Oleh Kenka KN
KAPIT: Banjir yang berlaku di penempatan Sungai Tunoh Rabu lalu (26 Februari 2009) adalah berpunca daripada kegiatan pembalakan yang berlebihan dengan menggondol bukit-bukau serta tidak mematuhi piawaian yang dibenarkan kerajaan dalam pengambilan balak di kawasan cerunan bukit di kawasan hulu Sungai Tunoh.
Demikian kesimpulan yang dibuat oleh Menteri Kemajuan Tanah Dato Sri Dr James Masing selepas melakukan tinjauan udara menggunakan helikopter untuk menyaksikan sendiri keadaan serta mengenal pasti masalah yang telah berlaku di hulu Sungai Tunoh tengah hari semalam.
Dalam tinjauan itu, beliau ditemani Pegawai Daerah Simon Japut Tiok, Penolong Pengarah Pertanian Bahagian Dominic Chungat dan wakil Utusan Borneo di sini.
“Saya sendiri telah memantau melalui udara dan melihat kegiatan pihak kontraktor pembalakan yang telah melakukan kegiatan mengambil balak tanpa mengira kesannya ke atas alam sekitar di Sungai Tunoh,” jelasnya.
Masing yang menyalahkan kontraktor yang mengambil balak dari kawasan berkenaan berkata, mereka harus bertanggungjawab terhadap kesusahan dan kerosakan yang dialami penduduk Sungai Tunoh.
Pada masa yang sama, beliau turut menggesa Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) meninjau kawasan tersebut untuk mengetahui keadaan sebenar sama ada kontraktor berkenaan mematuhi peraturan pengambilan balak-balak di lereng-lereng bukit dan kawasan sungai atau sebaliknya.
Katanya, pihak NREB seharusnya pergi dan membuat pemantauan serta membuat cadangan yang bakal diambil terhadap pihak kontraktor yang tidak bertanggungjawab dengan mengambil kayu balak tanpa mengira kesan-kesan terhadap alam sekitar dan penduduk.
“Jika pihak NREB tidak cepat melakukan siasatan tersebut, saya yakin bencana serupa akan berulang lagi di Tunoh. Saya amat kecewa dengan tindakan pihak kontraktor pembalakan berkenaan dan pihak NREB.
“NREB sepatutnya melakukan tugas memantau kesan-kesan alam sekitar seperti itu. Jika pihak berkenaan telah melakukan tugas mereka dengan efektif, perkara sedemikian mungkin tidak akan berlaku di Tunoh,” tambahnya sambil menggesa agar pihak NREB lebih bertanggungjawab pada masa akan datang.
Menurut Masing lagi, selain daripada banyak harta benda yang rosak dan hilang, penduduk di penempatan Sungai Tunoh mungkin akan berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan beras pada tahun ini berikutan kemusnahan sawah-sawah padi mereka akibat bencana itu.
Rabu lepas, iaitu pada kira-kira jam 3.00 pagi penempatan Sungai Tunoh, sebuah penempatan di hulu Sungai Baleh dilanda banjir selepas hujan turun beberapa hari sebelumnya.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan tetapi penduduk mengalami kerugian dianggarkan hampir RM1 juta.
Rumah Ungka Barang, 33 pintu merupakan antara lima rumah panjang yang teruk dilanda banjir tersebut sehingga sebahagian ‘ruai’ sebuah bilik di rumah panjang berkenaan ranap dirempuh air deras.
Sehubungan itu, Masing turut mengumumkan bantuan segera berupa geran sebanyak RM10,000 kepada penduduk Rumah Ungka Barang untuk membaiki kediaman mereka, selain akan berhubung dengan Ahli Parlimen Hulu Rejang, Datuk Billy Abit Joo untuk membincangkan bentuk bantuan yang akan disalurkan kepada mangsa empat rumah panjang yang lain.
Tunoh mempunyai penduduk berjumlah 2,000 termasuk empat lagi rumah panjang, iaitu Rumah Kilau Ugap, Rumah Chiri, Rumah Tani dan Rumah Agam.
Banjir itu turut membunuh haiwan peliharaan, merosakkan perahu panjang, jana kuasa, motosikal dan lain-lain.
Dapur di SK Sungai Tunoh turut ditenggelami air banjir dan menyebabkan semua perkakas memasak di dapur berkenaan hilang dihanyutkan arus.
Selain itu, turut musnah dua jambatan, iaitu sebuah jambatan besi dan sebuah lagi jambatan gantung yang menghubungkan rumah panjang dengan sekolah.
Dipetik dari: Utusan Borneo, 3 Mac 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment