Thursday, October 28, 2010

Penduduk Baram Bimbang Bahana Empangan

Philip Jau menunjukkan berita muka depan akhbar tempatan bertarikh 27 Okt yang bertajuk ’Sekolah Mungkin Ditutup’ jika Sungai Rajang semakin cetek, yang membimbangkan lebih 20,000 penduduk di sepanjang Sungai Baram berikutan cadangan pembinaan Empangan Baram.

Ramli Bujang (tengah) memegang peta penempatan semula yang dicadangkan untuk penduduk Penan dan Kenyah yang terjejas berikutan cadangan pembinaan Empangan Murum.

28 Oktober 2010

Oleh Hazel Lee

MIRI — Lebih 20,000 penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Baram kini bimbang apa yang dihadapi penduduk di Sungai Rajang akan menimpa mereka sekiranya cadangan untuk membina Empangan Hidroelektrik Baram diteruskan.

Pengerusi Jawatankuasa Tindakan dan Perlindungan Baram (JTPB), Philip Jau berkata, penduduk Baram mendakwa mereka tidak pernah dalam sejarah menyaksikan penurunan paras Sungai Rajang yang begitu mendadak disebabkan penakungan air di Empangan Hidroelektrik Bakun.

“Kini mereka bimbang Sungai Baram akan mengalami nasib yang sama seperti Sungai Rajang. Mereka tidak mahu perkara itu berlaku kerana kehidupan penduduk di situ bergantung sepenuhnya dengan sungai,” katanya semasa sidang media di Hotel Telang Usan hari ini.

Menurut Philip, terdapat sekurang-kurangnya 20,000 penduduk Orang Ulu terdiri daripada kaum Kayan, Kenyah, Kelabit, Saban dan Penan dari ratusan rumah panjang dan kampung menetap di sepanjang Sungai Baram.

Antara kampung yang terjejas jika empangan itu diteruskan ialah Long Laput, Sungai Dua, Sri Kenawan, Uma Bawang, Long Miri, Long Pilah, Long Kesseh, Long Na’ah, Long Liam, Long San, Long Selatong, Long Apu, Long Julan Asal, Long Julan Pelutan, Long Anap, Long Palai, Long Je’eh, Long Moh, Long Sela’an, Long Semiyang, Long Beku, Ba’Abang, Long Tap dan Long Tebangan.

Tegas Philip, empangan yang meliputi keluasan 38,900 hektar itu menjejaskan kemudahan lain seperti lapangan terbang, sekolah dan klinik di Baram yang sebelum ini dibina menggunakan duit rakyat.

“Tambahan pula, tidak ramai penduduk Baram mengetahui secara mendalam mengenai empangan Baram. Walaupun pembinaan empangan itu masih dalam peringkat cadangan, namun kami berhak tahu dan membuat keputusan sama setuju atau sebaliknya projek itu dilaksanakan,” katanya.

Justeru ujar Philip, JTPB mahu kerajaan Negeri melihat perkara ini dengan serius dan menarik balik cadangan untuk meneruskan pembinaan empangan di Baram.

Dalam sidang media yang sama, Jawatankuasa Hal Ehwal Penan Peleiran-Murum (PEMUPA) mahu kerajaan Negeri membatalkan semua lesen pajak sementara untuk peladangan di kawasan tadahan Empangan Hidroelektrik Murum.

Ahli Jawatankuasanya, Ramli Bujang berkata, pembatalan itu perlu sebagai satu syarat dalam pembahagian tanah bagi kampung-kampung Penan sebelum mereka dipindah ke kawasan penempatan semula yang dicadangkan di kawasan Murum.

“Kami amat terganggu dengan apabila kawasan penempatan yang dicadangkan iaitu di Sungai Metalon telah dibahagi-bahagikan kepada sebuah syarikat untuk peladangan kelapa sawit tanpa pengetahuan kami.”

“Penebangan hutan oleh syarikat berkenaan di kawasan penempatan semula Metalon yang dicadangkan tersebut akan membawa kesan buruk ke atas kehidupan kami, ” kata Ramli.

Menurut Ramli, lebih 1,000 penduduk dari enam perkampungan Penan bakal terjejas berikutan Empangan Murum iaitu Long Wat, Long Singu, Long Luar, Long Tangau, Long Malim dan Long Pelutan (Menapa) serta penduduk Kenyah-Badeng di Long Umba.

Sebelum ini, penduduk Penan di Murum mencadangkan tiga kawasan penempatan semula iaitu di Sungai Metalon di Ulu Peleiran, Ulu Sungai Tegulang dan Ulu Malim-Danum.

Hadir sama Penyelaras Kebangsaan, Pakatan Konservasi Alam Sekitar Sarawak (SCANE), Raymond Abin dan Pengarah Eksekutif Institut Sumber Borneo Malaysia (BRIMAS) Mark Bujang dan peguam penasihat Abun Sui Anyit.

Sumber: Sarawak Update

URL: http://sarawakupdate.com/home/berita/pilihanraya-dun/penduduk-baram-bimbang-bahana-empangan/

No comments: