula kelmarin dan hari ini di Imperal Mall, Miri.
Acara kemuncak perayaan adalah Majlis Makan Malam Mesra TAHABAS yang akan diadakan di Boulevard Restaurant pada malam ini. Seramai 500 orang dijangka akan hadir ke majlis ini di mana beberapa aktiviti akan diadakan untuk mengetengahkan isu-isu yang sedang dihadapi oleh masyarakat Orang Asal di seluruh Malaysia, khasnya di Sarawak.
Di Malaysia terdapat lebih daripada 80 suku ethno-bahasa Orang Asal di mana setiap suku tersebut mempunyai budaya, bahasa dan wilayahnya tersendiri. Jumlah penduduk Orang Asal di seluruh Malaysia berjumlah lebih kurang 4 juta orang atau 15 peratus dari jumlah penduduk di Malaysia.
Masyarakat Orang Asal di Malaysia telah sekian lama berjuang menuntut kepada Kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk mengiktiraf dan melindungi hak-hak kolektif masyarakat Orang Asal. Walaupun mereka digolongkan sebagai bumiputera, isu-isu seperti konflik ke atas tanah adat, pemindahan semula, campur tangan kerajaan di dalam pemilihan ketua-ketua kaum dan ketua-ketua masyarakat, keengganan pihak-pihak berkuasa untuk menerima bahawa masyarakat Orang Asal mempunyai budaya dan tradisi kerohaniannya yang tersendiri telah menyebabkan ramai masyarakat Orang Asal ditindas, dipinggir dan disisih dari masyarakat arus perdana justeru menyebabkan mereka menjadi kumpulan masyarakat yang paling miskin dan mudah terpedaya di Malaysia.
Di dalam Perlembagaan Malaysia, Bahagian 2, Artikel 5 hingga 13 menjamin hak-hak asasi seluruh warganegara Malaysia termasuklah masyarakat Orang Asal. Perkara 153 memperuntukkan tanggungjawab Yang Dipertuan Agung untuk menjaga dan melindungi Hak dan keistimewaan masyarakat Orang Asal. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjamin dan melindungi hak-hak Orang Asal.
UNDRIP adalah Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Hak Orang Asal. Ia merupakan peruntukkan-peruntukkan untuk melindungi Hak Orang Asal seluruh dunia dan juga membantu melindungi budaya, tanah dan cara hidup masyarakat Orang Asal. Setelah 20 tahun PBB berunding untuk menetapkan teks Deklarasi tersebut maka pada 13hb September 2007, Perhimpunan Agung PBB telah mengundi dan menerima pakai UNDRIP. Malaysia merupakan salah satu daripada negara-negara yang telah mengundi untuk mempersetujui UNDRIP.
Hari Orang Asal Sedunia diraikan oleh masyarakat Orang Asal di seluruh dunia setiap tahun apabila Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu melalui resolusi 49/214 telah mengistiharkan 9hb Ogos sebagai Hari Orang Asal Sedunia.
Dengan ini, kami masyarakat Orang Asal seluruh Malaysia menuntut agar:
- Kerajaan segera memberhentikan proses perundangan pemwartaan tanah yang mengambil alih hak tanah adat daripada dipunyai oleh Orang Asal sendiri. Tanah adat yang telah dirampas ataupun diwartakan untuk pelbagai tujuan haruslah dikembalikan dan proses perundangan harus dilakukan untuk membolehkan ini berlaku.
- Jika kerajaan ingin mengambil tanah adat untuk tujuan pembangunan, konservasi dan sebagainya, ia harus menggunakan Prinsip Izin-Makluman Awal Bebas dan Telus (Free Prior Informed Consent) dan membayar pampasan yang merangkumi tanah, tanam-tanaman, penempatan dan segala sumber-sumber yang terdapat di atas dan di bawah tanah tersebut yang setimpal dengan nilainya. Proses pengukuran tanah adat, termasuk hutan komunal Orang Asal haruslah dilaksanakan dengan penglibatan penuh Orang Asal yang terlibat.
- Mahkamah memberi keutamaan kepada kes-kes yang melibatkan pertikaian tanah adat dengan mempercepatkan perbicaraan dan pemberian keputusan. Kerajaan harus menyediakan bantuan guaman bagi kes-kes Orang Asal.
- Pentadbiran dan penyelengaraan hal adat Orang Asal dikembalikan kepada masyarakat Orang Asal sendiri. Ini boleh dilakukan dengan menggantikan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dengan Majlis Adat Orang Asal yang dianggotai oleh Orang Asal dan dipilih oleh masyarakat Orang Asal sendiri. Ini juga harus dilanjutkan untuk membolehkan perwakilan khas Orang Asal dalam Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat yang juga harus dipilih sendiri oleh masyarakat Orang Asal.
- Diwujudkan mahkamah adat untuk Orang Asli Semenanjung Malaysia yang dapat menjaga hal-hal perundangan adat. Berkaitan ini perkahwinan yang diakui oleh ketua kaum atau majlis adat harus diiktiraf oleh perundangan sivil Malaysia.
- Kerajaan memohon maaf kepada masyarakat Orang Asal ke atas penindasan yang telah berlaku di dalam sejarah Malaysia akibat daripada segala tindakan yang tidak adil oleh kerajaan-kerajaan yang memerintah selama ini. Sejak penubuhan kerajaan Malaysia, banyak penganiayaan terhadap Orang Asal juga telah dilakukan.
- Kerajaan menginstitusikan sebuah mekanisme perundangan yang dapat melawan diskriminasi terhadap masyarakat Orang Asal. Peluang pendidikan dan kesihatan haruslah dilaksanakan dengan tahap kualiti yang terbaik di negara ini. Media juga harus mengubah persepsi dan gambaran negatif yang sering ditunjukkan.
- Proses untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri dan memberikan butir-butir pengenalan diri mengikut kehendak sendiri dipermudahkan.
- Kerajaan menubuhkan Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat pengeluaran dokumen pengenalan diri palsu yang dikeluarkan kepada orang asing untuk tujuan mendapatkan kewarganegaraan dan penggunaan istilah “Bumiputera lain-lain”.
- Kerajaan memansuh atau meminda mana-mana undang-undang yang menindas, tidak menghormati, tidak melindungi hak Orang Asal dan bercanggah dengan UN-DRIP, seperti Akta 134 Akta Orang Asli, pindaan-pindaan kepada Kanun Tanah Sarawak dan Ordinan Pengambilan Tanah Sabah (Bab 69).
- Kerajaan Persekutuan haruslah menggubal satu undang-undang yang mengiktiraf dan menjamin hak-hak Orang Asal berdasarkan UN-DRIP.
Ditandatangani oleh:
Tuai Rumah Siba Anak Bunsu
Timbalan Presiden JOAS
No comments:
Post a Comment