Tuesday, December 15, 2009

Kesan kehilangan hutan terhadap masyarakat di Borneo - 15 Dis 09

Sudah bergenerasi lamanya, masyarakat Orang Asal di Malaysia telah hidup dengan damai di dalam hutan tropika di negara ini.

Akan tetapi pembangunan yang menceroboh masuk ke dalam hutan dan alam semulajadi tersebut telah menjadi penyumbang besar kemusnahan hutan dan juga kepada punca perubahan iklim.

Diweng Bakir adalah dari suku kaum Jagoi dan adalah salah seorang aktivis utama untuk memperjuangkan hak masyarakat Orang Asal di Sarawak.

Beliau menceritakan pandangannya di Al Jazeera.


Wednesday, December 9, 2009

Hutan Sarawak yang kian menghilang

PENANG, Malaysia, Nov 30 (IPS) – Sudah sekian lama, para aktivis alam sekitar dan pejuang hak Orang Asal percaya bahawa hutan belantara yang luas di negeri Sarawak dibalak dengan rakus dan hutan tersebut kini beralih menjadi ladang-ladang kayu akasia dan kelapa sawit, empangan hidro elektrik dan hutan belukar. Malangnya, tidak semua orang mengambil kisah.
Pendirian para aktivis tersebut kini telah disahkan apabila di dalam Laporan Tahunan Audit 2008, yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara dan diserahkan ke Parlimen, Ketua Audit Negara telah mengkritik pengurusan hutan di negeri Sarawak sebagai tidak “memuaskan”. Pada awal bulan ini, pihak berkuasa Sarawak pula menolak penemuan Ketua Audit Negara.
Laporan tersebut telah menyenaraikan beberapa penemuan untuk sampai ke kesimpulan tersebut: kawasan hutan simpan kekal semakin berkurangan dan tidak ada kawasan baru untuk mengantikan kawasan hutan tersebut, manakala terdapat beberapa usul untuk mewartakan kawasan hutan simpan pula belum dilaksanakan. Terdapat juga penemuan di mana pemegang lesen balak tidak diwajibkan untuk mendapat laporan taksiran impak alam sekitar (EIA) yang telah diluluskan sebelum memulakan kerja-kerja mereka. Catuan penebangan tahunan pula melebihi hadnya jika semua kawasan hutan diambil kira.
Laporan tersebut juga menyatakan bahawa penguatkuasaan dan pemantauan yang lemah telah menyebabkan terjadinya pembalakan haram yang menyumbang pula kepada kemusnahan alam sekitar, terutamanya pencemaran sungai-sungai, hakisan tanah dan kejadian tanah runtuh, mendapan lumpur dan banjir.
Menteri Kedua Perancangan dan Pengurusan Sumber Sarawak, Awang Tengah Ali Hassan (Menteri Pertama ialah Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud) telah menyatakan ketidakpuasan hatinya kepada laporan tersebut. Beliau berkata laporan tersebut tidak mencerminkan situasi keseluruhannya kerana para juruaudit tersebut membuat kesimpulan-kesimpulan yang rambang mengenai pengurusan jangka panjang hutan di Sarawak oleh kerajaan negeri."
Dengan mendapatkan tindakbalas dari Jabatan Hutan Sarawak, saya percaya pandangan yang seimbang dan tepat (mengenai pengurusan hutan oleh kerajaan negeri) dapat dilaporkan di dalam laporan tersebut,” kata beliau di dalam laporan agensi berita nasional, Bernama.
Awang Tengah pula mengatakan bahawa Jabatan Audit Negara tidak mempunyai kepakaran di dalam pengurusan hutan, dan maklumat-maklumat yang diberi dari Jabatan Hutan Sarawak tidak diambil kira di dalam laporan audit tersebut. Beliau berkata, Ketua Audit Negara telah menulis kepadanya pada 29 Oktober dan bersetuju untuk mengambil kira tindakbalas dari Jabatan Hutan.
Apabila dihubungi, seorang jurucakap dari Jabatan Audit Negara di Putrajaya pula berkata perkara tersebut sudah “selesai” – jabatan tersebut akan menerima komen-komen dari pihak-pihak berkuasa di Sarawak akan tetapi laporan Ketua Audit Negara masih sah.
Para pegawai tinggi di Kementerian Perancangan dan Pengurusan Sumber Sarawak dan Jabatan Hutan Sarawak tidak dapat dihubungi melalui telefon untuk mendapatkan komen pada masa ini.
Sarawak mempunyai hutan seluas 12.44 juta hektar di dalam keluasan tanahnya yang seluas 124,450 kilometer persegi, di mana 4.6 juta hektar adalah hutan simpan kekal, 0.88 juta hektar hutan lindungan sepenuhnya dan 4.3 juta hektar pula adalah hutan milik kerajaan, manakala baki kawasan tersebut digunakan untuk penempatan, bandar dan kawasan pertanian.
Pada awal tahun ini, kerajaan negeri telah mengumumkan sasaran untuk menetapkan enam juta hektar untuk hutan simpan kekal dan sejuta hektar untuk hutan lindungan sepenuhnya yang terdiri daripada taman-taman negara, kawasan perlindungan binatang liar dan hutan simpan asli. Pengumuman tersebut telah dijelaskan sebagai “testimoni jelas komitmen kerajaan negeri kepada pengurusan hutan secara mapan.”
Kerajaan negeri Sarawak juga telah mengumumkan penubuhan Kawasan Pemuliharaan Antara Negara yang terdiri dari kawasan taman negara dan kawasan perlindungan binatang liar dengan Indonesia dan Brunei. Kerajaan negeri telah menandatangani 33 perjanjian antarabangsa yang berkaitan dengan hutan Konvensyen mengenai Kepelbagaian Biologi, Protokol Kyoto, Konvensyen mengenai Perdangangan Antarabangsa Spesis-Spesis Flora dan Fauna Liar yang Terancam dan Perjanjian ASEAN mengenai Pemuliharaan Sumber-Sumber Asli dan Alam Semulajadi.
Tetapi, Raymond Abin, penyelaras Jaringan Pemuliharaan Bertindak Sarawak – sebuah jaringan kumpulan-kumpulan pejuang alam sekitar dan hak Orang Asal di Sarawak – masih tidak percaya.
Pembalakan merupakan bines terbesar di Sarawak: Sarawak merupakan pengekspot terbesar kayu keras tropika di dunia. Tambahan pula, konsesi-konsesi balak selalunya diberi kepada pihak-pihak yang mempunyai pertalian rapat dengan para pemimpin di Sarawak. Kelapa sawit juga merupakan sebuah lagi sumber pendapatan yang besar untuk Sarawak.
“Kita tidak perlu pergi jauh untuk melihat apa yang berlaku terhadap sungai-sungai kita di Sarawak, semuanya berlumpur. Jika anda menaiki pesawat dan terbang dari satu penjuru negeri ini ke penjuru yang seterusnya, anda boleh melihat banyak kawasan-kawasan hutan sudah dibalak,” kata Raymond.
Dari kesemua usaha kerajaan negeri Sarawak, laporan Ketua Audit Negara melaporkan bahawa 139,680 hektar hutan simpan kekal musnah dari tahun 2003 dan 2005, di mana 18,322 hektar pula musnah dari tahun 2006-2008. Dari tahun 1990 dan 2008, hampir sejuta hektar hutan simpan kekal telah musnah, dengan hanya 4.6 juta hektar yang masih tinggal. Laporan tersebut menyatakan pengumuman sasaran kerajaan negeri untuk mengekalkan enam juta hektar hutan simpan kekal, tetapi tiada pentunjuk yang menyatakan bila sasaran ini akan menjadi rasmi.
Para juruaudit menemui bahawa “aktiviti pembalakan yang berhampiran dengan sungai-sungai merupakan faktor utama kemerosotan air jernih, jumlah pepejal yang terapung dan tahap oksigen yang terlarut” di sungai-sungai utama di Sarawak. "Ini bukan sahaja mencemarkan sumber-sumber air, ia memerlukan kos yang tinggi untuk dibaik pulih.” Sememangnya, Sungai Rejang (di kawasan Sibu, Sarikei dan Kapit), Sungai Kemena (Bintulu), Sungai Baram (Miri), Sungai Limbang (Limbang) dan Sungai Trusan Lawas (Limbang) telah melebihi piawaian pencemaran air.
Raymond menambah bahawa masyarakat Orang Asal boleh melihat apa yang sedang berlaku di persekitaran mereka. “Anda tidak perlu menjadi seorang pakar: masyarakat Orang Asal yang telah lama tinggal di dalam hutan atau memerlukan air bersih untuk kehidupan mereka – cara hidup mereka semakin lama akan hancur akibat daripada pembalakan.”
Para juruaudit menunjukkan bahawa terdapat banyak mendapan di kuala Sungai Seduan dan Sungai Igan di Sibu iaitu "seluas sebuah padang bola sepak," dan disebabkan ini banjir sering berlaku di kawasan Sibu terutamanya pada waktu hujan lebat. Menurut rekod banjir, Sibu merekodkan banjir sedalam 0.9 meter pada tahun 1997 dan naik ke 1.5 meter pada tahun 2007. Pada bulan Disember 2008, Sibu mengalami banjir yang paling teruk sejak dari tahun 1963. 350,000 hektar kawasan hutan simpan kekal di Bahagian Sibu di Sarawak telah musnah di antara tahun 1990 dan 2008, menurut laporan para juruaudit.
Mereka juga menyatakan beberapa laporan akhbar yang menyatakan pada awal tahun ini aktiviti-aktiviti pembalakan di Bakun yang melebihi 40,000 hektar telah menyebabkan pencemaran dan mendapan yang teruk di kuala Sungai Balui.
Undang-undang memerlukan laporan EIA disediakan untuk setiap lesen pembalakan di kawasan yang melebihi 500 hektar sebelum kerja-kerja membalak boleh bermula. Akan tetapi apabila sebuah sampel 30 permit untuk kawasan melebihi 500 hektar dikaji, para juruaudit tidak dapat mengesahkan jika laporan EIA telah disediakan sebelum kerja-kerja membalak bermula. Mereka juga tidak menemui mana-mana laporan EIA yang memberi kebenaran untuk membalak berkaitan dengan permit tersebut.
Pemantauan dari udara mendapati bahawa pembalakan di beberapa kawasan pembalakan dilakukan di cerun-cerun bukit yang melebihi 45 darjah, had kecerunan yang dibenarkan untuk membalak dan di kawasan yang berhampiran dengan sungai.
Para juruaudit memberi amaran bahawa kekayaan kepelbagaian biologi Sarawak akan beransur musnah akibat daripada aktiviti-aktiviti pembalakan. Mereka mengesa agar spesis flora dan fauna direkod sepenuhnya supaya kerja-kerja pemuliharaan boleh dilaksanakan dengan betul untuk spesis-spesis yang terancam.
Salah satu masalah ialah penguatkuasaan yang lemah dan renjer-rejer hutan tidak mencukupi, kata Awang Tengah pula adalah "episod lama" di mana tindakan untuk memperbaiki telah pun dilaksanakan.
Tetapi Raymond menyangkal dakwaan tersebut dan mengatakan bahawa orang ramai takut diugut dan inilah sebabnya mengapa mereka tidak berani untuk membuat aduan. "Mereka tidak boleh nafi bahawa terdapat banyak aktiviti-aktiviti pembalakan. Masalah tersebut berpunca dari pihak berkuasa, mereka yang mempunyai kuasa untuk membuat perubahan, dan juga kerana kekurangan penguatkuasaan.”
Dipetik dari: Anilnetto.com
Diterjemah untuk: Sebana Menoa

Tuesday, November 17, 2009

Penghulu menumbuk rakyat

Oleh: Willie Kajan
MIRI, 10 November 2009 – Hanya kerana bertanyakan soalan kerana ingin mengetahui perkembangan berkaitan hasil-hasil kayu balak milik penduduk kampung di kawasan rumah panjang Long Terawan, En. Ipoi Jau telah ditumbuk oleh Penghulu kawasan mereka.

Penghulu tersebut dikenali sebagai Penghulu Herbert Lawai, telah menumbuk En. Ipoi Jau di dahi sehingga mengakibatkan kecederaan. Mangsa yang berumur 66 tahun telah pergi ke sebuah klinik swasta di Miri untuk membuat pemeriksaan dan rawatan ke atas kecederaan di bahagian dahinya akibat tumbukan daripada Penghulu Herbert Lawai. Disamping itu, beliau juga membuat laporan polis berkenaan kejadian tersebut untuk tindakan selanjutnya oleh pihak polis.
Kejadian tersebut berlaku pada awal pagi 8 November 2009. Hal ini berlaku ekoran mangsa yang ingin mengetahui ke mana perginya hasil-hasil kayu balak di kawasan hutan rumah panjang Long Terawan, Baram.

Ini kerana, pada kebiasaannya syarikat-syarikat pembalakan ini yang membalak di kawasan hutan rumah panjang akan menyerahkan sebahagian daripada hasil balak tersebut kepada penduduk rumah panjang melalui Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) dan kemudiannya akan dibahagikan kepada penduduk kampung.

Peristiwa seperti ini tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pemimpin lebih-lebih lagi seorang Penghulu yang sepatutnya bertindak melindungi rakyat. Yang lebih memalukan lagi adalah mangsa merupakan seorang yang kurang upaya yang cedera akibat kecederaan lama di bahagian tulang paha.Menurut sumber, kejadian ini berlaku di rumah salah seorang penduduk kampung Long Terawan di Permyjaya, Miri yang sedang mengadakan upacara penghormatan terakhir untuk seorang ahli keluarganya yang meninggal. Kejadian tersebut telah disaksikan oleh orang-orang yang datang menghadiri upacara tersebut. - SM

Monday, November 16, 2009

Penyiasatan kes rogol wanita Penan belum selesai lagi

Oleh: Hellan Empaing
16 November 2009

“Kenyataan Kes rogol wanita Penan selesai”, merupakan tajuk utama di akhbar Utusan Borneo hari ini. Apakah yang mereka cuba terangkan dengan perkataan SELESAI? Apakah kesudahannya?

Kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pada 13hb November, sekali lagi mengecewakan Persatuan Wanita Desa Sarawak (WADESA). Begitu mudah pihak polis mengambil keputusan untuk memberhentikan siasatan tersebut adalah kerana dengan alasan tiada kerjasama daripada pihak badan bukan kerajaan (NGO). Selama ini apakah peranan polis dalam tugas mereka sebenar? Hanya menanti dan menunggu maklumat yang diberikan oleh pihak lain, kemudian baru mereka dapat dikatakan ada mengambil tindakan?

Sebenarnya WADESA tidak bersetuju dengan kenyataan sedemikian, kerana penyiasatan tersebut seharusnya diteruskan sehingga bukti dan penjenayah tersebut ditangkap dan dihukum, barulah kes ini boleh dikatakan bahawa tindakan penyiasatan dan panangkapan ini selesai. Selagi penjenayah tersebut belum lagi dibawa ke muka pengadilan kes ini tidak boleh dikatakan selesai begitu sahaja.

Kenyataan pihak polis bahawa pihak NGO enggan bekerjasama juga tidak benar, kerana pihak NGO serta agensi-agensi persekutuan sendiri turut turun padang menyiasat maklumat atas inisiatif sendiri untuk membuat siasatan. Dan apakah kekurangan keupayaan pihak polis yang memang sedia ada terlatih untuk menyiasat berbanding dengan pihak NGO? Saya pasti nilai kesabaran, berdikari, rajin dan amanah patut ada di dalam mereka menjalankan tugas.

Dan cara mendapatkan maklumat dan pendekatan juga haruslah dijalankan sebagai pihak yang benar-benar ikhlas ingin membantu wanita Penan, kerana wanita Penan sekarang ini dalam dilemma. Siapakah harus dipercayai sebagai tempat pengaduan yang tepat? Gambaran tentang polis bagi mereka adalah, polis akan menangkap mereka menyebabkan mereka takut untuk mendedahkan perkara sebenar.

Sejarah hidup mereka yang menjadi mangsa penderaan seksual telah berlaku beberapa tahun yang lampau, tetapi kerana kurang pengertian tentang maksud penderaan seksual tersebut, menyebabkan hari-hari yang mereka lalui berlalu begitu sahaja, sehingga ramai yang melahirkan anak yang tidak berayah.

Malah kini mereka menjadi mangsa untuk kali kedua, kerana apabila hasil siasatan dan laporan yang dikeluarkan menyebabkan wanita-wanita Penan ini akan diugut dan diancam oleh si "suami" untuk menarik balik kenyataan pertama dan mesti mengaku bahawa mereka tidak dirogol. Tetapi jika dilihat secara logiknya, adakah lelaki yang mengelar diri suami mereka itu, mengahwini mereka melalui prosedur yang sah ataupun melalui adat? Adakah suami mereka itu tidak mempunyai isteri lain selain wanita Penan?

WADESA meminta pihak polis meneruskan siasatan walapun dengan apa cara sekalipun. Kerana ini melibatkan masa depan wanita-wanita Penan, jika tidak ada pembelaan, maksudnya pendera seksual akan terus bermaharajalela dan masalah ini tidak akan dapat dibenteras. Kerana seolah-olah pihak yang bertanggungjawab tidak mengambil berat dan bertugas dengan sikap sambil lewa.

WADESA mohon agar pihak kerajaan bersimpati kepada nasib-nasib wanita Penan ini. Hentikan pembalakan di kawasan-kawasan tanah pengurip Penan serta merta, kerana semua masalah ini adalah berpunca daripada kemasukan syarikat-syarikat pembalakan yang menceroboh kawasan mereka.

WADESA menyarankan agar pihak kerajaan turut mempertimbangkan kepentingan penyiasatan ini harus diteruskan demi masa depan wanita-wanita Penan. Semua pihak diharapkan tidah hanya melepaskan batuk di tangga. - SM

Polis menjadi pengawal Syarikat Samling ketika jentolak menjalankan kerja ditanah NCR kaum Kenyah

BELAGA, 5 November 2009 – Sekumpulan pegawai polis telah menjadi pengawal kepada pekerja syarikat Samling Plantation Sdn. Bhd. ketika kerja pembersihan menggunakan jentolak dilakukan di dalam kawasan tanah hak adat bumiputera (NCR) kaum Kenyah di Long Koyan yang bertujuan membangunkan ladang kelapa sawit.

Samling mula melakukan kerja pembersihan semalam, tetapi telah diberhentikan oleh peduduk kampung Long Koyan dan diarahkan untuk meninggalkan kawasan terbabit.

Bagaimanapun, hari ini pihak Samling meneruskan semula kerja menolak di kawasan tersebut di bawah kawalan Polis Diraja Malaysia dan mereka langsung tidak menghiraukan bantahan orang kampung.

Penduduk kampung berasa marah dengan Samling kerana tidak mengendahkan amaran larangan menceroboh ke dalam kawasan mereka. Lebih mengecewakan penduduk kampung lagi ialah adalah tindakan pihak polis yang dikatakan berkelakuan tidak professional dan jelas sekali bersubahat dengan pihak syarikat.

TK Nyalang Tahe, ketua kampung Long Koyan sebelum ini telah banyak membuat laporan polis tentang pencerobohan Samling tetapi malangnya tiada tindakan yang diambil oleh pihak polis. Beliau juga pernah pergi memberhentikan jentolak Samling dan mengambil kuncinya untuk diserahkan kepada pihak polis untuk diambil tindakkan.

Walau bagaimanapun, pada 21 July 2009, pihak polis telah menyaman TK Nyalang Tahe dan mengeluarkan satu waran tangkap terhadap beliau supaya menyerahkan diri ke Balai Polis Sungai Asap. Menurut saman tersebut, TK Nyalang Tahe dikatakan telah mencuri jentolak milik syarikat Samling dan laporan polis telah dibuat terhadapnya oleh pihak Samling.

TK Nyalang dan penduduk kampungnya berbalah dengan pihak polis dan mengatakan cuma kunci jentolak berkenaan yang ada dengannya yang diberikan sendiri oleh pekerja ladang Samling kepada beliau tetapi jentolak tersebut masih di bawah jagaan pekerja Samling dan tidak dicuri. Beliau juga telah membuat laporan polis berkenaan dengan insiden ini.

Pihak polis kemudian memberitahu TK Nyalang yang beliau perlu menandatangani satu perjanjian dengan polis dan diarahkan untuk hadir ke Mahkamah Majistret Belaga pada 21 August 2009 untuk menjawab pertuduhan.

TK Nyalang berpegang pada arahan pihak polis dan menghadirkan diri di Mahkamah Majistret Belaga pada pagi 21 August 2009. Tetapi beliau terkejut apabila bahagian pendaftaran mahkamah memberitahunya yang pihak polis tidak ada mendaftar kesnya untuk sebutan pada hari tersebut.

TK Nyalang kemudiannya pergi ke balai polis Sungai Asap untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak polis. Pihak polis di Sungai Asap pula memberitahu beliau yang beliau akan dimaklumkan bila masanya untuk beliau harus hadir ke mahkamah.

Walau bagaimanapun, sehingga hari ini pihak polis masih lagi belum memaklumkan kepada beliau tentang status kes tersebut. - SM