Tuesday, March 9, 2010

JTRB lancar Kempen Tandatangan Penduduk Baram

7 Mac 2010

Jawatankuasa Protem Tindakan Rakyat Baram (JTRB) melancarkan Kempen Tandatangan Penduduk Baram bagi sebulat suara membantah projek pembinaan Empangan Baram di kawasan mereka.

Pengerusinya,Philip Jau berkata kempen ini adalah inisiatif jawatankuasa untuk menentang pembinaan empangan yang sebelum ini menimbulkan keresahan di kalangan penduduk terutama kaum Kenyah dan Kayan.

“Kempen ini mewakili rintihan rakyat di kawasan Baram yang terancam dengan pembinaan empangan. Kita mahu suara ini sampai dan didengar kerajaan, sejajar dengan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan,” katanya semasa pelancaran kempen itu di sebuah hotel di Miri hari ini.

Kempen itu dilancarkan sempena Forum Awam Empangan Baram anjuran bersama JTRB, Pakatan Konservasi Alam Sekitar Sarawak (SCANE) dan Institut Sumber Borneo Malaysia (BRIMAS).

Untuk bacaan lanjut sila klik: http://sarawakupdate.com/news/breaking-news/jtrb-lancar-kempen-tandatangan-penduduk-baram/
Dipetik dari: Sarawak Update

Monday, March 1, 2010

BAGAIMANA TAIB TERSELAMAT PADA PILIHANRAYA 1987...

dan mengapa Sarawak hari ini dalam cengkaman penguasaan gang perompak tauke-tauke balak...

Apabila "Peristiwa Ming Court" – satu pemberontakan terhadap Taib oleh ahli, sama ada wakil rakyat dan bukan wakil rakyat, dari kemnya sendiri yang diketuai oleh bapa saudaranya sendiri, Tun Rahman – telah terjadi pada Mac 1987, Taib pada waktu itu sudah menjadi Ketua Menteri selama 6 tahun.

Dalam 6 tahun tersebut, dia telah berjaya untuk menimbulkan kemarahan ahli-ahli tersebut dengan berat sebelah menyokong dan memberi kontrak serta konsesi kepada sekumpulan baru kroni kapitalis yang kebanyakannya adalah Cina Foochow, dari atau dekat dengan parti SUPP, dan terlibat secara khasnya dalam industri pembalakan dan pembinaan.

Yang ironiknya, bapa saudaranya sendiri yang telah memulakan tren ini, semasa menjadi Ketua Menteri pada tahun 1970 dia terpaksa bergantung kepada sokongan parti SUPP dan dengan demikian menghalang percubaan SNAP untuk berkuasa semula di negeri ini.

Bapa saudaranya telah berkuasa hampir 12 tahun tetapi dalam masa 6 tahun kroni-kroni Taib telah pun merapatkan jarak dengan hampir menyamai jumlah konsesi balak yang dipegang oleh kroni-kroni Rahman.

Walaupun Taib telah mendapatkan nikmat secara peribadi daripada pengaturan bersama dengan kumpulan kroni-kroninya, pada masa itu kemungkinan besar dia masih tidak bersetanding dengan kuasa-kewangan kroni-kroni bapa saudaranya. Dia juga mengetahui bahawa pilihanraya 1987 yang terpaksa diadakan kerana pemberontakan yang telah berlaku sangat mahal kosnya, dengan kumpulan bapa saudaranya membelanjakan sebanyak wang yang mungkin untuk menggulingkan dia, sementara dia (Taib) harus membelanjakan sejumlah wang yang sekurang-kurangnya hampir sama seperti perbelanjaan mereka demi mempertahankan dirinya dan kroni-kroninya.

Untuk separuhnya menyekatkan kuasa-kewangan pihak lawan dan juga untuk mendapat akses kepada sumber kewangan yang diperlukan untuk dirinya, dia telah mengarahkan semua dana kerajaan negeri dipindahkan daripada Bank Utama yang mana pada ketika itu dikuasai oleh salah seorang kroni bapa saudaranya Bidari, yang juga Bendahari PBB.

Ini dapat dia lakukan dengan bantuan baik iparnya, Aziz Hussain, yang pada ketika itu kebetulannya adalah Pembantu atau Timbalan Pegawai Kewangan Negeri. Sebenarnya Aziz Hussain lah yang membongkarkan rahsia tersebut, tanpa disedarinya kepada Sarawak Headhunter pada suatu ketika.

Taib telah membuat perjanjian dengan 5 ketua gang tauke balak – jika anda tidak tahu siapa mereka, lihat sahaja siapa 5 pemegang konsesi balak utama di Sarawak. Perjanjiannya adalah bahawa mereka akan membayar Taib RM30 juta setiap seorang jika dia memenangi pilihanraya itu. Sebagai balasan mereka bukan sahaja akan dapat mengekalkan konsesi balak yang sedia ada tetapi mereka juga akan diberi banyak konsesi lagi – dan Taib juga akan menerima banyak lagi, ia itu RM30 juta setiap orang yang bakal diterima Taib hanyalah suatu bayaran muka yang kecil.

Jadi Taib telah menggunakan RM150 juta wang kerajaan negeri untuk menampung kempen pilihanrayanya (dan BN). Wang mengalir umpama air daripada kedua-dua pihak, tetapi di sebelah Rahman kelihatan seolah-olah lebih banyak wang tidak dibelanjakan seperti sepatutnya, maka selepas pilihanraya, rumah Nor Tahir di Satok telah digeledah oleh pihak berkuasa persekutuan dan lebih RM90 juta wang tunai haram yang tidak sempat dibelanjakan telah dirampas.

Ya, rakyat Sarawak yang baik, itulah pendapatan haram dari sumber alam saudara-saudara, yang mereka telah gunakan bagi “merasuah” anda untuk menyokong mereka.

Apabila pilihanraya selesai dan kumpulan Taib telah memenanginya dengan kelebihan hanya 4 kerusi, RM150 juta tersebut telah dengan segera digantikan dan tiada sesiapa pun tahu atau sedari apa yang telah Taib lakukan untuk menyelamatkan diri dalam pilihanraya 1987.

Inilah cara bagaimana Taib terselamat dalam pilihanraya 1987 dan bagaimana sekurang-kurangnya 7 juta hektar konsesi balak telah jatuh ke dalam kawalan keluarga Taib, konco-konco dan kroni-kroni mereka (yang tidak kurang 5 juta hektar telah dikuasai 5 perompak tauke balak paling besar yang telah membayar balik Taib bagi memulangkan wang kerajaan negeri yang telah dia gunakan dalam pilihanraya tersebut).

Pilihanraya di Sarawak dan di banyak bahagian Malaysia tidak lebih dari hanya sekadar demokrasi olok-olok dan suatu penyelewengan demokrasi, sehinggalah sampai suatu ketika di mana rakyat sendiri memutuskan bahawa mereka tidak boleh dirasuah lagi dengan wang mereka sendiri untuk menyokong serta mengundi wakil rakyat yang kemudiannya akan menyalahgunakan amanah mereka.

Dipetik dari blog : Sarawak Headhunter.
Diterjemah oleh: Abun Sui Anyit

Monday, February 1, 2010

Dr. Stephen Rundi sendiri belum faham maksud hak NCR

29 January 2010

Pada 24 Januari lalu, sebuah berita disiarkan di laman web Sarawak Update di mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena merangkap Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak, YB Dr. Stephen Rundi mengingatkan pemilik tanah di Sarawak supaya memastikan tanah tersebut benar-benar hak mereka sebelum membuat sebarang tuntutan kepada kerajaan.

Beliau memberi amaran supaya pemilik tanah jangan menggunakan pembangkang atau melepaskan geram melalui penulis blog dan media siber untuk memperjuangkan "hak" mereka.

Beliau menyalahkan pemilik tanah atau mereka yang mewarisi dan menduduki tanah kerana tidak dapat membezakan di antara tanah hak adat bumiputera, NCR dan tanah temuda.

"Ingin saya maklumkan bahawa tanah NCR ialah tanah yang diwarisi turun menurun sebelum 1958 manakala tanah temuda ialah tanah yang diduduki selepas tahun tersebut (1958)", kata Dr. Stephen Rundi.

Jelas dari kenyataan Dr Stephen Rundi di atas, beliau sendiri masih lagi belum faham maksud dan konsep NCR menurut undang-undang dan juga dari segi adat masyarakat Iban.

Di sini kami ingin mengambil kesempatan itu memberi sedikit panduan kepada Dr. Stephen Rundi mengenai maksud NCR.

NCR adalah kata singkatan untuk Native Customary Rights di dalam Bahasa Inggeris. Jika diterjemahkan kepada Bahasa Malaysia NCR bermaksud Hak Adat Orang Asal. Hak Adat Orang Asal ke atas tanah wujud apabila seseorang atau sesebuah masyarakat Orang Asal meneroka sesuatu kawasan hutan untuk tujuan membuat rumah atau tempat kediaman, bercucuk tanam, memburu, menangkap ikan, mencari hasil-hasil hutan, membina tapak perkuburan, menggunakan kawasan tersebut sebagai laluan perjalanan dan sebagainya untuk menyara kehidupan mereka.

Tanah adat Orang Asal atau Native Customary Land bermaksud seseorang atau sesebuah masyarakat Orang Asal telah mendapatkan hak NCR ke atas tanah melalui amalan adat seperti apa yang disenaraikan di atas.

Bagi masyarakat Iban, tanah adat berkait rapat dengan amalan pertanian dan kepercayaan tradisi mereka.

Masyarakat Iban tinggal di dalam wilayah tanah adatnya atau dikenali sebagai pemakai menoa di dalam Bahasa Iban. Lokasi pemakai menoa amat penting untuk masyarakat Iban kerana ia merupakan punca sumber-sumber asli seperti tanah yang subur untuk pertanian, air, ikan dan hidupan air, binatang liar dan hasil-hasil hutan. Beberapa kumpulan keluarga akan berkumpul untuk membina sebuah rumah panjang untuk hidup di kawasan pemakai menoa tersebut. Kawasan pemakai menoa tersebut mempunyai sempadan atau dikenali sebagai garis menoa dengan komuniti yang lain.

Sebelum pemakai menoa diwujudkan, masyarakat Iban akan meraikan sebuah upacara panggol menoa, iaitu upacara yang menandakan bahawa penebasan pertama hutan dara telah dilakukan dan kawasan tersebut boleh didiami dan diusahakan untuk pertanian.

Dari masa ke semasa bilangan penduduk di rumah panjang tersebut akan bertambah, maka rumah panjang tersebut akan dipanjangkan untuk menampung ahli-ahli keluarga baru atau jika rumah tersebut sudah uzur maka komuniti tersebut akan berpindah ke sebuah kawasan baru dan membina rumah panjang baru yang masih di dalam sempadan kawasan pemakai menoa mereka. Kawasan rumah panjang lama pula dikenali sebagai tembawai.

Pemakai menoa termasuk tanah temuda (tanah pertanian), tembawai (kawasan penempatan lama), pendam (tapak perkuburan) dan pulau (kawasan hutan di mana hasil-hasil hutan diperolehi). Garis menoa adalah sempadan yang menentukan kawasan pemakai menoa sesuatu komuniti dengan komuniti yang lain. Garis temuda pula adalah sempadan di antara temuda seseorang dengan temuda orang yang lain. Sempadan-sempadan tesebut selalunya ditentukan mengikut ciri-ciri bentuk mukabumi seperti gunung, rabung, sungai, batu ataupun tanda yang lain seperti pokok tapang dan rumpun buluh.

Jika kita lihat dari sudut undang-undang pula (dari Kanun Tanah Sarawak 1958), tanah adat diberi maksud sebagai:
(1) tanah di mana hak NCR ‘telah diwujudkan secara komunal atau sebaliknya, mengikut undang-undang sebelum 1hb Januari 1958, dan masih lagi sah diperlakukan’,
(2) tanah di dalam rizab di bawah seksyen 6, atau
(3) tanah Interior Area Land di mana hak NCR ‘telah diwujudkan mengikut undang-undang melalui permit di bawah seksyen 10’.

Selepas 1hb Januari 1958 pula hak NCR masih lagi boleh diwujudkan:
(1) jika masyarakat Orang Asal masih lagi tinggal ataupun masih menjadi ahli masyarakatnya yang tinggal di dalam kawasan pemakai menoa mereka,
(2) jika masyarakat Orang Asal mendiami kawasan tanah tersebut dengan menebang hutan dara, menanam pokok buah-buahan, bercucuk tanam, membina tapak perkuburan atau tempat keramat, mendapatkan hak laluan ke atas mana-mana kelas tanah dan apa-apa cara mengikut undang-undang seperti yang termaktub di seksyen 5(2) Kanun Tanah Sarawak 1958,
(3) mendapatkan permit mengikut seksyen 10 Kanun Tanah Sarawak 1958.

Beberapa keputusan Mahkamah juga menegaskan konsep NCR ini menurut adat resam masyarakat Orang Asal. Dr. Stephen Rundi sepatutnya membaca keputusan kes Mahkamah Tinggi Nor Anak Nyawai dan yang lain lawan Borneo Pulp Plantation Sdn. Bhd., kes rayuan di Mahkamah Persekutuan Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Miri dan Kerajaan Negeri Sarawak lawan Madeli bin Salleh dan baru-baru ini dua kes Mahkamah Tinggi yang telah diputuskan iaitu kes Agi Anak Bungkong dan yang lain lawan Ladang Sawit Bintulu Sdn. Bhd. dan Mohd Rambli Kawi lawan Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Kuching.

Kami juga mengesyorkan agar Dr. Stephen Rundi merujuk juga kepada laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bertajuk Legal Perspectives on Native Customary Land Rights in Sarawak. Kami berharap selepas membaca sumber-sumber rujukan tersebut, Dr. Stephen Rundi tidak lagi membuat kenyataan yang tidak masuk akal dan beliau sendiri mempunyai perspective yang lebih luas mengenai maksud NCR dan konsepnya mengikut adat dan undang-undang sedia ada di Sarawak.

Kenyataan Akhbar ini ditulis oleh: Mark Bujang, Pengarah Ekesekutif BRIMAS